28 February 2020

Imam Lupa Dalam Solat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh






Subhanallah 100X سبحان الله
Alhamdulillah 100X الحمد لله
LA ILAHA ILLALLAH 100X  لا إله إلا الله
Allāhu akbar 100X  الله أكبر

Alhamdulillah syukur kepada ALLAH



Masalah Imam Lupa Dalam Solat (Dan Apa Yang Harus Dilakukan Makmum)

imam lupa
Apa yang perlu dilakukan jika imam lupa dalam solat jemaah?
Kadang-kala, terjadi situasi dalam solat berjemaah dimana imam lupa dan melakukan kesilapan dalam solat.
Sebagai makmum dan imam, apa yang harus kit lakukan?
Oleh itu, panduan ini akan membincangkan isu masalah imam lupa dalam solat.
Mari kita mulakan..

Kesilapan Imam Dalam Solat Yang Biasa Terjadi

Di sini disenaraikan beberapa kesilapan dan kelupaan imam yang biasa terjadi dalam solat jemaah.

1. Imam terlupa membaca surah al-Fatihah pada rakaat yang kedua solat jahriyyah (Maghrib, Isyak dan Subuh)

Dalam situasi ini, para makmum hendaklah mengingatkan imam dengan ucapan سُبْحَانَ اللّه (Subhanallah) dan memperdengarkan bacaan al-Fatihah supaya imam tahu apa kesalahannya.
Perhatian:
Tidak boleh menegur imam dengan kata-kata yang bukan zikir, seperti menyebut “al-Fatihah” kerana ia membatalkan solat disebabkan berkata-kata dengan sengaja.
Bercakap dalam solat dengan sengaja hukumnya haram dan membatalkan solat.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
Sesungguhnya solat ini tidak boleh dalamnya ada sesuatu daripada perkataan manusia. Solat itu hanyalah tasbih, takbir dan bacaan al-Quran
(Riwayat Muslim)
Dalam Kitab Minhaj ath-Tholibin disebutkan:
Batal solat dengan sebab menuturkan sekurang-kurangnyaa kata-kata yang mengandungi dua huruf atau satu huruf yang memberi faham”

2. Imam duduk tahiyat awal pada rakaat pertama

Dalam situasi ini, beberapa perkara perlu dilakukan oleh makmum:
  1. Wajib para makmum bangun berdiri dan mengingatkan imam dengan ucapan سُبْحَا اللّه agar imam sedar, lalu bangun daripada duduk yang salah itu.
  2. Jika imam masih tidak bangun selepas diingatkan, maka makmum yang berdiri itu diberi dua pilihan, iaitu Mufaraqah (berpisah) daripada imam atau terus menunggu sehingga imam bangun.
  3. Makmum yang ikut duduk bertasyahhud dalam keadaan sedar akan kesalahan imam itu dianggap sengaja melakukan kesalahan dan batal solat makmum berkenaan.
  4. Tidak batal solat makmum yang ikut duduk kerana terlupa.

3. Imam bangun kepada rakaat yang lebih; seperti rakaat kelima bagi solat Asar atau rakaat keempat bagi solat Maghrib

  1. Wajib para makmum duduk menunggu imam pada tahiyat akhir dan mengingatkan imam dengan ucapan subhanaAllah agar imam sedar, lalu duduk semula.
  2. Jika imam tidak turun duduk semula selepas diingatkan, makmum yang duduk itu diberi dua pilihan iaitu; mufaraqah daripada imam atau terus menunggu sehingga imamnya bertasyahhud (tahiyat).
  3. Makmum yang ikut berdiri dalam keadaan sedar imam pada kedudukan yang salah dianggap sengaja melakukan kesalahan. Batal solat makmum berkenaan.
  4. Tidak batal solat makmum yang ikut berdiri kerana terlupa.
Tambahan:

Jika makmum yang mengikut imam bangun rakaat kelima itu seorang makmum masbuk dan dia tahu imam itu mendirikan rakaat yang lebih, maka tidak sah ikutannya.

Jika dia mengikutnya dengan kejahilan dan mendapat semua rakaat dengannya, maka ikutannya sah dan rakaat yang lebih itu dikirakan untuknya mengikut qaul yang sahih.

4. Imam melakukan sujud ketiga pada duduk tahiyat akhir

  1. Jika imam itu sujud setelah berlalu masa yang cukup untuk bacaan tasyahhud, maka wajib para makmum mengikut imam pada sujud ketiga itu dan dianggap imam itu melakukan sujud sahwi.
  2. Jika imam sujud sebelum berlalunya masa sepanjang bacaan tasyahhud, maka para makmum tidak harus mengikutnya kerana dianggap sujudnya itu sebagai terlupa, dan tidak boleh dianggap sebagai sujud sahwi, kerana waktunya belum lagi tiba.

5. Imam memberi salam sebelum melakukan sujud sahwi

  1. Makmum hendaklah menunggu dalam keadaan tasyahhud akhir itu sehingga dipastikan imam benar-benar keluar daripada solatnya dengan salam tersebut, barulah boleh makmum melakukan sujud sahwi.
  2. Makmum yang sedar imamnya memberi salam kerana terlupa, lalu terus melakukan sujud sahwi tanpa niat mufaraqah dianggap sengaja melakukan perbuatan tambahan yang tidak dilakukan imamnya. Solat makmum tersebut batal dengan perbuatannya yang sengaja itu.
  3. Makmum yang sedar imamnya memberi salam kerana terlupa tuntutan sahwi, tetapi ikut memberi salam dianggap sengaja keluar daripada solat dengan salamnya itu. Sekiranya imam teringatkan sujud sahwi selepas salamnya yang tidak sengaja itu, lalu melakukannya, maka makmum tersebut tidak lagi dituntut melakukan sujud sahwi itu.
  4. Makmum yang turut memberi salam bersama imam kerana lupa tuntutan sujud sahwi, wajib kembali melakukan sujud sahwi saat imamnya kembali melakukan sujud tersebut setelah teringat daripada kelupaan kerana ikutannya belum terputus dengan salam imam yang lupa itu.

Imam Tidak Yakin Dengan Teguran Makmum

Jika imam terlupa lalu makmum mengucapkan tasbih untuk mengingatkannya, maka hendaklah imam ikut teguran itu jika dia teringat bahawa dia benar-benar lupa.
Akan tetapi jika dia tidak teringat dan tidak yakin dengan peringatan yang diberikan oleh makmum, maka tidak harus baginya mengikut teguran makmum itu.
Bahkan wajib imam mengamalkan dengan keyakinan dirinya sendiri dan jangan bertaklid kepada mereka walaupun bilangan mereka ramai, menurut qaul yang sahih.
Imam an-Nawawi menyebut,
Ada dua qaul dalam masalah makmum yang ramai dimana bilangannya begitu banyak dan jelas hingga tidak munasabah mereka boleh sahaja serentak membuat salah. Menurut qaul yang pertama, imam jangan merujuk kepada perkataan mereka dan menurut qaul yang kedua, imam hendaklah merujuk kepada perkataan mereka”.
Imam an-Nawawi dalam Al-Bayan, mengatakan bahawa kebanyakkan Ashaab asy-Syafi’I berpendapat, imam jangan merujuk kepada perkataan para makmum.
Akan tetapi Abu Ali ath-Thobari bependapat, imam hendaklah merujuk kepada perkataan mereka.

Ragu-Ragu Bilangan Rakaat Solat Imam.

Jika makmum ragu-ragu adakah imam telah solat empat rakaat atau tiga rakaat solat Zohor, adakah dia perlu mengucapkan سُبْحَانَ اللّه untuk mengingatkan imam?
Menurut Ar-Rauyani:
Tidak perlu mengucapkan سُبْحَانَ اللّه kerana yang jelas di sini imam menganggap dia telah solat empat rakaat, sedangkan makmum pula tidak yakin dengan kesalahan imam itu.
Oleh itu, dia tidak boleh mengganggu imam dengan ucapan tasbih.
Namun jika makmum dengan segera mufaraqah daripada imam, maka hendaklah dia menambah satu rakaat lagi dan sujud sahwi kerana keraguannya itu.

Hukum Berimamkan Seorang Yang Tidak Boleh Membaca Dengan Betul (Ummiy)

Jika ternyata bahawa imam yang diikuti merupakan seorang yang ummiy (tidak tahu membaca), maka solatnya tidak sah.
Jika seorang yang ummiy menjadi imam kepada satu jemaah yang tahu membaca jemaah yang tidak tahu membaca, maka solat jemaah yang ummiy itu sah, manakala solat jemaah yang tahu membaca itu tidak sah dan wajib diulangi semula solat mereka.
1.Kata Al-Bandihiy, jika seseorang yang pandai membaca berimamkan orang pelat bacaannya seperti dia tidak dapat menyebut huruf ق dengan makhraj yang betul, bahkan disebutnya  diantara bunyi ك dan ق maka solatnya sah tetapi makruh.
Kata Abu Hamid, jika imam itu menyebut ذ pada ayat الذين انعمت عليهم dengan bunyi د maka ikutannya sah kerana sebutan sedemikian tidak mengubah makna ayat.
Hukum ini tidak berlaku pada imam yang menukarkan bunyi ض dengan ظ pada ayat ولا الضالين disebabkan perubahan itu mengubah makna ayat, kerana الظالين bererti “Orang-orang yang bermukim pada waktu siang hari,” manakala الضالين bererti “Orang-orang yang sesat”.

2.Wajib makmum yang qari’ (pandai membaca) mufaraqah apabila mendapati imamnya melakukan kesalahan dalam bacaan al-Fatihah, atau mengurangkan huruf-huruf al-Fatihah itu atau meninggalkan sabdu dalam bacaan al-Fatihahnya.

3.Sah solat para makmum yang mengikut seorang imam yang melakukan kesalahan dalam bacaan-bacaan surah, sedangkan bacaan al-Fatihanya baik.

Adab Ketika Mendengar Bacaan Imam

  1. Sunat para makmum mendengar dan menghayati ayat-ayat dan surah yang dibaca oleh imam.
  2. Disunatkan makmum berdoa memohon rahmat apabila dia mendengar imam membaca ayat-ayat yang menyebut rahmat, dan memohon perlindungan apabila imam membaca ayat-ayat tentang azab neraka.

Lima Tempat Berhenti Sejenak (Saktah) Dalam Solat

Disunatkan imam menjaga lima saktah dalam solat.
Saktah bermaksud diam atau berhenti sejenak pada beberapa situasi berikut:
  1. Saktah selepas takbiratul ihram sebelum membaca doa iftitah
  2. Saktah selepas selesai membaca doa iftitah
  3. Saktah selepas ولا الضالين  iaitu disunatkan berhenti sejenak sebelum mengucapkan آمين supaya tidak disangka آمين itu sebahagian daripada surah al-Fatihah.
  4. Saktah selepas آمين iaitu sebelum membaca surah. Disunatkan bagi imam berhenti sejenak sekadar meluangkan kadar masa untuk makmum membaca surah al-Fatihah, kecuali jika makmum itu seorang yang pekak, maka tidaklah disunatkan berhenti sebentar untuknya.
  5. Saktah selepas membaca surah, iaitu berhenti sejenak sebelum turun untuk rukuk.

Rujukan & Penutup

Rujukan bagi panduan ini adalah dari buku panduan imam & makmum, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany.
Semoga apa yang dikongsikan dapat memberi imput yang berguna kepada semua pembaca


🕋🇲🇾💛💚💙💎💜💜🖤💌❣💝💞💟💞🌎🌍🌏🕌




No comments: