BAYI BERBICARA
Orang-orang lalu datang berduyun-duyun, dan
jauh dan dekat, ingin menyaksikan sendiri kabar yang luarbiasa itu. Mariam
dihujani orang ramai dengan pertanyaan-pertanyaan. Dia tidak menjawab,
hanya berkata sebagai apa yang telah diwahyukan Tuhan kepadanya, bahawa dia
berpuasa dan bernazar tidak akan bercakap-cakap sehari itu.
Berbagai-bagai kata orang ramai tentang Mariam dan kejadian itu. Ada yang
amat hairan atas keluarbiasaan kejadian itu. Ada pula memandang kejadian
itu sebagai tanda kesucian dan kebesaran Mariam. Tetapi banyak pula yang
mengejek-ejek dengan pelbagai tuduhan sebagai yang telah dikhuatirkan
Mariam sendiri. Semuanya itu didengarkan dan dibiarkannya saja dengan sabar
dan tenang, sesuai dengan petunjuk Tuhan kepadanya.
Keesokan harinya, mereka pun datang pula bertanyakan ini dan itu,
mengatakan apa yang terasa dalam hati dan batin mereka masing-masing.
Mereka tahu bahawa nazar Maryam sudah habis waktunya. Berbagai-bagai cara
dan isi pertanyaan mereka. Ada yang bertanya: Hai Mariam, sesungguhnya
engkau telah membawa sesuatu yang mungkar!
Ada pula yang mengejek: Hai saudaranya Harun, bapamu bukanlah orang yang
jahat, sedang ibumu pun bukan perempuan jalang! Dari manakah engkau
perolehi anak ini?
Banyak lagi pertanyaan yang mengejek dan kasar-kasar yang dihadapkan kepada
Mariam. Akhirnya Maryam berdiri mengambil anak bayinya, lalu berkata kepada
mereka: Ini adalah anakku, tanyakanlah kepadanya hakikat kejadian yang
sebenarnya, yang tuan-tuan tanyakan itu.
Orang ramai hairan dan tercengang mendengarkan jawapan Mariam yang tidak
masuk akal itu. Mereka lalu berkata: Bagaimana kami dapat berbicara dengan
bayi yang masih dalam ayunan itu?
Mendengar ejekan yang berturut-turut itu, lalu Allah memperlihatkan
kekuasaanNya untuk mukjizat yang sebesar-besarnya bagi bayi yang bernama Isa
al-Masihi itu dikala besarnya. Di saat itulah bayi Isa a.s. yang masih
kecil itu berkata dengan terang kepada orang banyak: Sesungguhnya aku ini
seorang hamba Allah, akan diberinya kepadaku sebuah Kitab (Injil) dan
dijadikanNya aku seorang Nabi. DijadikanNya aku seorang yang berguna buat
manusia dimana aku berada, diwasiatkanNya kepadaku berbuat dan mengerjakan
sembahyang dan mengeluarkan zakat selama aku hidup. Dan aku berbakti kepada
ibuku, tidaklah aku dijadikan Tuhan seorang yang sombong dan derhaka.
Selamatlah diriku ketika aku dilahirkan dan ketika aku mati dan ketika aku
kembali hidup.
Barulah sebahagian orang ramai itu insaf dan percaya, yakin akan kesucian
Mariam, akan kebesaran dan keagungan bayi yang baru lahir itu. Khabar
kesucian dan keagungan bayi itupun tersiarlah ke mana-mana, sehingga setiap
orang menunggu-nunggu akan besarnya anak itu, sebagai seorang Utusan Allah
(Rasul) buat mereka.Nabi Isa al-Masihi yang dipopularkan orang Kristian
dengan nama Jesus Kristus itupun makin sehari makin besar juga. Di kala dia
masih berupakan seorang anak yang di bawah umur, telah banyak tampak
tanda-tanda kebesaran dan keluarbiasaannya.
Pada suatu hari, ketika Isa sedang bermain-main dengan teman-teman
sebayanya, tiba-tiba Isa menerkai semua apa yang disimpan dalam poket
seluar dan dirumah mereka masing-masing, dengan tekaan yang tepat dan tidak
salah sedikit juga.
Kadang-kadang Isa berlaku sebagai guru terhadap teman-teman sebayanya itu,
mengajarkan apa-apa yang mereka itu semua tidak mengetahuinya. Semua temannya
itu menurut dan patuh terhadap ajaran Isa. Masing-masing memperhatikan
sebaik-baiknya setiap kata dan nasihat yang keluar dari mulut Isa.
Ketika Isa sudah berumur 12 tahun, ibunya membawa beliau meninggalkan dusun
yang jauh terpencil itu, berangkat pindah ke kota Baitul Maqdis
(Jerusalem). Di jalan banyaklah pemandangan baru yang belum pernah dilihat
didesanya sendiri. Tetapi Isa tinggal tenang saja melihat pemandangan yang
baru itu, tidak menarik hatinya sedikit juga sebagai kebanyakan anak-anak yang
seumur dengan dia. Lebih-lebih lagi ketika memasuki kota besar Jerusalem
menempuh jalan-jalan besar, rumah-rumah yang bagus dan menarik hati. Tidak
satu pun yang menarik perhatian Isa, kesemuanya itu dipandangnya sebagai
barang-barang yang biasa saja, tidak baru sedikit juga dalam pandangan mata
dan hatinya. Inilah pula salah satu keluar-biasaan Isa dibanding dengan
anak-anak lainnya.
Ibunya lalu pulang ke desa kembali, sedang Isa tetap tinggal dikota Baitul
Maqdis, kota yang penuh dengan pendita dan tempat-tempat ibadat, sebagai
pusaka dan doa Nabi Ibrahim dahulu.
Setiap hari, orang ramai berduyun-duyun datang ke gereja-gereja menerima
pelajaran agama yang diberikan pendita-pendita. Isa pun turut serta orang
ramai itu, mendengar pelajaran dan fatwa-fatwa itu. Bahkan inilah yang
paling digemari Isa, lain-lain pekerjaan dan permainan tidak satu pun yang
menarik hatinya dan dia tidak pernah turut berbagai-bagai keramaian dan
permainan itu.
Tiap-tiap kata fatwa yang keluar dan mulut pendita-pendita didengarkannya
dengan penuh perhatian dan sungguh-sungguh. Berbeza dengan orang ramai yang
juga turut belajar dan mendengar fatwa itu, dimana umumnya mereka itu hanya
menerima dan tunduk saja terhadap semua fatwa dan kata-kata itu, maka Isa
bukan hanya tunduk dan menerima mentah-mentah saja tetapi kalau perlu
bertanya dan membantah mana yang tidak sesuai dengan pendapatnya. Isa di
antara murid-murid yang pertama-pertama kali berani bertanya dan membantah,
sedang murid yang lain seorang pun tidak pernah bertanya, apalagi akan
membantah.
Melihat keberanian dan perbuatan Isa itu, tidak sedikit kawan-kawan dan
orang ramai yang menaruh sakit hati dan marah kepadanya dan menganggap dia
seorang yang pembantah dan penyangkal, tidak tunduk kepada pendita-pendita
yang dihormati dan dimuliakan orang. Bahkan sudah menjadi tabiat manusia di
saat itu, bahawa pendita-pendita itu adalah orang suci, orang-orang yang
benar semua kata-katanya, tidak boleh dibantah atau ditanyai samasekali,
sebab orang yang bertanya dan membantah itu dianggap telah melanggar agama,
telah engkar dan kafir layaknya.
Bukan hanya orang ramai saja yang marah kepadanya, tetapi juga
pendita-pendita sendiri, sebab memang pendita-pendita itulah yang melarang
orang bertanya dan membantah, serta mengajarkan bahawa sesiapa yang
membantah dan bertanya itu, adalah orang engkar dan musuh Tuhan.
Beratus-ratus tahun lamanya, pendita-pendita itu tidak pernah dibantah dan
disoal orang, sehingga telah menjadi adat turun-temurun bagi orang banyak
yang hanya mendengar, tunduk dan diam dihadapan mereka. Sebab itu, tidak
hairanlah kalau hal itu dianggap orang ramai sebagai ajaran agama,
ketetapan syariat yang tidak boleh dilanggar samasekali.
Isa tidak menghiraukan kemarahan orang ramai itu, tidak peduli sekalipun
pendita-pendita itu sendiri sakit hati kepadanya, namun Isa tetap membantah
dan bertanyakan apa-apa yang tidak terang atau yang berlawanan dengan
pendiriannya.
Demikianlah halnya Isa bertahun-tahun asyik belajar, asyik bertanya dan
membantah tiap-tiap fatwa yang tidak sesuai. Dia lupa segala-galanya,
kadang-kadang dia lupa makan dan minum, lupa terhadap ibunya sendiri yang
sudah lama ditinggalkannya.
Dia bukan hanya tetap dalam kota Baitul Maqdis saja, tetapi juga pergi ke
tempat-tempat yang jauh, didalam dan diluar kota, dimana saja ada pendita.
Masing-masing pendita yang dia kenal dan dengar, sekalipun jauh tempatnya,
pasti dia datangi untuk belajar dan menerima fatwanya, pula untuk ditanya
dan dibantahnya apabila perlu. Begitulah; dia senantiasa pindah dari desa
ke desa, dan kota ke kota lainnya.
MENJADI RASUL
Setelah Isa berumur 30 tahun, barulah datang
kepadanya Ruhul Amin, iaitu Malaikat Jibril sebagai Utusan Allah untuk
mengangkat Isa menjadi Rasul Allah, menyambung pelajaran yang pernah
diajarkan Rasul-rasul yang sebelumnya dan untuk memberi khabar kepada
manusia, bahawa nanti
dikemudian hari akan diutus Allah seorang Rasul lagi, iaitu Nabi Muhammad
s.a.w.
Kepada Nabi Isa a.s. diturunkan Allah sebuah Kitab Suci (Bible) yang berisi
ajaran-ajaran Tuhan yang membenarkan akan Kitab-kitab Suci yang sebelumnya
dan pula memberi keterangan tentang akan datangnya Kitab Suci nanti, iaitu
al-Quran al-Karim, yang diturunkan kepada Rasul yang paling akhir, iaitu
Muhammad s.a.w.
Apa yang diterimanya itu, disampaikannya kepada manusia kaumnya.
Diterangkannya bahawa dia adalah Utusan Allah, supaya semua manusia
mengikutinya.
Mulailah Nabi Isa a.s. berjuang menyiarkan agama yang benar, membongkar
akan kesalahan dan kesesatan pendita Yahudi yang telah jauh menyimpang dan
ajaran Nabi Musa a.s. yang sebenarnya, bahkan terbukti kepada Nabi Isa
bahawa mereka telah lupa samasekali akan semua ajaran-ajaran yang diberikan
Nabi dalam Kitab Sucinya yang bernama Taurat. Sudah banyak pula yang tidak
kenal kepada Allah lagi, hanya mementingkan hartabenda dan kekayaan dunia
semata, baik rakyat umum ataupun para penditanya sendiri. Mereka berebutan
pangkat pendita bukan untuk menyiarkan agama Allah, tetapi semata-mata
berebutan pangkat dan hartabenda yang terdiri dan emas dan perak. Mereka
bukan membela nasib kaum fakir miskin lagi sebagai yang diperintahkan
Allah, tetapi malah merampas hak kaum fakir miskin dan orang-orang yang
terlantar, bahkan menghisap darah orang melarat dan mencelakakan
penghidupan mereka.
Pendita-pendita turut serta menghisap dan memeras. Mereka ajarkan kepada
manusia bahawa mengorbankan harta bagi kepentingan pendita, bererti
mengorbankan harta bagi Allah, sehingga banyak pendita-pendita yang lebih
kaya dari raja-raja. Pendita-pendita itu menutup mata samasekali terhadap
nasibnya orang-orang yang fakir dan miskin, terhadap orang-orang yang
terlantar, anak-anak yatim dan piatu, terhadap orang yang mendapat
kecelakaan. Mereka hanya bertekun didalam gereja-gereja untuk dipuji-puji
orang ramai saja.
Agama yang diajarkan Nabi Musa, telah mereka ubah disesuaikan dengan
kepentingan mereka sendiri. Banyak yang halal diharamkan dan yang haram
dihalalkan. Agama yang menyerang nafsu kebendaan, mereka ubah menjadi agama
yang memuji-muji kebendaan, serta melupakan Tuhan.
Rakyat, mereka anjurkan berkorban dan bersedekah untuk Rumah Suci
sebanyak-banyaknya, yang sebenarnya bagi kepentingan diri mereka sendiri,
sedangkan yang bersedekah itu kebanyakannya orang yang fakir miskin dan
orang bawahan yang susah jalan penghidupannya.
Segala rahsia itu dibongkar oleh Nabi Isa. Nabi Isa sedaya-upaya untuk
mengembalikan manusia kepada agama yang benar, kepada syariat Nabi Musa
yang sebenar-benarnya. Bani Israel yang telah sesat jalannya itu dianjurkan
Nabi Isa agar kembali ke jalan yang benar.
NASIB PARA RASUL
Ajaran Nabi Isa berlawanan sungguh dengan
kemahuan dan keinginan masyarakat umum dimasa itu. Isa melarang mereka
berlazat-lazat dan bersenang-senang, serta umumnya mereka asyik dengan
berbagai kemaksiatan dan kejahatan.
Diantara pendita dan orang ramai, memang ada orang yang benar-benar suci
dan bersih, ingat dan selalu mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Mereka
ini sajalah yang sebenarnya mengakui akan ajakan dan pelajaran yang
diberikan oleh Nabi Isa. Mereka inilah yang menjadi pembela, tulang belakang
Nabi Isa a.s. dan mereka inilah yang disebutkan Allah dalam al-Quran
Ansarullah dan Hawariyun. Sedang lain-lainnya, masyarakat ramai,
lebih-lebih masyarakat yang kayaraya, pembesar-pembesar negeri hampir
semuanya menentang akan ajakan dan ajaran Nabi Isa, bahkan menghalang dari
tersiarnya pengajaran ini, sebab mereka takut akan kehilangan harta dan
pangkat serta pengaruh. Nabi Isa mereka dustakan, mereka halangi dengan
berbagai cara. Semua ini memang sudah menjadi nasibnya para Nabi dan Rasul
Allah, sejak dari Nabi Adam a.s., sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.,
kerana Nabi-nabi dan Rasul-rasul Allah itu diutus memang untuk merobah
keadaan dan susunan masyarakat kepada siapa mereka diutus Tuhan, jadi bukan
semata-mata untuk menurutkan kemahuan umat.
Nabi Isa terus-menerus mengajarkan semua yang diperintahkan Allah
kepadanya, dari desa ke desa dan dari kota ke kota. Kerana begitu hebat
tentangan kaumnya, maka kepada Nabi Isa diberikan Allah beberapa mukjizat
yang luarbiasa, agar orang ramai insaf akan kebenaran Nabi Isa sebagai
orang yang diutus Allah.
Nabi Isa menggumpal sekepal tanah, lalu ditiupnya, segera tanah itu menjadi
burung, terbang ke sana ke mari bersiul-siul, beranak dan berketurunan.
Ramai orang ditimpa penyakit kusta dan tidak seorang juga yang dapat
menyembuhkan penyakit itu, sehingga penyakit itu terus-menerus,
turun-temurun menyerang sebuah desa. Oleh Nabi Isa semua orang yang sakit
bertahun-tahun itu dapat disembuhkan sekaligus dengan sesembuh-sembuhnya.
Banyak pula orang yang buta sejak dilahirkan ke dunia ini pun dapat
disembuhkan oleh Nabi Isa, sampai dapat melihat seterang-terangnya. Bahkan
orang yang sudah mati pun, ada yang dihidupkan Nabi Isa.
Semua itu menjadi dalil dan bukti yang tidak dapat dibantah lagi, atas
kenabian dan kerasulan Nabi Isa a.s. bagi orang-orang yang mahu beriman dan
percaya. Tetapi bagi musuh-musuhnya, orang-orang yang ditakdirkan Tuhan
untuk jadi kayu api neraka, semua kejadian itu dipandangnya sebagai sihir
semata-mata, namun Nabi Isa tetap mereka tentang dan musuhi.
Nabi Isa mempunyai kawan dan pula mempunyai lawan. Dengan kawan-kawannya
itulah Nabi Isa berjalan ke tempat-tempat yang jauh, menyiarkan pelajaran
agama, menolong manusia sengsara. Tetapi sayang, lawannya lebih banyak
daripada kawannya dan lawannya ini memusuhinya dengan sehebat-hebatnya,
serta mengadakan tekanan dan rintangan seberat-beratnya.
Musuh Nabi Isa bukan saja orang ramai yang telah dihinggapi penyakit
kekafiran, tetapi banyak dari pembesar-pembesar negeri yang takut
kehilangan pangkat, banyak pendita-pendita yang takut kehilangan pengaruh.
Setelah pendita-pendita sesat itu merasa bahawa Nabi Isa tidak dapat mereka
kalahkan dengan debat dan kata-kata, mereka berusaha mencari jalan lain.
Pembesar-pembesar negeri sejak dari raja, sampai kepada pembesar-pembesar
bawahannya, mereka hasut untuk menyingkirkan Nabi Isa dan masyarakat,
dengan tuduhan mengganggu ketenteraman, melenyapkan keamanan negeri dan
akan merebut kekuasaan pemerintah.
Pada suatu hari, Isa dan sahabat-sahabatnya itu tiba disuatu daerah padang
pasir yang tandus dan kering, jauh dan desa dan kampung, tidak ada manusia
dan rumah, sedang persediaan air dan makanan sudah habis samasekali. Padang
pasir yang tandus itu tidak mempunyai tempat untuk berlindung, sedang
matahari bersinar terik.
Mereka diserang haus dan lapar yang hebat sekali. Mereka lalu duduk
berunding, bertukar fikiran, jalan mana yang harus ditempuh untuk keluar
dari daerah kering itu, dimana kiranya dan bagaimana caranya mendapat
sedikit air untuk dapat mempertahankan hidup mereka. Keadaan mereka lebili
sulit lagi, kerana disaat itu pulalah musuh-musuh mereka telah mengepung
dan menunggu-nunggu kedatangan mereka untuk dihancurkannya.
Dalam keadaan yang sulit dan rumit itulah Nabi Isa menuangkan
pengajaran-pengajaran yang sangat dalam kepada para pengikutnya itu,
meresapkan ke dalam jiwa mereka hakikat perjuangan hidup di dunia menjelang
mati, merasakan erti hidup yang sebenarnya. Sesungguhnya para sahabat dan
Hawariyun itu telah teguh imannya, sudah tidak syak lagi dan ragu-ragu lagi
akan kebenaran Nabi Isa dan kerasulannya, tunduk dan patuh menjalankan
nasihat dan perintah Nabi Isa, namun mereka masih ingin mendapatkan
bukti-bukti dan tanda-tanda yang lebih nyata, semata-mata untuk menambah
tebal keimanan mereka. Apalagi sekarang ini benar-benar mereka sedang dalam
kesulitan menghadapi musuh dan bahaya lapar yang tidak terhingga.
Mereka lalu berkata kepada Isa: Ya, Isa anak Mariam! Kuasakah Tuhan
menurunkan makanan dari langit untuk kami?
Dengan keterangan, bahawa mereka hanya ingin tahu saja, bukanlah kerana
kurang percaya dan kurang tegas iman.
Permintaan yang demikian pernah pula dikemukakan oleli pengikut Nabi
Ibrahim dahulu. Terhadap permintaan sahabat-sahabatnya itu, Nabi Isa
menasihatkan agar mereka jangan hendaknya menuntut mukjizat-mukjizat supaya
tuntutan itu janganlah menjadi fitnah terhadap keimanan mereka sendiri.
Nabi Isa memperingatkan mereka sekali lagi kepada mukjizat-mukjizat yang
banyak sekali, yang sudah diperlihatkan Nabi Isa kepada mereka.
Mendengar keterangan Nabi Isa itu, mereka lalu berkata: Kami menghendaki
yang demikian itu, supaya dapatlah kami memakan makanan yang kami katakan
itu dan supaya tetap teguh kepercayaan dalam hati kami, sedang kami
mengakui sebenar-benarnya, bahawa engkau orang yang benar, sehingga kami
menjadi saksi atas yang demikian itu.
Setelah mendengar perkataan mereka itu, Nabi Isa lalu berdoa kepada Tuhan:
Ya Allah, Tuhan kami, turunkanlah makanan dan langit untuk menjadi perayaan
besar (hariraya) bagi kami dan orang-orang yang sesudah kami dan pula
menjadi bukti kekuasaan Engkau. Berilah kami rezeki, sedang Engkau adalah
sebaik-baik pemberi rezeki.
Doa dan harapanan itu dikabulkan Allah. Makanan yang lazat cita rasanya
turunlah dari langit untuk mereka santap bersama-sama, diiringi oleh
turunnya wahyu Allah: Sesungguhnya Aku turunkan makanan itu kepadamu,
tetapi ingat, barangsiapa yang engkar diantara kamu dikemudian hari, akan
Aku seksa dengan seksaan yang belum pernah Aku seksakan kepada orang-orang
yang hidup didunia ini.
Makanan itu segera mereka santap bersama-sama dengan sekenyang-kenyangnya,
sehingga segarlah perasaannya, hilang rasa laparnya, serta kembalilah
kekuatan mereka yang sudah penat dan lelah itu. Kejadian itu tersiar pula
kemana-mana menambah imannya orang yang beriman dan menambah dengkinya
musuh-musuh mereka.
Dalam pada itu kaum Bani Israel, iaitu musuh Nabi Isa dipelopori oleh
pendita-pendita mereka sendiri, telah berkumpul untuk mencari daya-upaya
cara bagaimana dapat menewaskan Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya. Hadir
pula dalam rapat besar itu pembesar-pembesar negeri dan raja mereka.
Nabi Isa telah mengetahui lebih dahulu akan rencana-rencana mereka untuk
membunuh Nabi Isa itu. Sebab itulah Nabi Isa terus mengembara menghindarkan
diri dari tangkapan mereka.
Dalam rapat besar itu, tiba-tiba seorang pemuda yang tangkas mengacungkan
tangan minta berbicara untuk mengemukakan pendapat dan usulnya. Pemuda itu
Yahuza namanya. Kepadanya diberikan kesempatan membentangkan pandangan dan
buah fikirannya.
Dengan tegas pemuda itu lalu mengusulkan, agar Nabi Isa ditangkap dan
dibunuh saja. Dia sendiri telahpun mengetahui akan tempat Nabi Isa dan
pengikut-pengikutnya itu bersembunyi. Dia sendiri menyanggupkan dirinya
untuk menjadi pelopor dalam penangkapan dan pengepungan itu.
Fikiran yang dikemukakan pemuda itu, dengan segera mendapat persetujuan
dari yang hadir dengan sambutan yang meriah sekali. Apalagi orang banyak
sudah lama tidak mendengar, di mana Isa sedang berada, tiba-tiba pemuda itu
menerangkan, bahawa dia mengetahui tempat Nabi Isa. Pemuda itu mendapat
pujian setinggi langit. Orang banyak datang berduyun-duyun mencium tangan
pemuda itu dan menjanjikan kepadanya apa saja yang dia kehendaki, bila dia
telah berhasil dapat menangkap Nabi Isa serta membunuhnya.
Raja lalu menyiapkan tentera dan perbekalan, untuk dikerahkan menangkap
Nabi Isa, dibawah pimpinan pemuda itu. Dalam pada itu pendita-pendita dan
pembesar-pembesar negeri yang benci kepada Isa, berpropaganda kepada orang
banyak untuk membenci Nabi Isa, dan menuduhnya sebagai pengacau, serta
perusak agama dan negara.
Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya telah mengetahui itu semua. Tahu bahawa
tentera raja dan banyak orang telah siap mencari-cari mereka, ke mana saja
mereka pergi.
Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya, dengan sembunyi-sembunyi dan menyeludup
pindah dari sebuah tempat ke lain tempat, agar jangan sampai diketahui oleh
musuh-musuhnya. Akhirnya Nabi Isa dan pengikut-pengikutnya itu terperosok
ke sebuah daerah yang telah dikepung oleh musuh disekitarnya. Tidak ada jalan
keluar untuk melepaskan diri dan kepungan. Tidak ada jalan lain, selain
bersembunyi dibelukar yang ada dalam sebuah kebun yang luas dalam daerah
kepungan itu.
Disaat yang amat kritikal, dipuncak segala krisis, tidaklah hairan kalau
banyak diantara pengikut Nabi Isa a.s. yang masih kurang kuat imannya, sama
mencuba menghindarkan diri dari bahaya maut. Pengikut Isa a.s. berkurang
satu demi satu. Akhirnya hanya tinggal 12 orang, yang menyanggupkan diri
untuk tetap bersama Isa a.s. dalam keadaan yang bagaimanapun. Mereka yang
12 orang inilah yang dinamai Allah di dalam al-Quran dengan al-Hawariyun,
iaitu pengikut-pengikut atau sahabat-sahabat yang setia.
Di saat itu Nabi Isa a.s. mulai mengeluh dan berkata: Siapakah gerangan
yang akan menjadi pembelaku? Keluhan Isa itu dijawab oleh Hawariyun
tersebut dengan kata: Kami siap untuk membela dan bersamamu menegakkan
agama Allah.
Tentera musuh makin dekat jua dan musuh rupanya sudah tahu, bahawa Nabi Isa
dan pengikut-pengikutnya berada di tempat itu. Ketika itulah pengikut-pengikut
Nabi Isa mendapat ujian yang sebesar-besarnya. Terbuktilah, bahawa diantara
pengikutnya ada yang tidak tahan, ada juga yang teguh imannya. Seorang demi
seorang para pengikutnya meninggalkan Isa, lalu meminta perlindungan dari
musuh. Mereka lari dengan tidak minta izin dan tidak memberitahu lebih
dahulu kepada Isa. Lupalah mereka ketika itu akan pemimpin besar yang
selama mi mereka puja dan ikutinya.
Akhirnya salah seorang dari pengikut yang lari ini pulalah yang telah
belot, menunjukkan tempat bersembunyinya Nabi Isa kepada musuh-musuh itu.
Kepungan makin dipersempit, kerana sudah nyata dimana tempat Nabi Isa
bersembunyi. Dengan dipelopori oleh pemuda Yahuza, musuh makin mempersempit
kepungan mereka.
Yahuza sebagai pelopor, lalu menyerbu masuk sendirian ke dalam belukar
dimana Nabi Isa sedang bersembunyi. Dia ingin menangkap Nabi Isa dengan
tangannya sendiri.
Baru saja pemuda itu menyerbu ke tempat persembunyian Nabi Isa, Tuhan
memperlihatkan kekuasaanNya. Mata musuh tidak dapat melihat Nabi Isa,
sedang pemuda Yahuza yang telah menyerbu sendirian itu, dirobah Allah
mukanya menjadi serupa dengan muka Nabi Isa.
Tepat disaat itu tentera musuh menyerbu masuk, mereka melihat Yahuza yang
berbentuk Nabi Isa itu segera ditangkapnya serta dipukulinya, lalu mereka
gantung ditiang gantungan yang berupa salib. Ditiang salib itulah orang
tangkapan yang mereka kira Nabi Isa itu, mereka pakukan, lalu dilemparinya
dengan batu, serta dipukulinya dengan kayu, sehingga darah tertumpah
sebanyak-banyaknya. Akhirnya tangkapan itu matilah di tiang salib itu.
Nabi Isa yang sebenarnya terlepas dan tangkapan itu, tetapi orang ramai dan
musuh tidak mengetahuinya. Kepada Nabi Muhammad diwahyukan Allah apa yang
sebenarnya terjadi di saat itu.
Firman Allah di dalam al-Quran:
Kata mereka, mereka telah membunuh al-Masihi Isa Anak Mariam, seorang yang
menjadi Rasul Allah. Yang sebenarnya mereka tidaklah membunuh Nabi Isa dan
pula menyalibkannya, tetapi telah menyalibkan seorang lain yang diserupakan
Allah dengan rupa Nabi Isa. Orang-orang yang berselisihan tentang Nabi Isa
ini, yang sebenarnya masih dalam keraguan, bukanlah dengan pengetahuan yang
yakin, hanya dengan menduga belaka. Bukanlah mereka telah membunuh Nabi Isa
yang sebenarnya. Allah telah mengangkatkan Nabi Isa kepadaNya, Allah itu
Maha Agung dan Maha Bijaksana.
Dan firmanNya lagi:
Mereka (orang-orang kafir) membuat rencana (untuk membunuh Nabi Isa),
sedang Allah juga membuat rancangan (untuk menghindarkan Nabi Isa dari
dibunuh), akhirnya rencana Allah jugalah yang terjadi, kerana Allah adalah
sepandai-pandai perencana.
Ingatlah tatkala Allah bersabda: Hai Isa, Aku akan ambil kamu, dan akan
angkatkan kamu kepadaKu, dan akan membersihkan kamu dari (tangan-tangan)
orang-orang yang kafir itu dan akan jadikan orang-orang yang mengikut kamu
itu diatas orang-orang yang kafir itu sampai hari kiamat dan kemudian
kepadaKu jualah tempat kembali kamu. Nanti Aku akan tetapkan keputusan
tentang segala perkara yang kamu perselisihkan.
Selain ayat-ayat yang tersebut diatas ini, ada banyak lagi ayat-ayat
didalam Kitab Suci al-Quran yang menerangkan bahawa Allah telah angkat Nabi
Isa kepadaNya dan bahawa Allah akan turunkan Nabi Isa kembali untuk diimani
oleh semua ahli Kitab. Di samping ayat-ayat al-Quran, tidak sedikit jumlah
Hadis-hadis yang sahih menerangkan bahawa Isa akan turun kembali.
Dengan alasan-alasan tersebut, maka ijmak sekalian Sahabat, Tabiin dan
Mujtahidin, bahawa Isa masih hidup dan akan turun.
Firman Allah dalam al-Quran, surah Ali-Imran 55:
(Ingatlah) tatkala Allah berfirman: Hai Isa, sesungguhnya Aku (Allah) akan
mengambil engkau dan akan mengangkat engkau kepadaKu serta akan
membersihkan engkau dari mereka yang kafir itu.
Perkataan Allah Aku ambil dan Aku angkat engkau kepadaKu dalam ayat
tersebut di atas, diulangi Allah lagi dalam ayat-ayat lainnya, dan beberapa
Hadis Sahih yang menerangkan bahawa Isa a.s. akan diturunkan kembali,
menjadikan para Sahabat, Tabiin dan Mujtahidin sepakat mengatakan bahawa
Nabi Isa masih hidup di langit, dan suatu waktu nanti akan turun lagi ke
bumi.
PENGIKUT-PENGIKUT ISA AL-MASIHI
Iman al-Kisaie (Abu Bakar Muhammad bin
Abdullah) yang hidup dalam abad ke 11 Masihi, dan menulis kitab Qisasul
Anbiya, bahawa Nabi Isa a.s. pernah melalui (menjumpai) suatu kelompok
manusia yang sedang menangkap ikan. Nabi Isa lalu memberikan pelajaran
kepada mereka, agar mereka jangan hanya hidup untuk didunia ini saja.
Diterangkannya pula kepada mereka tentang kehidupan diakhirat dengan
Syurganya, dan ajaran-ajaran serta kepercayaan lainnya. Akhirnya empat orang
dari kaum penangkap ikan ini beriman kepada Isa a.s. dan menjadi
pengikutnya. Mereka itu ialah Syimun dan saudara lelakinya yang bernama
Andirius, Yaqub dan Yuhanna.
Kemudian Nabi Isa a.s. melalui pula suatu kelompok manusia yang sedang
mencuci pakaian mereka disungai. Nabi Isa berkata kepada mereka: Hai kaum,
kamu mencuci pakaian itu dan membersihkannya dan kotoran-kotoran yang
melekat padanya. Apakah kamu tidak mahu membersihkan hatimu itu? Mereka pun
beriman dan menjadi pengikut Isa a.s. Mereka adalah: Lukas, Thomas, Markus
dan Yuhanna dan beberapa saudara mereka yang masih kecil, di antaranya juga
yang bernama Syimun dan Yaqub.
Mereka itu semualah yang menjadi pengikut-pengikut yang setia dan yang
disebut Hawariyun dalam al-Quran menurut al-Kisaie. Mereka semua berjumlah
12 orang. Akhirnya datang pula seorang lainnya yang bernama Judas, yang
belum pernah mendengarkan akan perkataan-perkataan atau ajaran Isa a.s.,
tetapi turut beriman kerana ajakan orang-orang yang telah beriman lebih
dahulu. Hanya setelah Isa dan pengikutnya mengalami pengepungan yang amat
kritikal sebagai yang telah kita terangkan sebelum ini, Judas ini murtad,
menyeleweng, meninggalkan Isa dan pengikut-pengikutnya lalu mengkhianati
Isa a.s dengan memberitahukan tempat persembunyian Nabi Isa kepada
musuh-musuhnya, iaitu orang-orang Yahudi, sehingga mereka menyerbu tempat
persembunyian itu.
Menurut sejarah, Nabi Isa diangkat Allah menjadi Nabi dan Rasul dalam umur
30 tahun. Setelah menyiarkan ajarannya selama tiga tahun atau lima tahun, terjadilah
pengepungan, yang menurut kaum Nasrani, Isa tertangkap dan disalib.
Jadi Nabi Isa menyebarkan ajarannya itu hanya dalam waktu tiga atau lima
tahun saja, yang selalu diancam oleh orang Yahudi untuk dibunuh, sehingga
menjadikan Nabi Isa selalu berpindah-randah tempat untuk menghindari
penangkapan atau pembunuhan terhadap diri beliau. Kerana keadaan yang
demikian itu, pengikut-pengikutnya tidak banyak, dan pelajaran yang
disampaikannya pun tidak teratur, serta orang-orang yang menerima pelajaran
dari beliau itu berbagai-bagai peringkat kecerdasannya, berbagai-bagai pula
lamanya masing-masing mereka bergaul dengan Isa al-Masih a.s.
Sesudah Nabi Isa as. diangkat Allah ke langit, maka hanya tinggal para
pengikut yang setia ini sajalah, yang dengan sekadar ilmu yang ada pada
masing-masing mereka, mereka ajarkan lagi ajaran Isa al-Masih a.s. itu.
Juga dalam keadaan bersembunyi, tidak aman dan tidak bebas.
Diantara mereka, ada pula yang menuliskan apa yang mereka ketahui itu. Dan
dari tulisan-tulisan mereka inilah nantinya yang dijadikan Kitab Suci yang
mereka namai Injil. Masing-masing Injil itu mereka namai dengan nama
penulisnya. Di antaranya ada Injil Mathius, Injil Yuhanna, Injil Lukas,
Injil Barnaba dan banyak lagi Injil-injil yang lainnya. Tentu saja Injil-injil
itu tidak sama antar satu sama lain, sebab hanya merupakan catatan dari
masing-masing pencatat saja, selama mereka bergaul dengan Nabi Isa, atau
semata-mata hanya khabar atau cerita yang sampai kepada mereka saja tentang
Nabi Isa a.s. Sebab tidak semua penulis Injil itu adalah Sahabat (Hawari),
malah banyak pula penulis-penulis Injil yang tidak pernah bertemu
samasekali dengan Isa, bahkan tidak pula dengan para Sahabat atau Hawari.
Tidak hairanlah kalau beberapa abad kemudian, ajaran yang diajarkan mereka
menjadi bersimpang-siur, menjadikan mereka berpecah-belah tentang
kepercayaan. Ada diantara mereka yang mengatakan bahawa Isa al-Masih a.s.
adalah sebagai Nabi dan Rasul sebagaimana juga Nabi-nabi dan Rasul-rasul
yang datang sebelumnya. Tetapi ada pula diantara mereka yang melebihkannya
kerana Isa tidak punya bapa, menganggap Isa sebagai anak Allah. Juga
tentang ibunya yang bernama Mariam dan Malaikat Jibril (Ruhul Kudus) yang
mendatangi Mariam. Bahkan timbul kepercayaan yang mengatakan bahawa Isa
adalah Allah yang menjelma menjadi anak manusia melalui perut seorang
wanita suci iaitu ibunya, Mariam. Bahkan timbul lagi kepercayaan bahawa
Malaikat Ruhul Kudus yang menyampaikan berita kelahiran Isa kepada Mariam
itupun adalah Allah menjelma pula. Akhirnya timbullah kepercayaan Trinitas;
iaitu Allah Bapa, Allah Putra dan Allah Ruhul Kudus. Oleh orang-orang yang
datang kemudian ditafsirkan bahawa Allah Bapa itu Tuhan 100%, Allah Putra,
iaitu Jesus (Isa) itu Tuhan 100% dan Allah Ruhul Kudus (Malaikat Jibril)
adalah Tuhan 100% pula. Bahkan ada yang mempercayai bahawa Mariam ibunya,
adalah Tuhan pula, sebab ia melahirkan Tuhan iaitu Tuhan Jesus.
Kekacauan yang menimpa pengikut-pengikut Isa al-Masih a.s. itu menimbulkan
kekacauan yang menyebabkan pertumpahan darah yang terus-menerus dalam waktu
berabad-abad lamanya dikalangan mereka. Sehingga manusia berada kembali
dalam kegelapan, iaitu kegelapan kepercayaan.
Untuk melenyapkan kegelapan itulah akhirnya diutus Allah Nabi dan Rasul
terakhir, iaitu Muhammad s.a.w. dengan membawa Kitab Suci al-Quran, untuk
membetulkan semua kitab yang salah, yang dianggap orang Kitab-kitab Suci,
yang ada tersebar sebelum lahirnya Nabi Muhammad s.a.w.
Diantara ayat-ayat al-Quran yang ada hubungannya dengan
kepercayaan-kepercayaan orang yang mengaku pengikut Nabi Isa a.s. berbunyi
sebagai berikut (ertinya): Berkata Isa: Sesungguhnya aku ini adalah hamba
Allah. Allah beri kepadaku Kitab, dan Allah menjadikan aku Nabi. Allah
jadikan aku orang yang berbakti dimana saja aku berada. Allah wajibkan
kepadaku mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat selama aku hidup.
Allah jadikan aku berbakti terhadap ibuku, dan Allah tidak jadikan aku
menjadi orang sombong dan celaka. Dan keselamatan tercurah atasku pada hari
aku dilahirkan, serta pada hari matiku, dan pada hari aku dibangkitkan
hidup diakhirat nanti. Ya itulah Isa anak Mariam. Allah firmankan
perkataan-perkataan yang penuh berisi kebenaran, kerana banyak manusia yang
berselisih tentang dia dan ragu-ragu. Tidaklah layak bagi Allah mempunyai
anak. Maha Suci Ia. Bila Ia menghendaki sesuatu, Ia hanya berkata: Jadilah,
maka terjadilah sesuatu yang dikehendakiNya itu. (Berkata Isa):
Sesungguhnya Allah adalah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah Ia (Allah
saja), inilah jalan yang lurus (benar). Maka timbullah perselisihan
diantara golongan manusia. Maka celaka besarlah orang-orang kafir dihari
yang amat hebat nanti. Dihari itu mereka akan datang kepada Kami, dan
alangkah terangnya mereka dapat mendengar dan melihat dihari itu. Tetapi
orang-orang zalim yang hidup sekarang ini tetap dalam kesesatan yang nyata.
Dan ancamlah mereka (Hai, Muhammad) dengan kepastiannya hari yang penuh
dengan dukacita itu, iaitu tatkala sudah diputuskan segala perkara. Mereka
tetap lalai dan tidak mahu percaya. Sesungguhnya Kamilah yang memiliki bumi
dan apa-apa yang terdapat diatasnya. Dan akhirnya kepada Kami jualah mereka
itu akan kembali.
(Mariam: 3040)
Dan ingatlah ketika Isa Anak Maryam berkata: Hai, Bani Israel, sesungguhnya
aku ini Rasul Allah yang diutus kepada kamu, membenarkan apa yang
dihadapanku (iaitu Kitab Taurat) dan memberi khabar gembira akan
kedatangannya seorang Rasul sesudahku namanya Ahmad (iaitu Muhammad).
Tetapi tatkala Rasul itu datang kepada mereka membawa keterangan, mereka
berkata: Ini adalah sihir semata." (as-Saff: 6)
Hai, Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), sungguh sudah datang kepadamu Rasul
Kami (Nabi Muhammad) menerangkan banyak perkara yang kamu (nenek-moyangmu)
sembunyikan dan isi al-Kitab (Taurat dan Injil) dan banyak pula yang kamu
hapuskan (kerana memberatkan kamu) sesungguhnya telah datang kepadamu
cahaya yang terang dan Kitab Suci (al-Quran dan Allah).
(al-Maidah: 5)
Hai, Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu. Janganlah
kamu berkata tentang Allah selain perkataan yang benar. Sesungguhnya ia
Anak Mariam itu adalah Rasul Allah dan (kejadian Isa itu adalah disebabkan)
kalimahNya, yang diletakkan pada Mariam (untuk menghamilkannya) bersama roh
daripadaNya. Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Janganlah kamu katakan
Allah itu bertiga (Trinitas). Berhentilah kamu dan perkataan yang demikian,
itu lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah hanya Satu (Maha Tunggal). Maha
Suci Ia daripada mempunyai anak. KepunyaanNyalah apa saja yang ada dilangit
dan apa yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah itu saja sebagai Pelindung
(Saksi). (an-Nisa: 171)
Berkata orang-orang Yahudi: Uzair anak Allah. Dan berkata orang-orang
Nasrani: Isa al-Masihi anak Allah. Yang demikian itu adalah omongan mereka
dengan mulut mereka, menyerupai perkataan orang-orang kafir yang dahulu,
yang telah dibinasakan oleh Allah. Hairan mengapa mereka dipalingkan begitu
rupa. Mereka menjadikan guru-guru dan pendita-pendita mereka sebagai Tuhan
selain Allah. Dan begitu juga terhadap Isa Al-Masihi Anak Mariam. Padahal mereka
tidak diperintah selain untuk menyembah Allah yang Maha Esa, yang tiada
Tuhan selain Dia. Maha Suci Ia dan apa-apa yang mereka sekutukan.
(at-Taubah: 3031)
Maksud turunnya Isa itu adalah untuk menerangkan kepada orang-orang yang
mengaku mengikuti pelajaran Nabi Isa, tetapi telah membelok dari ajaran
Nabi Isa yang sebenarnya. Lebih-lebih untuk menegaskan kepada mereka bahawa
Isa tidak pernah mengajarkan bahawa dia adalah Tuhan atau anak Tuhan dan
untuk menegaskan kepada ummat manusia, bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasul
Allah yang terakhir yang harus diimani dan diikuti dan bahawa al-Quran
al-Karim adalah Kitab Suci yang mencakupi seluruh Kitab-kitab Suci yang
sebelumnya dan bahawa Islam adalah ajaran semua Nabi dan Rasul yang pernah
diutus Tuhan ke permukaan bumi ini.
Dengan alasan yang tersebut diatas inilah, maka ummat Islam percaya, bahawa
Nabi Isa a.s. tidaklah mati terbunuh ditiang salib sebagai kepercayaan
ummat Nasrani sekarang ini. Kerana selain ayat-ayat al-Quran yang amat
jelas tersebut diatas itu, tidak mungkin menurut kepercayaan setiap orang
Islam, seorang Nabi dan Rasul Allah yang begitu benar dan mulianya, akan
dapat ditangkap, serta dibunuh dengan pembunuhan kejam, di luar
penkemanusiaan itu.
Allah yang Maha Kuasa pasti telah dapat menyelamatkan Nabi dan RasulNya
yang bernama Isa al-Masihi, dan perlakuan yang tidak sewajarnya ini.
Kalau ummat Islam dan ummat Nasrani berlainan kepercayaan tentang kedua
masalah ini (iaitu tentang ketuhanan Isa dan tersalibnya Isa) ummat Islam
tidak diperbolehkan bertengkar dan berdebat dengan ummat Nasrani tentang
masalah ini. Kerana masalah ini seratus peratus masalah ghaib, yang tidak
mungkin dapat diselesaikan dengan bertengkar dan berdebat.
Dengan ayat-ayat yang tersebut diatas, ummat Islam menunggu sampai datang
saatnya nanti di hari kiamat, dialam akhirat, dimana Allah akan menetapkan
putusan tentang masalah yang sedang diperselisihkan sekarang ini, antara
ummat Islam, ummat Nasrani dan ummat Yahudi.
Marilah kita sama menunggu saat yang dijanjikan Allah itu dengan sabar dan
menjauhkan diri dari sengketa, berjalan dan hidup dengan kepercayaan
masing-masing.
Tetapi bila perdebatan mengenai masalah-masalah yang diperselisihkan itu
dapat dijamin akan berjalan secara baik, dijamin tidak akan membangkitkan
nafsu-nafsu yang tidak dapat dikendalikan, maka setiap saat ummat Islam
diperbolehkan menghadapinya.
Firman Allah dalam al-Quran:
Serulah manusia kejalan Allah dengan bijaksana dan nasihat-nasihat yang
baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya
Tuhanmulah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya
dan Ialah pula yang lebih tahu akan orang-orang yang benar (mendapat
petunjuk). Dan jika kamu terpaksa harus membalas seksaan, maka balaslah
dengan pembalasan yang sebanding dengan apa yang telah mereka seksakan
kepadamu. Dan jika kamu sabar (tidak membalas) maka itulah yang lebih baik,
bagi orang-orang yang sabar. Dan sabarlah engkau dan tidaklah engkau dapat
bersabar, kalau bukan kerana Allah. Dan janganlah engkau berdukacita
terhadap mereka dan janganlah engkau berkecil hati lantaran tipu daya
mereka. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang yang taqwa dan orang yang
berbuat kebaikan.
(an-Nahal: 125-129)
|
No comments:
Post a Comment