أعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
(الْحَمْدُ لِلَّهِ)Tahmid Dengan Denyutan Nadiku
(لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)Tahlil Degupan Jantongku
(اللَّهُ أَكْبَرُ)Takbir Hela Turun Naik Nafasku
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada اللهَ
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ... ALLAH اللهَ
اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati??
Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan
adalah nikmat paling agung yang diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah
membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.
Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan
baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati.
Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh
anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca
daripada hati yang sudah rosak itu.
Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana
kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya
daripada berbuat dosa dan maksiat. Hati yang hitam ialah hati yang menjadi
gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa
bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa.
Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan
kotornya hati ketika itu. Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis
Rasulullah yang bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh
pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik
hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan
terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn
Majah)
Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:
"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan
mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan
maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)
Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati
keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi
penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu
yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk
ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk
mengamalkannya. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:
"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti
batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar
dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah
terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke
bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada
apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)
Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu
yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana
amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu
hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah. Perkara paling
membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar
terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal
menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai
mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan
dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.
Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:
Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah
iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud:
"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu
hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang
demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar
ayat 22)
Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan
rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak
makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan
dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya.
Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh
itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi
kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara
banyak mengingati Allah (berzikir).
Firman Allah bermaksud:
"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka
dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang
tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)
Firman-Nya lagi bermaksud:
"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak
dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang
yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik
dan munafik." (Surah al-Syura ayat 88-89)
Tanda-tanda hati mati Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara
sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
- Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan
hak-hak-Nya.
- Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan
sunnah baginda.
- Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum
di dalamnya.
- Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri
atas pemberian-Nya.
- Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang
menentangnya.
- Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk
mendapatkannya.
- Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk
menjauhinya.
- Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih
tidak bersedia untuknya.
- Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa
akan keaiban diri sendiri.
- Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam,
tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita
sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai
Allah SWT. Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang
berikutnya; Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa
dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal
jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu :
- Hubbul dunia (kasihkan dunia)
- Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
- Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada
maksiat kepada Allah.
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu :
- Zuhud dengan dunia
- Zikrullah
- Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah
Posted by Hassan Adli B. Haji Othman at 5:20 PM
ALLAH اللهَ ALLAH اللهَALLAH اللهَALLAH اللهَ
Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati??
اللّٰهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
والله أعلم بالـصـواب
Moga Bermanfaat.
Insya ALLAH
.........................................................



No comments:
Post a Comment