28 February 2020

Tafsirkan Mimpi Anda

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh








Subhanallah 100X سبحان الله
Alhamdulillah 100X الحمد لله
LA ILAHA ILLALLAH 100X  لا إله إلا الله
Allāhu akbar 100X  الله أكبر

Alhamdulillah syukur kepada ALLAH




Tafsirkan Mimpi Anda


Terdapat tiga mimpi yang tidak ditakbir atau ditafsir iaitu :
1. Perkara yang dicita-cita pada siang hari maka terbawa-bawa ke dalam mimpi pada malam harinya atau seseorang yang sakit tenat.
2. Seseorang yang belum lagi mandi junub kerana ketika itu syaitan bersama-sama pada anggotanya.
3. Raja yang zalim atau menteri yang zalim.

“Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan Alhamdulillah dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan Isti’azah dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”Diriwayatkan oleh al-Bukhari dari Abi Sa’id.

Mimpi
Mimpi yang dimimpikan di antara masa seseorang hampir lena hingga dia tidur lena adalah benar dan berfaedah. Mimpi-mimpi ini selalunya merupakan pembawa pembukaan dan perantaraan kepada yang luar biasa. Bukti kebenaran mimpi dinyatakan oleh Allah dengan firman-Nya : “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”, maksud Surah al-Fath, ayat 27.Secara umumnya, mimpi berlaku apabila seseorang itu sedang tidur. Boleh juga berlaku dalam situasi lain, seperti ketika pengsan, mabuk, nazak dan sebagainya, dengan syarat physically unconscious or semi-conscious.

Dikatakan mimpi berlaku apabila roh seseorang itu keluar dari jasadnya, cuma yang berbeza dengan kematian ialah roh orang mati keluar terus kesemua sekali dari jasad. Bagi orang yang bermimpi, rohnya hanya keluar dalam ertikata ‘menjenguk’ (extending), masih ada yang tinggal dalam jasad. Sebab itulah orang tidur masih bernafas. Ibarat seseorang yang kakinya berada dalam air tapi dari kepala sampai ke pinggang berada atas permukaan air. Atau, ibarat kaki kanan kat dalam air tapi kaki kiri memijak daratan. Begitulah juga orang yang bermimpi, sebahagian rohnya berada dalam jasadnya manakala sebahagian lagi berada di luar tubuhnya.

Menarik Minat
Mimpi merupakan suatu aktiviti rohani atau rahsia kejiwaan yang amat menarik minat manusia dari semenjak kewujudan manusia di muka bumi ini. Ianya telah menjadi tema perbualan dan juga renungan, baik kepada golongan muda mahupun kepada golongan yang telah berusia, di sepanjang zaman.

Manusia keseluruhanya bermimpi, hatta makhluk Allah swt. yang lain pun bermimpi, kucing dan sebagainya. Kadangkala mimpi itu menggembirakan dan kadangkala tidak, kadangkala mimpi itu tidak dapat difahami dan di tafsirkan, kadangkala mimpi itu juga penuh misteri dan simbolik sehinggakan agak sukar bagi kita sebagai umat manusia untuk menafsirkan makna di sebalik setiap kejadiaan mimpi tersebut.

Pada umumnya setiap daripada kita ingin mengetahui rahsia mimpinya, dan kerana itu juga, sejak zaman dahulu lagi muncul berbagai-bagai percubaan mentafsirkan mimpi telah dilakukan, yang mana akhirnya mewujudkan tukang-tukang takbir mimpi yang menjadikan pentadbiran mimpi sebagai kerjaya. Dan sejak itu orang ramai semakin memberi perhatian yang berat kepada mimpi-mimpi mereka terutama dalam kalangan istana-istana dan pembesar-pembesar.

Setiap mimpi yang aneh dicari akan tafsirannya kepada pentadbir tafsiran mimpi. Kerana itu kisah-kisah dan hikayat-hikayat lama penuh dengan cerita-cerita pengembaraan yang bermula dari mimpi-mimpi yang aneh.

Campur Aduk
Kemudian tafsiran mimpi berubah menjadi tradisi-tradisi yang dicampur aduk di antara dongeng dengan yang sebenar hingga menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan kepada khalayak ramai. Oleh itu untuk menghindarkan manusia dari kesesatan, Allah swt. telah mengajar ilmu-ilmu tadbir mimpi sebenar kepada sesetengah para anbia’Nya seperti Nabi Yusof as. yang meramalkan bencana kemarau tujuh tahun dan Nabi Armia yang meramalkan kehancuran Bani Israil, tetapi ramalan para anbia’ bukanlah ramalan-ramalan malah ramalan itu adalah pemberitaan yang tetap benar dari Allah swt. dalam bentuk yang simbolik.Berdasarkan qias dengan takbir-takbir mimpi anbia’ dan dengan tamthil-tamthil yang dipakai dalam al-Quran dan hadis beberapa ulama Islam di zaman dahulu telah cuba melahirkan kaedah takbir mimpi yang baik dan terkawal. Di antara mereka yang terkenal sebagai tokoh dalam bidang pengkajian ini ialah Muhammad bin Sirin (Ibnu Sirin).

Allah swt. mengkehendaki agar takbir mimpi itu terkawal, terutama mimpi-mimpi yang bersifat meramalkan kejadian masa depan (prophectic) kerana ilmu seperti itu dikurniakan kepada anbia’ Nya dan hamba-hamba yang soleh supaya jangan ada tukang-tukang takbir mimpi yang mendabik dada mengetahui urusan ghaib selain dari Allah swt. Ahli-ahli psikologi moden telah mengemukakan berbagai-bagai teori tentang mimpi. Kebanyakkan mereka memandang rendah kepada mimpi-mimpi itu. Menurut mereka tugas mimpi tidak lebih dari pernyataan angan-angan atau pemuasan angan-angan yang terpendam yang tidak dapat dilaksanakan dalam alam keyataan, atau dengan lain perkataan tugas mimpi adalah menyelesaikan masalah-masalah yang tidak dapat dipecahkan dalam alam kenyataan; kerana itu mimpi dipandang sebagai gelanggang pelarian dari masalah-masalah hidup. Mereka menolak mimpi mempunyai tugas meramalkan kejadian-kejadian masa mendatang, mereka juga memutuskan hubungan mimpi dengan Allah swt.

Tetapi walau bagaimana pun mereka mengaku bahawa takbir mimpi itu adalah suatu kerja yang sukar, kerana mimpi menggunakan bahasa simbol dan lambang-lambang yang sulit, sedangkan bahasa dan lambang-lambang itu pula tidak bersifat standard dan universal. Mereka juga mengaku juga takbir mimpi itu telah diselubungi oleh berbagai-bagai kekarutan dan tahyul akibat dieksploitasikan oleh bomoh-bomoh sihir dan penipu-penipu yang berhasrat memerah kelompok dungu.

Adab Selepas MimpiOleh kerana gelanggang takbir mimpi itu mempunyai banyak tempat-tempat gelincir, menyesat dan merunsingkan fikiran, maka dalam hadis ini Rasulullah saw. memberi satu garis bimbingan yang tegas untuk menghadapi mimpi, iaitu jika kita bermimpi baik dan menggembirakan maka bersyukurlah kepada Allah swt. dengan ucapan Alhamdulillah dan ceritakanlah kepada orang lain dan kepada mereka yang kita sayang dengan dengan harapan bahawa mimpi tersebut akan betul-betul berlaku dan sebaliknya jika kita bermimpi buruk dan merunsingkan maka pintalah perlindungan Allah swt. dari kejahatan syaitan yang mengaturkan mimpi-mimpi yang karut untuk menyiksakan manusia.

Dan seterusnya jangan panjangkan perkara mimpi itu kepada orang lain, kerana mimpi itu tidak mempunyai kuasa sendiri yang boleh mendatangkan mudharat dan bencana kepada kita. Selepas bermimpi buruk juga kita disunatkan melakukan perkara-perkara berikut :

1. Membaca ta’awwuz (A’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim)
2. Meludah kesebelah kiri kita sebanyak 3 kali.
3. Mengubah cara tidur ke sebelah yang lain.4. Bangun sembahyang 2 rakaat (kalau termampu) Kalau diamalkan perkara di atas, insyaallah, mimpi yang buruk itu tidak ada apa-apa kesan ke atas kita.
Mimpi BenarBagi mimpi yang benar, roh tersebut memang keluar (sambil sebahagiannya lagi berada dalam jasad) ke tempat-tempat yang tertentu. Ada yang bermimpi keluar dari bilik tidurnya dan melihat ayahnya sedang membaca suratkhabar di ruang tamu. Bila terjaga, didapatinya memang ayahnya sedang berada di ruang tamu, membaca suratkhabar. Mimpi sebegini digelar ‘mimpi semasa’, kita bermimpi berkenaan apa yang sedang berlaku pada waktu itu (in the current time, but not necessarily space). Ada juga mimpi benar yang menunjukkan perkara yang akan berlaku. Ini terjadi apabila roh seseorang itu ‘menjenguk’ ke masa hadapan.

Kerana itulah para pemikir Islam meyakini bahawa kelajuan roh mengatasi kelajuan masa.
Mimpi benar yang satu lagi ialah mimpi yang ‘kelihatan’ ganjil, atau mimpi qiasan, yang mana dalam keadaan ini roh tersebut memasuki alam yang lain, digelar alam ghaib. Alam ghaib ini ada banyak, antaranya alam barzakh (bila bermimpi bertemu orang yang telah meninggal dunia), alam jin dan sebagainya. Dalam mimpi jenis ini, seseorang itu mungkin bermimpi melihat tempat atau makhluk yang ganjil. Mimpi rambut menjadi panjang, mimpi dipatuk ular atau mimpi tercabut gigi adalah termasuk jenis mimpi qiasan. Mimpi yang disebut dalam Surah Yusuf, juga adalah dari jenis qiasan.

Mimpi LaghaMimpi akibat mainan syaitan dipanggil mimpi palsu, atau mimpi lagha atau lalai. Maksudnya lalai dari menyebut nama Allah swt. sebelum tidur (Is_haque). Biasanya mimpi jenis ini tiada sebarang makna, ataupun dusta.

Dipercayai sewaktu mengalami mimpi jenis ini, hakikatnya adalah salah satu daripada dua keadaan :

1. Roh yang keluar ‘berjalan-jalan’ telah dikelirukan /ditipu oleh syaitan.
2. Roh tidak ke mana-mana, cuma di dalam otak atau fikiran sendiri (contohnya seorang yang terlalu ingin nak jumpa Siti Nurhaliza mungkin akan bermimpi sedemikian (Is_haque). Juga termasuk mainan syaitan.
BimbinganInilah satu bimbingan yang amat praktis untuk menghindarkan manusia dari diganggu oleh mimpi-mimpi yang menyusahkannya. Apa yang perlu kepada mereka ialah hadapi kenyataan hidup sehari-hari dan serahkan masa depan itu kepada Allah swt. Jangan biarkan diri mereka dirunsingkan oleh mimpi-mimpi karut atau dipermainkan oleh tukang-tukang takbir mimpi yang cuba meraba-raba dalam alam ghaib.Rujukan adalah dari pelbagai sumber yang sahih dan nyata.

Mimpi Melihat KematianMiimpi yang mendapat tahu yang umurnya tidak panjang atau akan mati tidak lama lagi selalunya dipanggil mimpi kematian. Mimpi kematian terpecah kepada banyak jenis dan bahagiannya. Renungkanlah agar kita sama-sama dapat menjadikannya satu iktibar di masa hadapan, insyaallah.

Umar bin Subaih al-Sa’id berkata: “Saya bermimpi melihat Abdul Aziz bin Sulaiman memakai pakaian hijau dan di atas kepalanya ada mahkota yang diperbuat daripada berlian. Lalu saya tanya: “Abu Muhammad, bagaimana perasaanmu tentang kematian itu? Dan bagaimana keadaan di sana? “Dia berkata: “Ada pun maut itu, jangan tanya tentang kepedihan dan kesusahannya. Tetapi saya tidak merasakannya kerana kurnia Allah swt. kepadaku.”

1. Penafsiran dan Penyesuaian
Al-Ustaz Abu Sa’id berkata: “Melihat mati dalam mimpi adalah penyesalan daripada perkara yang sangat besar. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mati, kemudian dia hidup lagi, bererti dia mempunyai dosa kemudian dia bertaubat, berdasarkan firman Allah swt. yang bermaksud:Mereka berkata: “Ya Tuhan kami, Engkau telah mematikan kami dua kali dan menghidupkan kami dua kali, lalu kami mengakui dosa-dosa kami.” (al-Mukmin -11)

Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mati tanpa didahului sesuatu penyakit dan hal-hal yang menyebabkan kematian, bererti umurnya masih panjang. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia belum mati bererti sudah dekat ajalnya. Jika orang yang bermimpi itu seolah-olah menyangka bahawa dia tidak mati untuk selamanya, maka dia akan mati dalam perang sabilillah.

Sesiapa yang bermimpi, lalu dia dimandikan dan dikafani, bererti selamatlah masalah keduniaannya tetapi rosak agamanya. Sesiapa yang melihat imam (pemimpin negeri) mati, bererti akan terjadi bencana di negeri itu, sebagaimana juga bermimpi melihat terjadi bencana di satu negeri menunjukkan matinya imam negeri itu.

Sesiapa yang bermimpi melihat mayat seseorang (yang sudah mati), seolah-olah dia mati lagi, lalu orang-orang menangis, yakni tidak sampai berteriak dan meratap, maka ini menunjukkan akan berkahwin salah seorang zuriatnya. Bemimpi melihat tangisan mereka itu menunjukkan terjadinya sesuatu yang menggembirakan bagi mereka. Menurut satu pendapat bemimpi melihat matinya lagi orang yang sebenarnya sudah mati menunjukkan akan matinya salah seorang keluarganya.

Sesiapa yang bermimpi menjumpai mayat, maka dia akan mendapat harta. Jika datang kepadanya khabar kematian seseorang, bererti akan sampai kepadanya khabar kerosakan agamanya dan meningkatnya masalah keduniaannya. Jika dia melihat seolah-olah anaknya mati, maka dia lepas dari musuhnya.

Jika dia melihat seolah-olah seseorang berkata depada seseorang: “Si Polan meninggal dunia “, maka terjadi kesusahan bagi yang memberitahukan itu. Jika orang hamil bermimpi mati dan orang lain menangisinya tanpa meratap, maka dia akan mendapat anak lelaki dan dia akan bergembira.

Menurut satu pendapat orang bujang yang bermimpi mati menunjukkan dia akan berkahwin, sedangkan orang berkahwin yang bermimpi mati menandakan dia akan bercerai. Ini kerana jika terjadinya kematian akan terjadilah perpisahan. Begitu juga orang yang berkawan intim bemimpi mati menandakan mereka akan berpisah.Sedangkan mimpi meratap, sesiapa yang melihat seolah-olah satu tempat di tempat dijadikan tempat meratap, maka akan terjadi pentadbiran yang tidak baik di tempat itu yang menyebabkan ahlinya bercerai-berai.

Sedangkan mimpi menangis, ada dihikayatkan dari Ibnu Sirin bahawa beliau berkata: “Tangisan yang dilihat dalam tidur ialah sesuatu yang menggembirakan. Tetapi kalau tangisan atau ratapan itu disertai dengan tarian tidak baik mimpinya. Jika seseorang melihat ada orang yang mati, yakni orang yang dikenalnya, dan dia meratapnya dan membunyikan terompet, bererti terjadi musibah atau dukacita bagi orang yang dilihat itu atau bagi keluarganya.

Jika seseorang melihat pemimpin mati dan mereka menangis di belakang jenazahnya tanpa disertai dengan ratapan, maka mereka akan melihat sesuatu yang menggembirakan berlaku ke atas pemimpin itu. Sesiapa yang melihat seolah-olah pemimpin mati dan orang ramai menyebut-nyebutnya orang yang baik, bererti ada kebaikan dalam kepemimpinannya.

Sesiapa yang melihat seolah-olah dia berada di tengah-tengah kumpulan orang-orang yang sudah mati, bermakna dia berada di tengah-tengah orang munafik, ertinya dia menyuruh mereka mengerjakan kebaikan tetapi mereka tidak mengendahkan suruhannya itu.

Sesiapa yang melihat dia pun mati dan tinggal bersama mereka bererti dia mati dalam bid’ah atau pergi merantau dan tidak kembali lagi.

Dan hikayat dan sebahagian mereka (ahli mimpi), sesiapa yang melihat seolah-olah dia bersahabat dengan orang mati akan pergi merantau jauh dan di sana dia mendapat kebaikan yang banyak. Jika dia bemimpi makan bersama orang-orang mati bererti panjang umurnya. Dan melihat matinya pemimpin menunjukkan dia akan digulingkan atau diberhentikan. Sedangkan melihat sakaratulmaut juga tidak baik mimpinya.

2. Memandikan mayat
Adapun mimpi memandikan mayat, sesiapa yang melihat mayat memandikan dirinya sendiri, bermakna keluarga atau anak-anak mayat itu lepas dari dukacita dan bertambah hartanya. Jika mayat itu dimandikan oleh seseorang, bermakna ada orang yang bertaubat di tangan orang yang memandikan itu.

Orang yang memandikan menurut asal mimpinya ialah peniaga yang banyak mendatangkan manfaat dan banyak membantu orang susah, atau juga dimimpikan sebagai orang mulia yang bertaubat di tangannya orang-orang yang berbuat dosa.

Sesiapa yang melihat bersama-sama orang yang memandikan, maka dia akan naik dan lepas dari kesusahan. Jika melihat orang-orang mati mencari orang yang membasuh pakaiannya, bererti orang mati, itu sangat berhajat kepada doa, sedekah dan orang yang akan membayar hutangnya dan melaksanakan wasiatnya. Jika orang yang bemimpi itu melihat seseorang membasuh pakaian orang yang sudah mati, bererti ada kebaikan dari yang memandikan itu yang sudah sampai bagi si mayat.

3. Melihat kafan
Manurut satu pendapat kafan dimimpikan dengan suka melakukan zina. Sesiapa yang melihat tidak sempuma pakaiannya, maka dia diajak melakukan zina tetapi tidak mengendahkannya. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia dibungkus dengan kain kafan seperti orang mati, menandakan dia akan mati. Jika dia lihat tidak tertutup kepala dan kakinya bererti ada yang kurang baik dalam agamanya.

Namun demikian terkadang kain kafan yang kurang bagi mayat diertikan sebagai dekatnya kepada taubat sedangkan kain kafan yang berlebihan diertikan sebagai jauhnya daripada taubat.

Sesiapa yang melihat seolah-olah kaum yang tidak dikenal menghiasnya dan memakaikan pakaian kemegahan kepadanya tanpa adanya sesuatu sebab seperti hari raya atau pengantin lalu mereka meninggalkannya bersendirian di satu rumah maka itu menunjukkan akan matinya.

4. Melihat keranda mayat
Sesiapa yang bermimpi seolah-olah dia diusung di dalam keranda, maka akan naik martabatnya dan banyak hartanya. Sesiapa yang bermimpi dimasukkan ke dalam keranda dan tidak ada orang yang mengangkat atau membawanya, bererti dia akan dipenjara.

Sesiapa yang melihat seolah-olah orang yang menghantarnya menangis di belakang kerandanya, maka baik mimpinya, begitu juga kalau dia melihat mereka memuji dan mendoakannya. Kalau dia melihat mereka tidak menangis dan tidak memujinya tidak baik.

Mimpi Sesama Manusia

Adakala kita sering bermimpi yang adakalanya kita berada dalam keadaan bahaya di mana ada orang yang memburu kita dan cuba membunuh kita serta sering berada dalam pelarian dan ketakutan. Baiklah, mimpi sebegini boleh dihuraikan kepada mimpi berjumpa dan melihat orang yang mana terdiri kepada empat golongan iaitu orang tua, kanak, orang yang dikenali dan juga orang yang tidak dikenali. Diharap penerangan di bawah ini boleh dijadikan panduan, wallahuallam.

1. Mimpi melihat lelaki yang dikenali
Al-Ustaz Abu Sa’id berkata; “Bermimpi melihat lelaki yang dikenal menunjukkan akan mendapatkan sesuatu daripadanya, dari orang yang mirip dengannya atau yang satu nama dengannya.”

Maksud bemimpi menerima barang-barang berharga daripadanya bererti mendapatkan sesuatu yang dicita-citakan daripadanya. Kalau yang bermimpi itu orang yang layak menjadi pemimpin dan dia melihat menerima kemeja baru daripadanya, maka dia akan memimpin orang itu. Bermimpi menerima tali dari seseorang bererti ada berjanji denganya.

2. Melihat orang tua
Melihat orang tua yang tidak dikenal atau yang berumur 35 tahun ke atas menunjukkan terbatasnya umur orang yang bermimpi itu. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mengikuti orang tua, bererti dia mengikut kebaikan. Sesiapa yang melihat orang tua Rasytaq, bererti dia mendapat kawan yang luas atau ganas dan melihat orang tua Turki bererti dia mendapat kawan yang baik.

3. Melihat pemuda / tidak dikenali
Mimpi pemuda adalah musuh. Bermimpi melihat pemuda putih merupakan musuh yang tersembunyi, pemuda hitam adalah musuh yang kaya, pemuda berkulit kemerah-merahan merupakan musuh yang tua.

Jika orang yang bermimpi itu melihat diikuti oleh pemuda bererti dia akan berjumpa dengan musuh. Jika dia melihat bertembung melihat orang tua berubah menjadi anak muda, maka bermacam-macam mimpinya. Ada yang mengatakan dia akan mendapat kesenangan. Ada yang mengatakan dia akan mendapat kemerosotan, sama ada masalah dunia atau agamanya, ada yang mengatakan dia akan mati.

Jika dia melihat pemuda yang tidak dikenal dan sangat marah melihatnya, maka dia akan berjumpa dengan musuh yang sangat dibenci orang. Jika dia senang melihatnya, maka dia akan bertemu musuh yang disukainya.Perempuan yang melihat perempuan muda dalam tidurnya bererti itu adalah musuh baginya dalam keadaan apa pun. Tetapi bermimpi melihat perempuan tua, bererti itu dunianya. Jika dia melihat wanita itu berhias mendedahkan auratnya, maka dia akan mendapatkan kesenangan dunianya. Jika dia melihat wanita tua itu berpaling muka, maka hilanglah kemegahannya.

Jika dia melihat orang tua masuk ke dalam rumahnya bererti dia akan mendapat kesenangan dunia dan jika dia melihatnya keluar dari rumahnya bererti hilang kesenangan dunianya. Kalau dia melihat wanita tua itu bukan Islam bererti kesenangan yang itu kesenangan yang haram, tetapi kalau Islam bererti kesenangannya itu kesenangan yang halal.

Jika dia melihat seolah-olah wanita muda bertukar menjadi wanita tua menunjukkan baiknya dunianya. Jika ada lelaki melihat wanita tua yang tidak suka kepadanya sedangkan dia suka melihatnya bererti dia susah mendapat kesenangan dunia. Jika wanita itu nampaknya suka kepadanya, maka dia mendapat kesenangan dunia sekadar kesukaan wanita tua itu.

4. Melihat kanak-kanak
Mimpi kanak-kanak ialah musuh yang lemah. Jika ada lelaki yang bermimpi seolah-olah dia berubah menjadi kanak-kanak bererti hilang maruahnya. Namun demikian mimpinya itu menunjukkan akan hilangnya kesusahannya. Jika dia melihat seolah-olah mendukung kanak-kanak, bererti dia akan mentadbir kerajaan.

Sesiapa yang melihat seolah-olah dia belajar Quran atau adab bererti dia lepas dari dosa. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mempunyai anak yang ramai bererti akan menghadapi kesusahan kerana mengurus kanak-kanak pun banyak kesusahannya.Menurut hikayat, ada seorang lelaki mendatangi Ibnu Sirin dan berkata: “Saya bermimpi seolah-olah di bilik saya ada kanak-kanak menjerit” Maka Ibnu Sirin berkata: “Takutlah kepada Allah dan janganlah memukul orang dengan kayu.”

Melihat kanak-kanak perempuan dalam tidur bererti mendapat keringanan dan kemudahan setelah, menghadapi kesusahan. Sesiapa yang bermimpi membeli hamba abdi bererti dia mendapat kesusahan dan sesiapa yang bermimpi membeli hamba sahaya akan mendapat kebaikan.

Jika ada hamba abdi, yang belum akil baligh, bemimpi seolah-olah dia sudah baligh bererti dia akan merdeka. Jika dia melihat seolah-olah sudah baligh, lalu diberikan kepadanya kain putih, maka dia akan mengahwini perempuan merdeka. Jika dia melihat diberikan kepadanya pakaian hitam bererti dia menikahi perempuan bekas hamba sahaya. Jika dia melihat diberikan pakaian merah bererti dia akan mengahwini perempuan mulia. Tetapi jika orang yang sudah tua bermimpi seperti ini maka dia akan mati. Jika orang yang mengerjakan maksiat tersembunyi melihatnya, maka akan ketahuan perbuatannya.

Sesiapa yang bermimpi mempunyai anak lelaki yang sudah akil baligh, bererti itu merupakan kemegahan dan kekuatan baginya. Tetapi kemegahan dan kekuatan itu lebih besar kemungkinan berlaku pada ibu anak itu. Perempuan yang bermimpi mempunyai anak lelaki yang sudah dewasa, bererti satu kebaikan yang akan datang kepadanya. Nainun demikian kata satu pendapat orang yang mempunyai anak kecil, kemudian dia melihat seolah-olah sudah dewasa, bererti menunjukkan akan matinya. Kata yang lain lagi melihat kanak-kanak seolah-olah sudah menjadi dewasa menunjukkan kepada kekuatan dan pertolongan.

Ada orang yang isterinya sedang hamil bermimpi seakan-akan lahirnya anak lelaki tetapi rupanya isterinya melahirkan anak perempuan. Ada juga yang bemimpi mendapat anak perempuan tetapi dia mendapat anak lelaki. Bahkan ada juga yang tepat seperti yang dilihatnya dalam mimpinya itu.

Ada seorang wanita di Makkah bermimpi seakan-akan di sekeliling Ka’bah ada bidadari-bidadari yang sedang memegang wangi-wangian. Tiba-tiba ada orang berkata kepada wanita itu: “Tahukah engkau bahawa Abdul Aziz bin Abu Daud berkahwin malam ini?” Setelah terbangun rupanya Abdul Aziz sudah mati.

KesimpulanSeperti yang telah katakan pada email saya yang lalu, semua kejadian dan takdir serta ajal maut adalah rahsia Allah swt. Kita boleh berdoa sebagai satu alat perhubungan atau permintaan kita kepada-Nya. Berdoalah dan mintalah dari-Nya. Minta yang baik, maka baiklah datangnya tetapi meminta yang buruk, buruklah jadinya, wallahuallam.

Kita juga boleh mengamalkan adab-adab ketika lepas bermimpi seperti mimpi tersebut amat menghantui kita, disunatkan melakukan perkara-perkara berikut :

1. Membaca ta’awwuz (A’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim)
2. Meludah kesebelah kiri kita sebanyak 3 kali.
3. Mengubah cara tidur ke sebelah yang lain.
4. Bangun sembahyang 2 rakaat (kalau termampu) dan berdoalah agar kita dijauhkan dari musibah dan bencana serta mintalah yang baik-baik serta perlindungan dari-Nya.
Kalau diamalkan perkara di atas Insya-Allah mimpi yang buruk itu tidak ada apa-apa kesan ke atas kita, wallahualam.

Dipetik dan disusun semula dari kitab-kitab karangan Ibnu Sirin, Imam Ad-dahlawi, Imam An-Nawawi dan Imam Ibnu Hajar.

Share this:

No comments: