30 March 2020

Berhak Walaupun Ghaib





 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎

Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ:
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Bayu Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎


الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 

Berhak Walaupun Ghaib


Kita sering membaca berita yang dilaporkan di akhbar ataupun di televisyen mahupun radio tentang kehilangan individu-individu yang terdiri daripada kanak-kanak ataupun orang dewasa yang tidak diketahui untung nasibnya sama ada hidup ataupun mati.

Biasanya mereka yang hilang ini akibat ditimpa kecelakaan atau musibah seperti diculik, sesat di hutan, hilang di laut ketika menangkap ikan, ataupun terlibat dalam nahas kapal terbang atau helikopter yang hilang di gunung-gunung atau laut kerana kerosakan enjin, letupan mahupun latihan, hilang dalam pertempuran atau peperangan dan lain-lain situasi yang tidak dijumpai mayat mangsa, dan tidak mendengar khabar berita mangsa tersebut sama ada hidup ataupun telah meninggal dunia sehingga suatu masa yang ditetapkan.

Dan tidak kurang juga individu-individu yang dikatakan hilang ini pada asalnya sengaja menghilangkan diri seperti sengaja tidak pulang ke rumah bertahun-tahun ataupun lari dari rumah sehingga terpampangnya wajah-wajah mereka di akhbar.

Ghaib Belum Tentu Meninggal Dunia


Dalam undang-undang pusaka Islam, individu yang hilang ini dikenali sebagai mafqud dan tetap mempunyai hak dalam pewarisan harta peninggalan si mati yang telah diperuntukkan untuk dia, selagi mana pihak mahkamah tidak memutuskan bahawa mafqud ini telah meninggal dunia.

Umumnya, orang yang hilang atau mafqud ini bermaksud seseorang yang telah lama menghilangkan diri atau ghaib tanpa diketahui situasinya iaitu tidak dapat dipastikan sama ada ia masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Selain itu, mafqud juga dapat diertikan sebagai individu yang hilang dari negaranya yang tidak diketahui khabar berita daripadanya selama tempoh yang ditetapkan dan tidak diketahui sama ada masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Walaupun golongan ini hilang, namun mereka masih lagi berhak dalam pewarisan harta pusaka kerana hukum asalnya hidup dan ia dikira masih hidup sehingga terbukti sebaliknya.

Dan hak mafqud tetap terpelihara sehinggalah mahkamah memutuskan bahawa ia telah meninggal dunia kerana wujud bukti yang jelas mengesahkan bahawa ia telah meninggal dunia bersandarkan kepada penyiasatan yang telah dijalankan.

Adapun tarikh kematiannya dikira bermula dari tarikh keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah dan kematiannya dinamakan sebagai kematian secara hukmi (anggapan kematian).

Justeru itu, hukum bagi orang yang hilang (mafqud) ini, hartanya tidak boleh diwarisi, isterinya tidak boleh dikahwini dan haknya perlu dijaga sehingga jelas kedudukannya.

Dua Situasi Berlainan


Menurut Imam Ahmad bin Hanbal dan fuqaha mazhab Hanbali, situasi mafqud ini dapat dibahagikan kepada dua keadaan iaitu:-

Situasi 1


Jika mafqud hilang dalam keadaan yang menurut kebiasaanya tidak membahayakan dan tidak membawa kepada kematian seperti individu yang dalam perjalanan dalam sesuatu perniagaan, melakukan pengembaraan, menuntut ilmu atau pegi melancong, maka terdapat dua keadaan:-
  • Menunggu sehingga ia berumur 90 tahun kerana sebahagian besar umur manusia tidak mencapai atau melebihi umur 90 tahun
  • Diserahkan kepada itjihad hakim

Situasi 2


Adapun keadaan kedua ialah kehilangan mafqud bukan dalam keadaan biasa iaitu keadaan yang membahayakan dan pada adatnya ia boleh membawa kepada maut atau kebinasaan.

Contohnya, individu yang hilang dalam peperangan, karam ketika dalam pelayaran di laut, atau hilang ketika berada di kawasan yang dtimpa bencana atau malapetaka seperti gempa bumi, hilang di kawasan tidak aman dan huru hara, berada di kawasan yang sedang dilanda wabak penyakit.

Maka kehilangan mafqud dalam keadaan tersebut hanya disiasat selama 4 tahun dan seluruh ahli keluarganya diharuskan menunggu selama tempoh tersebut

Sekiranya dalam tempoh waktu tersebut masih belum ada khabar berita, maka hakim boleh memberikan keputusan mengenai kematiannya dan orang itu akan dianggap meninggal dunia, bermula pada tarikh keputusan hakim dikeluarkan.

Berapa Lama Menunggu?


Berhubung tempoh masa yang dikira hakim untuk memutuskan seseorang yang hilang itu masih hidup atau telah meninggal dunia, para fuqaha telah berbeza pendapat.

Imam Abu Hanifah


Orang yang hilang itu dihukumkan meninggal dunia apabila berumur 120 tahun.

Sebagai contoh, apabila orang yang hilang itu berumur 60 tahun semasa kehilangannya, maka hendaklah menunggu selama 60 tahun lagi untuk memutuskan bahawa orang yang hilang itu telah meninggal dunia dan seterusnya harta tinggalannya bolehlah dibahagikan kepada ahli waris mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Mazhab Hanafi


Setinggi-tinggi umur orang yang hilang (mafqud) ialah 90 tahun ataupun dianggap telah meninggal dunia apabila sudah tidak ada seorang pun daripada orang seusia dengannya yang masih hidup.

Justeru, jika tiada lagi rakan seusia dengannya, maka dia diputuskan sebagai orang yang telah meninggal dunia kerana kebiasaannya orang yang hilang (mafqud) tidak akan hidup lebih lama daripada tempoh tersebut kecuali dengan kekuasaan Allah SWT.

Mazhab Maliki


Orang yang hilang (mafqud) itu boleh dihukum telah meninggal dunia apabila ia berumur 70 tahun ataupun tiada lagi mereka yang seusia dengannya masih hidup.

Ini berdasarkan pada lafaz secara umum yang menyatakan umur umat Nabi Muhammad SAW di antara 60 ke 70 tahun dan menurut satu riwayat Imam Malik menyatakan bahawa orang yang hilang (mafqud) boleh dianggap meninggal dunia setelah empat tahun dia hilang

Selain itu, keputusan berhubunga tempoh waktu orang yang hilang hendaklah diserahkan kepada hakim sesuai dengan situasi dan tempoh masa.

Imam Syafi'e


Had tempoh umur mafqud tersebut tidak ditetapkan dan tidak ditentukan tetapi diserahkan kepada hakim untuk memutuskan berasaskan kepada berat sangka hakim dan kemudian diumumkan mafqud itu sebagai orang yang telah mati.

Hal ini kerana menurut Imam Syafi'e, seorang hakim hendaklah beritjihad nahawa orang yang hilang itu telah mati setelah tiada lagi mereka yang seusia dengannya masih hidup dan berlalu tempoh kebanyakan orang yang tidak hidup melebihi waktu tersebut.

Hak Yang Terbela


Kebanyakan fuqaha mazhab Sunni berpendapat tempoh untuk mensabitkan orang yang hilang itu telah meninggal dunia setinggi-tingginya ialah sehingga umur orang yang seusia dengannya tidak ada lagi yang hidup.

Bagi mereka cukup sekadar melihat kepada kematian orang yang sama umur dengannya dan terpulang kepada pertimbangan hakim untuk memutuskan umur mafqud itu meninggal dunia.

Bagi mereka yang menetapkan umur yang terlalu tinggi, bertujuan untuk menjaga maslahah bagi mengelakkan kemungkinan individu yang dikatakan hilang itu masih lagi hidup dan pulang menemui ahli waris sedangkan semua harta pusakanya habis dibahagikan kepada ahli-ahli waris.

Kesimpulannya, sistem pusaka Islam adalah satu peraturan yang lengkap yang telah ditentukan oleh Allah SWT untuk menyelesaikan masalah pusaka umat manusia di dunia ini secara adil.

Ini demi keharmonian dan kesejahteraan semua pihak dan dalam semua bentuk keadaan bagi mengelakkan daripada berlakunya penindasan dan penganiayaan.

Begitu juga dengan masalah pewarisan orang yang hilang (mafqud), hak-hak mereka tetap dijaga dan terpelihara sehinggalah kedudukan mereka diputuskan dan disahkan oleh pihak mahkamah sama ada masih hidup ataupun telah meninggal dunia.

Wallahua'lam


No comments: