27 February 2020

Niat Puasa Ganti Ramadan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh






Subhanallah 100X سبحان الله
Alhamdulillah 100X الحمد لله
LA ILAHA ILLALLAH 100X  لا إله إلا الله
Allāhu akbar 100X  الله أكبر

Alhamdulillah syukur kepada ALLAH



Niat Puasa Ganti Ramadan (Panduan Lengkap)

Bagaimana niat puasa ganti yang betul?
Artikel ini akan bantu anda memahami topik Puasa Ganti Ramadan secara lengkap dan menyeluruh yang merangkumi:
  • Niat puasa ganti (dipermudahkan dengan rumi)
  • Hukum menggabungkan puasa ganti dengan puasa enam.
Dan perkara-perkara penting yang berkaitan dengan fidyah.
Jom kita meneliti topik ini..

Pengenalan

Kewajiban puasa pada bulan Ramadhan merupakan rukun Islam ketiga.
Oleh itu, kita wajib menggantikan puasa jika tertinggal.
Ini termasuk bagi kaum wanita yang tidak berpuasa ketika datang haid.
Hukum qada puasa atau menggantikan puasa Ramadhan ini perlu dibuat mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan.

Lafaz Niat Puasa Ganti

Lafaz bagi niat puasa ganti adalah seperti berikut:
niat puasa ganti
 Nawaitu shouma ghodin an qadaa’in fardho romadoona lillahi ta’alaa. 
Maksudnya:
Sahaja aku niat puasa esok hari kerana mengganti fardu ramadan kerana Allah Taala.

Bolehkan Puasa Ganti Dilakukan Bersama-sama Puasa Enam Syawal Secara Serentak?

Diantara persoalan yang sering timbul berkaitan puasa ganti Ramadan ialah:
Adakah boleh menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa ganti dan puasa enam hari di bulan Syawal?
Sebenarnya berlaku khilaf di kalangan ulama mengenai perkara ini.
Terdapat dua pandangan mengenai hal ini:
  • Pandangan pertama, jumhur ulama mengatakan kita kena puasa ganti ramadan terlebih dahulu, kemudian selepas itu barulah dibuat Puasa Sunat Enam. (pendapat ini lebih afdal)
  • Pandangan kedua, ada sebahagian kecil fuqaha berpandangan bahawa kita boleh melakukan puasa ganti sekaligus dengan Puasa Sunat Enam Syawal. Kita akan dapat dua-dua pahala (qada dan sunat)
Dalam perkara khilaf sebegini, ia terpulang kepada kita nak gunakan pendapat yang mana satu.
Jika pilih pandangan pertama pun boleh, pandangan kedua pun boleh

Siapakah Yang Wajib Melakukan Puasa Ganti?

Golongan yang diwajibkan untuk menggantikan puasa (qada) adalah seperti berikut:
  1. Orang sakit yang ada harapan sembuh.
  2. Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah.
  3. Orang yang kedatangan haid dan nifas.
  4. Orang yang meninggalkan niat puasa.
  5. Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  6. Orang yang pitam/mabuk sewaktu bulan Ramadhan.
  7. Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa pada bulan Ramadan.

Waktu Untuk Melakukan Puasa Ganti

Waktu untuk melakukan puasa ganti adalah bermula selepas bulan Ramadan, sehinggalah sebelum tibanya bulan Ramadan akan datang.
Secara mudahnya, anda mempunyai lebih kurang satu tahun untuk melakukan puasa ganti.
Sebaik-baiknya, elakkan dari bertangguh.
akukan puasa ganti secepat mungkin.
Ini kerana puasa ganti perlu ditunaikan sebelum tibanya bulan Ramadan.
Jika tidak, anda perlu puasa ganti dan membayar fidyah.
Sepanjang setahun itu, dibolehkan untuk berpuasa ganti bila-bila masa sahaja, kecuali pada hari yang diharamkan berpuasa.
Antara hari yang diharamkan berpuasa adalah:
  1. Hari Raya Aidilfitri iaitu 1 Syawal
  2. Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah
  3. Hari Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Bagaimana Jika Bersetubuh Di Bulan Ramadan?

Orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadhan, maka kedua-dua suami isteri tersebut perlu melakukan puasa ganti (mengqada puasa berkenaan)
Dan suami juga wajib membayar kaffarah (denda) seperti berikut:
  1. Memerdekakan seorang hamba mukmin lelaki atau perempuan, sekiranya tidak mampu;
  2. Berpuasa selama dua bulan berturut-turut tanpa terputus kalau tidak terdaya;
  3. Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.
Bagaimana pun jika persetubuhan itu dilakukan kerana terlupa, jahil tentang haramnya atau dipaksa ke atasnya, tidaklah wajib kifarat.

Fidyah Puasa: Untuk Mereka Yang Tidak Mampu Mengganti Puasa

Terdapat keringanan bagi mereka yang  tidak mampu untuk berpuasa ganti. 
Bagi mereka yang tidak berdaya seperti orang tua atau sakit kronik, mereka dibenarkan untuk membayar fidyah.

Apakah Maksud Fidyah Puasa?

Fidyah merupakan bayaran denda yang dikenakan kepada seseorang yang tidak dapat mengganti puasanya di bulan Ramadhan pada sesuatu tahun sehinggalah tibanya bulan Ramadhan tahun berikutnya.

Hukum Fidyah Puasa

Hukum membayar Fidyah adalah WAJIB.
Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
Kewajipan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud :
(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).
— al-Baqarah: 184

Kadar Fidyah Puasa

Fidyah dikira berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk) semasa iaitu sebanyak secupak.
Kadar tersebut berubah mengikut harga yang ditetapkan di sesuatu tempat.
Beras tersebut hendaklah diberi makan kepada fakir dan miskin dan bukan berbentuk wang tunai, pakaian dan sebagainya.
Contoh pengiraan Fidyah
Sekiranya seseorang itu meninggalkan puasa sebanyak 7 hari dan tidak menggantikannya sehingga 3 kali Ramadan, maka jumlah Fidyah yang perlu dibayar perlu didarab dengan 3.
Sebagai contoh, taksiran Fidyah bagi 3 tahun dengan purata 7 hari setahun dan harga secupak (675g) makanan asasi (beras) bersamaan RM1.75. (atau mengikut harga beras yang kita sering makan).
Jika anda meninggalkan puasa sebanyak 7 hari dan tidak menggantikannya sehingga melepasi kali Ramadan, maka jumlah Fidyah yang perlu dibayar ialah 21 cupak beras atau bersamaan dengan RM36.75.
Walaupun sudah membayar Fidyah, namun hutang berpuasa itu masih wajib dilakukan dengan meng-qadha puasa tersebut pada hari-hari yang dibenarkan yang mana anda mampu menggantikannya.
Cara kira harga Fidyah
— 1/4 daripada harga Zakat Fitrah sesebuah negeri.
Sebagai contoh, di Selangor, nilai Zakat Fitrah adalah RM7.
Maka kadar Fidyah sehari tinggal puasa adalah RM1.75, sekiranya tidak menggunakan khidmat institusi.
[/su_note]
Untuk lebih mudah, kita boleh membuat kiraan Fidyah menggunakan kalkulator oleh didapati di laman web rasmi Zakat Selangor

Golongan Yang Dikenakan Membayar Fidyah Puasa 

Sebelum mahu membayar fidyah jika tidak sempat menggantikan puasa terdahulu, ada perkara yang perlu kita fahami dengan jelas kerana bukan semua boleh diselesaikan dengan membayar fidyah, malah puasa tetap wajib diganti juga.
Berikut adalah kategori golongan yang boleh membayar fidyah.
1.Mereka yang tidak dapat ganti puasa sehingga masuk Ramadan kali kedua.
Fidyahnya adalah satu cupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan disamping ganti puasa bagi setahun tertinggal.
Kalau tidak diganti sehingga tiba dua Ramadan, maka dikenakan dua cupak tetapi puasa tetap  juga 1 hari (tiada tambahan)

2.Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.

3.Orang yang terlalu tua dan tidak terdaya untuk berpuasa.

4.Fidyah orang yang meninggal dunia.
Orang yang ada ganti puasa tetapi meninggal dunia sebelum sempat berbuat demikian.
Maka fidyah tersebut perlud dibuat oleh keluarga si mati atau diambil daripada harta pusakanya.

5.Perempuan yang mengandung dan menyusukan anak
Perempuan yang mengandung dan perempuan yang menyusukan anaknya perlu ganti  puasa dan membayar fidyah secupak beras bagi setiap hari yang ditinggalkan sekiranya dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan anaknya.
Tetapi sekiranya dia takut mudarat pada dirinya, dia hanya wajib ganti puasanya.

Penutup: Islam Adalah Agama Yang Mudah

Apakah penerangan dari artikel ini bertepatan dengan kefahaman anda sebelum ini?
Jika tidak, dimanakah silap faham tersebut?
Dan sudahkah anda membuat puasa ganti pada tahun ini.


Semoga bermanfaat

Kongsikan


🕋💎💜🖤💝🖤💎💜💛⛰🌏⛰🇲🇾❣💞💞💟🌍🌎🕌

No comments: