Dia berkata kepadaku, "Sudah banyak
zikir yang kubaca, sudah kuhafal seluruh maknanya dan ada telah kualami
keajaiban karamahnya. Hanya satu yang masih terasa kurang bagiku.
Mengapakah dalam berzikir aku masih belum dapat merasakan bersatu
dengan Allah? Seolah-olah Allah itu jauh dariku, dan aku jauh dariNya.
Seperti ada batas atau hijab pemisah antara aku dan Allah. Konflik
persoalan ini terus bermain di lubuk fikiranku, sehingga terbawa-bawa
ke klimaks batin yang amat membingungkan tanpa penjelasan. Akhirnya
membuatkan aku sendiri merasa jemu untuk meneruskan zikir. Apakah ada
yang salah pada zikirku? Padahal zikir-zikirku itu kuperolahi secara
talqin dan ijazah dari seorang guru mursyid!"
Pertanyaan darinya itu tidak kujawab
secara spontan. Agak lama aku terdiam sambil mengambil waktu untuk
berfikir. Setelah aku yakin mungkin dapat membantu pertanyaannya itu,
dengan tenang aku cuba berkata;
1. masalah yang utama sekali ialah
dalam zikir itu kau tidak mengenalNya sebagaimana mengenalNya dengan
sebenar-benarnya kenal. Kau sekadar mengenalNya dalam ilmu-ilmu kalam
yang kaupelajari tetapi tidak dengan rahsia misykat qalbumu yang
terdalam. Apabila kau tidak mengenalNya dengan qalbu, maka asas niatmu
untuk berzikir itu tidak kaubangunkan dari sudut yang benar dan
sempurna. Justru itu kau harus memperbetulkan niatmu dahulu. Kemudian
kau bina niatmu itu semata-mata kerna Allah. Setiap ibadah itu
seharusnya dibangunkan atas dasar tauhid dan taqwa dan bukan kerna
mendambakan ganjarannya. Orang yang berzikir itu sewajarnya berada di
maqam ikhlas. Bersabda Nabi saw, "Sesungguhnya (nilai) niat itu lebih
utama dari perbuatan."
2. apabila kau tidak mengenalNya
melalui misykat qalbumu, maka zikirmu itu bertindak atas kemahuan
nafsumu sendiri. Kesilapanmu adalah kerna kau terlalu bergantung dengan
amalmu dan tidak dengan rahmat dan kasih-sayang Allah. Lantaran itu kau
menganggap zikirmu adalah dari usaha dirimu sendiri dan bukan dari
kurniaan Allah.
3. kau beranggapan ketika kau berzikir
bahwa kaulah yang mengingati Allah dan Allah itulah yang diingati.
Lantaran demikian, sebenarnya kau tidak berserahkan dirimu
sepenuh-penuhnya kepada Allah, tiada sifat tawakal dan redhamu kepada
Allah dengan sebenar-benarnya redha dan tawakal. Bagaimana mungkin kau
dapat bersatu dengan Allah selagi kau belum berserah diri kepada Allah?
4. Sesungguhnya tiada yang mengingati
Allah melainkan Allah, tiada yang memuji Allah melainkan Allah. Dirimu
hanyalah bekas penzahiran Allah. Kau sebenarnya tiada, kosong
semata-mata. Kau bukanlah kau sebenarnya. Ketika kau berzikir,
sebenarnya bukan kau yang berzikir, tetapi Allah yang berzikir memuji
ZatNya sendiri. Kau sekadar menjadi alat pilihanNya. Suara zikir yang
melantun keluar dari lisanmu adalah sebenarnya suara Allah. Gema zikir
yang menerawang dalam batinmu adalah sebenarnya kalam Allah. Sayangnya
kau tidak menyedarinya.
5. janganlah kau berzikir dengan
tujuan zikir kerna zikir. Kerna ini akan membuatmu terperangkap dan
terpesona di maqam yang akan memperlihatkan pelbagai keajaiban karamah,
tetapi ini jugalah yang menghambatmu dalam perhubungan makrifat dengan
Allah. Pedulikan tentang keajaiban-keajaiban zikir yang terutamanya
boleh mendatangkan pujian dan gelaran orang kepadamu sebagai 'Wali'.
Berzikirlah dari Allah dengan Allah kepada Allah bersama Allah dan
kerna Allah. Tutuplah rapat-rapat pintu bibirmu agar zikir itu tidak
kedengaran oleh sesiapa pun, hatta malaikat yang bertugas mencatatkan
amalmu di bahu kanan pun tidak tahu di manakah munculnya zikir itu.
Biarkan Allah sahaja yang tahu zikir itu berada di dalam 'Sirrmu' –
yakni di kamar yang Jibril sendiri pun dilarang memasukinya, agar kau
terlepas dari rasa ujub dan riak serta tidak dipuji orang.
6. jika kau telah dapat menjalankan
zikir atas rasa ikhlas semata-mata kepada Allah dan Allah redha
kepadamu, ketahuilah bahwa ikhlas itulah tauhid sebenarnya, Allah
sendiri yang akan membimbingmu dan mengajarkanmu zikir yang khusus yang
hanya kau sahaja yang mengetahui tentang rahsia zikir itu, dimana zikir
itu tidak diajarkan atau diketahui oleh orang awam, sebagai sarana
untuk kau bertemu, mengenal dan bersatu denganNya.
7. Dan terakhir sekali apa yang ingin
kukatakan; tinggalkanlah semua zikirmu yang lalu itu kecuali ibadah
yang diwajibkan ke atasmu serta amalan-amalan sunnat yang terutama
dianjurkan oleh Rasulullah saw. Seorang dalam perjalanan tidak perlu
membawa sarat bekalan yang begitu banyak hingga menyusahkan
perjalanannya. Tinggalkan juga zikir yang berkhadam semasa kau
memperolehi ijazahnya daripada gurumu itu. Sebaliknya amalkanlah zikir
Haq tanpa bertawassul kepada khadam. Zikir berkhadam itu meskipun
diharuskan di sisi hukum syarak dan cepat mendatangkan bermacam hasil
bantuan dan faedah, tetapi kebaikan itu hanya untuk diraih semasa
hayatmu di dunia sahaja, tetapi tidak membawamu kepada makrifatullah.
Bila kau telah meninggalkan dunia yang fana ini, khadam-khadam itu
tidak akan lagi berkhidmat kepadamu dan meninggalkanmu sendirian
menjawab pertanyaan malaikat Mungkar dan Nangkir. Setelah kau tidak
lagi dibebankan oleh zikirmu yang lalu, kau akan merasakan keringanan
tanpa memboroskan lagi banyak waktu dan tenagamu yang mengalir. Zikir
Haq itu boleh kaulakukan kapan-kapan saja, tanpa terikat lagi dengan
waktu dan tenaga, tanpa kau perlu berpenat-lelah dan mulutmu
berkomat-kamit. Tetapi sebelum kau dapat melakukan Zikir Haq ini,
terlebih dahulu kau harus mematikan seluruh wujud dirimu. Selagi ada
wujud dirimu, maka Zikir Haq ini mustahil dapat kaulakukan dengan
sebaiknya. Zikir Haq itu ialah ingat kepada Allah dengan Allah bersama
Allah dalam sudut qalbumu yang terdalam serta dalam suasana yang paling
diam dan hening tanpa perlu mengeluarkan sebarang ucapan hanya
merasakan kehadiran Allah itu ada bersama-samamu di mana pun kau
berada, sehinggalah kau dapat merasakan bersatu denganNya seperti
terbakarnya besi ke dalam api, besi itu menjadi api, api itulah besi
yang membakar- tidak kau lihat sesuatu sebelumnya melainkan Allah,
tidak kau lihat sesudahnya melainkan Allah, tidak kau lihat sesuatu di
dalamnya melainkan Allah, akhirnya tiada lagi yang wujud melainkan
Allah di dalam maqam Insan Al-Kamil – sampai cukup masanya besi telah
keluar dari api sebagai besi yang indah dan sempurna, tidak lagi
sebagai besi yang hodoh dan berkarat serta berkebaikan buat kehidupan
dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment