Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Subhanallah 100X سبحان الله
Alhamdulillah 100X الحمد لله
LA ILAHA ILLALLAH 100X لا إله إلا الله
Allāhu akbar 100X الله أكبر
Alhamdulillah syukur kepada ALLAH
Perbezaan Makmum Masbuk dan Muwafiq
Apakah perbezaan diantara makmum masbuk dan makmum muwafiq?
Artikel ini akan menerangkan secara lengkap mengenai makmum masbuk dan muwafiq, untuk membantu anda memahami hukum dalam solat berjemaah dengan lebih baik lagi.
Semoga panduan ini dapat membantu anda melakukan ibadah solat dengan sempurna.
Panduan ini mengandungi perkara berikut:
Makmum Masbuk
Makmum masbuk ialah makmum yang tidak sempat solat bersama imam dari awal takbiratulihram.
Ketika makmum mula mengikuti imam, sekurang-kurangnya imam sudah pun membaca al-Fatihah dan makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah apabila imam rukuk.
Sekiranya semasa makmum masuk untuk solat jemaah, imam hampir rukuk atau sedang dalam keadaan rukuk, makmum tadi sempat mendapatkan rakaat tersebut sekiranya makmum:
- Terus takbir memulakan solat dengan berniat mengikut imam.
- Setelah berdiri sebentar (sekadar bacaan “subhanallah) teruskan rukuk untuk mendapatkan imam.
- Sekiranya sempat berdiri seketika bersama imam, makmum perlu terus membaca al-Fatihah sekadar yang sempat dan terus mengikut imam rukuk apabila imam rukuk.
Kecuali apabila makmum membaca bacaan-bacaan sunat seperti doa iftitah dan taawuz atau diam sahaja serta sebelum sempat dia membaca al-Fatihah imam sudah rukuk, maka makmum harus segera membaca al-Fatihah sekadar lama masa makmum membaca bacaan sunat atau diam tadi dan terus mengikut imam rukuk.
Kesimpulannya, selagi sempat rukuk bersama imam walaupun seketika, makmum dikira mendapat rakaat tersebut.
Sebaliknya, apabila makmum masuk berjemaah ketika imam sudah melepasi rukuk, maka rakaat tadi tidak dikira.
Makmum mesti menambah rakaat yang terkurang itu selepas imam memberi salam.
Perkara Yang Perlu Dilakukan Oleh Makmum Masbuk
Makmum yang masbuk sunat membaca bacaan-bacaan sunat seperti doa iftitah dan taawuz sebelum membaca al-Fatihah.
Tetapi apabila makmum berasakan tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum imam rukuk, maka makmum perlu terus membaca al-Fatihah tanpa didahului oleh bacaan yang sunat.
Bahkan, jika pada waktu itu makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihahnya sedangkan imam telah rukuk, maka makmum perlu mengikut imam walaupun tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah.
Sebaliknya, apabila makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah apabila imam rukuk kerana leka membaca yang sunat, maka makmum perlu meneruskan bacaan al-Fatihah sekira-kira sama panjangnya dengan bacaan sunat yang telah dibacanya.
Sekiranya makmum sempat rukuk serta tamakninah bersama imam ketika imam masih rukuk, maka makmum mendapat rakaat itu.
Sebaliknya apabila imam sudah bangun dan hendak turun sujud dan makmum masih lagi meneruskan bacaannya, makmum perlu berniat berpisah dari imam (mufaraqah) atau solatnya terbatal.
Makmum Muwafiq
Makmum muwafiq ialah makmum yang mempunyai cukup masa bersama imam untuk membaca al-Fatihah dengan bacaan yang sederhana.
Jika makmum masih belum selesai membaca al-Fatihah sedangkan imam rukuk, maka makmum perlu menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum rukuk.
Sekiranya makmum sempat menyelesaikan bacaan al-Fatihah sebelum imam melakukan sujud kedua, maka makmum perlu segera rukuk dan seterusnya sehingga sempat bersama imam semula.
Makmum dikira mendapat rakaat tersebut bersama imam.
Sebaliknya, apabila makmum tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah sedangkan imam sudah duduk antara dua sujud, maka makmum perlu terus rukuk dan sebagainya untuk sempat bersama imam.
Makmum masih mendapat pahala berjemaah tetapi rakaat itu tidak dikira.
Oleh sebab itu, makmum mesti menambah rakaat yang kurang itu.
Sekiranya makmum hendak meneruskan bacaan al-Fatihah, maka makmum perlu berniat mufaraqah iaitu berpisah daripada imam dan meneruskan solat bersendirian.
Dalam hal ini, makmum tidak lagi mendapat pahala jemaah.
Perkara yang Perlu Dilakukan Oleh Makmum Muwafiq
Makmum yang muwafiq atau yang dapat mengikut imam semasa berdiri sama ada ketika baru masuk mengikut jemaah atau sedang dalam rakaat dan sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah, makmum wajib menghabiskan bacaan al-Fatihah sebelum mengikut imam rukuk.
Apabila makmum sepatutnya sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah tetapi:
- dia sibuk membaca bacaan-bacaan yang sunat
- atau mengulangi bacaan al-Fatihah kerana ragu-ragu dengan bacaannya sebelum itu
- atau imam membaca dengan cepat sehingga dia tidak sempat menghabiskan bacaan al-Fatihah ketika imam rukuk
.. maka makmum muwafiq dalam kes ini diberi tempoh iaitu belum berlalu tiga rukun panjang* untuk dia menghabiskan bacaan al-Fatihahnya.
Contohnya, makmum masih boleh terus berdiri untuk menghabiskan bacaan al-Fatihah sehingga imam melakukan sujud yang kedua.
Sebelum imam bangkit dari sujud kedua, makmum perlu segera rukuk apabila bacaan al-Fatihahnya telah habis dibaca.
Sebaliknya apabila makmum masih belum selesai bacaan al-Fatihah, makmum boleh berniat mufaraqah dan menunaikan solat seterusnya secara sendirian.
*Rukun yang panjang:
— Rukun yang panjang adalah rukuk dan sujud, iktidal dan duduk di antara dua sujud tidak termasuk sebagai rukun yang panjang.
No comments:
Post a Comment