BismillahHirahmanirRahim
BismillahHirahmanirRahim
BismillahHirahmanirRahim
Alhamdulillah syukur kepada ALLAH
Panduan Cara Mandi Wajib Yang Betul (Langkah-Demi-Langkah)

Bagaimana cara mandi wajib?
Panduan ini akan membimbing anda menunjukkan cara mandi wajib atau mandi junub yang betul, sempurna dan sah.
Ia juga menerangkan segala perkara yang berkaitan dengannya.
- Bagaimana niat mandi wajib.
- Apakah rukun mandi junub.
Dan paling penting, panduan ini juga menyenaraikan persoalan-persoalan lazim yang sering timbul berkaitan dengan mandi wajib yang boleh anda rujuk.
Isi Kandungan Panduan Ini Adalah:
- Apakah perbezaan mandi wajib diantara lelaki & perempuan?
- Adakah mandi wajib itu sah sekiranya mandi tanpa seurat benang?
- Bolehkah kita hanya niat: Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah Ta’ala Untuk mandi hadas haid, nifas, wiladah, junub?
- Adakah sah menggunakan sabun mandi atau syampu semasa mandi wajib?
- Perlukah mandi wajib sekiranya bermimpi namun tidak keluar air mani?
- Adakah sah mandi wajib sekiranya terdapat luka yang belum kering?
- Adakah sah mandi wajib apabila saya mengosok qubul atau dubur dengan tangan ketika mandi wajib untuk meratakan air ke tempat sulit itu? Bagaimana cara yang betul?
- Setelah selesai mandi wajib boleh ke terus keluar dari bilik air atau ada doa yang perlu dibaca sebelum keluar dari bilik air?
- Hukum mendandan rambut dan mandi wajib dengan rambut dreadlock
- Mandi wajib selepas subuh semasa bulan puasa
- Bersetubuh dengan suami selepas haid, sebelum mandi wajib
- Adakah sah mandi wajib dengan rambut yang diwarnakan?
- Melewatkan mandi wajib kerana menunggu darah haid habis keluar
- Bolehkah menggabungkan dua niat mandi hadas dalam jenis berbeza?
Apakah Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Mandi Wajib?
Mandi wajib adalah asas dalam kesucian kehidupan seorang muslim.
Tanpa mandi wajib yang sah dan sempurna, solat dan ibadah kita yang lain tidak akan diterima oleh Allah.
Oleh itu penting untuk kita memberi perhatian serius mengenai perkara ini.
Terdapat beberapa perkara yang mewajibkan kita untuk mandi wajib.
Antaranya adalah:
1. Bersetubuh (Berjimak)
Sama ada keluar air mani ataupun tidak.
Perlakuan ini ialah apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan perempuan) iaitu dengan memasukkan hasyafah (batasan zakar yang dikhatan) ke dalam faraj.
Diriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW:
Apabila bertemu dua khitan, maka sesungguhnya wajib mandi— Riwayat Ibnu Majah
2. Keluar air mani secara sengaja ataupun tidak
3. Mati selain daripada mati syahid
4. Datangnya haid bagi perempuan
5. Nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin)
6. Wiladah (bersalin)
Apakah Rukun Mandi Wajib?
Terdapat dua rukun mandi wajib, iaitu:
Niat Mandi Wajib (Mengangkat Hadas Besar)

Nawaitu raf ‘al hadasil akbari lillahi ta’ala.
Maksudnya:
Aku berniat mengangkat hadas besar kerana Allah Taala
Membasuh Seluruh Anggota Badan Yang Zahir
Wajib meratakan air ke seluruh anggota badan termasuklah:
- Rambut
- Bulu-bulu yang terdapat di anggota badan
- Kulit telinga yang di sebelah luar
- Kemaluan perempuan yang zahir pada masa ia duduk membuang air kecil
- Kemaluan lelaki dan perempuan yang sebelah belakang yang zahir semasa membuang air besar.
Rambut yang terikat hendaklah diuraikan.
Apabila air tidak kena pada salah satu daripada anggota badan maka mandi itu masih belum dianggap sempurna sahnya.
Perkara Sunat & Perkara Wajib Yang Perlu Dilakukan Semasa Mandi Wajib
Perkara Wajib
- Niat
- Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air hendaklah disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya.
Perkara Sunat
- Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air
- Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan.
- Berwuduk
- Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali
- Membasuh bahagian kanan dulu kemudian kiri.
- Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota.
- Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak.
- Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wuduk
Cara Mandi Wajib Langkah-Demi-Langkah (Kaedah Rasulullah SAW)

Segala amal ibadah yang hendak dilakukan sebaik-baiknya perlu mengikut jejak langkah Rasulullah SAW.
Disini adalah saya tunjukkan cara langkah demi langkah kaedah mandi wajib:
Niat ketika air sampai ke tubuh
Membaca “Bismillah”
Mencuci tangan sebanyak tiga kali
Al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah RA meriwayatkan sebuah hadis mengenai cara Rasulullah SAW mandi dengan katanya yang bermaksud:
Apabila Nabi SAW mandi daripada janabah, Baginda mulakan dengan membasuh kedua-dua tangannya.
Mencuci kemaluan dengan tangan kiri
Menurut riwayat Muslim,
Kemudian Baginda mencurah air dengan tangan kanannya ke atas kirinya, lalu membasuh kemaluannya.
Berwuduk.
Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat.
Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.
Membasuh Kepala
Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram 3 kali dengan air.
Dalam riwayat yang lain:
Baginda membasuh kemaluannya dan kekotoran yang mengenainya.Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk sembahyang.Kemudian Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menyelati dengan pangkal-pangkal rambutnya.Kemudian baginda mencurahkan air di atas kepala sebanyak tiga cebok tangannya ke seluruh kulitnya.
Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala.
Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:
“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”
Meratakan air ke seluruh tubuh badan
Perempuan-perempuan yang mandi kerana haid, sunat menggunakan sedikit kasturi atau benda lain yang agak wangi untuk membasuh dan membersihkan kesan-kesan darah dan bau yang tidak menyenangkan dengan cara melerakkan wangi-wangian itu atas kapas dan dicalit ke dalam faraj (kemaluan).
Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Ambillah sedikit kasturi kemudian bersihkan dengannya
Peringatan:
- Sekiranya terdapat najis di anggota badan maka wajiblah dibasuh najis itu terlebih dahulu
- Mandi junub boleh dirangkumi dengan mandi sunat sekali.
- Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.
- Setelah mandi hadas besar maka tidaklah lagi diwajibkan mengambil wuduk apabila hendak mengerjakan solat dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara membatalkan wuduk semasa mandi.
Hukum Mandi Wajib Dalam Kolam dan Sungai
Hukumnya sah.
Sama ada dia mandi dalam air yang tenang (seperti kolam air) atau air yang mengalir (seperti sungai).
Tapi jika dalam kolam mandi, mestilah kolam air itu melebihi 2 qullah (228 liter).
Jika tidak sampai 2 qullah, air itu akan menjadi mustakmal apabila dibuat untuk mandi wajib.
Cuma berbalik pada syarat sah mandi wajib, iaitu menyampaikan air pada seluruh anggota yg zahir (luaran) seperti keseluruhan rambut, bulu-bulu, bawah kuku, lubang telinga yang zahir (had yang sehinga boleh dimasuki jari), termasuk celah punggung dan zahir dubur (lubang tempat keluar najis yang fleksibel itu), yakni wajib dibukakan sedikit (diteran sedikit) dan dikenakan air padanya.
Manakala pada rambut pula, jika ia disanggul wajib dibuka sanggulnya agar dikenakan air.
Adapun anggota yang batin (dalaman) sahaja tidak wajib dikenakan air, seperti lubang telinga yang batin (yakni had yang tak boleh dimasuki jari) dan lubang hidung.
Syeikh Zainuddin al-Malibari di dalam Fathul Mu’in berkata:
Terhasil (sah mandi wajib) di dalam air yang tenang (kolam air) dengan (disunatkan pula) menggerak-gerakkan semua anggota badan sebanyak tiga kali.” [Fathul Mu’in]
Syeikh Arsyad al-Banjari di dalam Sabilal Muhtadin berkata:
Dan jikalau mandi (wajib) seorang dengan menyelam ke dalam air yang mengalir (sungai) maka memadai ia (mendapatkan sunat) pada menigai (tiga kali) itu (dengan) lalu (mengalir) atasnya tiga jerih air.” [Sabilal Muhtadin]
Syeikh Asyad al-Banjari menambah lagi:
Dan jikalau ada air itu tenang (kolam air) maka hasil (dapat pahala sunat) menigai (tiga kali) itu dengan mengangkatkan kepalanya dan memindahkan (menggerakkan) kedua kakinya di dalam air (sebanyak) tiga kali, atau (dapatkan pahala sunat) dengan berpindah (bergerak) ia di dalam air, daripada tempatnya kepada tempat (posisi) yang lain tiga kali.” [Sabilal Muhtadin]
Apakah Jenis-Jenis Mandi Sunat?
Terdapat beberapa peristiwa dan keadaan yang disunatkan untuk kita melakukan mandi sunat.
Antaranya adalah:
- Mandi kerana hendak pergi solat Jumaat
- Mandi dua hari raya iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha
- Mandi selepas memandikan mayat
- Mandi selepas sembuh daripada penyakit gila
- Mandi selepas berbekam
- Mandi kerana hendak ihram
- Mandi kerana hendak masuk Kota Makkah
- Mandi kerana hendak wuquf di Arafah
Persoalan-Persoalan Lazim Mengenai Mandi Wajib
Disini dikumpulkan beberapa soalan lazim mengenai permasalahan mandi wajib.
Apakah perbezaan mandi wajib diantara lelaki & perempuan?
Tiada bezanya mandi wajib lelaki dan perempuan.
Cuma bagi perempuan kenalah cermat sikit semasa meratakan air ke rambut dan celah celahan, supaya air sampai.
Adakah mandi wajib itu sah sekiranya mandi tanpa seurat benang?
Hukum mandi telanjang adalah makruh dan sebahagian Syafieyyah menguatkan pendapat haram.
Al-Hafiz berkata: “Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.”
Justeru, sah mandi dalam keadaan telanjang tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain.
Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.
Sumber rujukan:
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini
Bolehkah kita hanya niat: Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah Ta’ala Untuk mandi hadas haid, nifas, wiladah, junub?
Ya boleh.
Dengan kita niat mengangkat hadas besar iaitu (mandi junub) maka terangkat kesemua semua hadas besar termasuklah mandi haid, nifas, wilada dan lain-lain.
Adakah sah menggunakan sabun mandi atau syampu semasa mandi wajib?
Adalah seeloknya kita mandi seperti biasa dahulu dan diikuti mandi wajib.
Ataupon mandi wajib dahulu setelah semunya dah rata, maka bolehlah gunakan sabun dan syampu, takut berubahnya air mutlak disebabkan air sabun atau syampu.
Perlukah mandi wajib sekiranya bermimpi namun tidak keluar air mani?
Jika seseorang bermimpi melakukan jima’ tanpa keluar mani, adakah dia perlu mandi wajib dan menggantikan (qadha) solatnya?
Jawapan:
Sesiapa yang bermimpi tetapi tidak keluar air mani, maka tidak perlu baginya untuk mandi wajib.
Adakah sah mandi wajib sekiranya terdapat luka yang belum kering?
Untuk mandi wajib ketika ada anggota badan yang tidak boleh terkena air disebabkan mudarat, maka hendaklah dibalut dahulu angota tersebut supaya tidak terkena air.
Ketika mandi wajib, wajib kita ratakan air ke seluruh badan melainkan anggota badan yang tidak boleh terkena air (yang berbalut ).
Selepas selesai mandi wajib hendaklah bertayamum untuk menyempurnakan mandi wajib tersebut.
Adakah sah mandi wajib apabila saya mengosok qubul atau dubur dengan tangan ketika mandi wajib untuk meratakan air ke tempat sulit itu? Bagaimana cara yang betul?
Sah mandi wajib apabila tangan menyentuh qubul atau dubur, tetapi wuduk akan terbatal.
Jika tidak mahu terbatalnya wuduk, mandi menggunakan kain basah dan gosok dengan berlapik di kawasan yang sulit.
jika wuduk terbatal juga, boleh ambil semula wuduk selepas mandi junub.
Setelah selesai mandi wajib boleh ke terus keluar dari bilik air atau ada doa yang perlu dibaca sebelum keluar dari bilik air?
Selesai mandi wajib boleh sahaja terus keluar.
Tetapi di sunatkan berdoa setelah keluar bilik air.
Hukum mendandan rambut dan mandi wajib dengan rambut dreadlock
Soalan:
Jika seseorang buat rambut dreadlock seperti Bob Marley. Adakah sah dia bersuci mandi wajib jika berjunub?
Jawapan:
Mempunyai rambut dreadlock tidaklah menyebabkan air mandi wajib tidak sah.
Mandi wajib hanya tidak sah apabila air tidak sampai ke rambut dan kulit kepala.
Rujukan lanjut mengenai hukum mendandan rambut dreadlock boleh dirujuk: Hukum mendandan rambut dreadlock
Mandi wajib selepas subuh semasa bulan puasa
Soalan:
Apakah hukum kita melewat-lewatkan mandi wajib (mandi selepas azan subuh untuk tunaikan solat subuh) selepas bersama dengan isteri pada malam hari bulan Ramadan?Adakah sah puasanya kerana kita mandi wajib selepas azan subuh?
Jawapan:
Melewat-lewatkan mandi janabah selepas bersama isteri pada malam hari bulan Ramadan sehingga terbitnya fajar tidak menghalang sahnya puasa, sebaliknya makruh melakukan demikian itu.
Justeru, sunat bersegera untuk mandi wajib sebelum terbitnya fajar.
Dalilnya seperti yang disebut dalam kitab Bulugh al-Maram, daripada Saidatina Aisyah R.anha:
Sesungguhnya Nabi SAW pernah bangun pagi dalam keadaan berjunub akibat jima’ (pada malamnya), lalu Baginda mandi (wajib) dan (meneruskan) berpuasa.— Hadis Muttafaqun ‘alaih
Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas subuh.
Ini pendapat majoriti ulama.
Sumber rujukan:
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini
Bersetubuh dengan suami selepas haid, sebelum mandi wajib
Soalan:
Jika kita di hujung haid, terus bersama. Saya tidak ingat dan tidak pasti sama ada sudah mandi wajib atau belum. Sebab sudah 3 minggu berlalu.
Jawapan
Pertama:
Akhir haid dikira dengan habisnya darah.
Begitu juga jika habisnya tempoh sebanyak-banyak haid, iaitu 15 hari.
Selepas itu dikira suci dan jika darah masih ada maka dikira sebagai darah istihadah.
Kedua:
Apabila sudah kering haid tetapi belum mandi, adakah dikira suci atau masih lagi dikira haid?
Hal ini khilaf di kalangan ulama’ berdasarkan nas Ilahi.
Pendapat yang terpilih adalah hendaklah mandi wajib dahulu sebelum bersama bagi pasangan suami isteri
Sila rujuk pautan ini untuk membaca lebih lanjut mengenai permasalahan ini.
Adakah sah mandi wajib dengan rambut yang diwarnakan?
Soalan:
Saya ada mewarnakan rambut. Adakah sah mandi wajib saya?
Jawapan:
Perlu dilihat pada bahan yang digunakan sebagai pewarna rambut.
Jika sifatnya sama seperti inai, yakni boleh ditimbus air dan nipis, maka sah mandi wajib dan tidak perlu diulang.
Jika tidak, maka boleh dipotong bahagian rambut yang diwarnakan tersebut, atau boleh dilunturkan (bleaching) sehingga hilang zat yang menghalang air sampai, kemudian dilaksanakan mandi wajib semula.
Melewatkan mandi wajib kerana menunggu darah haid habis keluar
Soalan:
Apakah hukum sekiranya seseorang wanita melambatkan mandi wajib dengan niat ingin menunggu lagi jika ada darah haid yang masih tertinggal seperti darah di hujung yang warnanya coklat, kerana kadang-kadang darah berhenti sekejap selama satu atau dua hari dan akan bersambung pada hari berikutnya.
Jawapan:
Dalam kes ini, wanita tersebut perlu memeriksa keadaan dirinya.
Sekiranya darah tidak keluar tetapi apabila dia memasukkan kapas atau seumpamanya ke dalam batin alat sulitnya (bahagian faraj yang tidak wajib dicuci ketika istinja’ dan hanya kelihatan ketika mencangkung) lalu didapati pada kapas tersebut ada kesan darah termasuklah warna coklat, maka dia masih berada dalam keadaan fatrah haid, yakni tempoh haid.
Ini berdalilkan riwayat Aisyah R.Anha:
Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”— Sahih al-Bukhari dan al-Muwatta’
Namun sekiranya dia tidak mendapati warna darah, termasuklah warna kekeruhan dan kekuningan, maka dia sebenarnya berada dalam keadaan naqo’.
Daripada sudut bahasa naqo’ bererti bersih daripada sesuatu.
Adapun daripada sudut hukum, keadaan naqo’ bererti bersih daripada darah haid.
Keadaan naqo’ boleh jadi keadaan haid ataupun suci.
Pada asalnya, apabila berlaku naqo’ maka dia secara zahirnya sudah dianggap berhenti darah haid dan diwajibkan mandi dengan segera dan hendaklah dia melaksanakan kewajipan apabila sudah suci seperti solat dan berpuasa.
Namun, sekiranya seseorang wanita itu memiliki adat muwa`adah al-dam (yakni darah haidnya keluar kemudian berhenti kemudian datang kembali tetapi cukup sehari semalam) – maka di sisi mazhab ada dua pendapat ulama:
Pertama. Wanita itu mengambil hukum suci.
Justeru dia wajib mandi dan melakukan kewajipan ketika bersuci seperti solat dan puasa. Ini merupakan pendapat Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.
Kedua. Wanita itu mengambil hukum haid kerana secara zahirnya masih berhaid kerana mengikut adatnya, justeru tidak perlu mandi lagi sewaktu berlakunya intiqita’ (putus) atau naqo’ itu.
Ini menurut pendapat yang disahihkan oleh Imam al-Rafie, Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin, dan dianggap tepat oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.
Contoh bagi pendapat kedua ialah Nurul mempunyai adat berhaid 7 hari dalam keadaan pada hari keempat akan berlaku naqo’ selama sehari dan sambung keluar darah kembali sehingga hari ketujuh.
Justeru, apabila berlaku naqo` pada hari keempat, Nurul tidak perlu mandi wajib kerana dia masih dianggap haid. Inilah yang difahami daripada fakta soalan penanya di atas.
Namun begitu, sekiranya Nurul menunggu daripada hari keempat sehingga hari ketujuh tetapi tidak kembali keluar darah, maka Nurul diwajibkan untuk mandi dan mengqadha’kan solat-solat yang ditinggalkan pada hari keempat sehingga hari ketujuh kerana berkemungkinan adatnya sudah berubah.
Jawapan di atas tidak merujuk kepada kes wanita mustahadah, mubtada’ah (yang baru mengalami haid bulan pertama), kes haid yang mutaqatti` (terputus-putus) kerana beranggapan bahawa penanya ialah wanita yang beradat dan keluar darah seperti kebiasaan.
Sumber rujukan:
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini
Bolehkah menggabungkan dua niat mandi hadas dalam jenis berbeza?
Soalan:
Salam. Adakah boleh disekalikan mandi wiladah dan nifas? iaitu dilakukan ketika darah nifas sudah kering. Bagaimana dengan lafaz niat tersebut?
Jawapan:
Timbul polemik mengenai seseorang perempuan yang mengalami dua atau lebih hadas besar dalam satu masa, apakah boleh diniatkan sekali dan adakah terangkat mandi wajib untuk hadas-hadas besar yang dialaminya.
Berdasarkan pendapat Imam An-Nawawi Rahimahullah Taala, jika seorang perempuan itu mengalami haid, kemudian dia berjunub, atau sebaliknya, ketika dia berjunub dia didatangi haid, hukumnya tidak sah dia mandi mengangkat hadas junub ketika dia dalam keadaan haid.
Ini kerana hadas junubnya tidak terangkat dalam keadaan seseorang itu masih dalam haid.
Begitu juga sekiranya seseorang mengalami darah wiladah dalam keadaan masih mengalami darah nifas, maka ia hendaklah menunggu sehingga darah nifasnya selesai barulah ia mandi kerana wiladah dan nifas.
Beberapa cara yang boleh diaplikasikan, antaranya:
- Meniatkan setiap hadas besar yang diaalami dan dimaksudkannya. Contoh, jika dia mengalami dua hadas besar iaitu nifas dan junub maka diniatkan kedua-duanya sekali. “ Sahaja aku mengangkat hadas nifas dan junub”
- Memadai niat hanya satu niat sahaja atau satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas.
“Sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar)” atau “Sahaja aku sahaja aku menunaikan fardhu mandi atau seumpama dengannya”.
Kesimpulannya, menurut ulama Fekah, sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih, hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja seperti mana yang keterangan yang disebutkan tadi.
Sumber rujukan:
— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini
Penutup: Bersuci Adalah Perkara Paling Penting Dalam Kehidupan Kita
Taharah atau bersuci merupakan suatu tugas yang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.
Ia adalah punca atau asas penerimaan segala amal ibadat.
Andai seseorang itu mengerjakan ibadah solat tetapi belum bersuci atau mandi wajib junub secara tidak sempurna, maka solatnya dikira tidak sah.
Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda.
No comments:
Post a Comment