Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Subhanallah 100X سبحان الله
Alhamdulillah 100X الحمد لله
LA ILAHA ILLALLAH 100X لا إله إلا الله
Allāhu akbar 100X الله أكبر
Alhamdulillah syukur kepada ALLAH
Mahu Berhenti Merokok?
Mulakan berhenti merokok dengan YAKIN DIRI bahawa anda pasti
boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan
penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.
Langkah 1 BERSIHKAN
Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan
atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam
kereta dan di tempat kerja.
Langkah 2 BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKAN
Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan
seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta
atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok.
Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam
saku baju untuk dibuat peringatan.
Langkah 3 LAKUKAN SAHAJA
Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah
dengan berhenti secara mengejut atau cara “ cold turkey “. Pada hari yang telah
anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya,
beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan
sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.
Langkah 4 TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI
Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui
tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri
anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.
Langkah 5 BERFIKIRLAH SECARA POSITIF
Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik
sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda
sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih,
saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk
tidak merokok.
Langkah 6 DAPATKANLAH SOKONGAN
Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan
sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta
sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak
mempelawa atau merokok berhampiran anda.
Langkah 7 MELAWAN KEINGINAN MEROKOK
Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula
berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi
yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiap kali anda berjaya melawan
keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan
perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan
untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan
keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan
untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya.
AMALAN 4M - PETUA MENGATASI KEINGINAN MEROKOK
MELENGAHKAN-LENGAHKAN
Lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti
melambat-lambatkan mencari rokok. Seandainya rokok ada di tangan, jangan
nyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini
kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda ” nanti ” setiap kali
anda ingin merokok.
MENARIK NAFAS PANJANG.
Tariklah nafas panjang-panjang tiga kali dengan
perlahan-lahan.
MINUM AIR.
Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air
masak suam. Jangan minum air yang mengandungi kafin seperti kopi atau teh,
kerena minuman ini biasanya membuatkan anda lebih teringin merokok seepas
minum.
MEMBUAT SESUATU
Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada
merokok. Contohnya bersiar-siar, makan angin, membaca buku, membuat silangkata,
berkebun dan bersenam.
FAEDAH YANG DIPEROLEHI SEBAIK SAJA ANDA BERHENTI MEROKOK
- Selepas beberapa jam, sistem peredaran darah akan mulai
bersih daripada bahan nikotin.Dalam tempoh 2 hari, hasil sampingan bahan
nikotin akan lenyap dari badan.
- Selapas 6 jam, nadi akan lebih perlahan ke paras yang
lebih normal dan tekanan darah akan menurun sedikit. Ini amat baik untuk
jantung anda.
- Selepas 24 jam, karbon monoksida iaitu salah satu jenis
gas beracun akan mula lenyap dari tubuh. Ini membolehkan lebih banyak oksigen
diserap oleh sel-sel dalam tubuh. Paru-paru akan dapat berfungsi dengan lebih
baik.
- Selepas 2 hari, deria rasa pada lidah akan bertambah baik.
Anda akan dapat menikmati kelazatan makanan, lebih dibandingkan semasa anda
merokok. Deria menghidu akan pulih seperti sediakala. Gigi, rambut, jari,
pakaian dan nafas akan menjadi lebih bersih.
- Selepas beberapa minggu, silia dalam saluran pernafasan
yang berfungsi membersihkan bahan-bahan kotoran seperti habuk, debu dan
sebagainya akan kembali pulih dan paru-paru dapat berfungsi dengan lebih baik.
- Selepas 2 bulan, peredaran darah ke seluruh tubuh terutama
ke bahagian periferi seperti jejari tangan dan kaki mejadi lebih efisien.
- Selepas 3 bulan, kedua-dua lelaki mahupun wanita menjadi
lebih subur.
GEJALA ” WITHDRAWAL “ ATAU GIAN
Sekiranya anda ketagih dengan rokok tentunya tubuh anda telah
terbiasa dengan nikotin yang mana ketiadaan dalam tubuh anda akan menyebabkan
anda mengalami gian atau gejala “withdrawal”. Gejala fizikal yang berlaku ke
atas diri anda merupakan suatu tanda positif bahawa tubuh anda kembali pulih.
Gejala-gejala ini akan hilang dalam tempoh 3 hingga 14 hari.
- Batuk-batuk menandakan mekanisma pembersihan saluran
pernafasan anda berfungsi seperti sediakala.
- Pening-pening sedikit menandakan tubuh anda mula
menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih berbanding semasa menjadi
perokok dahulu.
- Sakit kepala boleh terjadi apabila tekanan darah menurun
ke paras normal. Ini berlaku selepas tiga hari berlalu.
- Rasa kebas dan sengal-sengal kadang-kadang boleh terjadi
pada otot. Ini berlaku kerana peredaran darah menjadi lebih lancar. Lakukan
senaman untuk melancarkan lagi sistem peredaran darah.
- Gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, merasa loya
atau sebu perut kadang-kadang boleh terjadi tetapi cuma untuk beberapa hari
sahaja.
- Gejala-gejala lain seperti gangguan tidur, gangguan
konsentrasi dan perasaan resah akan juga berlaku. Gejala-gejala ini tidak
berpanjangan dan boleh diatasi dengan mudah. Sekiranya tidak boleh mengatasi
gejala “withdrawal” ini berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan
rawatan nikotin gantian.
Posted by Hassan Adli B. Haji Othman at 4:18 PM No comments:

No comments:
Post a Comment