26 March 2020

Jangan Nafikan Hak Pusaka Janin




 ‏اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ‎

Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ:
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)‎  
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)‎
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah  (الْحَمْدُ لِلَّهِ)‎
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH  (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)‎
Bayu Nafasku berzikir Allāhu akbar   (اللَّهُ أَكْبَرُ)‎


الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ    ...اللهَ 


Jangan Nafikan Hak Pusaka Janin

Kebelakangan ini seringkali terpampang di dada-dada akhbar akan kezaliman dan kerakusan manusia terhadap janin sama ada membuang ataupun mengugurkan janin-janin yang mereka kandungi sama ada disebabkan oleh keterlanjuran melakukan zina ataupun individu yang telah berkahwin tetapi mengugurkan dengan alasan ‘belum bersedia’ atau ‘belum sampai masanya’ untuk mempunyai anak.

Sebenarnya, Islam mengiktiraf hak janin dalam pusaka dan terpelihara hak mereka sehingga diketahui kedudukan janin tersebut sama ada dilahirkan hidup ataupun mati.

Namun kadangkala sebahagian masyarakat Islam terlepas pandang, atau tidak menyedari ataupun tidak mengetahui hak janin dalam undang-undang pusaka Islam (faraid) termasuklah bagi janin yang dilahirkan hidup seketika tetapi kemudiannya mati.

Mungkin kita beranggapan bahawa janin itu hidup sebentar cuma dan tidak mempunyai apa-apa sumbangan serta tidak memberikan apa-apa perubahan dalam pewarisan harta

Namun anggapan ini disangkal melalui hadith daripada Jabir RA katanya:-
“Telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

‘Sekiranya telah menangis anak tersebut setelah dilahirkan, maka boleh mewarisi dan disembahyangkan ke atasnya.’ 
Hadith Riwayat at-Tirmizi
Definisi Janin

Menurut Lisan al-Arabjanin bermaksud anak yang berada atau bersembunyi di dalam kandungan ibu sama ada jantinanya perempuan ataupun lelaki

Janin juga dikenali dengan perkataan Arab iaitu al-haml yang bererti anak di dalam perut seorang ibu ketika kematian berlaku sama ada dia boleh mewarisi ataupun dihalang daripada mewarisi harta orang yang meninggal tersebut.

Adapun janin yang dimaksudkan dalam artikel ini ialah anak, sama ada lelaki ataupun perempuan atau kedua-duanya yang berada di dalam kandungan ibu semasa berlakunya kematian seseorang yang membolehkan anak yang berada di dalam kandungan tersebut mewarisi harta orang mati tersebut.

Berhubung dengan janin ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
“Ibunya telah mengandungnya dengan bersusah payah dan melahirkannya dengan susah payah pula. 

Jangka waktu sejak mengandungnya serta dengan tempoh menceraikan susuannya ialah selama 30 bulan.” 
Surah al-Ahqaf 45:15
Selain itu Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud:-
“Dan perempuan-perempuan yang mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.” 
Surah al-Talaq 65:4
Syarat bagi Janin Mewarisi Pusaka

Para fuqaha bersetuju bahawa janin tergolong daripada kalangan waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka pewarisnya yang telah mati sepertimana juga waris-waris yang lain.

Namun demikian, hak janin untuk memusakai harta tersebut hendaklah memenuhi dua syarat iaitu:-

Pertama: Janin mestilah wujud dan hidup dalam kandungan ibunya semasa pewarisnya meninggal dunia

Ahli waris yang mewarisi harta pusaka adalah untuk menggantikan kedudukan orang yang sudah meninggal dunia dalam pemilikan harta bendanya. Justeru itu, disyaratkan supaya janin tersebut telah wujud supaya tergambar penggantian yang dimaksudkan.

Seseorang pengganti seharusnya telah wujud walaupun masih berada dalam kandungan ibunya.


Bagi memenuhi syarat pertama ini, janin tersebut perlu wujud dan cara untuk mengetahuinya, janin tersebut mestilah ada di dalam perut ibunya semasa kematian pewaris dan dilahirkan oleh ibunya dalam masa yang diketahui seperti janin tersebut lahir kurang dari enam bulan dari masa kematian pewaris atau dalam masa yang tidak sampai kadar sebanyak masa mengandung.

Selain itu, ibunya tidak melakukan persetubuhan dengan lelaki lain yang boleh dianggap bahawa janin tersebut adalah daripada perbuatan itu dan bukan janin daripada suaminya yang meninggal dunia.

(Rujukan: Sistem Pusaka Islam, Yayasan Dakwah islamiah Malaysia)

Kedua: Janin mestilah dilahirkan dalam keadaan hidup

Selain syarat pertama di atas, janin yang wujud dalam kandungan ibunya mesti dilahirkan dalam keadaan hidup walaupun seketika. Ulama' telah bersepakat bahawa jika janin yang dilahirkan itu mati bukan disebabkan oleh perlakuan jenayah terhadap ibunya, maka janin tersebut tidak berhak mewarisi harta pusaka. 

Antara tanda-tanda bagi mengenal pasti janin yang dilahirkan itu hidup ialah seperti menangis, menyusu, bernafas, bergerak anggota badan dan sebagainya.

Berhubung dengan kelahiran janin ini, para fuqaha telah berbeza pendapat sama ada badan janin itu perlu dilahirkan secara keseluruhan dalam keadaan hidup ataupun sebahagiannya sahaja.

Bagi jumhur fuqaha yang terdiri daripada mazhab Syafi'eMaliki dan Hanbali, mereka berpendapat bahawa janin itu hendaklah dilahirkan dengan seluruh badannya dalam keadaan hidup.

Namun, sekiranya sebahagian sahaja dilahirkan hidup dan kemudiannya meninggal dunia, maka janin tersebut tidak berhak mewarisi harta pusaka walaupun kelahirannya itu diikuti dengan tangisan.

Ini kerana ahliyyah (keahlian) seseorang untuk memiliki sesuatu adalah dengan wujudnya seseorang secara keseluruhan badannya.

Mazhab Hanafi pula berpendapat, kelahiran janin tersebut adalah memadai dengan sebahagian besar anggota badannya dilahirkan hidup kerana sebahagian besar itu dianggap banyak atau keseluruhan badan.

Namun demikian, ukuran untuk menentukan ‘sebahagian besar’ yang dilahirkan secara hidup adalah berbeza.

Ia perlu dilihat melalui cara atau keadaan janin itu dilahirkan iaitu sama ada kelahiran janin tersebut adalah dengan keluar kepalanya dahulu ataupun dengan kakinya dahulu.

Sekiranya kepala keluar dahulu, maka yang dikatakan ‘sebahagian besar’ telah dilahirkan hidup itu adalah dari kepala hingga dada. Dan jika kakinya keluar dahulu, maka yang dikatakan ‘sebahagian besarnya’ telah dilahrikan hidup itu adalah dari kaki hingga alat sulit.

Setelah janin tersebut dilahirkan secara salah satu daripada dua cara tadi dan kemudian ia mati, maka janin tersebut tetap dianggap hidup dan berhak mewarisi harta.

Adapun tanda-tanda yang dianggap bahawa janin itu dilahirkan hidup selain daripada menangis ialah berteriak, menjerit dengan kuat, bernafas, bergerak anggota badannya atau apa sahaja kelakuan atau perbuatan yang menggambarkan ia hidup setelah dilahirkan.

Bagi janin yang telah memenuhi syarat dan berhak mewarisi harta pusakapara fuqaha berpendapat bahawa waris lain yang berhak perlu menyimpan bahagian harta yang sepatutnya disimpan untuknya sehingga kelahiran.

Hak yang Diiktiraf Syarak

Justeru itu, kita perlu menyedari bahawa janin juga mempunyai hak yang diiktiraf oleh syarak dalam undang-undang pusaka Islam atau faraid semasa dalam kandungan ibunya lagi jika ia memenuhi syarat.

Janin bukanlah makhluk ciptaan Allah SWT yang tidak mempunyai apa-apa nilai dan tidak memberi apa-apa kesan kepada pembahagian pusaka, yang boleh dibuang atau digugurkan sesuka hati.

Begitu juga dengan janin yang memenuhi syarat-syarat tadi yang dilahirkan hidup seketika dan kemudiannya mati, maka waris-waris berhak yang hidup tidak boleh menafikan atau tidak mempedulikan hak janin tadi dalam harta pusaka. 


Sekiranya mereka membahagi-bahagikan harta pusaka tersebut tanpa mempedulikan atau mengambilkira hak janin tadi, sesungguhnya mereka telah memakan dan memiliki harta secara haram dan berdosa.

Wallahua'lam

No comments: