30 March 2020

Ragui Status Kandungan Isteri




 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎

Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ:
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Bayu Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎


الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 


Ragui Status Kandungan Isteri

Soalan:- 

Adik lelaki saya telah berkahwin dengan seorang janda pada bulan Januari tahun 2010 yang lalu. 

Namun timbul kekeliruan apabila tidak sampai 6 bulan pernikahannya, isterinya telah melahirkan anak. Bagi pihak keluarga, kami menganggap perkara ini sebagai kes terlanjur sebelum perkahwinan dan berharap agar Allah mengampunkan kesilapan mereka dahulu.

Namun baru-baru ini timbul konflik yang menggemparkan apabila adik saya mendakwa bahawa anak yang lahir itu sebenarnya ialah anak hasil hubungan zina isterinya dengan lelaki lain. Baru sekarang dia membuat pengakuan kepada keluarga kami. 

Ada pandangan yang mengatakan bahawa pengakuan adik saya itu sudah dikira sebagai li'an. 

Mohon pandangan dalam perkara ini.
Abang Rungsing

Kes meragui status bayi yang dikandung oleh isteri seperti yang dibangkitkan oleh saudara ini sebenarnya kes yang amat serius, besar dan terlalu berat untuk diselesaikan di sini. 

Kaedah yang paling baik dan paling tepat adalah dengan membawa permasalahan ini ke mahkamah syariah bagi mendapatkan keputusan yang bijaksana.

Persoalan keraguan seorang bapa terhadap status anaknya, Seksyen 109 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985 ada memperuntukkan:-
“Jika seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak dalam masa enam bulan atau lebih dari tarikh perkahwinan itu, atau dalam jangka masa yang boleh diterima oleh hukum syarak selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab penceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu. 

Tetapi lelaki itu boleh menafikan, dengan cara li'an mengikut hukum syarak, bahawa anak itu bukan anaknya.”
Maka boleh dilihat di sini bagaimana undang-undang memperuntukkan:-
 “Jika seorang perempuan yang berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak dalam masa enam bulan atau lebih dari tarikh perkahwinan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”
Jika dirujuk pula kepada kitab Bughyah al-Mustarshidin karangan Abdul Rahman bin Muhammad bin Hussain bin Umar Ba'lawi, pada halaman 242 ada disebut:-
“Seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina, kemudian dia melangsungkan akad nikah perkahwinan dengan seorang lelaki. 

Dalam tempoh perkahwinan berkenaan, suaminya itu berkeupayaan tinggal bersamanya sebagai suami isteri, lalu dalam tempoh enam bulan dua saat (lahzah) dari tarikh akad nikah perkahwinan mereka, setelah perempuan berkenaan melahirkan anak, dalam hal suaminya berkeupayaan melakukan persetubuhan dengannya, maka anak itu hendaklah dinasabkan kepada lelaki yang menjadi suaminya itu.”
Peruntukan Tambahan

Dari perspektif hukum syarak ini, boleh didapati ada beberapa lagi peruntukan tambahan sebagai syarat kepada kelahiran dalam tempoh enam bulan dua saat (lahzah) dari tarikh akad nikah perkahwinan. 

Dua syarat tambahan itu adalah:-

1. Dalam tempoh perkahwinan berkenaan, suami berkeupayaan tinggal bersama isterinya itu sebagai suami isteri.

2. Suami berkenaan berkeupayaan melakukan persetubuhan dengan isterinya itu

Jadi dalam hal ini, pihak mahkamah akan membuat perkiraan berapa lama bayi tersebut berada dalam kandungan sehingga dia dilahirkan oleh isterinya mengikut takwim hakiki.

Biasanya perkiraan dibuat berdasarkan takwim Hijrah dan waktu solat Kerajaan Negeri Terengganu, yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa si isteri telah melahirkan bayi tersebut dalam tempoh melebihi enam bulan dua saat (lahzah) dari tarikh akad nikah perkahwinannya dengan suami, maka Seksyen 109 tersebut akan terpakai jua. 

Maka apabila mahkamah telah berpuas hati bahawa semua syarat telah dipenuhi untuk dinasabkan bayi tersebut kepada suami berdasarkan hukum syarak dan juga undang-undang, maka tidak syak lagi bahawa adik lelaki saudara ialah bapa sebenar kepada bayi berkenaan.

Sekiranya adik lelaki saudara tidak mahu mengakui bahawa anak yang dikandung oleh isterinya itu anaknya, maka dia dikehendaki melakukan li'an sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 109.

Definisi Li'an

Proses li'an ini bukanlah semudah yang disangka. 

Walaupun kitab fiqah menyatakan li'an hendaklah dilakukan selepas waktu Asar di tempat-tempat mulia seperti kawasan Hajarulaswad dan Rukun Yamani di Masjidilharam atau berdekatan dengan mimbar Rasulullah SAW di masjid Nabawi atau berdekatan dengan mimbar mana-mana masjid; namun dalam konteks negara ini ia perlulah dilakukan mengikut lunas undang-undang.

(Rujukan: Dr. Abdul Rahman Ghazali, Fiqh Munakahat, halaman 238)

Sesuatu lafaz belum boleh dianggap sebagai li'an atau kutukan selagi tidak dilafazkan di hadapan hakim dan disaksikan oleh orang ramai. Suami dikehendaki menyatakan secara langsung dan menjelaskan tuduhannya. 

Selepas itu si isteri pula diberi kesempatan untuk menjawab tuduhan tersebut.

Lafaz Li’an

Kata-kata yang mesti dilafazkan oleh suami yang hendak melakukan li'an adalah sebagaimana tatacara berikut:-
“Aku bersaksi dengan Allah SWT bahawa aku bercakap benar bahawa aku menuduh isteriku fulanah binti fulan (nama isteri) berzina.”

Apabila genap empat kali dia mengulang-ulang lafaz tersebut, maka hendaklah dia menyebut lafaz yang kelima dengan berkata:-
“Laknat Allah SWT akan jatuh ke atasku sekiranya aku bercakap bohong.”

 Bagi menolak tuduhan itu, maka isterinya pula hendaklah melafazkan empat kali berturut-turut lafaz berikut:-

“Aku bersaksi dengan Allah SWT bahawa suamiku fulan bin fulan (nama suami) adalah bohong membuat tuduhan zina ke atasku.”

Apabila genap empat kali mengulang-ulang lafaz tersebut, maka dia hendaklah membuat lafaz yang kelima dengan berkata:-

“Kemurkaan Allah SWT akan jatuh ke atasku sekiranya suamiku bercakap benar.”

Jika isteri itu telah melahirkan anak atau sedang hamil yang dianggap sebagai hasil daripada zina yang dituduh oleh suaminya, maka suami itu hendaklah menafikan menjadi bapa kepada anak yang sudah dilahirkan atau yang masih dikandung itu dengan menambah kepada lafaz berikut dan hendaklah dilulang empat kali sebutannya iaitu:-

“Bahawa anak ini atau apa yang dikandung oleh isteriku bukanlah daripada aku.”

Implikasi Li’an

Apabila proses li'an dibuat di hadapan seorang hakim dengan menyebutkan kata-kata yang mengikut hukum syarak maka implikasinya terlalu besar

Selepas penghakiman, hakim syari’e akan memerintahkan mereka dipisahkan serta hidup berasingan selama-lamanya.

Pihak mahkamah akan merekodkan penceraian itu dan menghantar salinan rekod tersebut kepada pendaftar yang sesuai dan juga kepada ketua pendaftar bagi tujuan pendaftaran.


Selepas itu secara automatik terjadilah penceraian jenis talak bain mu’abbad (cerai kekal) iaitu suatu bentuk pembubaran perkahwinan yang mengakibatkan kedua-dua pasangan tidak lagi berpeluang untuk berkahwin semula melalui apa cara sekalipun, selama-lamanya.

Suami akan terhindar daripada hukuman menuduh zina. Selain itu, anak yang dikandung oleh isteri yang dituduh zina itu akan hilang nasab kepada ayahnya serta gugur daripada hak mendapat nafkah.

(Rujukan: Imam Abu Shuja’ bin al-Husain bin Ahmad al-Asfahani, Matan al-Ghayah wa al-Tarqib, jilid 1, halaman 247)

Wallahua'lam

No comments: