08 February 2020

Puteri Nur : Pengurusan Perpindahan Jin-jin Saka, Pematian Sihir dan Penamatan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

BismillahHirahmanirRahim
BismillahHirahmanirRahim
BismillahHirahmanirRahim


Alhamdulillah syukur kepada ALLAH


Pemutusan Perjanjian dan Pengurusan Perpindahan Jin-jin Saka, Pematian Sihir dan Penamatan Perjanjian Tangkal, Azimat serta Wafak

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada sahabat-sahabat dan pembaca yang budiman. Di dalam update sebelum ini, kami telah memaklumkan kepada sahabat dan pembaca sekalian, juga rakan-rakan Perawat yang bertanya dan meminta bantuan tentang proses “Pemutusan Perjanjian dan Pengurusan Perpindahan Jin-Jin Saka, Pematian Sihir-Sihir ke atas Keturunan dan Warisan, Pematian Perjanjian ke atas Jin-Jin yang telah diambil melalui Tangkal, Wafak, Selendang, Selempang, Batu Geliga, Minyak, Kayu-Kayu, Keris dan Senjata-Senjata, Cincin, Buku-Buku atau Kitab-Kitab Ayat Seru Tertentu, Susuk-Susuk dan pelbagai Objek Lain.” Pada update kali ini, saya akan memperincikan langkah-langkah di dalam proses perawatan yang dijalankan oleh Puteri Nur. Ramai manusia di zaman ini bersifat bongkak. Kata mereka, mereka tidak sakit walau mereka mengambil Jin, Khadam sebagai penjaga. Di sini, tidakkah mereka sedari bahawa Jin-Jin ini telah disebarkan kepada anak-anak cucu mereka dan yang menanggung kesakitan dan melalui kifarah adalah generasi akan datang. Apabila yang mengambil itu meninggal dunia dan roh meninggalkan jasad, roh adalah makhluk ghaib dan roh akan melihat dengan penuh kesakitan Jin-Jin dan Khadam-khadam yang mereka ambil mentertawakan mereka kerana berdamping dan meminta pertolongan kepada selain dari Allah. Maafkan saya berkata begini, tetapi inilah urusan yang kami hadapi setiap hari. Pada setiap pemutusan saka, dengan izin Allah, roh yang gentayangan pasti akan muncul. Puteri Nur akan menangis kerana merasai emosi roh itu. Puteri Nur melihat dan berkomunikasi dengan roh-roh juga. Ini semua adalah urusan Allah. Anugerah yang tidak boleh dipersoalkan.

Kes Pemutusan Perjanjian dan Pemindahan Jin-jin Saka dari sebuah keluarga di Pantai Timur

Sebelum itu, saya ingin menyentuh tentang Objek Susuk. Apabila ada waris bertemu dengan bomoh dan menyatakan bahawa mereka memerlukan susuk untuk kecantikan, pemikat, pemanis atau penunduk termasuk pendinding dan juga kebal dan juga untuk ilmu bersilat, bomoh tersebut akan memasukkan Objek Susuk, sebagai contoh sebutir berlian, sebatang jarum atau sebutir beras, ke dalam jasad manusia ini. Tanpa mereka sedari, mereka telah mengambil beberapa pakej Jin yang kemudian merebak-rebak di dalam keturunan mereka. Di dalam kebanyakan kes Pengurusan Pematian Perjanjian, Jin-Jin Susuk pasti muncul. Dari situ menunjukkan betapa ramainya manusia di zaman dahulu kala mengambil susuk. Kebanyakannya dalam bentuk Langsuir, Puteri-Puteri Jin dan juga Jin-Jin Ular, Harimau dan Naga. Watak Jin-Jin Susuk ini amat suka bercakap. Pewaris pula akan sering merasa sakit dan panas di bahagian belikat dan fikiran mereka sentiasa buntu. Kaki dan lutut sentiasa lenguh-lenguh dan menghadapi kesukaran apabila memandu dan hilang fokus dalam pekerjaan.
Ekstraksi makhluk penanggal daripada pesakit

Kes-kes yang melibatkan pengurusan tangkal-tangkal ini amat menyedihkan kerana Jin-Jin ini bukan diambil oleh kebanyakan pesakit dan keluarga serta saudara-mara yang berkumpul, tetapi sebaliknya ayah, pakcik-pakcik serta saudara-mara yang bersilat dan menjadi bomoh. Ada yang bertemu bomoh dan perawat yang berdamping. Apa yang berdamping dengan bomoh itu berdamping pula dengan keluarga pesakit itu melalui objek yang diberi tanpa disedari. Menurut perangkaan kami, secara purata, kesemua pesakit-pesakit kami adalah bomoh-bomoh atau dari keturunan bomoh.
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani, Rasulullah SalAllah Alaihi Wasallam pernah bersabda, maksudnya, “Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh dia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik.”

Berikut saya akan perincikan langkah-langkah di dalam proses Pengurusan dan Pematian Perjanjian untuk makluman semua:
Puteri Nur di lokasi rawatan di Pahang

Langkah pertama
Apabila seseorang pesakit menghubungi kami untuk mendapatkan khidmat rawatan, saya, Hj Muhammad akan meminta nama penuh pesakit dan nama penuh ibu dan bapa pesakit untuk rekod kami. Kemudian, tarikh dan tempat rawatan akan ditetapkan mengikut kesesuaian pesakit. Kami bergerak ke lokasi pesakit.

Langkah kedua
Kebanyakan urusan pesakit merangkumi saka dan sihir dan Puteri Nur akan meminta kehadiran ibubapa dari kedua belah pihak (suami dan isteri) kerana kebiasaannya jika si isteri sakit, si suami juga sakit, saka di antara suami dan isteri juga akan melibatkan anak-anak. Saka masing-masing boleh menumpang di dalam jasad pasangan suami isteri. Puteri Nur amat terperinci dalam urusan “scan” (imbasan).

Proses imbasan (scan) di mana Puteri Nur mengenalpasti Jin-jin yang berada di dalam atau sekitar pesakit

Proses ekstraksi (extraction) di mana Puteri Nur menarik keluar kumpulan-kumpulan Jin dari dalam badan pesakit

Langkah ketiga
Pesakit yang terlebih dahulu “channelling” (proses di mana Jin berkomunikasi melalui jasad pesakit) dan sakit akan menjadi perantara dalam urusan pemutusan ini. Dalam setiap keturunan yang mengambil saka, akan ada seorang yang sakit dan merasuk. Puteri Nur akan berbincang dan berunding melalui jasad waris yang menjadi “host” atau perantara ini.

Langkah keempat
Proses pembersihan dan Rundingcara mula dilakukan. Ketika ini ada pesakit yang mula bertempur, ada yang akan mula menari-nari, ada yang mula menangis, dan ada yang mula menjerit. Pesakit yang menjadi perantara akan mempamerkan pelbagai reaksi kepada Puteri Nur kerana Jin-Jin yang ada pada pewaris akan mula menunjukkan diri. Ketika ini juga ayat-ayat dari Surah-Surah Manzil akan mula diperdengarkan. Kami akan mula bertempur pada ketika ini.

Namun begitu, kebiasaanya Puteri Nur akan berunding dengan lembut. Jin-Jin mempunyai sifat-sifat Bongkak, Takbur, Riak. Pewaris kebanyakkannya berkongsi emosi dengan Jin. Manusia yang mewarisi Jin ini akan mempunyai sifat Bongkak dan merasa diri mereka Hebat dan suka hendak bergaduh. Puteri Nur akan berunding menggunakan kaedah dan pendekatan psikologi dan rundingan harus dilaksanakan dengan amat berhati-hati. Proses ini mengambil masa dan setelah Jin-Jin itu bertenang, pesakit akan turut tenang. Puteri Nur mampu membaca fikiran Jin-Jin itu, nama-nama mereka, asal-usul mereka dan di mana ketua mereka berada.

Jin-Jin ini akan diperintahkan berdiri di luar tempat rawatan dilakukan, jangan bergerak sehingga seluruh kumpulannya di ekstrak dari waris-waris yang lain. Ketika proses ini, Puteri Nur akan mencari siapa ketua kumpulan Jin-Jin ini. Kebiasaannya ketua akan menyorok di dalam jasad yang langsung tidak menunjukkan apa-apa tindakbalas, tetapi Puteri Nur dapat melihat secara telus ke dalam jasad, ke dalam organ-organ dan salur darah. Jin-Jin ini dijadikan dari api dan mereka bergerak di dalam salur darah manusia. Sabda Rasulullah SalAllah Alaihi Wasallam, maksudnya,

“Sesungguhnya syaitan berjalan dalam salur darah manusia…”

Manusia mempunyai lebih kurang 110,000km salur darah di dalam tubuh badan. Jin-Jin ibarat zarah-zarah asap yang apabila mereka berkumpul sepadatnya pada satu tempat di dalam jasad manusia,di situ akan terjadi cyst dan ketumbuhan (tumor). Mengikut teori sains, manusia hanya mampu melihat dan mendengar sesuatu yang berada di dalam julat frekensi tertentu. Jin merupakan makhluk yang berada di luar julat frekuensi pancaindera manusia. Oleh kerana setiap makhluk ada “wave” yang tertentu, kehadiran Jin dalam kepadatan yang tinggi ibarat pancaran radiasi ketumpatan tinggi yang boleh menyebabkan berlakunya ketumbuhan dan barah. Adakalanya, muncul kesan-kesan lebam pada jasad manusia secara spontan.Kesan lebam ini terjadi akibat pergerakan Jin-Jin ini dalam salur darah manusia. Kita sering mendengar seseorang itu “digigit hantu air” dan sebagainya, tetapi ini merupakan satu tanggapan yang salah kerana sebenarnya pergerakan Jin-Jin ini yang berada di dalam jasad yang menyebabkan kesan-kesan lebam tersebut.
Proses rundingan di antara Puteri Nur dengan ketua kumpulan jin yang berkomunikasi melalui salah seorang ahli keluarga pesakit



Proses ekstraksi secara paksa Jin-jin yang tidak mahu meninggalkan jasad pesakit. Proses ini menyakitkan kedua-dua pihak iaitu pesakit dan Jin-jin yang terlibat.

Jin-jin yang diekstrak kemudiannya diuruskan pemutusan atau pematian perjanjian mereka dengan keturunan manusia yang pernah mengambil mereka dahulu. Puteri Nur berunding dengan Ketua-Ketua Kumpulan Jin-Jin ini melalui jasad pesakit dan kemudian akan menguruskan perpindahan kumpulan-kumpulan ini ke penempatan yang baru agar tidak lagi mendatangi keturunan waris dan tidak mengganggu atau mencampuri lagi urusan manusia. Pesakit akan diminta untuk meminum air yang telah dibacakan dengan ayat-ayat dari Surah-Surah Manzil untuk pembersihan dan ada juga pesakit yang akan terus dimandikan dengan air Manzil. Puteri Nur lebih suka berunding dan amat menitikberatkan rundingan kerana Jin-Jin ini juga berkeluarga. Apabila ditarik keluar dari satu jasad atau dimusnahkan, Jin-Jin lain akan datang. Saya akan sertakan rakaman video tentang proses ini.
Biasanya keseluruhan proses ini akan mengambil masa lebih dari 8 ke 12 jam tanpa henti rasukan demi rasukan dan ada kalanya terjadinya hysteria. Untuk itu, Puteri Nur amat hati-hati, tangkas dan pantas membuat keputusan. Proses ini bukanlah satu proses yang mudah. Rundingcara mengambil masa yang lama dan memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan perawat. Namun begitu, kaedah ini adalah lebih efektif berbanding dengan ekstraksi secara paksa yang mana boleh menyebabkan Jin tersebut berdendam dan mungkin menimbulkan masalah di masa hadapan.

Bersamalah kita membersihkan diri dan keturunan demi menyelamatkan generasi manusia yang akan datang dan hanya bergantung dan memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu Wata'ala sahaja. Hayatilah pengertian surah Al-Fatihah. Setiap hari kita membaca. Fahamilah apa yang kita baca. InsyaAllah, semoga kita dipermudahkan urusan di Akhirat.

#puterinur #pusatterapiilhamiah #bentaratujuh #bunian #rajabunian #seekers #paranormal #susuk #saka #jin




Comments

Pengurusan Saka, Sihir dan Tangkal

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya Hj Muhammad, Bentara Tujuh. Kami banyak menerima permintaan untuk merawat dari seluruh pelusuk negara, malah juga dari luar negara. Antara soalan yang sering ditanya ialah, bagaimana Puteri Nur merawat? Di sini ingin saya memberi pencerahan bahawa Puteri Nur bukan sahaja merawat penyakit akibat gangguan dan penyakit medical, beliau sebenarnya adalah Perunding dan juga Pengaturcara  yang berunding dan membebaskan Jin-jin yang terikat dengan perjanjian bersama manusia yang telah dibuat ratusan malah ribuan tahun yang lalu.

Puteri Nur memutuskan perjanjian dan membebaskan Jin-jin ini supaya mereka boleh kembali dengan aman ke Alam mereka sendiri dan tidak lagi mengganggu atau diganggu oleh Manusia. Kaedah Puteri Nur adalah berbeza dengan kebanyakan perawat lain yang lebih menumpukan kepada menarik keluar dan memusnahkan atau mencederakan Jin-jin ini. Ada juga yang mengaku memutuskan perjanjian, tetapi sebenarnya kaedah ini memerlukan seseorang perawat itu mengetahui rupabentuk asal, jenis, jantina, agama, usia dan juga dapat membaca nama sebenar Jin-jin tersebut. Puteri Nur seorang yang psikik dan boleh membaca fikiran Jin-jin ini, selain anugerah Allah yang memberi beliau kelebihan untuk melihat yang ghaib dengan HD.

Berbalik kepada pembebasan Jin-jin ini, mereka asalnya dibawa ke Tanah Melayu ratusan malah ribuan tahun lalu oleh para pedagang yang datang berurusniaga di sini. Kerajaan-kerajaan Kedah Tua, Srivijaya, Majapahit, Mataram dan Melaka merupakan antara kuasa besar zaman dahulu. Kawasan Tanah Melayu ini menjadi tumpuan pedagang daripada seluruh dunia, daripada barat ke timur. Ptolemy pada tahun 150M telah merujuk kepada Tanah Melayu ini sebagai “the Golden Chersonese” atau Semenanjung Emas. Disebut juga dalam hikayat Ramayana sebagai “Suvarnabhumi” (Tanah Emas) dan “Suvarnadvipa” (Semenanjung atau Pulau Emas). Tanah Melayu mencapai kemuncaknya pada zaman Kesultanan Melaka, ketika mana seluruh dunia tertumpu di Tanah Melayu dan Bahasa Melayu menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan. Ketika ini jugalah kemasukan Jin-jin ini paling pesat. Segala bentuk azimat, wafak dan tangkal dibawa masuk, malah juga pelbagai ilmu disebarkan. Ada yang benar dan ada yang bercanggah dengan hukum syarak.

Generasi demi generasi, ada yang mengamalkan upacara pemujaan dan jamuan atau sajean untuk Jin-jin ini. Sinkretisme atau penggabungan kepercayaan-kepercayaan dan agama-agama juga berlaku, dan menggalakkan lagi perkembangan adat dan amalan ini. Jin-jin ini diambil pada masa dahulu untuk membantu dari segi tenaga bersawah, membuka hutan, bertani, ke laut, juga untuk perlindungan dan pertahanan daripada haiwan liar dan musuh. Namun begitu, setelah sekian lama, dan dengan pengukuhan agama Islam di rantau ini, amalan dan upacara ini sudah tidak dijalankan, malah Jin-jin yang menjadi khadam dan pendamping ini sudah tidak digunakan. Namun begitu, mereka masih belum bebas daripada perjanjian manusia yang mengambil mereka. Akibatnya, mereka akan terus berada di dalam keturunan, dan akan menyebabkan penyakit-penyakit misteri, gangguan emosi dan pelbagai penyakit baik medical mahupun spiritual. Inilah yang dinamakan SAKA. Berasal daripada perkataan “pusaka” yang diwarisi generasi demi generasi. Dan di Tanah Melayu ini, boleh dikatakan hampir semua orang mempunyai saka, sama ada mereka sedar atau tidak.

Di sinilah peranan Puteri Nur sebagai Perunding dan Pengaturcara antara Jin-jin ini dan waris keturunan yang kini. Ramai yang telah lama berubat ke serata tempat, malah ada yang ke luar negara, bertemu bermacam jenis perawat dan bomoh untuk memulihkan diri mereka, tetapi selagi punca masalah tidak ditemui, maka mereka akan terus sakit. Dengan izin Allah, Puteri Nur melihat yang ghaib dan boleh membaca fikiran makhluk-makhluk ini dan apa kehendak mereka. Setelah mereka dibebaskan dan perjanjian mereka dibatalkan, Puteri Nur perlu mencari lokasi yang sesuai untuk penempatan semula Jin-jin ini yang ada kalanya berjumlah jutaan individu. Penempatan baru mereka haruslah bersesuaian dari segi tempat, sumber makanan dan juga dari segi makhluk yang menjadi panduduk asal di situ. Sekiranya ada yang tidak memenuhi keperluan mereka, Jin-jin ini akan datang semula kepada Puteri Nur dan boleh mengganggu keluarga dan rakan-rakan beliau. Beliau turut mengalami kesakitan ketika akibat kehadiran makhluk-makhluk ini ketika beliau menguruskan penempatan baru mereka. Inilah risiko dan pengorbanan yang ditanggung oleh Puteri Nur sebagai perunding dan pengaturcara Alam Ghaib.

Urusan pemutusan perjanjian ini akan melibatkan keseluruhan keluarga pesakit, dan bukan hanya pesakit seorang kerana Jin-jin ini telah tersebar ke seluruh keturunan mereka. Tanggapan bahawa pesakit diganggu akibat lemah semangat atau kurang beribadah adalah tidak tepat. Jin-jin ini mengganggu kerana adanya perjanjian yang telah dibuat oleh nenek moyang mereka dahulu. Ada yang ingin kehadiran mereka diketahui dan ada yang ingin dibebaskan. Di dalam setiap keturunan, setiap generasi akan ada seorang Perantara dan seorang Pewaris. Perantara biasanya ialah orang yang sakit dan ada kalanya merasuk, yang sering dikatakan lemah semangat tetapi hakikatnya Perantara adalah orang yang mempunyai roh yang kuat dan tulus dan boleh menembusi Alam-alam Ghaib untuk membenarkan makhluk ghaib berkomunikasi melalui jasadnya. Pewaris pula biasanya adalah ahli keluarga yang paling skeptikal dan tidak percaya akan Alam Ghaib. Jin-jin ini akan merebak di dalam keturunan melalui Pewaris kerana beliau tidak akan mahu dirawat. Pewaris juga biasanya tidak sakit kerana jika beliau sakit, maka beliau mungkin akan berubat dan kehadiran Jin-jin ini akan diketahui. Ini adalah aturan  dan ketentuan Allah dan ia berlaku bukan kerana seseorang itu kurang amalan atau lemah. Harus diingat bahawa Rasulullah SAW juga pernah disihir dengan teruk. Adakah ini bermakna Nabi Muhammad tidak cukup amalan? Tidak!

Oleh kerana inilah juga, Puteri Nur sering menjadi sasaran tohmahan dan fitnah golongan-golongan yang tidak puas hati dengan tugas beliau memutuskan perjanjian antara Jin dan Manusia. Ada yang menyamar sebagai Puteri Nur, ada juga yang membuat page dan video untuk mengaibkan dan menjatuhkan Puteri Nur yang merupakan ibu tunggal yang rutin hariannya adalah anak-anak dan pesakit-pesakit beliau. Semoga Allah membuka hati mereka untuk menerima kebenaran dan menutup minda mereka daripada terus menganiaya Puteri Nur… Wassalam.

Comments


🕋🇲🇾🇲🇾💛💜💜🖤💝💞💗💗💙🌏🕌


Kebenaran tentang Puteri Nur

Assalamualaikum, dengan izin Allah kita bersua lagi. Saya pelik kerana sering dimarahi dengan teruk oleh Puteri Ratna kalau saya tak jaga Puteri Nur betul-betul. Puteri Ratna tak izinkan Puteri Nur bersendirian kerana katanya terlalu banyak jin kafir dan iblis ingin memusnahkan Puteri Nur. Pada mulanya saya tak faham, kenapa sampai dia kata kalau sekali lagi saya tak jaga Puteri Nur betul-betul, dia akan bawa Puteri Nur pulang ke Alamzara. Sehingga pada satu hari, Puteri Ratna memerintahkan supaya Puteri Nur dibawa ke sebuah kawasan air terjun. Di sana, Puteri Ratna telah membuka rahsia sebenar siapa Puteri Nur.
Puteri Nur rupanya waris terakhir Putera Sarayana, kekanda kepada Puteri Ratna. Dia sebenarnya kacukan Manusia dan Bunian! Jasad Puteri Nur adalah manusia, tetapi dia diselaputi cahaya berwarna putih iaitu cahaya Bunian. Mereka yang telah dibuka hijabnya boleh melihat cahaya ni. Begitu juga dengan ulama yang pernah merawat Puteri Nur. Mereka tahu siapa dia sebenarnya. Kejadian Puteri Nur adalah sesuatu yang mustahil, tetapi Allah Maha Kuasa, ada sebabnya. Puteri Nur adalah utusan Allah yang Manusia akan tahu tidak lama lagi. Puteri Nur satu-satunya kacukan Manusia dan Bunian yang ada. Perkahwinan antara Manusia dan Bunian selalunya akan menghasilkan Manusia terus atau Bunian terus. Tapi Puteri Nur memiliki kedua-dua ciri Manusia dan Bunian.
Anugerah yang dimiliki Puteri Nur sekarang tiada tandingnya, dan ulama-ulama yang telah melihatnya terkejut dengan anugerah yang ada pada Puteri Nur. Bagi manusia yang ingin dirawat oleh Puteri Nur, atau hanya mahu menilik nama, Puteri Nur baru hendak mengambil wuduk sahaja pesakit itu sudah mula menangis dan menggigil. Puteri Nur harus mempunyai wuduk apabila merawat. Puteri Nur boleh melihat segala roh, qarin, iblis atau jin-jin yang ada bersama pesakit itu.
Hari demi hari Puteri Nur melalui perubahan dari manusia ke bunian. Tabiat pemakanannya, perilakunya, perwatakannya, makin hari makin 'Bunian'. Dia dah jadi semakin pendiam, kurang bergerak, lebih banyak beribadat & berzikir, dia dah tak nak berhubung dengan manusia. Handphone nya pun dah dimatikan. Saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga makan-minumnya, menguruskan singgahsananya. Satu hari saya lihat dia terbaring, saya sangka dia penat buat kerja. Tiba-tiba nendanya Puteri Ratna muncul. Puteri Ratna memberitahu saya kalau manusia berehat akan dapat tenaga, tetapi kalau Bunian tak bergerak tu maknanya dah kehabisan tenaga. Kalau dibiarkan boleh meninggal! Aku bergegas keluar ambil bunga mawar dan melur, dan terus diberikan kepada Puteri Nur. Alhamdulillah, selepas menghidu bunga, barulah dia segar sikit. Bunga merupakan tenaga kepada Bunian. Sekarang Puteri Nur pun dah macam tu, memerlukan bunga setiap hari.
Sekian dahulu, wassalam.
*Assalamualaikum para pembaca sekalian, ingin saya mempelawa saudara/saudari untuk membaca artikel terkini di blog ini, "Kebenaran mengenai Bunian" dan "Kebenaran mengenai Bunian II" untuk mendapat maklumat terkini mengenai Para Raja-raja Bunian. Wassalam.




Comments









Puteri Nur bukan sekadar perawat...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... saya Hj Muhammad, Bentara Tujuh.

Update terakhir kami sebulan yang lalu, belum sempat lagi saya nak post update-update terkini. Ramai yang memohon bantuan Puteri Nur dan teamnya dan dalam tempoh sebulan yang lalu, kami bergerak hampir ke seluruh semenanjung Tanah Melayu.

Kepada mereka yang baru mengikuti perjuangan Puteri Nur melalui portal di alam maya ini, saya ucapkan terima kasih kerana mengikut perkembangan dan perjuangan beliau. Puteri Nur bukanlah perawat biasa sepertimana yang kebanyakan kita fikirkan. Kami sering mendapat pm dan email meminta supaya "tolong scan saya" dan "boleh tak rawat dari jauh?". Maaf saya katakan, Puteri Nur bukan perawat yang begitu.

Tugas utama Puteri Nur ialah sebagai Pembatal Perjanjian yang telah dibuat antara Manusia dan Jin, dan beliau bertindak sebagai Perundingcara dan Hakim di dalam proses pemutusan perjanjian ini. Beliau juga mematikan perjanjian sihir dan memutuskan perjanjian tangkal. Kaedah beliau dilakukan dengan berunding dengan ketua golongan Jin yang mendampingi pesakit dan keluarga pesakit supaya mereka bersetuju untuk dibebaskan daripada perjanjian mereka dan membina penempatan baru di Alam masing-masing. Memisahkan antara yang nyata dan yang ghaib dan dengan itu juga mencegah kedua-dua pihak daripada berlaku syirik kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh kerana itu, saya berharap supaya para pesakit, anggota keluarga dan mereka yang ingin memohon bantuan daripada pihak Puteri Nur dapat memahami peranan kami. Puteri Nur mampu merawat dari jauh, beliau boleh "scan" dan menceritakan  A-Z apa yang berlaku dan mengganggu pesakit, tetapi tanpa pemutusan perjanjian tersebut, usaha ini sia-sia. Sebab itu saya akan meminta supaya pesakit membuat appointment dengan Puteri Nur, berjumpa dengan beliau secara peribadi untuk mengetahui keadaan masing-masing. Bukan sekadar "scan dari jauh". Saya juga pernah menulis mengenai permasalahan "scan dari jauh" ini. Alam Ghaib bukan seperti yang kita sangka. Undang-undang dan peraturan kita tidak semestinya terpakai di sana. Mereka bukan Manusia dan jangan kita harap mereka akan bertindak seperti Manusia.

Ada juga pihak yang mempertikaikan mengenai kos rawatan. Di sini, saya ingin tegaskan bahawa kami bergerak ke lokasi pesakit. Minyak, tol, maintenance kenderaan, masa dan tenaga semuanya perlu diambilkira. Puteri Nur ibu tunggal dan setiap kali merawat beliau terpaksa meninggalkan anak-anak beliau, rumah beliau... begitu juga dengan team PUTERI... masing-masing ada komitmen kerja dan keluarga. Mungkin ada perawat yang tidak mengenakan bayaran atau hanya meminta bayaran secara "seikhlas hati", tetapi Puteri Nur mempunyai komitmen dan keperluan beliau juga. Kita tidak boleh membandingkan beliau dengan perawat-perawat yang lain kerana ramai juga perawat yang merawat secara "part-time" dan mempunyai punca pendapatan lain selain merawat. Saya sendiri terpaksa bergerak lebih 100km setiap kali hendak merawat dalam kawasan Lembah Klang sahaja. Konsep "seikhlas hati" di sini sebenarnya merujuk kepada keikhlasan hati pesakit untuk sembuh... ramai juga pesakit yang mempunyai komitmen kewangan yang tinggi tetapi sanggup mengusahakan kos rawatan yang dipersetujui. Kami sebak apabila dapat maklumat ada pesakit yang sanggup meminjam wang, menggadai dan menjual barang untuk mendapatkan rawatan. Bukan semua pesakit kami dari golongan berada. Fikir-fikirkanlah...

Di dalam usaha memudahkan dan menyusunatur pengurusan perawatan, Puteri Nur telah menubuhkan team perawatan beliau yang terdiri daripada individu-individu yang mempunyai "skill set" yang tertentu, masing-masing dengan peranan masing-masing. Pusat Terapi Ilhamiah merupakan satu organisasi perawatan yang merangkumi kaedah rawatan Syariah, rawatan alternatif, medical, psikologikal, physiologikal dan kaunseling. Kami bukan sekadar "tangkap Jin masuk botol". Setiap kes diuruskan secara profesional, direkodkan dan dicatat untuk rujukan sesi berikutnya. Makhluk-makhluk yang dirundingcara juga diuruskan secara teratur dan sistematik.

Kami berharap dengan posting ringkas ini, dapat menjelaskan sedikit mengenai peranan Puteri Nur. Oleh kerana itu juga beliau hanya menguruskan dua atau tiga kes sehari, kerana pengurusan dan rundingcara pihak yang ghaib dilakukan pula setelah team kami meninggalkan lokasi pesakit. Bukan sekadar menghalau seekor dua Jin, tetapi menguruskan pemutusan perjanjian dan penempatan semula ribuan ekor Jin, ibarat menguruskan sebuah empayar yang besar.

InsyaAllah, semoga Allah memberikan keizinan dan kelapangan kepada saya untuk terus menulis dan menyampaikan secebis ilmu yang dikurniakan kepada saya kepada tuan puan sahabat-sahabat alam nyata dan rakan-rakan alam maya sekalian. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...














🕋🇲🇾🇲🇾💚💛💎💌🖤❣💝💝💟💞💗💙🌏🕌


No comments: