30 March 2020

Wehdah





 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎

Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ:
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Bayu Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎


الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 


Wehdah Bermula Dari Penyatuan Hati


Manusia berada dalam kegelapan sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad SAW.

Golongan yang kuat menekan golongan yang lemah; apabila golongan bangsawan mencuri dibiarkan, tetapi sebaliknya apabila kalangan yang lemah dan daif mencuri, akan dijatuhkan hukuman.

Firman Allah SWT dalam kitab-Nya yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Allah telah memberi kurnia kepada orang beriman, setelah Allah mengutuskan daripada kalangan mereka seorang rasul daripada golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan al-hikmah (sunnah). 

Dan sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” 
Surah Ali 'Imran 3:164
Kehidupan dunia dipenuhi dengan kegelapan, kesesatan, kejahatan, pembunuhan, penekanan dan penindasan antara satu sama lain. 

Kezaliman berleluasa dalam segenap aspek seperti pertumpahan darah, mencerca peribadi, kerosakan maruah, penipuan dalam perniagaan, penghinaan terhadap golongan wanita sehingga anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup dan seumpamanya.

Islam Memimpin Perubahan

Apabila Allah SWT mengutuskan Rasulullah SAW  dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, maka manusia diseru untuk menyembah Allah Yang Esa tanpa menyekutukannya.

Agama ini juga mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan Tuhan segala manusia – Rab al-‘Ibad, juga daripada kezaliman segala agama kepada keadilan Islam

Daripada kesempitan hidup dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Maka ramailah yang berikrar dengan tauhid yang khalis (suci dan jitu) ini.

Rasulullah SAW juga melarang syirik kepada Allah SWT, mencegah kezaliman, penindasan dan permusuhan sesama manusia dan mengangkat darjat wanita setinggi-tingginya.

Ini terbukti apabila Baginda SAW berpesan dalam khutbahnya supaya kaum Muslimin menjaga dan menitikberatkan kebajikan kaum wanita.

Nabi SAW juga telah membatalkan segala unsur perkauman jahiliah, tiada beza antara orang yang berkulit hitam dan putih, kaum bangsawan dan hamba, bahkan menyeru manusia agar menjadi hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara.

Maka jadilah Nabi SAW kita menyeru manusia kepada apa yang diwahyukan kepadanya, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal. 

Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. 

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” 
Surah al-Hujurat 49:13
Hanya Taqwa Sebagai Pembeza

Allah SWT menyuruh manusia agar saling berkenalan dan tolong-menolong, bukannya saling berbalah dan tuduh-menuduh, bahkan menjadikan ukuran kemuliaan manusia di sisi Allah SWT adalah taqwa mereka.

Taqwa telah mengangkat kedudukan seorang hamba, Bilal al-Habshi dan juga menjatuhkan Abu Lahab, seorang bangsawan Quraisy ke dalam neraka yang hina.
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara.” 
Surah al-Hujurat 49:10
Dengan dakwah yang mulia ini, manusia berduyun-duyun memasuki agama Allah SWT. Ramai orang fakir yang boleh berkahwin dengan golongan bangsawan.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:-
“Wahai Bani Bayadhah (daripada kaum Ansar), kahwinilah anak kamu dengan Abu Hind.” 
Hadith Riwayat Abu Daud, hadith hasan
Walaupun Abu Hind ini adalah seorang tukang bekam Rasulullah SAW, tetapi Rasulullah SAW menawarkannya kepada golongan yang mempunyai kedudukan lebih tinggi atas dasar iman dan taqwa beliau.

Jelas di sini, Islam telah menyatukan manusia selepas mereka berpecah, memuliakan mereka selepas mereka dihina, memenangkan mereka selepas mereka kalah dan menyatukan hati mereka yang sebelum ini jauh dan berpecah-belah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan Dialah yang menyatukan hati mereka (orang yang beriman). 

Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. 

Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana.” 
Surah al-Anfal 8:63
Ayat ini menerangkan tentang keadaan penduduk Madinah yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj yang selalu bermusuhan sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah.

Apabila mereka masuk Islam, permusuhan itu hilang dan hati mereka bersatu dengan padu dan aman.

Bermula dengan Penyatuan Jiwa

Al-Wehdah al-Islamiyyah, dalam semua sudutnya menyeru manusia untuk bersatu melalui Tuhan Yang Esa, Rasul dan kitab yang satu sehingga umat Islam terbentuk seperti satu tubuh.

Apabila salah satu anggotanya sakit, seluruh tubuh akan merasainya, sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith.

Tidak mungkin al-wehdah ini boleh berlaku hanya dengan menggunakan satu bahasa, ini kerana bahasa itu boleh digunakan oleh semua orang, bukan juga di atas nama bangsa.

Kerana itu Islam tidak menilai manusia dari segi bangsa kerana kita semuanya berasal dari Nabi Adam AS dan Nabi Adam AS berasal daripada tanah.

Kesatuan ini dibina atas asas menyatukan jiwa manusia sebelum jasadnya. Penerimaan akal terhadap agama ini adalah setelah iman itu menguasai hati mereka. Ini adalah asas aqidah iman yang Allah SWT masukkan dalam hati manusia seluruhnya.

Maka timbangan neraca kesatuan dalam ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah dalam tauhdi yang khalis.
Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun.” 
Surah an-Nisa' 4:36
Kesatuan atas Landasan Agama

Firman Allah SWT  yang bermaksud:-
“Sesiapa mencari agama selain agama islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang yang rugi.” 
Surah Ali Imran 3:85
Kesatuan dalam Islam juga tertegak dan dimanifestasikan dengan kesatuan kitab, iaitu al-Quran, kiblat iaitu Ka'abah dan kesatuan ummah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Sesungguhnya (agama tauhid) ini, adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka bertaqwalah kepada-Ku.” 
Surah al-mukminun 23:52
Umat Islam tidak dapat membangun dengan sendiri, kecuali dengan berpegang dengan agama Islam secara tuntas. Tidak sempurna Islam itu kecuali dengan kesatuan.

Islam juga tidak mendapat kemenangan kecuali apabila umatnya bersatu dan beritjimak.

Kemenangan atau kekalahan yang dialamu oleh umat Islam bukanlah semata-mata bergantung kepada kekuatan dan kelemahan musuh mereka, tetapi bergantung kepada kesatuan atau perpecahan mereka sendiri. 

Maka apabila umat ini mengesakan Allah SWT dan menyatukan saf, barulah mereka akan mendapat kemenangan dengan izin Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Wahai orang Mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” 
Surah Muhammad 47:7
Apabila dalam masyarakat Islam ini ada sifat benci-membenci, berpaling muka, kezaliman dan tiada keadilan antara penganut-penganutnya, maka ketika itu mereka akan mendapat kerugian yang pasti.

Firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantah, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. 

Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.” 
Surah al-Anfal 8:46
Allah SWT Mengangkat Darjat Umat Islam

Allah SWT telah memberi keistimewaan kepada umat Islam ini dengan menjadikan mereka sebagai pengadil dan umat yang terpilih antara semua umat yang lain sebelumnya.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan kamu).” 
Surah al-Baqarah 2:143

Syariat Islam ini juga satu syariat yang adil dan menyeluruh; adil dengan diri sendiri, keluarga dan anak isteri, kawan-kawan sekeliling bahkan terhadap musuh sekalipun.

Allah SWT telah memerintahkan agar berlaku adil dan melarang daripada melakukan kezaliman dalam al-Quran al-Karim, lebih daripada 350 ayat.

Maka jelaslah keadilan merupakan neraca timbangan yang memakmurkan bumi ini.

Islam ialah satu agama dakwah dilimpahkan rahmat dan kasih sayang

Kesimpulannya, kita amat memerlukan Islam yang penuh dengan keadilan, keamanan, kesatuan dan segala jenis kebaikan yang dibawa kepada umat manusia seluruhnya.

Tetapi untuk merealisasikannya, kita perlu kembali berpegang kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta menyeru dan berdakwah kepada manusia supaya kembali kepada kedua-duanya.

Wallahua'lam

No comments: