28 February 2020

NAFSU



 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎
3X سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 

NAFSU

 NAFSU
Posted on 24 November 2010 by kataganti
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Kita baru balik dari peperangan kecil kepada peperangan yang maha besar.”
Para Sahabat bertanya: “Peperangan apakah itu ya Rasulullah?”
Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)

Melawan nafsu (mujahadah) ini memang susah. Rasulullah ibaratkan lebih susah daripada berdepan dengan peperangan senjata. Dalam bab-bab sebelum ini, kita sudah huraikan betapa sulitnya nafsu itu hendak dikesan dan tersembunyi pula. Sebab itu sesetengah orang tidak dapat mengesannya. Sesetengahnya lagi tidak pernah ambil tahu adanya perkara batin ini. Jadi dia tidak pernah berfikir untuk berperang dengan nafsu sendiri. Golongan ini merasa hairan bila diajak melawan hawa nafsu.

Kata mereka,
“Di mana susahnya hendak melawan nafsu?”
“Betulkah nafsu itu sulit untuk diperangi?”
“Nafsu itu tidak ada apa-apa. Saya tidak ada masalah dengan nafsu saya.”
“Pelik! Mengapa orang kata nafsu itu sangat jahat? Sulit untuk ditundukkan? Ia perlu diperangi? Aku tak faham!”

Untuk golongan ini, agar mudah memahaminya kita cuba buat perbandingan. Nafsu yang jahat itu kita ibaratkan pencuri, perompak dan penyamun. Jadi mencuri, merompak dan menyamun itu memang profesyen mereka. Mereka tidak rasa susah dengan kerja mencuri, merompak atau menyamun sebab kerja-kerja itu memang kerja mereka. Merekalah yang selalu mengganggu-gugat keamanan orang, mencuri, kidnap, pecah rumah, rampas barang orang, larikan anak gadis orang, mengancam nyawa orang, membunuh dan lain-lain lagi. Oleh kerana itu kerjanya, dia tidak terasa susah dan sulit dalam melaksanakan tugas-tugas tersebut. Tetapi yang rasa susahnya ialah orang yang kena curi. Yang rasa terganggu-gugat adalah orang yang kena rompak. Yang rasa huru-haranya adalah orang yang kena samun. Betapa azabnya mereka menanggung.

Hidup dalam ketakutan. Rasa hilang keselamatan. Rasa hilang bahagia sebab harta hilang, rumah musnah, duit habis dikebas hingga jadi papa kedana. Anak isteri dilarikan dan nyawa terancam. Hati susah yang amat sangat. Hilang ketenangan. Makan tidak kenyang, tidur tidak lena. Segala kerja terganggu hingga haru-biru masyarakat. Tidak aman negara. Polis dan orang ramai turut sama susah, terganggu dan terancam. Di195 susahkan, diganggu dan diancam oleh perompak-perompak dan lanun-lanun tadi.

Membendung perompak dan lanun-lanun ini bukannya mudah. Satu kerja yang payah dan sulit. Hendak memusnahkan semua sekali tidak mungkin sebab perompak-perompak ini selalunya bekerja di waktu malam, dalam gelap pekat, di waktu orang sedang tidur nyenyak dan di waktu orang sedang sibuk dan asyik. Dia bekerja bukan terang-terangan tetapi secara senyap- senyap dan berhati-hati. Kerjanya tangkas, cekap dan pakar. Selepas kerja, terus hilang lesap. Dia pandai menyembunyikan diri dengan menyamar macam orang biasa. Hingga manusia susah hendak mengesan dan menangkapnya. Hanya polis yang cekap dan pintar, yang dibantu dengan alatan canggih sahaja yang dapat mengesannya dan sekaligus berjaya menangkapnya. Itulah kerja perompak dan lanun-lanun yang menjadikan semua orang pening, risau, terganggu, tergugat dan huru-hara.

Jadi orang yang terganggu ini akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
1. Susah kerana gangguan mereka.
2. Susah hendak mengesan siapakah yang mengganggu itu kerana mereka tidak isytiharkan diri.
3. Susah hendak melawan dan memusnahkan pengganggu tadi.

Tetapi perompak-perompak dan lanun-lanun tadi relaks saja. Mereka tidak rasa terganggu atau hilang ketenangan sebab mereka yang mengganggu. Bagi orang yang senyap-senyap bekerjasama dengan perompak-perompak dan lanun-lanun tadi, mana terasa susah. Dia juga tidak susah macam tidak susahnya perompak-perompak tadi. Orang yang beri laluan, orang yang jadi spy dan beri kerjasama dengan perompak-perompak tadi pun tidak rasa susah dan tergugat.

Begitulah tamsilannya nafsu kita yang jahat ini. Jika seseorang itu sudah jadi pengikut nafsu yang jahat itu, dia pun senang hati dengan perbuatan jahatnya. Mana terasa susah lagi kerana telah sama-sama jadi geng jahat. Yang terasa kejahatannya itu ialah orang yang diganggu. Bagi orang yang tidak mahu tunduk dengan kejahatan nafsu dan ingin memeranginya, tentulah dia terasa susah, amat terseksa dan letih untuk memusuhi nafsunya. Kalau tidak benar-benar tekad dan tabah, ia akan kalah dan menyerah sahaja.

Orang yang terasa betapa susahnya melawan nafsu akan berdepan dengan tiga kesusahan iaitu:
1. Susah hendak mengesan nafsu yang abstrak, yang maknawiyah, yang terlalu halus hingga terpaksa mempelajarinya.
2. Bila sudah tahu, kehendak-kehendak hati nuraninya pula terpaksa bertarung dengan kehendak-kehendak nafsunya. Amat susah pula untuk tidak mengikut kehendak-kehendak nafsu.
3. Susah hendak mujahadah terhadap nafsu kerana terpaksa membuat bermacam-macam latihan yang mencabar.

Di sini didatangkan beberapa contoh sebagai bukti susahnya berperang atau bertarung dengan nafsu iaitu:
1. Kalau ada orang mengata, menghina, mengumpat, maki hamun di depan atau di belakang kita, bagaimanakah sikap kita? Bolehkah hati kita rasa senang dan tenang? Mudahkah kita tahan hati kita yang sedang gelojak marah itu? Bolehkah kita diamkan sahaja tanpa sakit hati atau susah hati atau berdendam. Bolehkah kita ucapkan “Assalaamualaikum,” dan tinggalkan mereka dengan senyum manis? Mampukah kita memaafkannya? Tentu tidak mudah. Hati kita tentu sakit dan menderita. Apatah lagi hendak berbuat baik dengan orang yang berbuat jahat terhadap kita seperti kehendak Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Berbuatlah baik pada orang yang berbuat jahat pada kamu.”

2. Mudahkah kita memaafkan orang yang telah bersalah pada kita? Mungkin telah menghina atau berlaku kasar dengan menengking-nengking kita. Tentu tidak mudah, susah dan pahit. Kerana hati kita sudah dilukakannya selama ini kecuali kita lawan nafsu kita itu.

3. Kita diuji Allah dengan bermacam-macam ujian seperti hidup miskin. Kita sudah berusaha tetapi tidak juga kaya. Kita ingin pandai. Setelah berusaha, kita tidak juga cerdik. Kita gagal peperiksaan. Masyarakat tidak peduli. Dicemuh pula kerana kemiskinan dan tidak ada sijil tinggi. Mudahkah kita tanamkan jiwa besar di waktu itu sehingga kita boleh berdikari dan tidak pedulikan kata-kata mereka itu? Apakah di waktu itu kita boleh menahan perasaan daripada keluhkesah hingga boleh menyerahkan pada takdir? Bolehkah redha dan baik sangka dengan Allah? Hati atau nafsu mana mahu menerima hakikat di sebalik kejadian itu ada pahala yang menunggu?

4. Kita lihat ada orang susah, menderita dan melarat. Mungkin terasa simpati untuk membantu memberi duit padanya. Ini mungkin mudah dan rasa mulia dilakukan kerana orang kata kita baik dan pemurah. Disanjung dan dipuji pula. Tetapi untuk duduk setaraf bersama-sama mereka dan menghiburkan hati mereka, tentu susah. Mampukah kita bergaul dengan mereka? Tidur baring dan makan minum bersama mereka? Bermesra-mesra dengan mereka? Memberi salam mendahului mereka? Tentu tidak mudah. Nafsu terasa hina dan malu. Lebih-lebih lagi kalau kita ada kedudukan, tentu nafsu rasa jatuh wibawanya.

5. Kita ada kelulusan pengajian Islam, mungkin B.A., M.A. atau PhD. Kita tahu bekerja atas tiket ijazah satu perkara yang hina dan keji dalam Islam. Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa menuntut sesuatu dari ilmu ini yang dikehendaki dengannya wajah Allah untuk mendapatkan sedikit dari mata benda dunia, pasti masuk Neraka.” (Riwayat Ibnu Asakir) Sedangkan peluang ada. Terbuka bila-bila masa sahaja. Kelulusan yang kita miliki membolehkan kita menjawat jawatan tinggi dengan gaji dan elaun yang lumayan. Ada pangkat, ada nama, disebut dan disanjung orang. Mungkin jadi mufti, kadhi atau ketua pengarah jabatan Islam. Apakah kita akan tolak tawaran tersebut dengan alasan ingin mencari pekerjaan yang lebih halal seperti berniaga, bertani atau berternak? Tentulah akan berperang dengan nafsu sendiri. Senangkah untuk lepaskan peluang ini? Tentu payah. Nafsu akan terlonjak-lonjak berkehendakkan jawatan dan kedudukan dengan kelulusan agama tadi. Nafsu akan rasa rugi dan bodoh bila menolak peluang merebut kemewahan dunia itu.

6. Kita ada jawatan penting. Ada kuasa untuk luluskan projek- projek untuk kemajuan rakyat. Rakyat memohon dan merayu pada kita. Kita tunaikan. Adakalanya projek yang diminta kita luluskan segera, disogoknya ratusan ribu atau berjuta-juta ringgit atau diumpan dengan perempuan-perempuan cantik serta macam-macam tawaran istimewa lagi. Apakah mudah kita menolak tawaran-tawaran istimewa ini? Tentu payah. Nafsu akan mendorong dan membisikbisikkan supaya peluang keemasan itu jangan dilepaskan. Inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Kawan-kawan yang setaraf sudah lama merasa. Tentu nafsu tidak mahu kalah. Hendak ditolak, orang lain pun buat. Nyatalah sulitnya melawan nafsu ini.

7. Kita seorang peniaga. Bersama-sama kita ada peniagapeniaga lain yang berniaga bersebelahan dengan kita. Perniagaannya sangat maju dan berjaya sedangkan kita sebaliknya, tidak maju dan hampir bangkrap. Apakah mudah untuk menahan nafsu supaya sabar dan redha dengan takdir serta tidak berlaku hasad dengki dengan peniaga yang berjiran dengan kita tadi. Tentu tidak mudah!

8. Kita sebagai petani, sama-sama berkebun dengan jiran kita. Kebunnya menjadi dan subur. Sedangkan kebun kita tidak menjadi dan tidak subur. Hasilnya juga kurang. Pendapatan kita jauh kurangnya berbanding dengan kawan kita tadi yang sudah jadi kaya-raya dengan jualan hasil kebunnya. Apakah mudah kita redha dengan keputusan Allah itu? Apakah boleh kita membendung nafsu kita supaya tidak hasad dengki dengan jiran kita itu. Tentu sulit!

9. Kita seorang pendakwah. Kita berdepan dengan pendakwah bebas atau pendakwah dari jemaah lain atau sama-sama berdakwah dalam sebuah jemaah. Kita dapati orang itu lebih diterima oleh orang ramai dan disanjung-sanjung. Ada pengikut pula. Sedangkan dakwah kita tidak diterima orang. Bahkan dihina-hina pula. Kita tidak ada pengikut sedangkan kita ada kelulusan tinggi dari universiti oversea atau kita adalah pendakwah rasmi. Mudahkah kita terima hakikat ini? Apakah kita sanggup mengangkat tangan mendoakan kejayaannya? Kemudian memberi sokongan moral dan material pada orang itu? Sebab melalui tangannya orang boleh terima Islam. Bahkan mampukah hati kita berkata: “Tak apalah kerana ada orang yang sedar melalui orang itu.” Tentu tidak mudah. Nafsu selalunya hasad dengki bila melihat orang lain berjaya. Bahkan bertindak menyebarkan fitnah dan menjatuhkan orang itu. Kalau kita ada kuasa, kita akan cuba menyekatnya dengan alasan orang itu tidak ada tauliah.

10. Seorang isteri yang dipoligamikan. Suami memberi kasih sayang yang lebih pada isteri-isteri yang lain. Diistimewakannya pula. Dibawa ke mana-mana. Segala permintaannya dilayan mesra sedangkan diri kita tidak. Mudahkah untuk kita bersabar dan redha dengan suami itu. Mudahkah kita bermuka manis dengan suami? Senangkah untuk tidak berdendam dengan suami dan madu kita itu? Bahkan mendoakan keselamatan dan kejayaan untuk mereka? Tidak mudah! Walaupun kita tahu betapa besarnya ganjaran yang Allah kurniakan di Akhirat kelak disebabkan tolak ansur kesabaran kita itu, nafsu tetap terasa berat. Begitulah sulitnya melawan nafsu ini.

11. Kita duduk sekampung atau satu pejabat dengan kawan kita. Sama-sama jatuh cinta dengan seorang perempuan cantik jelita. Masing-masing berusaha menawan dan menambat hati perempuan itu. Bersaing memberikan hadiah-hadiah istimewa, mengharapkan perempuan itu membalas cinta kita. Didapati cinta kita tidak berbalas. Bertepuk sebelah tangan. Sama-sama pergi meminang. Pinangan kita ditolak tetapi pinangan kawan kita itu diterima. Bagaimana hati kita pada waktu itu? Hati tentu hancur berkecai dan remuk-redam. Dirasakan hilang dunia ini dari pandangan. Di waktu itu mampukah kita membendung nafsu supaya jangan gilakan perempuan itu lagi? Tetap seperti biasa, berbuat baik pada perempuan itu? Mampukah untuk tidak berdendam dengan kawan sepejabat kita tadi? Bolehkah hati kita menerima takdir itu dengan tenang, tanpa keluh-kesah kerana redha dengan takdir Allah? Tentu payah.

12. Sebagai bos pejabat, di bawah kita ada kerani, pekerjapekerja, pemandu, tukang kebun, tukang sapu dan lain-lain lagi. Mampukah kita bergaul mesra dengan mereka? Mampukah kita memberi kasih sayang pada mereka? Makan minum serta tidur baring dengan mereka? Apakah boleh kita membantu mereka bila mereka perlukan bantuan? Adakah senang kita memberi nasihat baik-baik dengan penuh kasih sayang, bukan marah-marah? Adakah nafsu tidak terasa tercabar untuk buat itu semua? Apakah nafsu tidak terasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Tentulah nafsu rasa tercabar. Nafsu rasa jatuh taraf sebagai seorang ketua. Nafsu akan rasa tuan, rasa superman. Kesalahan perlu ditegur dengan marah-marah baru orang-orang bawahan takut. Nafsu rasa puas kalau dapat tengking dan herdik-herdik, cerca dan hina-hina orang bawahan. Begitulah jahatnya nafsu yang hendak dilawan itu.

13. Kita berdepan dengan isteri yang buat salah. Mudahkah kita nasihatkan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang? Atau isteri, bila dapati suami bersalah, mudahkah untuk memaafkannya? Tegur dengan baik. Diingatkan dengan kasih sayang? Bukan dengan marah-marah dan mengaraharah? Mudahkah untuk berakhlak mulia ini? Tentu payah.

14. Seorang ibu ayah yang berdepan dengan kerenah anak-anak yang memeningkan kepala. Mudahkah untuk bersabar dengan mereka itu? Tidak mudah. Selalunya nafsu akan hilang pertimbangan dengan kenakalan mereka. Terpekikpekik, terjerit-jerit dan anak-anak jadi mangsanya. Atau ibu ayah yang bersalah pada anak-anaknya, mudahkah untuk anak-anak memaafkannya? Dan berdiam diri tidak menjawab kata-kata kesat mereka? Senangkah untuk taat arahan mereka? Nafsu selalunya mendorong kita untuk melawan cakap ibu ayah kita, tidak mentaatinya, menyakiti dan menderhakai mereka.

15. Kalau kita sebagai pemimpin berdepan dengan rakyat yang menegur kita, apakah kita dapat menerima teguran dengan sebaik-baik dan berlapang dada? Kalau teguran itu baik, apakah kita ucapkan terima kasih kerana dia sudah selamatkan kita di dunia dan Akhirat? Ertinya selamat daripada Neraka. Selalunya rakyat yang begitu akan diancam atau ditekan. Dikatakan cuba mengancam keamanan negara, hendak rebut kuasa atau hendak gulingkan kerajaan.

Begitulah nafsu kita. Betapa susahnya berperang dengan nafsu itu terbukti daripada salah satu pengalaman kita tadi. Berperang dengan musuh memanglah azab. Untuk mengikut kata nafsu memang mudah kerana kita sudah jadikan musuh sebagai kawan. Untuk jadikan nafsu itu sebagai tuhan, itulah paling mudah. Tidak terasa apa-apa susahnya kerana nafsu sudah menjadi tempat kita meletakkan cinta. Apabila nafsu sudah dijadikan cinta kita, memanglah seronok untuk kita tunduk dengannya. Diajak ke mana-mana pun senang kita ikut dan kita taati. Ini sudah pun diberitahu Allah dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Apakah engkau melihat orang yang menjadikan hawa nafsu itu tuhannya?” (Al Furqan: 43)

Tunduk dengan cinta agung memanglah mudah. Macamlah apabila kita sayangkan isteri maka untuk mengikut cakapnya memanglah mudah. Cuba kalau isteri itu sudah dibenci dan dimusuhi. Apakah mudah diikut cakapnya? Tentu payah. Jadi walaupun kita susah memerangi nafsu ini tetapi kita usahakan juga tanpa jemu-jemu. Kita tahu memerangi nafsu inilah yang paling Allah suka. Oleh kerana ia dianggap jihad akbar (peperangan yang besar) maka kita teruskan juga. Kita yakin Allah membantu.

Kalau hati kita jahat, Allah tidak akan bantu kita. Segala kerja-kerja kita terbengkalai dan tersangkut. Tidak selesai. Itulah hukuman Allah di dunia di atas kecuaian kita bermujahadah itu. Sepanjang hidup kita berada dalam dosa. Dosa batin yang tidak kita sedari. Oleh itu mari kita bersihkan dosa batin kita ini. Mari kita terus bermujahadah yakni berperang dan bertarung dengan nafsu kita sendiri sehinggalah akhir hayat kita. Barulah dikatakan wira sejati. Seperti sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Siapakah yang dianggap wira itu?”
Kata Sahabat: “Mereka yang tidak dapat dikalahkan (dalam peperangan).”
Nabi menjawab: “(Orang yang dianggap wira itu) ialah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.” (Riwayat Ibnu Atsir)

Allah SWT juga ada berjanji:
Maksudnya: “Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan diri (dengan beriman).” (Al A’la: 14)

Maksudnya: “Sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Asy Syams: 10)

Filed under: 1) Sayangi Tuhan, NAFSU | Leave a comment »

SAYANGILAH TUHAN
Posted on 29 Ogos 2009 by kataganti
Di dalam diri kita ini ada macam-macam khazanah yang bersifat fizikal, mental dan rohani. Dalam badan kita ada jantung, hati, paru-paru, usus-usus, buah pinggang, sistem peranakan, sistem penghadaman, ada otak, ada saraf, ada saluran darah dan lain-lain. Tersimpan juga dalam tubuh kita berbagai-bagai maklumat aqliah seperti ilmu alam, ilmu matematik, maklumat sejarah, sains, ekonomi, rahsia-rahsia peribadi dan individu-individu lain termasuk maklumat tentang alam ghaib seperti syaitan, malaikat, alam kubur dan alam akhirat. Memang hebat batang tubuh kita ini. Kecil tapi berbagai khazanah ada di dalamnya.
Tapi yang hebat lagi dalam diri kita ini seperti ada berbagai-bagai lautan rasa yang gelombang-gelombangnya bertukar-tukar dengan rupa yang begitu pantas.

Kadang-kadang kita dilambung gelombang rasa gembira, kadang pula rasa sedih, sayu, takut, marah, sayang, rindu, kasih, cinta, gerun, geram, benci, meluat dan jijik. Tidak saja itu, lautan rasa boleh bertukar warna kepada rasa hebat, megah, sombong, tinggi diri, bangga, rasa mampu, rasa selamat, rasaboleh serba serbi.

Tiba-tiba dilanda pula ribut rasa derita, kecewa, putus asa, terseksa, lara, rasa diri tak berguna, rasa hina, rasa lemah, rasa tak selamat, rasa serba tak boleh. Di sudut lain lautan ini membawa irama gelombang yang lain pula. Rasa bakhil, gila dunia, gila kuasa, gila puji, gila wanita, tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, rasa nak tipu, nak bohong, nak mencuri, nak bunuh orang, nak bunuh diri, mengangkat diri, jatuhkan orang dan macam-macam.

Namum janganlah lupa, lautan itu tidak cukup setakat itu. Ada pula jenis gelombang yang indah-indah melayari lautan rasa manusia hingga terbuai-buai kita dibuatnya oleh rasa-rasa sayang. Sayang ibu bapa, sayang isteri, suami. Sayang anak-anak, sayang kawan, sayang jiran dan siapa-siapa yang baik-baik. Sayang kucing, sayang bunga, sayang barang-barang, sayang hidup, sayang kerja, sayang rumah dan sayang dunia.

Seribu satu macam sayang berombak-rombak di dalam dada kita. Diiringi pula oleh rasa-rasa yang indah-indah seperti pemurah, peramah, bersangka baik, berbudi tinggi, lapang dada, berkasih sayang, memaafkan, rasa bersalah dan meminta maaf, rendah diri, memuliakan, ingin disayangi dan membalasnya.

Tapi kemuncak dari semua itu, ada satu rasa yang paling MAHAL dari semua iaitu RASA BERTUHAN . Rasa inginkan Tuhan sewaktu-waktu susah. Ajaibnya penciptaan, pemberian dan anugerah yang maha luas ini. Bagaimana diri manusia yang sekecil ini dibenarkan memiliki seribu satu macam khazanah rohaniah? Siapa pereka, perancang, pencipta dan mengawal system super power ini? Tuhan, bukan? Hanya Dialah yang semampu ini. Hanya Dia yang sebijak dan sekuasa itu! Hanya Dia dan Dia saja. Sebab itulah Tuhan yang Yang Agung ini telah memfirmankan bahawa: “Sesungguhnya manusia adalah sebaik-sebaik ciptaan dan kejadian”

Satu ciptaan yang jauh lebih hebat dari ciptaan gunung, bukit, laut, langit dan bumi. Hanya manusialah terutama manusia bertaqwa yang disempurnakan dengan sesempurna ciptaan. Yakni dibekalkan benih taqwa dalam lautan hati dan roh mereka. Yang mana daripada keseluruhan kecintaan-kecintaan yang disebutkan tadi, mereka dapat tundukkan semuanya kepada cintakan Tuhan yang Agung. Orang yang gagal menundukkan kecintaan kepada Allah, mereka hanya dapat cinta murahan. Cinta inilah yang direbutkan. Sedangkan cinta Allah dibiarkan.

Ada rasa bertuhan, sayang Tuhan, inginkan Tuhan, mencari Tuhan dan bercakap, bertanya, meminta, memanja, mengadu, merintih, merindui, mencintai dan menyayangi Tuhan dengan seagung-agung perasaan cinta.

Perasaan-perasaan ini kalau disuburkan, dibina, dibaja, diarahkan, sungguh mampu akan menjadikan manusia berhati malaikat, yakni mengabdikan seluruh hidup, masa dan jiwa raganya menyembah Allah. Membawa rasa kehambaan dan rasa bertuhan disetiap detikan hati dan jantungnya. Hidup mati ditujukan keada Allah semata-mata.

Inilah yang Allah maksudkan:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah Aku.”

Siapa kenal dirinya nescaya dia kenal Tuhannya. Renunglah penciptaan diri kita. Nescaya kita akan terpegun dan terkejut! Sebab semua kepunyaan kita itu bukan kita yang mengawalkan, mentadbir, mengurusnya. Degupan jantung, kerdipan mata, penapisan ginjal, sedutan dan lepasan nafas, merakamkan maklumat, menyimpan dan mengeluarkannya sepanjang 50 dan 60 tahun, mengalunkan rasa-rasa, gerakan hati yang silih berganti tiada henti-henti, sesungguhnya diluar kawalan kita. Selamat tidaknya diri kita bukan kita yang menentukan. Bila jantung akan berhenti berdegup sekaligus memberhentikan jentera seluruh sistem manusia ini? Bukan kita yang boleh menjawabnya!

Tapi sayang ramai saintis yang menyelidik rahsia penciptaan manusia ini jadi tidak percaya Tuhan bahkan anti Tuhan! Apa mereka tidak perasankan bahawa seluruh keajaiban itu ada mula dan akan berakhir? Oleh siapakah memula dan mengakhirkan itu berlaku? Sedangkan empunya diri pun tidak tahu. Bukankah jawapannya ialah oleh Tuhan?

Instinct atau fitrah kita yang menjawabnya. Sebab fitrah memang dibentuk bersama rasa yakin adanya Tuhan. Rasa mahukan Tuhan. Sebab itu kita bangga mengaku sebagai seorang hamba Tuhan. Tetapi marah kalau orang tuduh kita hamba syaitan, hamba seks, hamba duit dll. Pelik manusia ini, macam-macam yang dicinta tapi marah bila dikaitkan dengan banyak-banyak itu. Sebab cinta itu murah. Sedangkan cinta Tuhan itu mahal. Saintis itu sebenarnya ada rasa-rasa mahukan Tuhan. Terutama waktu-waktu susah mereka akan memanggil Tuhan dengan kata-kata oh my god! Tapi sayang perasaan terhadap Tuhan itu tidak dibaja, tidak disuburkan. Sedang rasa cintakan girlfriend itu begitu dipupuk. Sayang anak itu dibelai-belai. Sayangkan ibu bapa amat dibesar-besarkan. Sayang dunia, sayang pangkat, cinta kereta dan lain-lain sungguh bertakhta di hati. Sanggup hidup mati kerananyalah! Walhal apa sangatlah semua itu pada kita. Dia pernah ada dan pernah tiada.

Sedangkan Tuhan Dialah nafas kita, Dialah makanan kita, rezeki kita, Dialah bank kita, Dialah daya ingatan kita, Dialah manusianya kita, Dialah tidur lena kita, Dialah senyum tangis kita, Dialah nikah kahwin kita, Dialah kaya miskin kita, Dialah sakit sihat kita, tua muda kita, Dialah baik jahatnya kita, Dialah pandai bodohnya kita, Dialah hidup matinya kita, Dialah pandangan kita, penglihatan kita, perasaan beranak tidaknya kita, Dialah accidentnya tidak kita, Dialah orang suka tidaknya kita, Dialah mulia dan hinanya kita, berjawatan dan berkuasa tidaknya kita, jatuh bangun seseorang dan sesuatu kamu pun di tangan Tuhanlah juga. Lihat firmannya Ali Imran ayat 26. “Sesungguhnya Tuhan adalah segala-galanya.”

Tuhan sangat sayang pada kita manusia dan Dia sangat inginkan kita menyayangi-Nya. Kita boleh berkawan dengan-Nya bahkan Dia adalah kawan yang paling setia. Siapa yang kata makhluk manusia tidak boleh berkawan dengan Allah pencipta adalah satu pembohongan.

Sebab Rasulullah SAW ketika akan wafat ada bersabda:
“Aku akan pergi kepada kawan yang Tinggi (Allah)”

Tiada cacat celanya Allah kalau kita jadi kawan Dia. Bukankah setiap saat Dia yang menjaga kita, memberi rezeki dan segalanya? Dia yang menguruskan kita, menolong kita, mengajar, membela, melindung, menjaga, memastikan waktu-waktu kita samaada untuk sihat, sakit, hidup dan mati. Allah tidak hina kerana bersama kita kerana Dia Maha Sempurna. Tiada apa yang boleh mencacat-celakan kesempurnaan-Nya. Dia sebagai kawan setia, prinsip hidup dan tempat rujuk.

Bukankan setiap kali kita sembahyang kita berkata pada-Nya
“Akan Engkaulah kami sembah,Akan Engkaulah kami meminta tolong”

Lagi yang selalu kita ungkapkan kehadrat Allah waktu sembahyang ialah “Ku sembahkan puja dan puji kepada Zat yang menghadiahkan alam ini kepadaku”

Ruginya kita kalau tidak mempedulikan Tuhan. Ruginya kita kalau tidak mengambil Tuhan jadi kawan yang setia. Malangnya kita kalau kita tidak cinta dan tidak sayang pada-Nya. Sedangkan kesayang-kesayangan kita yang lain, tidaklah berjasa dan berbaik pada kita sebanyak yang Tuhan lakukan untuk kita. Akhirnya ketahuilah bahawa kita ada Tuhan. Dia adalah segala-galanya. Oleh itu sayangilah Tuhan.


Filed under: 1) Sayangi Tuhan, KULIAH | 3 Comments »



Wallahu Alam Bishshawab.


Moga Bermanfaat.


Insya ALLAH 

.........................................................

No comments: