30 March 2020

Menangani Masalah Khilaf Dalam Kehidupan





 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎

Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ:
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Bayu Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎


الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 


Menangani Masalah Khilaf Dalam Kehidupan - Bahagian 1



Apabila menyebut atau membincangkan tentang khilaf, pasti terbayang di minda; perbezaan, pergeseran, perlawanan dan seumpamanya, sehingga mungkin membawa kepada permusuhan. Maka menjadi satu keperluan dan kemestian kepada semua ulama dan pendakwah yang menghadapi masalah ini supaya bersifat sabar, lemah lembut, sanggup menghadapi cercaan dan tohmahan, malah membalas keburukan itu dengan kebaikan.

Ini bertepatan dengan perintah Allah SWT dalam beberapa ayat al-Quran. Firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) itu dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (surah al-Fussilat, 41:34)

Dengan inilah Nabi SAW telah berjaya menjinakkan hati-hati para musuhnya, mengubati kekerasan dan kekeringan hati mereka sebelum ini sehingga menjadi lembut dan lunak, lalu terbuka untuk menerima dakwah yang benar yang dibawa oleh Nabi SAW itu.

Suatu peristiwa berlaku terhadap Imam Abu Hanifah RH, semasa beliau mula menjalankan tugas mengajar orang ramai. Seorang lelaki yang bernama Musawir al-Warraq telah melontarkan dua bait syair yang ditujukan kepada Imam Abu Hanifah RH:-

“Kami berada dalam keluasan beragama sebelum hari ini;
Sehinggalah kami dibalakan dengan kedatangan para ulama yang banyak menggunakan qiyas;
Kaum itu, apabila berkumpul mereka melaung seolah-olah mereka;
Adalah serigala yang berada di celah dua buah bukit batu.”

Apabila berita ini sampai kepada pengetahuan Imam Abu Hanifah RH, beliau lalu menghantar sejumlah wang kepada lelaki itu. Setelah menerima wang itu, Musawir pun bersyair pula:-

“Apabila ada orang yang datang membawa qiyas kepada kami;
Dengan mengeluarkan fatwa yang pelik-pelik;
Nescaya kami akan bawakan kepada mereka qiyas yang sahih;
Yang tepat seperti yang dibawa oleh Imam Abu Hanifah.”

(Tarikh Baghdad, jilid 13, halaman 362)

Garis Panduan Mengelak Khilaf

Oleh sebab itu, untuk menangani masalah khilaf , mesti memahami beberapa dawabit (syarat dan peraturan). Ini merupakan satu ilmu yang telah diajar oleh para ulama terdahulu lagi. Hari ini, kita lihat rak-rak buku di perpustakaan dipenuhi dengan kitab-kitab mengenai perbincangan ilmu khilaf, sama ada kitab klasik mahupun kontemporari. Namun malangnya, teori kekal sebagai teori, tidak dipraktikkan.

1. Berpegang (al-I’tisam) dengan Kitab dan Sunnah

Asasnya ialah beberapa firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Tentang sesuatu ataupun kamu berselisih, maka keputusannya (terserah) kepada Allah. (Yang mempunyai sifat-sifat demikian), itulah Allah Tuhanku, kepada-Nyalah aku bertawakal dan kepada-Nyalah aku kembali.” (surah al-Syura, 42:10)

“Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatlah Rasul dan pemimpin daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, makan kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (surah al-Nisa’, 4:59)

2. Berdialog (al-Hiwar)

Allah SWT telah memerintahkan agar berdebat (mujadalah) secara baik dan beradab. Arahan ini termasuk juga semasa berdebat dengan ahli kitab sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang yang zalim antara mereka.” (surah al-‘Ankabut, 29:46)

Menurut mufasir yang dimaksudkan dengan “orang yang zalim” ialah mereka yang setelah diberikan kepadanya keterangan dan penjelasan dengan cara yang paling baik, mereka tetap membantah, membangkang dan tetap menyatakan permusuhan.

Pengajarannya, walaupun berdebat tentang hal agama dengan orang kafir, Allah SWT tetap mengarahkan orang (para ulama) yang mempunyai kemampuan (ditekankan, hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang layak) supaya menggunakan uslub dan adab yang baik dengan mereka, kecuali apabila mereka melampau dan sangat keras serta menyatakan permusuhan secara jelas dan zahir.

Allah SWT telah menceritakan kepada kita tentang firman-Nya kepada iblis yang bermaksud:-

“Allah berfirman, “Wahai iblis, apakah yang menghalang kamu daripada sujud kepada apa yang telah Aku ciptakan dengan kadua-dua tangan-Ku? Apakah kamu menyombongkan diri atau kamu (berasa) termasuk orang yang (lebih) tinggi? Iblis berkata,”Aku lebih baik daripadanya kerana Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan Engkau ciptakannya daripada tanah.” (surah Sad, 38:75-76)

Demikian juga Allah SWT menceritakan tentang firman-Nya kepada malaikat tentang penceritaan Adam A.S. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat,”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.” Mereka berkata,”Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman,”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (surah al-Baqarah 2:30)

Maka al-hiwar merupakan satu cara yang amat perlu diperluaskan pengamalannya. Demikian juga al-munazarah (perbahasan secara ilmiah) yang dijalankan secara aman merupakan salah satu uslub untuk menyampaikan kebenaran. Ia boleh mendekatkan hati dua pihak yang bertelagah. Mana-mana perbincangan yang diadakan sama ada secara tertutup atau terbuka, dalam apa-apa bidang sekalipun, ada yang berlangsung secara tenang dan baik. Ini pasti boleh menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat bagi membuka minda serta menerima pandangan-pandangan yang berlainan.

Namun terdapat juga perdebatan yang hanya bertujuan untuk meraih sokongan penyokong semata, yang natijahnya boleh diketahui dari awal lagi. Cara ini tidak mencapai matlamat al-hiwar yang sebenar, bahkan menghabiskan masa masyarakat dan merugikan harta dengan menghabiskan perbelanjaan yang banyak. Ia juga menambahkan lagi taksub para pengikutnya serta menimbulkan amarah pihak lawan. Natijahnya tidak mendekatkan jauh, tidak mendedahkan kebatilan, tidak menegakkan kebenaran bahkan sebaliknya, bertambah kekusutan!

3. Al-Syura (Mesyuarat)

Syura adalah antara amalan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud:-

“Kerana itu maafkanlah mereka , mohonkanlah keampunan bagi mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang menyukai orang yang bertawakal kepada-Nya.” (surah Ali ‘Imran, 3:159)

Ahli tafsir berkata, maksud “urusan” dalam ayat di atas bukan sahaja urusan peperangan, malah hal-hal duniawi yang lain seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan sebagainya.

Firman Allah SWT juga bermaksud:-

“Sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka.” (surah al-Syura, 42:38)

Nabi SAW juga telah mengamalkan syura bersama para sahabat semasa membuat keputusan dalam beberapa urusa penting. Antaranya, dalam perang Badar, sama ada untuk meneruskan perjalanan ke Badar atau tidak, juga berkenaan tawanan Badar. Semasa perang Uhud pula, sama ada menunggu kedatangan musuh di dalam bandar Madinah atau keluar darinya.

Menanam prinsip ini dalam kehidupan setiap keluarga, rumah tangga, masyarakat, sekolah, pejabat serta negara seluruhnya, adalah satu perkara daruriyyat (kemestian), terutamanya dalm masalah yang berkaitan dengan golongan muda. Dekatkan mereka dengan golongan dewasa dengan cara bersahabat, berbincang dan mendengar masalah mereka, bukan sekadar memaksa dan menekan mereka untuk menerima pandangan kita bulat-bulat.


4. Fokuskan Isu Yang Diterima Bersama (Ittifak)

Kata ulama:-

“Islamnya seorang kafir, walaupu melalui hasil tangan seorang yang berfahaman tidak betul, seperti kumpulan Jahmiyyah adalah lebih baik daripada dia terus kekal kekufurannya. Taubat seorang yang jahat walaupun dengan sebab hadith dhaif yang diterimanya adalah lebih baik daripada dia terus kekal dalam kejahatannya. Solat berjemaah di belakang imam ynag tidak mengamalkan sunnah adalah lebih baik daripada meninggalkan jemaah terus.”

(Majmu’ al-Fatawa, jilid 13, halaman 96 dan jilid 23, halaman 353)

Perlu diingatkan, pemfokuskan kepada isu ittifak ini mestilah bergantung kepda maslahatitjihad, penelitian dan perubahan zaman serta keadaan.

Umat Islam hari ini amat perlu mengambil kira dan beramal dengan isu ittifak ini. Lebih-lebih lagi pada saat kedudukan umat Islam kini agak lemah, musuh-musuh pula sedang menekan, menunggu peluang untuk memecah dan memesongkan kesatuan umat ini.

Kenapa kita berpecah sesama sendiri dari dalam? Sedangkan banyak lagi isu-isu yang memang kita boleh persetujui bersama. Hakikatnya mungkin hanya 1% hingga 5% sahaja perkara yang kita berselisih pendapat, itu pun hanya dalam perkara-perkara juz’iyyat (cabang-cabang kecil). Tetapi yang terzahir seolah-olah umat Islam ini tiada persefahaman langsung sesama sendiri, umat yang berpecah belah, suka bertelingkah dan berbeza-beza kefahamannya!

Oleh sebab itu, mengambil kira “noktah bersama” ini (ittifak), ia satu ruang yang cukup luas dalam makna syariah dan kehidupan manusia.

Allah SWT telah mensyariatkan kepada kita agar tolong-menolong dalam perkara yang baik dan tidak sebaliknya. Mafhum firman-Nya:-

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (surah al-Ma’idah, 5:2)

Allah SWT mengarahkan dengan jelas agar kita tolong-menolong iaitu bekerjasama enggan sesiapa sahaja selagi ia membawa kepada kebaikan dan taqwa. Kemudian Allah SWT melarang sama sekali daripada berkerjasama dan tolong-menolong jika ia membawa kepada keburukan dan permusuhan. Ayat ini menentukan arahan berkerjasama dan tolong-menolong tetapi tidak menentukan dengan siapa. Semoga kita termasuk dalam golongan yang menegakkan kebenaran dan tolong-menolong dalam kebajikan dan taqwa. Aamiin.

Wallahua'lam.

Menangani Masalah Khilaf Dalam Kehidupan - Bahagian 2

Dalam artikel sebelum ini kita telah membincangkan beberapa perkara asas dalam menangani masalah khilaf dan perbezaan pendapat dalam segenap aspek agama dan kehidupan. Kali ini disambung lagi beberapa dawabit yang perlu diaplikasi dalam menghadapinya.


5. Galakan Mengaji

Suasana atau persekitaran yang bebas dalam skop yang dibenarkan syarak akan menyuburkan pemkiran yang sihat, malah mampu melahirkan hasil yang kreatif dan inovasi. Jika seseorang itu terkongkong pemikirannya serta sentiasa dalam keadaan mengelak kritikan dan tohmahan orang lain mengenai pemikiran dan ideanya, nescaya akan mati dan tumpullah kreativitinya.

Sehubungan dengan itu, amatlah digalakkan untuk membuat kajian dalam bidang ilmu serta menyediakan suasana yang sesuai dengan kecerdikan dan perkembangan akal serta kreativiti.

Cuba kita perhatikan kisah teladan ini, bagaimana Saidina Umar RA sebagi seorang khalifah yang digeruni telah mendidik dan menyuburkan potensi yang dimiliki oleh Saidina Abdullah bin Abbas RA.

Ibn Abbas RA bercerita:-

Umar al-Khattab berkumpul bersama para sahabat yang pernah menyertai perang Badar untuk bermesyuarat dan beliau membenarkan aku menyertai mereka. Beberapa orang daripada mereka  berkata:-

“Kamu membenarkan budak lelaki ini masuk dan kami pun ada anak-anak yang sepertinya?”

Umar berkata:-

“Dia seorang yang kamu kenali.”

Suatu hari, Saidina Umar memanggilku untuk menyertai suatu perjumpaan bersama orang dewasa. Aku dapat menjangka beliau ingin memperlihatkan kemahiranku berhujah dengan mereka.

Umar bertanya kepada mereka mengenai tafsir surah al-Nasr yang bermaksud:-

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah berduyun-duyun. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya, sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.” (surah al-Nasr 110:1-3)

Ada yang menjawab tidak tahu, ada yag diam dan ada juga yang menjawab:-

“Setelah memberikan kemenangan, Allah SWT memerintahkan agar Rasulullah memohon keampunan dan bertaubat kepada-Nya.”

Umar kemudian berkata kepadaku:-

“Apa pula pendapatmu, wahai Ibn Abbas?”

Aku menjawab:-

“Ia bukan begitu. Sebenarnya Allah memberitahu Rasulullah tentang hampir waktu wafatnya dan Dia berfirman, “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan” iaitu tentang pembukaan kota Makkah. “Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berduyun-duyun” pula menunjukkan akan ketibaan waktu wafat Baginda SAW. “Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Menerima Taubat.”

Berkata Umar:-

“Apa yang aku faham, samalah dengan apa yang diperkatakan oleh Ibn Abbas ini.”

Saidina Umar bersetuju dan membenarkan pandangan Ibn Abbas.

(HR al-Bukhari no. 4294)

Jadi terbukti betapa pentingnya kebebasan untuk mengeluarkan pandangan, mengikut tahap ilmu dan kemampuan yang terdapat pada seseorang. Walaupun Ibn Abbas RA ketika itu belum cukup dewasa, tetapi Saidina Umar RA memberi peluang kepada beliau untuk mengemukakan pendapatnya walaupun di hadapan para sahabat lain dan ahli peperangan Badar yang lebih matang dan dewasa daripada beliau. Tetapi harus diingat, Saidina Umar RA memberi peluang ini kepada Ibn Abbas RA kerana beliau mengetahui dan menyakini akan ketinggian ilmu, kefahaman dan ketajaman fikiran Ibn Abbas RA.

6. Amal Ma’ruf Nahi Mungkar

Sifat amal ma’ruf nahi mungkar merupakan ciri-ciri orang Mukmin yang sebenar. Firman Allah SWT yang bermaksud:-

“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf, mencegah daripada yang mungkar.” (surah al-Taubah 9:71)

Sepatutnya perkara ini menjadi pebincangan utama bagi para ulama’, pendakwah, para pelajar dan orang awam seluruhnya dengan cara ilmiah dan akademik, lemah lembut dan sabar serta mengharap pahala Allah SWT semata-mata.

Dalam melaksanakan tugas ini, beberapa perkara berikut perlu diambil kira:-

a. Tidak boleh ingkar dalam masalah itjihad yang dikhilafkan oleh ulama’ (la inkara fi masa’il ijtihad)

Masalah seperti ini tidak boleh diingkari seseorang ke atas orang lain, ini kerana semua ulama’ itu telah berijtihad untuk mencari kebenaran. Bagi setiap mujtahid itu ada pahala ijtihadnya, walaupun yang benar hanya satu pandangan sahaja (menurut sebahagian ulama’ usul al-fiqh)

Sebahagian ulama’ membezakan antara masalah ijtihad dan khilafIjtihad ialah masalah yang tiada nas syarak, ia adalah hasil penelitian/kajian para ulama’. Berbeza dengan masalah khilaf, kerana khilaf adalah suatu masalah yang mempunyai nas yang jelas, cuma berbeza tafsiran dan pemahaman ulama’ tentangnya.

b. Banyak masalah khilaf yang mungkin mempunyai dalil yang jelas dan pendapat yang terang (rajih) tentangnya.

Dalam masalah khilaf ini, kita hendaklah mengajar dan membimbing masyarakat dengan bahasa dan uslub yang baik dan lembut, untuk memahami tentang hakikatnya yang sebenar serta menerima pendapat yang sahih.

c. Seorang muqallid (pengikut) tidak boleh mengingkari seorang muqallid yang lain.

Seseorang yang menjadi muqallid semata-mata kepada seorang ulama’ atau mazhab lain, tidak boleh dan tidak berhak mengingkari seorang muqallid mazhab yang lain, tanpa dalil yang jelas.

d. Tidak boleh ingkar bukan bermakna tidak boleh memberi nasihat.

Diceritakan oleh Imam as-Syafi’e RH:-

“Aku tidak akan menyuruh seseorang yang menyalahiku dalam masalah fiqah untuk bertaubat kepada Allah kerana taubat itu jika berdosa. Sedangkan manusia ini dalam dua keadaan yang sama ada mendapat dua pahala jika ijtihadnya betul dan satu pahala jika ijtihadnya tidak betul.”

Contoh ini menunjukkan bahawa ijtihad itu adalah satu medan yang luas, maka jangan disempitkan atau diketatkannya! Janganlah pula ada orang yang merasakan satu kesalahan besar apabila ada orang lain mengemukakan suatu perkara yang mereka tidak pernah mendengarnya, atau terus menganggapnya sebagai satu perbuatan yang mencelarukan umat Islam, bukan untuk menyuburkan keterbukaan pemikiran dan pemahaman masyarakat.

e. Mengambil kira fiqah kemaslahatan dalam inkar al-munkar (mengingkari kemungkaran)

Ini kerana tujuan mengingkari kemungkaran itu adalah untuk merealisasikan kemaslahatan dan menolak keburukan. Namun hendaklah dipastikan perbuatan mengingkari itu tidak membawa kepada kemungkaran yang lebih besar lagi!

f. Mengingkari secara berperingkat (tadarruj)

Untuk memindahkan manusia daripada kebiasaannya selama ini kepada sesuatu yang baru, adalah suatu perkara yang amat susah dan berat. Oleh sebab itu, jika ia tidak mempunyai kemaslahatan yang jelas dan kemungkaran itu bukanlah sesuatu yang jelas juga, maka tidak sepatutnya seseorang itu melakukannya. Sebagaimana yang telah dikatakan oleh Syeikh ‘Izzudin bin Abdul Salam RH.

7. Diskusi Secara Jelas Dan Terbuka

Isu khilaf jangan dianggap remeh atau kecil. Sesetengah orang yang mungkin ingin menjaga keadaan dan emosi, langsung tidak tahu memperkatakan tentangnya. Sedangkan ia suatu realiti yang wujud dalam kehidupan dan agama, malah kita tidak dapat lari daripadanya.

Keadaan ini seperti pesakit yang pergi ke hospital dan dia telah membuat satu laporan keputusan ujian yang palsu, tujuannya supaya orang mengatakan dia seorang yang sihat dan kuat, sedangkan penyakit penuh dalam tubuhnya. Iaitu tidak mahu menerima kenyataan!

Kita hendaklah menerima hakikat khilaf yang berlaku antara kita dengan sikap terbuka kerana ia akan membolehkan kita mengatasinya dan boleh menghapuskan khilaf-khilaf negatif antara kita.


8. Mencari Kefahaman yang Sahih dan Menghindari Musykilat dari Sudut Komunikasi

Banyak isu khilaf hari ini terhasil daripada cerita-cerita palsu dan khabar angin yang tidak dapat dipastikan. Manakala khilaf ulama’ terdahulu ada penjelasan dan sebab musababnya.

Hasil daripada semua ini boleh melahirkan kebencian, kemarahan, kepanasan dan sebagainya sesama Muslim. Ia juga boleh terjadi kerana silap faham terhadap tulisan, ucapan dan kenyataan seseorang dalam isu-isu tertentu. Sedangkan jika diteliti hakikat sebenarnya, ia jauh sekali daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu!

Maka terjadilah perbuatan tercela seperti mengkafirkan para ulama’, menuduh ulama’ sesat dan pelbagai kata-kata songsang, tanpa berpaksikan fakta yang benar dan kajian yang menyeluruh.

Oleh sebab itu, golongan yang berikhtilaf sangat perlu memahami sikap dan pendirian orang lain dengan jelas, bukan sekadar sangkaan, gambaran dan tuduhan yang jauh dari dalil dan hujah yang benar.

9. Ilmu Tangani Khilaf

Banyak terdapat buku-buku yang ditulis oleh para ulama’. Sama ada Muslim atau non-Muslim untuk menyelesaikan masalah khilaf ini yang mungkin dapat kita ambil manfaat daripadanya. Antara buku yang dicadangkan ialah:-

a. Fiqh al-Ikhtilaf, Qawaid at-Ta’amul ma’a al-Mukhallifin bi al-Insaf oleh Mahmud al-Khazindar.

b. Ikhtilaf al-Muftin wa al-Mauqif al-Matiub Tijahahu min ‘Umum al-Muslimin.

Semua masalah pertelingkahan, khilaf dan perbezaan pandangan tidak cukup hanya dengan mengkaji, meneliti, menulis serta mengumpul adab-adab dan disiplin sahaja tanpa ia dijadikan paksi akhlak seorang Muslim terhadap saudaranya. Kita berittifak dalam banyak perkara, berkhilaf cuma dalam beberapa perkara kecil. Maka jadikanlah yang besar itu sebagai asas dan kecil itu hanya perkara sampingan yang boleh dimaafkan. Kembalikanlah pertautan hati orang Muslim. 

Musuh sebenar kita ialah Iblis dan pengikutnya, bukan saudara sesama Islam!

Wallahua'lam.

No comments: