28 February 2020

Mufaraqah (Berpisah Daripada Imam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh






Subhanallah 100X سبحان الله
Alhamdulillah 100X الحمد لله
LA ILAHA ILLALLAH 100X  لا إله إلا الله
Allāhu akbar 100X  الله أكبر

Alhamdulillah syukur kepada ALLAH



Hukum Mufaraqah (Berpisah Daripada Imam) Dalam Solat Berjemaah

mufaraqah
Apakah yang dimaksudkan dengan mufaraqah?
Panduan ini akan membincangkan perkara berkaitan mufaraqah dalam solat berjemaah.
Dalam artikel ini:
Ia juga menerangkan segala perkara yang harus dilakukan oleh makmum dalam solat.

MAKSUD MUFARAQAH

Pengertian mufaraqah dari segi bahasa ialah berpisah atau meninggalkan.
Manakala dari segi istilah pula, pengertian mufaraqah itu adalah serupa sepertimana pengertiannya dari segi bahasa.
Pengertian mufaraqah dalam ibadat sembahyang pula jika dikaitkan mengikut makna dari segi bahasa ialah makmum berpisah daripada mengikut imam dalam sembahyang berjemaah.
Apabila makmum berniat mufaraqah maka terputuslah hubungan sembahyang makmum dengan sembahyang imam, dan apa juga hukum yang berlaku ke atas imam tidak akan menjejaskan hukum sembahyang makmum seperti hukum mengikut imam atau hukum imam terlupa atau tersilap.

BAGAIMANA JIKA IMAM TERLUPA ATAU TERSILAP MELAKUKAN RUKUN SOLAT?

Apabila imam tersilap atau terlupa melakukan rukun sembahyang, maka makmum sunat mengingati imam dengan cara ucapan tasbih (Subhanallah) bagi makmum lelaki dan dengan cara tashfiq bagi makmum khuntsa dan perempuan.
Jika imam menyedari akan kesilapannya lalu mengerjakan rukun yang tertinggal itu, maka wajib bagi makmum mengikut imam tersebut.
Akan tetapi jika imam tidak juga melakukan rukun yang tertinggal itu, makmum tidaklah boleh terus mengikut sembahyang imam tersebut malah haram hukumnya.
Oleh yang demikian makmum wajib berniat mufaraqah dan menyelesaikan sembahyangnya secara bersendirian.

HUKUM NIAT MUFARAQAH

hukum mufaraqah boleh menjadi wajib, sunat, harus, makruh dan haram mengikut keadaan yang berlaku ke atas imam dan makmum.
1.Jika seseorang berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) dan meneruskan solatnya secara bersendirian, hukumnya adalah harus jika ada keuzuran.
Jika tanpa sebarang keuzuran, makruh hukumnya kerana dia mufaraqah daripada solat jemaah yang dituntut sama ada tuntutan secara wajib atau pun sunat muakkad (sangat digalakkan).
2.Keuzuran yang membolehkan makmum niat mufaraqah:
  • Imam terlampau memanjangkan bacaannya.
  • Imam sengaja meninggalkan sunat ab’adh seperti tasyahhud awal dan qunut, maka harus makmum mufaraqah dengan tujuan untuk melakukan sunat itu.
  • Makmum mufaraqah kerana sakit yang dialaminya.
  • Bimbang mengantuk menguasainya atau sesuatu yang merosakkan solatnya.
  • Bimbang hilang atau binasa hartanya atau ketinggalan rombongannya.
PERHATIAN
Mufaraqah daripada imam disebabkan keuzuran tidak meluputkan fadilat berjemaah.
Bahkan kadangkala mufaraqah itu wajib, seperti berlaku sesuatu yang membatalkan solat imam.
Makmum tahu perkara itu, maka wajiblah dia berniat mufaraqah dengan segera.
Kalau tidak, batal solatnya walaupun dia tidak ikut perbuatan imam yang selanjutnya.

KEWAJIPAN MAKMUM DALAM MENGIKUT IMAM PADA SEMUA PERBUATAN SOLAT

1.Wajib bagi makmum mengikuti imam dalam segala gerak solat tanpa mendahuluinya dan tanpa melakukan gerak solat serentak dengan gerak solat imamnya.
Kebiasaan para sahabat yang solat di belakang Rasulullah SAW tidak membongkokkan belakang untuk turun sujud sehingga mereka melihat Baginda telah pun sujud.

2.Jangan mendahului imam dengan dua rukun fi’li dan jangan ketinggalan daripada imam dengan dua rukun fi’li tanpa sebarang keuzuran.

3.Jangan menyalahi imam dalam perkara sunat yang dikira mencacatkan solat apabila menyalahinya.
Perkara-perkara sunat tersebut ialah:
i. Sujud Tilawah:
Wajib mengikut imam (muwafaqah) mengerjakannya atau meninggalkannya. Menyalahi imam dalam melakukannya atau meninggalkannya membatalkan solat.
ii. Sujud Sahwi:
Wajib muwafaqah imam mengerjakannya tetapi tidak wajib pada meninggalkannya, ketika imam melakukannya, wajib makmum turut melakukannya.
Sebaliknya jika imam meninggalkannya, makmum boleh melakukannya setelah pasti imam bukan memberi salam kerana lupa meninggalkan sujud sahwi.
ii. Tasyahhud Awal:
Wajib muwafaqah imam pada meninggalkannya tetapi tidak pada mengerjakannya.
Jika imam meninggalkan tasyahhudawal, wajib makmum meninggalkan tasyahhud awal itu.
Jika dia melakukannya juga (pada ketika imam tidak melakukan itu) dianggap melakukan perbuatan tambahan yang tidak dilakukan oleh imam.
Namun begitu, jika imam melakukan tasyahhud awal, boleh makmum meninggalkan tasyahhud awal tersebut dan solatnya sah kerana dia hanya mendahului imamnya dengan satu rukun sahaja.
PERHATIAN
Doa qunut, tidak wajib muwafaqah pada mengerjakannya dan meninggalkannya.
Sah solat makmum yang tidak membaca qunut walaupun dia mengikut imam yang membaca qunut, dan begitulah juga sebaliknya.
Jika imam meninggalkan qunut, makmum masih boleh melakukannya dengan beberapa pertimbangan berikut:
  1. Sunat makmum mengerjakan qunut jika sempat dengan imam pada sujud yang pertama
  2. Harus baginya membaca qunut jika sempat dengan imam pada duduk di antara dua sujud.
  3. Tidak harus lagi melakukannya jika tidak sempat dengan imam kecuali dalam sujud yang kedua.
Makmum yang melakukan qunut yang ditinggalkan oleh imam tidak dianggap melakukan perbuatan tambahan yang tidak dilakukan oleh imam, tetapi dianggap memanjangkan apa yang telah dilakukan oleh imamnya iaitu iktidal.
Perbuatan ini dipanggil “mutakhallif”.

Kesimpulan

Hukum asal solat berjemaah adalah mesti mengikut pergerakan dan perbuatan Imam
Namun harus bagi makmum niat mufaraqah dengan imam dengan keuzuran dan menyempurnakan solat secara berseorangan jika berlaku perkara-perkara seperti yang dibincangkan di atas.
Semoga panduan ini memberi manfaat.




No comments: