BismillahHirahmanirRahim
BismillahHirahmanirRahim
BismillahHirahmanirRahim
Alhamdulillah syukur kepada ALLAH

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) bersama Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad di Istana Negara. - Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Tun M boleh teruskan tugas sebagai Perdana Menteri tanpa sekatan
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad masih boleh menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan tiada sekatan walaupun lantikan itu bersifat interim.
Pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata Dr Mahathir boleh terus menjalankan tugas sama seperti lantikannya ke jawatan berkenaan sebelum dilantik semula sebagai Perdana Menteri interim seperti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, hari ini.
Nik Ahmad Kamal berkata, ini kerana dalam perlembagaan tidak dinyatakan mengenai jawatan Perdana Menteri interim.
“Saya tidak pasti apa yang dimaksudkan dengan Perdana Menteri interim kerana mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai lantikan Perdana Menteri bahawa seseorang itu dilantik ke jawatan berkenaan kerana mendapat kepercayaan politik di Parlimen.
“Berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan lantikan Perdana Menteri pada hemat Yang di-Pertuan Agong bahawa seseorang itu mempunyai kepercayaan politik di Parlimen. Tafsiran Perdana Menteri di bawah Perlembagaan tidak disebut atau menyentuh langsung mengenai wujudnya jawatan Perdana Menteri interim, namun apa-apa pun lantikan sudah dibuat,” katanya kepada BH mengulas pelantikan Perdana Menteri interim yang diumumkan hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan media menyatakan Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.
Pelantikan Mahathir diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai Perdana Menteri interim, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet baharu dibentuk.
Kira-kira jam 1 tengah hari tadi, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia
kepada Yang di-Pertuan Agong.
Nik Ahmad Kamal berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Dr Mahathir boleh menjalankan kuasa Perdana Menteri mengikut lunas perlembagaan dan tiada sekatan walaupun lantikan itu bersifat interim.
“Saya kira beliau boleh meneruskan tugas tanpa sebarang sekatan bersifat interim. Beliau boleh teruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri sama seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, pakar perlembagaan dan jurisprudens watan yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pelantikan Perdana Menteri interim adalah mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan walaupun tiada istilah itu dalam perlembagaan.
Katanya, beliau melihat istilah Perdana Menteri interim itu adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong selepas mendapati Dr Mahathir masih mendapat sokongan majoriti walaupun sudah meletak jawatan.
“Perlu difahami Parlimen tidak dibubarkan. Jika mengikut amalan biasa sebelum seorang boleh menjalankan tugas Perdana Menteri, apabila Dewan Rakyat dibubarkan yang dipanggil kerajaan sementara.
“Dalam kes ini, Parlimen tidak terbubar dan Yang di-Pertuan Agung dengan kuasa prerogatif melantik Perdana Menteri interim yang mana saya kira ia sama dengan pelantikan Perdana Menteri. Bermakna Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim masih boleh menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri seperti termaktub dalam Perkara 43, Perlembagaan Negara.
“Pada masa ini, apabila Dr Mahathir meletak jawatan dan peletakan jawatannya diperkenankan bermakna barisan Kabinetnya sudah terbatal. Seperti dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, pelantikan Perdana Menteri interim itu boleh menjalankan tugasnya sehingga Perdana Menteri baharu angkat sumpah dan pembentukan Kabinet baharu,” katanya.
Seorang lagi pakar perlembagaan, Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata Kabinet Dr Mahathir terbatal selepas Dr Mahathir meletak jawatan.
Katanya, Kabinet sedia ada tidak boleh berfungsi sebagai kerajaan sementara, kerana tiadanya pembubaran Parlimen.
“Dewan Rakyat masih ada, hanya Dr Mahathir meletakkan jawatan maka Kabinetnya terbatal,” katanya.

Kuasa Perdana Menteri Interim ditentukan Agong
KUALA LUMPUR: Istilah “Perdana Menteri interim” tidak ada dalam Perlembagaan.
Oleh itu, definisi fungsi dan skop kuasa PM interim perlu merujuk kepada beberapa peruntukan berkaitan kuasa Yang Di-Pertuan Agong yang melantik PM interim, kuasa Perdana Menteri dan kaedah penubuhan kerajaan, serta keseluruhan semangat Perlembagaan itu sendiri.
Perlantikan PM interim ini berlaku selepas baginda berkenan menerima peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) kemudian mengumumkan bahawa tugas-tugas anggota pentadbiran, merangkumi Timbalan Perdana Menteri, para menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, adalah terhenti pada tarikh peletakan jawatan Perdana Menteri.
Penamatan fungsi ini adalah berdasarkan peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan.
Dari sudut Perlembagaan, peletakan jawatan seorang Perdana Menteri menyebabkan seluruh Kabinet tidak lagi berfungsi secara biasa.
Dengan lain perkataan, peletakan jawatan Perdana Menteri membawa maksud peletakan jawatan seluruh anggota Kabinet.
Prinsip ini dapat difahami dari Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan. Penamatan jawatan anggota kabinet dan pemegang lantikan politik lain di bawah Perkara 43(5) memperkukuhkan konsep ini.
Walau pun tiada kabinet, pentadbiran biasa kerajaan tetap berjalan tanpa terhenti.
Situasinya hampir sama dengan situasi pembubaran Parlimen. Konsep Raja Berperlembagaan yang berjalan seiring dengan konsep Demokrasi Berparlimen menjadikan sistem pentadbiran negara mampu terus utuh, stabil dan kukuh walau pun terdapat kekosongan dalam konteks perjawatan politik.
Dalam situasi ketiadaan anggota kabinet, Seri Paduka dapat melaksanakan peranan asasi baginda sebagai ketua utama negara.
Diperturunkan di sini beberapa peruntukan Perlembagaan berkaitan kedudukan Seri Paduka:
a. Perkara 32(1): Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.
b. Perkara 39: Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
c. Perkara 41: Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.
Berdasarkan kuasa asas dimiliki ini, maka bagi melancarkan pentadbiran, baginda melantik Dr Mahathir sebagai PM interim.
Perkataan interim bermaksud sementara. Oleh itu, ia tentunya tertakluk kepada skop kuasa yang dihadkan dan tertakluk kepada arahan baginda dari masa ke semasa.
PM interim tidak mempunyai kuasa seperti Perdana Menteri biasa yang dilantik mengikut Perkara 43(2)(b), sebaliknya dilantik berteraskan kuasa Yang di-Pertuan Agong secara umum mengikut Perkara 32(1) dan Perkara 39. Ia juga dilantik bagi tujuan khusus yang dinyatakan dalam kenyataan KSN.
Dalam kenyataan KSN, disebut bahawa “Baginda telah berkenan untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu.
Dinyatakan juga bahawa, “selaku Perdana Menteri interim, beliau akan menguruskan pentadbiran Negara sehingga Perdana Menteri dan ahli Kabinet yang baharu dibentuk.”
Berdasarkan kenyataan tersebut, peranan PM interim ini adalah terhad kepada dua fungsi, iaitu:
a. Menguruskan pentadbiran negara. Dalam hal ini skop kuasa PM interim hampir serupa dengan skop kuasa kerajaan sementara (caretaker government) yang berlaku selepas Parlimen dibubarkan.
b. Membantu bagi melancarkan proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu.
Perlu diingatkan juga bahawa dalam pelantikan Perdana Menteri baharu YDPA mempunyai budi bicara yang mutlak berdasarkan:
a. Perkara 40(2) yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(i) melantik seorang Perdana Menteri;
(ii) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; dan
b. Perkara 43(2)(b) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
Pendapat atau hemat YDPA berkaitan seseorang yang “mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat” tidak boleh dicabar di mahkamah atau mana-mana tribunal. Jika ada pihak yang tidak puas hati, dia boleh mengemukakan usul tidak percaya di Dewan Rakyat kemudiannya.
Bahkan, dalam situasi tiada siapa yang memenuhi kriteria “mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”, YDPA boleh menggunakan kuasa asasi Baginda untuk membubarkan Parlimen, demi kebaikan rakyat dan untuk menamatkan polemik yang ditimbulkan oleh pemimpin politik.
Ringkasnya, skop kuasa PM interim adalah tertakluk kepada kuasa YDPA yang mempunyai kuasa asas sebagai ketua utama negara. Perjalanan pentadbiran negara tidak terjejas dengan ketiadaan Kabinet.
Sementara menunggu urusan penubuhan kerajaan baharu selesai, seluruh rakyat wajar bersabar dan bertenang serta memberikan kesetiaan dan kepercayaan kepada Seri Paduka bagi merungkaikan kekusutan yang berlaku.
Penulis adalah Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan)
Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Tiada had tempoh jawatan PM interim - Peguam Negara
PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berkata tiada had tempoh bagi jawatan Perdana Menteri interim, untuk menggunakan kuasa budi bicaranya bagi melantik Menteri Kabinet yang baharu.
Beliau berkata, walaupun berstatus interim, Perdana Menteri memiliki semua kuasa yang diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri, termasuklah untuk melantik atau tidak melantik anggota Kabinet.
Oleh kerana Dewan Rakyat bersidang mulai 9 Mac ini, suatu usul undi percaya boleh digerakkan terhadap beliau atau sesiapa sahaja.
"Tiada had tempoh untuk Perdana Menteri interim. Oleh yang demikian adalah salah untuk menyatakan (tempohnya) selama 10 hari atau waktu lain yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan sebuah portal malam ini.
Petang tadi, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim.
Katanya, pelantikan itu sementara menunggu seorang Perdana Menteri yang baharu dilantik untuk mengangkat sumpah jawatan, mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong juga memperkenankan untuk membatalkan semua pelantikan menteri dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) mengikut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan, selaras peletakan jawatan oleh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa hari ini.

- Foto hiasan
Kuasa Agong lantik Jemaah Menteri sementara
Pelbagai pihak memberi pandangan dan memperkatakan status Kerajaan Persekutuan dan negeri apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Kerajaan Persekutuan pada hakikatnya ialah Yang di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri baginda.
Kebanyakan pandangan membahaskan kewujudan kerajaan sementara atau ada yang mempopularkannya sebagai a caretaker government berdasarkan amalan Westminster dan di negara Komanwel apabila Parlimen dibubarkan.
Penulisan ini berbeza kerana menonjolkan prerogatif, iaitu hak khusus atau istimewa Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan.
Prerogatif Yang di-Pertuan Agong hendaklah dihurai berdasarkan adat Melayu, bukan tertakluk kepada amalan Westminster.
Prerogatif ialah manifestasi daripada kedaulatan dan menurut Laporan Jawatankuasa Kerja Penggubalan Perlembagaan 1946, kedaulatan Raja-Raja Melayu itu hendaklah menurut adat Melayu.
Dalam buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan (2018), dihujahkan bahawa Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 memperuntukkan: "Dengan syarat bahawa common law dan kaedah ekuiti dan statut pemakaian am akan terpakai sejauh yang diizinkan oleh keadaan di negeri dalam Malaysia dan penduduknya dan tertakluk pada penyesuaian seperti yang diperlukan oleh keadaan tempatan".
Ia menunjukkan kedudukan prinsip perundangan Islam, adat Melayu dan agama orang Melayu hendaklah terlebih dahulu diambil kira sebelum mengimport common law dan kaedah ekuiti dari luar.
Prinsip di atas selaras dengan pandangan Hakim Sproule dalam Kes Re Yap Kwan Seng's Will (1924) 4FMSLR 313.
Hakim Sproule berkata: "Dengan itu, sudah dihujahkan kepada saya bahawa satu sebab penting pengambilan kaedah terbabit di Tanah Jajahan itu tidak wujud di sini, berasaskan hakikat bahawa negeri ini tidak diserahkan kepada British dan bukan wilayah yang baik diduduki, tetapi adalah negeri yang melalui perjanjian meminta sedikit sebanyak perlindungan dan pengawalan British.
"English Common law tidak dibawa ke mari atau diambil pada bila-bila masa jua pun. Apa yang dikatakan ialah beberapa bahagian daripada undang-undang itu dimasukkan oleh perundangan yang mengambil bukan undang-undang Inggeris, tetapi mengambil prinsip Inggeris dan model bagi undang-undang tempatan".
Prerogatif Yang di-Pertuan Agong
Justeru, apabila Parlimen diperkenankan untuk pembubaran oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, kuasa baginda untuk menubuhkan Jemaah Menteri sementara, perlu dilihat dari sudut prerogatif baginda yang tidak dibataskan oleh Perlembagaan Persekutuan apabila berlaku sebarang kesamaran.
Jemaah Menteri juga terbubar bersama-sama pembubaran Parlimen, namun kedudukan Yang di-Pertuan Agong tidak terjejas walaupun baginda juga salah satu organ Parlimen.
Oleh kerana prinsip Perlembagaan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong melaksanakan pemerintahan negara berdasarkan nasihat eksekutif, kecuali perkara yang jatuh di bawah budi bicara baginda, dalam tempoh pembubaran Parlimen itu sehingga Ahli Dewan Rakyat terpilih, baginda perlu membentuk Jemaah Menteri sementara.
Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Jemaah Menteri sementara adalah berdasarkan kedaulatan dan prerogatif baginda yang termaktub dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.
Kedaulatan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong adalah apa yang dimiliki Raja-Raja Melayu kerana baginda wakil pemerintah Raja-Raja Melayu pada peringkat Persekutuan.
Perkara 181(1) berbunyi: "Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja sebagaimana yang sudah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas".
Justeru, apabila peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak membataskan, prerogatif sedia ada kekal pada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Jemaah Menteri termaktub dalam Perkara 43(2) melalui dua keadaan.
Pertama, dalam tempoh hayat Parlimen bersumberkan peruntukan yang berbunyi: "Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut: (b) atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri-menteri lain dari kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen".
Kedua, dalam fasal sama, seterusnya terdapat situasi pelantikan dibuat ketika Parlimen terbubar.
Peruntukan itu berbunyi: "Tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat ketika Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi Ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik, tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan jika dia sudah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah Ahli Dewan Rakyat yang baharu itu dan dalam apa hal-hal lain, dia ialah Ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara".
Peruntukan Perkara 43(2) perlu dibaca bersama-sama prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Syarat lantikan
Apabila Parlimen dibubarkan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Jemaah Menteri sementara, sama ada memperkenankan Jemaah Menteri yang lepas atau membentuk Jemaah Menteri baharu.
Ia bersama dengan syarat, keanggotaannya adalah dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat sebelum pembubaran Parlimen, bagi maksud untuk menyempurnakan nasihat di bawah Perkara 40(1).
Perkara 40(1) berbunyi: "Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini".
Oleh sebab Jemaah Menteri itu bersifat sementara, sudah sewajarnya ia hanya memiliki kuasa terhad bagi maksud untuk menyempurnakan nasihat dalam hal yang mustahak semasa tempoh pembubaran Parlimen.
Perlu dinyatakan juga bahawa dalam tempoh itu, jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan masih berfungsi untuk meneruskan keputusan yang sah dibuat oleh Jemaah Menteri dalam penggal Parlimen sebelumnya.
Kesimpulannya, dalam konteks di atas, fungsi Jemaah Menteri sementara perlu ditafsirkan.
Penulis adalah Peguam Syarie dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Undang-Undang Perlembagaan (Konsep Kedaulatan Raja-Raja) dari Universiti Kebangsaan Malaysia

5 ciri khusus pemerintahan berasas Islam
SEBAGAI negara yang diinstitusikan oleh Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan, akidah atau pegangan agama baginda Raja mendasari prinsip undang-undang dan sistem politik Persekutuan juga negeri.
Justeru, Yang di-Pertuan Agong selaku wakil Raja-Raja Melayu memerintah Kerajaan Persekutuan dikehendaki melafazkan sumpah berjawatan yang menunjukkan prinsip:
- Akidah - Yang di-Pertuan Agong hendaklah Islam
- Taat setia baginda untuk melaksanakan pemerintahan yang adil menurut Perlembagaan dan undang-undang
- Melindungi pada setiap masa agama Islam
- Menegakkan kedaulatan undang-undang
- Menegakkan keamanan dalam negara
Perkara 181 (1) itu disyaratkan bahawa prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu menurut buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurisprudens, Governan & Prinsip Perlembagaan Persekutuan' (2018) ialah bersumberkan ajaran Islam.
Lantaran itu, ia bercirikan amanah daripada Allah SWT yang bertunjangkan konsep keadilan, syura dan baiah.
Doktrin amanah kedaulatan dijelaskan oleh firman Allah dalam surah Sad (38: 26) yang bermaksud: "Wahai Daud! Sesungguhnya kami menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu."
Pemegang amanah
Pemerintahan Islam mempunyai lima ciri khusus, iaitu pemerintah sebagai pemegang amanah; kewajipan pemerintah untuk menguatkuasakan hukum syarak; larangan melakukan kerosakan; pemerintah dipertanggungjawabkan dalam setiap tindak-tanduknya serta larangan mengangkat orang bukan Islam sebagai pemerintah tertinggi.
Ciri-itu itu pada hakikatnya ialah kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa sebahagian besar fungsi kuasa baginda dilaksanakan oleh Jemaah Menteri dan mereka yang diberi kuasa oleh Parlimen.
Pada masa sama, Perdana Menteri ialah ketua kerajaan Yang di-Pertuan Agong, pilihan baginda dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.
Atas sifat sedemikian, seorang Perdana Menteri hendaklah berupaya melaksanakan amanah daripada Yang di-Pertuan Agong secara adil berserta amalan syura.
Pemerintahan adil dan amalan syura berteraskan kepada ciri-ciri berpandukan kepada sumber al-Quran dan sunah. Justeru, syarat untuk mencapai keadilan adalah seperti berikut;
Suatu amanah hendaklah diserahkan kepada ahlinya - pemerintah atau rakyat melalui proses pilihan raya hendaklah melantik mereka yang benar-benar layak, mempunyai pengetahuan dalam bidang, mampu melaksanakan amanah dengan baik dan ikhlas untuk menjawat amanah dalam pemerintahan.
Akauntabiliti - prinsip kebertanggungjawaban atas sesuatu tindakan, keputusan dan dasar, termasuk juga kewajipan untuk melapor, menjelas dan boleh dipersoalkan dalam Parlimen.
Pematuhan prinsip 'amar makruf dan nahi mungkar'- seorang pemerintah perlu melaksanakan dasar untuk melahirkan rakyat yang baik dan mewujudkan suasana sentosa dalam negara. Dasar dan pelan tindakan hendaklah mempunyai objektif jelas, galakan kepada kebajikan dan pencegahan terhadap kemudaratan, manakala implikasi setiap keputusan perlu diperhalusi agar kesannya sentiasa patuh prinsip syariah.
Sikap teliti - seorang pemerintah hendaklah mengamalkan sikap berhati-hati, cermat, bijaksana dan berwawasan.
Muhasabah - seorang pemerintah hendaklah sentiasa menghitung diri dan mengambil iktibar, menginsafi bahawa kekuasaan, pangkat, harta negeri dan maslahah rakyat itu ialah amanah Ilahi, bukanlah hanya bersifat retorik. Semua tindak-tanduk, keputusan dan perlakuan sebagai seorang pemerintah perlu sentiasa disemak.
Amalan syura
Syura ialah amalan yang ditekankan oleh Islam dalam apa jua proses penggubalan undang-undang dan pembuatan sebarang dasar atau keputusan dasar.
Melalui amalan syura, ketelusan berlaku kerana segala maklumat dikongsi secara sesama dengan semua ahli sebelum sesuatu undang-undang, dasar dan keputusan dicapai.
Ahli majlis syura mempunyai kedudukan sama tinggi, masing-masing boleh menyumbang buah fikiran dan apabila berlaku proses undian, setiap seorang memiliki satu undi. Mereka juga bebas untuk mengemukakan pandangan mengikut kefahaman, ilmu dan fikiran masing-masing.
Ahli yang menganggotai majlis syura pastinya mewakili beberapa golongan masyarakat atau kerjaya, itu pastinya menyediakan platform yang betul untuk menyampaikan pandangan mahupun kritikan.
Begitu juga amalan badan perundangan moden, ia adalah manifestasi konsep syura, ijtihad dan ijmak. Pemerhatian dalam amalan di atas menunjukkan terhimpunnya prinsip ketelusan, persamaan dan kebebasan.
Perundangan Islam secara khusus mengiktiraf kekuasaan syura dalam mencapai keputusan bersama dan mempertahankan prinsip kebebasan, keadilan dan persamaan dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa dan keturunan (Abdul Rashid Moten 2005).
Kerajaan yang memerintah Persekutuan pada hari ini sekian lama memperkenalkan dasar penerapan nilai Islam.
Dasar itu didapati berjaya mengembalikan beberapa prinsip perundangan, ekonomi dan sosial berteraskan ajaran Islam seperti pernah diamalkan sejak ratusan tahun sebelum campur tangan British di Tanah Melayu.
Pengenalan Indeks Syariah Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Februari 2015 satu langkah proaktif untuk memupuk pematuhan dasar dan pelaksanaan kuasa eksekutif berteraskan maqasid syariah, iaitu prinsip tadbir urus berteraskan perundangan Islam.
Pengharmonian undang-undang sedia ada dengan prinsip Islam yang jatuh di bawah bidang kuasa Persekutuan kini sedang diusahakan oleh Jabatan Peguam Negara.
Justeru, amat penting sekali bahawa kepemimpinan negara yang bakal melaksanakan fungsi kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 mempunyai inspirasi juga iltizam untuk meneruskan agenda pemerkasaan prinsip perundangan Islam di negara kita.
Penulis adalah Ketua Lajnah Kajian Strategik Majlis Ittihad Ummah

Anwar dan isteri Dr Wan Azizah sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong tengah hari tadi - Foto NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Anwar selesai menghadap Agong
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, sebentar tadi.
Kereta jenis Lexus yang membawa Anwar dan PROTON Perdana yang membawa Dr Wan Azizah dilihat keluar dari Istana Negara melalui pintu dua pada jam kira-kira 3.15 petang.
Kedua-dua mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira 40 minit bagi memaklumkan berhubung perkembangan politik semasa tanah air.

Terdahulu, kedua-dua mereka tiba di Istana Negara secara berasingan pada jam 2.30 dan 2.40 petang.
Jam 1.00 tengah hari tadi, Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
BERSATU dalam kenyataan rasmi pula mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat.
Tun M tiba di Bangunan Perdana Putra
PUTRAJAYA: Selepas beberapa jam dilantik sebagai Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Bangunan Perdana Putra pada jam 9.29 pagi.
Dr Mahathir tiba di bangunan berkenaan menaiki kereta rasmi plat "Malaysia 2020" diiringi anggota polis.
Beliau turut membalas lambaian wartawan.
Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, selepas menerima peletakan jawatannya pada hari yang sama.
Berikutan itu, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan membatalkan semua pelantikan anggota Kabinet sejajar peletakan jawatan itu.
Sementara itu beberapa barisan kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat meninggalkan kediaman Dr Mahathir di Seri Kembangan sebentar tadi.
Kesemua mereka dikatakan menuju ke Putrajaya.
Antara yang kelihatan adalah Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris.
Mereka keluar dari kediaman itu 15 minit selepas Dr Mahathir bergerak menuju ke Putrajaya.

TUN Dr Mahathir Mohamad memulakan tugas di Bangunan Perdana Putra. - Foto Facebook Dr Mahathir bin Mohamad

Najib hadir ke Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta SRC International pagi ini. NSTP/MUSTAFFA KAMAL
Bicara SRC tangguh, Najib mengadap Istana Negara
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan bersambung hari ini, ditangguhkan esok.
Ia berikutan Najib perlu hadir pada mesyuarat di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah, selepas menghadiri mesyuarat itu, Najib dipanggil mengadap ke Istana Negara.
Pada masa sama, peguam Farhan Read memberitahu mahkamah, saksi pembelaan iaitu Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd, Datuk Rosman Abdullah yang sepatutnya memberikan keterangan hari ini, masih belum bersedia.
Farhan berkata, pihaknya tidak dapat meneruskan dengan mendengar keterangan Rosman hari ini.
Peguam itu turut memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya; bekas Ketua Pesuruhjaya agensi itu, Tan Sri Dzulkifli Ahmad; Bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh; dan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk memberikan keterangan minggu depan.
🕋🇲🇾🇲🇾🇲🇾💜💗💙🕌





No comments:
Post a Comment