أعُوْذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
(الْحَمْدُ لِلَّهِ)Tahmid Dengan Denyutan Nadiku
(لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)Tahlil Degupan Jantungku
(اللَّهُ أَكْبَرُ)Takbir Hela Turun Naik Nafasku
اَلْحَمْدُ ِللهِ syukur kepada اللهَ
وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ... ALLAH اللهَ
اَللَّهُمَّ صَلِّىْ عَلَىْ سَيِّدِنَامُحَمَّدٍ
Misykaatul Anwar - Bab Hijab
بسم الله الرحمن الرحيم
Pemakaian Ayat An-Nur dan Hadis Berkenaan Hijab
A. Penerangan tentang perumpamaan ayat An-Nur.
--------------------------------------------------------------------------------
Sekarang
kita sampai kepada maksud atau pengertian perumpamaan atau simbol yang
dikemukakan oleh ayat An-Nur ini. Penerangan penuh tentang
pasangan antara lima kelas ruh
dan lima perkara misykaat, kaca, lampu, pohon (pokok) dan minyak.
Ini
sangatlah luas dan panjang. Tetapi di sini cukuplah dengan penerangan
ringkas yang menunjukkan cara (method) perumpamaan itu.
Pertama
Perhatikan
"ruh deria"; cahayanya datang melalui beberapa saluran iaitu mata,
telinga, hidung, dan lain-lain. Simbol yang paling wajar untuk ini,
dalam pengalaman kita ialah "Misykaat"(lampu di dinding.
Kedua
Perhatikan pula "ruh khayalan" : Ia ada tiga sifat.
Pertama, ianya adalah daripada perkara yang terdiri daripada Alam Rendah yang kasar ini; kerana objek-objeknya mempunyai;
saiz,
bentuk,
ukuran yang tertentu dan terhad dan ada perkaitan dengan subjek(perkara) itu dari jaraknya.
Selanjutnya
satu daripada sifat-sifat perkara kasar ini ialah ialah legap (tidak
lut oleh sinar) kepada cahaya akal. Akal adalah melebihi dan melampaui
arah, kuantiti (banyak bilangan) dan jarak.
Kedua,
jika perkara itu terang, halus terdisplin dan terkawal, maka ia akan
mencapai persamaan dengan idea-idea akal dan akan tertembus oleh cahaya
daripada mereka itu.
Ketiga,
khayalan ini pada mulanya sangatlah perlu agar dapat dikawal oleh
pengetahuan akal; dan dengan ini pengetahuan tersebut;
tidaklah terganggu,
tidak terumbang-ambing dan
lari dari kawalan.
Bayangan
yang dibekal oleh khayalan itu memegang kemas pengetahuan yang dibekal
oleh akal. Dalam dunia pengalaman saharian yang nyata ini, saudara akan
dapati bahawa benda atau objek yang ada ketiga-tiga sifat ini jika
dihubungkan dengan cahaya biasa ialah "KACA". Ini adalah kerana kaca
pun pada mulanya adalah legap, tetapi telah dibersih dan dihalusi
hingga menjadi lutsinar (tembus oleh cahaya) kepada cahaya lampu. Kaca
ini pula melindungi lampu itu daripada padam oleh hembusan angin atau
goncangan yang kuat. Maka "KACA" inilah simbol yang paling sesuai bagi
khayalan.
Ketiga.
Jiwa
Akal. Ini memberi kita faham tentang idea-idea Ketuhanan. Tentang
perumpamaan ini, telah terang kepada saudara. Saudara telah mengetahui
dari penerangan kita dahulu berkenaan dengan tanggapan bahawa Nabi-nabi
itu adalah "Lampu Yang Memberi Cahaya".
Keempat.
Jiwa
(Ruh) yang memikir dan membuat kesimpulan. Keadaannya bermula dengan
satu pendapat atau proposisi, kemudian tercabang dua, setelah itu
tercabang empat, dan begitulah seterusnya hingga dengan proses
pemecahan secara logik ini, ia menjadi beratus-ratus dan beribu-ribu
banyaknya. Akhirnya membawa kepada satu kesimpulan dan
kesimpulan-kesimpulan ini pula mengeluarkan lagi banyak kesimpulan, dan
begitulah seterusnya. Oleh yang demikian, ruh ini disimbolkan sebagai
"POKOK" kerana keadaan ini seumpama pokok di alam nyata ini.
Selanjutnya kita perhatikan bahawa hasil atau buah (jiwa) jenis ini
mengeluarkan banyak ilmu dan menetapkannya. Maka sewajarnyalah ia tidak
disimbolkan dengan pokok epal atau delima atau lain-lain pokok kecuali
pokok zaiton.
Buah
zaiton itu ada mengeluarkan minyak yang digunakan untuk minyak lampu
dan minyak ini berbeza dengan lain-lain minyak. Minyak zaiton ini
menambah sinaran lampu. Jika orang memberi kata sifat adjektif "berkat"
kepada pokok tersebut, maka sudah tentu hasil yang didapati dari pokok
itu diberi kata sifat adjektif berkat juga. Akhirnya jika cabang-cabang
proposisi atau idea akal bersih itu tidak tertakluk kepada arah dan
jarak, maka wajarlah digelar simbol pokok ini sebagai "tidak timur dan
tidak barat".
Kelima.
Roh
Kenabian Yang Maha Tinggi. Roh atau jiwa yang terang benderang ini ada
pada aulia-aulia dan ambia Allah. Jiwa fikiran manusia terbahagi kepada
dua jenis.
Satu daripadanya perlu dan wajar dinasihati dan dibekali dari luar untuk mendapat ilmu terus dan menerus.
Yang
satu lagi tidak perlu bekalan ilmu dari luar; cukup dari dalam,
seolah-olah bercahaya dengan sendiri. Sekarang teranglah kepada kita
bahawa kebolehan (fakulti) tabie yang kuat dan terang ini dikatakan
sebagai "minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh
api".
Ada
Aulia yang mempunyai cahaya yang sangat terang hingga "hampir" tidak
memerlukan lagi apa yang dibekalkan oleh ambia sementara ada pula yang
mempunyai cahaya yang "hampir-hampir" tidak memerlukan lagi apa yang
dibekali oleh malaikat.
Inilah perumpamaan yang sewajarnya bagi perkara ini.
Cahaya roh manusia itu berperingkat-peringkat.
Maka
peringkat deria itu adalah peringkat awal dan persediaan untuk khayalan
(kerana khayalan boleh dianggap sebagai mengikuti deria).
Selepas itu diikuti pula oleh akal.
Kemudian dituruti pula oleh jiwa yang memikir dan membuat kesimpulan.
Semua itu menerangkan;
kenapa kaca itu dikatakan tempat letak lampu;
dan misykat itu tempat letak kaca.
Ini bererti lampu itu di dalam kaca dan kaca itu dalam misykat (ceruk).
Akhirnya,
sebagaimana yang kita lihat adanya cahaya yang berperingkat-peringkat
itu mentafsirkan kepada kita ayat yang bermaksud "cahaya atas cahaya"
itu.
Kesimpulan ayat berkenaan gelap.
Perumpamaan
atas simbol cahaya hanya untuk hati atau jiwa orang-orang yang beriman,
atau Nabi-nabi dan wali-wali Allah sahaja. Bukan untuk hati orang-orang
kafir kerana istilah "cahaya" ini ialah khusus untuk orang-orang yang
dipimpin di jalan yang lurus. Sebaliknya, bagi orang-orang yang
menyeleweng dari jalan yang benar dan lurus, maka ia adalah palsu dan
gelap. Bahkan lebih gelap daripada yang gelap. Kegelapan itu tidak
membimbing seseorang itu ke mana-mana. Fikiran orang-orang kafir itu
dan seluruh pandangan mereka adalah sesat dan menyeleweng dan fikiran
mereka itu saling sokong menyokong antara satu dengan lain untuk menipu
dan menyesatkan tuan punyanya (iaitu orang-orang kafir). Mereka itu
ibarat orang yang berada "di laut yang sangat dalam yang berombak dan
dilapisi lagi dengan ombak. Di atasnya awan gelap; gelap di atas gelap"
(Al-Quran).
"Laut yang sangat dalam" itu bermaksud dunia-dunia ini yang penuh dengan mara bahaya, kejahatan, dosa dan noda.
"Ombak"
yang pertama itu ialah ombak hawa nafsu yang dirinya jiwa itu mendapat
sifat-sifat kebinatangan, dan dikuasai oleh keseronokan hawa nafsu
angkara murka, dan memuaskan cita-cita keduniaan sahaja; lalu "Mereka
makan dan berpoya-poya seperti lembu kerbau. Nerakalah tempat kediaman
mereka". - (Al-Quran). Ombak itu diibaratkan sebagai
kegelapan-kegelapan. Oleh itu cinta kepada makhluk menjadikan jiwa itu
buta dan pekak.
"Ombak" yang dilapisan kedua itu bermaksud sifat-sifat ganas yang mendorong jiwa itu bersikap
marah,
hasad dengki,
benci,
menentang diri sendiri,
sombong,
megah dan
bangga.
Sungguh
sesuai benarlah simbol gelap ini kerana marah itu adalah iblis akal
manusia. Dan sesuai juga simbol ombak yang di atas itu kerana marah itu
kebanyakan lebih kuat daripada nafsu syahwat; marah yang mendidih
menyelewengkan jiwa dari nafsu angkara dan membuatnya lalai dengan
keseronokan. Hawa nafsu tidak dapat menentang marah yang bersangatan.
"Awan
gelap" itu adalah kepercayaan yang bukan-bukan, bidaah yang menyesatkan
dan pemikiran yang rosak yang menjadi lapisan-lapisan hijab yang
mendinding orang-orang kafir daripada mendapat iman, ilmu yang hakiki
dan sinaran dari cahaya Al-Quran dan akal yang bersih. Telah menjadi
lumrah, awan itu melindungi sinaran cahaya matahari. Oleh kerana semua
perkara tersebut adalah menggelapkan, maka sesuai benarlah ayat ini
"Gelap di atas gelap" (Al-Quran). Ini adalah kerana perkara-perkara
tersebut menutup jiwa daripada mendapat ilmu tentang perkara-perkara
yang dekat; apatah lagi yang jauh. Ianya mendinding orang-orang kafir
daripada mengetahui apa yang dibawa oleh Nabi, meskipun mereka sangat
hampir dan boleh dipandang. Sesuai benarlah dikatakan "jika seseorang
menghulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu" (Al-Quran).
Pendek
kata seperti yang kita lihat, jika semua cahaya-cahaya ini berpunca dan
berasal dari Yang Maha Esa, maka sewajarnyalah tiap-tiap orang yang
mengakui dan beriman dengan kalimah tauhid mempercayai bahawa,
"Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya". (Al-Quran)
Cukuplah dulu untuk memuaskan hati saudara tentang rahsia-rahsia dalam ayat tersebut (An-Nur). itu
Penerangan tentang perumpamaan berkenaan 70 000 Hijab.
--------------------------------------------------------------------------------
Apakah
maksud hadis ini, "Allah mempunyai 70 000 hijab cahaya dan gelap;
sekiranya Dia membuka hijab itu, maka Keagungan wajahNya nescaya akan
menelan tiap-tiap orang yang menelannya dengan pandangannya" (Setengah
mengatakan "70 000" hijab, dan ada pula yang mengatakan "700" hijab).
Maka
saya(Imam Ghazali) terangkan demikian. Allah itu sendiri memang Agung
dan Mulia. Hijab atau tirai itu adalah berkaitan kepada mereka yang
terdinding dengan Zat Yang Agung itu. Ada tiga jenis hijab yang ada
pada manusia iaitu;
Gelap sebenarnya,
Campuran gelap dengan cahaya,
Cahaya sebenarnya.
Pecahan
kepada ketiga-tiga jenis itu adalah banyak. Setakat itu sahaja yang
dapat kita petikkan. Boleh juga dibanyakkan atau dibilang-bilangkan
pecahan-pecahan ini kepada yang lain, tetapi tidak berapa yakin dengan
hasil bilangan dan penentuannya itu. Tidak ada siapapun yang tahu sama
ada ianya benar-benar boleh dipastikan atau tidak. Perkara menentukan
bilangan itu sebanyak "700" atau "70 000" adalah perkara yang hanya
kuasa Kenabian sahaja yang boleh mengetahuinya. Pada pendapat saya(Imam
Ghazali) bilangan-bilangan ini bukanlah perkara yang tetap kerana
selalu juga bilangan-bilangan disebut tanpa bermaksud untuk membatas
atau menghadkan bilangan itu, tetapi hanya bermaksud untuk menyebut
"banyak" sahaja. Allah lebih mengetahuinya.
Oleh
itu perkara bilangan tersebut adalah di luar keupayaan kita untuk
menentukannya. Maka sekarang saya akan terangkan tiga bahagian atau
pecahan yang utama dan beberapa pecahan-pecahan selanjutnya daripada
tiga itu.
1. Mereka Yang Terhijab Oleh Yang Sebenarnya.
Bahagian
pertama ialah mereka yang terhijab atau terdinding oleh gelap yang
sebenarnya. Mereka ini ialah orang "Atheis" tidak percaya dengan Allah
dan hari kemudian. Inilah orang "yang kasih kepada kehidupan dunia ini
lebih daripada kehidupan akhirat"- (Al-Quran); kerana mereka tidak
percaya dengan apa yang akan datang kemudian.
Mereka ini pula terbahagi kepada beberapa pecahan.
Pertama,
mereka
yang hendak mencari sebab terhadap kehidupan di dunia ini dan mereka
jadikan Alam Tabie ini sebagai sebab. Tetapi Alam Tabie ini ialah satu
sifat yang ada pada benda-benda. Ianya pula adalah gelap kerana ia;
tidak ada ilmu pengetahuan,
tidak ada pandangan,
tidak ada kesedaran terhadap diri sendiri,
tidak ada kesedaran terhadap yang lain,
tidak ada cahaya pandangan melalui perantaraan mata.
Kedua,
mereka
yang dipengaruhi oleh kepentingan diri sendiri dan tidak mahu
mengetahui tujuan hidup ini. Mereka hidup sebagai kehidupan binatang.
Hijab ini ialah diri mereka sendiri (self-centered ego) dan hawa nafsu
gelap mereka itu. Tidak ada gelap yang lebih gelap daripada penghambaan
kepada dorongan diri sendiri dan cinta diri sendiri. Firman Allah yang
bermaksud; "Tidakkah engkau orang yang mempertuhankan
diri?"-(Al-Quran); dan sabda Nabi Muhammmad SAW.; "Mempertuhankan yang
lain dari Allah, yang paling dibenci ialah mempertuhankan diri
sendiri".
Bahagian yang kedua ini boleh dibahagi-bahagikan lagi kepada beberapa pecahan.
Satu
daripadanya ialah manusia yang menganggap dan berkeyakinan bahawa
matlamat atau tujuan akhir hidup di dunia ini ialah untuk memuaskan
hawa nafsu kebinatangan mereka sahaja, sama ada berkenaan dengan
jantina(sex), atau makan-minum atau pun pakaian. Inilah hamba nafsu.
Hawa nafsu itulah Tuhan mereka. Mereka percaya bahawa dengan memuaskan
nafsu itu, mereka akan mendapat kebahagiaan. Inilah manusia yang
merendahkan martabat mereka lebih rendah daripada martabat binatang.
Adakah sesuatu yang lebih gelap daripada in????. Inilah orang yang
dihijab sebenarnya.
Satu
lagi ialah golongan manusia yang menganggap matlamat akhir hidup ini
ialah menakluk dan menguasai, seperti mengambil orang-orang tawanan,
membunuh dan merampas. Demikian itulah anggapan orang-orang Arab,
orang-orang Kurdi yang tertentu dan kebanyakan orang-orang yang jahil.
Hijab pada mereka ialah sifat-sifat ganas dan garang. Sifat-sifat ini
menguasai mereka. Mereka berasa senang hati dengan sifat-sifat mereka
itu. Inilah orang-orang yang bersifat binatang. Mereka merendahkan
martabat kemanusian mereka itu lebih rendah lagi daripada binatang.
Satu
golongan manusia ialah yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah
kekayaan harta benda kerana kekayaan ini adalah alat untuk memuaskan
tiap-tiap nafsu syahwat mereka. Mereka menghabiskan masa muda dan
tenaga mereka dengan memperbanyakkan dan mengumpul harta kekayaan -wang
ringgit, emas dan perak, tanah dan rumah yang indah, gedung-gedung
besar dan lain-lain lagi. Mereka mengumpul dan menyimpan wang ringgit
sebanyak-banyaknya. Mereka bertungkus lumus siang dan malam di mana
sahaja untuk memperbanyakkan harta dengan puas-puasnya. Apa yang ada
itu nampak sedikit dan mereka terus mencari lagi tanpa berhenti dan
berpuas hati. Inilah orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah
"orang malang, hamba orang!!!, orang malang, hamba emas!!". Adakah
gelap yang lebih gelap daripada ini?" Mereka telah dibutakan oleh emas
dan perak. Mereka tidak sedar bahawa emas dan perak itu adalah jenis
logam yang tidak berguna jika semata-mata untuknya sahaja. Logam yang
tidak lebih daripada batu-batu atau logam lainnya. Emas dan perak hanya
bernilai jika ia dijadikan alat untuk mencapai tujuan-tujuan yang
berfaedah dan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang berguna.
Golongan
keempat ialah yang lebih buruk lagi. Mereka ialah manusia-manusia yang
menganggap bahawa kebahagiaan itu ialah dengan mencapai kemasyhuran
diri, mencari "nama" dan memperluaskan pengaruh sampai ramai orang yang
menjadi pengikutnya serta menyanjungnya. Mereka sentiasa berlagak dan
melihat bayangan dirinya dalam cermin. Ada yang mencurahkan wang
ringgitnya membeli pakaiannya yang indah-indah sampai bagus dipandang
orang dan disaksikan kecantikkannya itu, meskipun ia menderita
kekurangan dan dapur tidak berasap di rumahnya.
Banyak
lagi jenis-jenisnya yang terhijab ini. Semua mereka itu terhijab dari
Allah dengan hijab yang paling gelap dan mereka sendiri pun gelap.
Cukuplah dengan beberapa jenis dan misalan yang saya beri itu. Tidak
perlulah diterangkan tiap-tiap semua jenis itu lagi. Satu daripada
jenis yang patut kita terangkan di sini ialah orang-orang yang mengucap
dengan lidah mereka kalimah "Syahadah" kerana disebabkan oleh ketakutan
atau bertujuan untuk mengemis daripada orang-orang Islam atau untuk
bermuka-muka dengan orang-orang Islam, atau hendakkan pertolongan
kewangan dari orang-orang Islam atau hendak menyokong pendapat
nenek-moyang mereka secara fanatik.
Jika
kalimah syahadah itu tidak boleh merevolusikan atau mengubahkan
perangai seseorang itu supaya berbuat amal kebaikan, maka itu bererti
mereka belum lagi keluar dari gelap dan masuk ke dalam lingkungan
cahaya. Begitu juga wali-wali iblis yang membawa mereka keluar dari
cahaya masuk ke dalam lingkungan gelap. Tetapi bagi orang yang telah
dipengaruhi sebenar-benarnya kalimah itu dan ia beramal sholeh dan
meninggalkan dosa maksiat, maka inilah orang keluar dari dalam gelap
meskipun mungkin ia masih ada dosa.
2. Mereka yang dihijab oleh campuran cahaya dengan gelap
--------------------------------------------------------------------------------
Mereka ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu;
Pertamannya, orang yang gelapnya itu berpunca dari deria (pancaindera);
Kedua, gelapnya berpunca dari khayalan;
Ketiga, gelapnya berpunca dari logik akal yang palsu.
Pertama. Terhijab oleh gelap deria.
Mereka
ini ialah orang-orang yang telah melangkah sempadan mempertuhankan diri
sendiri, yang mana itu adalah sifat orang-orang yang dalam golongan
pertama yang telah tersebut dahulu kerana mereka mempertuhankan kepada
sesuatu yang di luar diri mereka, dan ada sedikit keinginan untuk
mengetahui Tuhan.
Peringkat pertama terdiri daripada mereka yang menyembah berhala.
Peringkat akhir terdiri daripada mereka yang menduakan Tuhan.
Antara kedua-kedua peringkat tersebut, ada peringkat-peringkat lain lagi.
Orang-orang
dalam peringkat pertama (penyembah-penyembah berhala) itu sedar pada
umumnya yang mereka ada tuhan dan tidak mempertuhankan diri mereka
sendiri. Mereka percaya bahawa Tuhan mereka itu lebih besar dan lebih
berkuasa dari apa-apa yang lain; tetapi gelap deria menghijabkan mereka
daripada pengetahuan bahawa; mereka mestilah melampaui Alam Deria dalam
perkara ini. Oleh itu, mereka ambil logam-logam yang bernilai seperti
emas, perak, permata dan lain-lain untuk dijadikan patung-patung
sebagai Tuhan. Orang-orang ini terhijab oleh cahaya Kekayaan dan
Keindahan dari sifat-sifat Allah dan CahayaNya. Mereka lekatkan
sifat-sifat ini(kaya dan indah) kepada benda-benda yang dilihat oleh
deria; yang mana deria itu telah menyekat cahaya Allah. Ini adalah
kerana deria itu adalah gelap dari segi Alam Keruhanian, sebagaimana
yang telah kita terangkan dahulu.
Kelas
kedua ialah puak-puak bangsa Turki yang liar yang tidak mempunyai
masyarakat keagamaan yang tersusun dan tidak ada undang-undang agama
yang tertentu. Mereka percaya bahawa mereka ada Tuhan dan tuhan itu
ialah sesuatu benda yang jinak. Jika mereka berjumpa seorang manusia
atau sepohon pokok atau seekor kuda dan lain-lain yang luar biasa
cantiknya, maka mereka akan menyembah benda itu dan dikatakan itu tuhan
mereka. Mereka ini terhijab oleh cahaya keindahan bercampur dengan
gelap deria. Mereka masuk lebih jauh daripada penyembah-penyembah
berhala ke dalam cahaya, kerana mereka adalah penyembah-penyembah
Keindahan secara mutlak bukan kepada individu, dan mereka tidak hadkan
atau bataskan khusus kepada satu individu sahaja dan membuang yang
lain. Keindahan yang mereka sembah itu ialah keindahan Tabie ciptaan
Tuhan, dan bukan ciptaan mereka sendiri. Inilah yang membezakan mereka
dari golongan penyembah berhala.
Kelas atau golongan yang ketiga berkata;
"Tuhan
kami mestilah cahaya pada zatnya. Ia maha mulia dan maha agung, maha
gagah dan tidak bertolak ansur; tetapi ia mestilah boleh dilihat;
kerana jika tidak kelihatan tentulah tidak bererti apa-apa".
Oleh
kerana mereka dapati api itu ada sifat-sifat yang tersebut tadi, maka
mereka sangka api itulah tuhan dan mereka sembah api itu. Mereka inilah
orang-orang yang terhijab oleh Kekuasaan dan Kekuatan yang mana kedua
itu adalah dua daripada cahaya Allah.
Kelas
atau golongan yang keempat pula memikirkan iaitu oleh kerana api itu
boleh dikawal, boleh dinyala dan dipadamkan bila dikehendaki, maka api
itu bukanlah tuhan sebenar. Tuhan adalah hanya apa yang mempunyai sifat
kekuasaan dan kekuatan dan manusia ini berada di bawah kawalannya dan
ia mestilah berada di tempat tinggi. Orang-orang golongan ini
mengagung-agungkan Ilmu Nujum(Astrologi). Mereka berkata
bintang-bintang itu ada pengaruhnya masing-masing terhadap manusia.
Oleh itu, ada antara mereka yang menyembah bintang-bintang seperti
Jupiter dan lain-lain. Ada pula yang menyembah sekumpulan
falaniah-falaniah menurut banyaknya pengaruh yang mereka percaya ada
pada falaniah-falaniah itu. Mereka ini pula terhijab oleh cahaya-cahaya
yang suci, yang terang, dan yang kuat; yang mana ketiga-tiga tersebut
itu adalah cahaya Allah.
Golongan
atau kelas yang kelima pula menyokong golongan keempat dan idea asas
mereka itu tetapi orang-orang dalam kelas ini tidak setuju bahawa tuhan
mereka itu boleh dikatakan kecil atau besar di kalangan benda-benda
yang memberi cahaya itu. Tentulah yang paling besar itu patut
dipertuhankan. Oleh yang demikian, mereka menyembah matahari yang
mereka anggap sebagai yang paling besar. Orang-orang ini terhijab oleh
cahaya kebesaran, di samping cahaya-cahaya tadi; tetapi mereka masih
dibutakan oleh gelap deria.
Golongan
keenam lebih maju selangkah lagi. Mereka berkata; Matahari itu bukanlah
menguasai semua cahaya. Lain-lain benda pun ada cahayanya. Sebagai
tuhan, tentulah ianya tidak bersyarikat atau bersekutu dalam perkara
cahaya ini. Mereka pun menyembah cahaya mutlak, yang meliputi semua
cahaya dan mereka anggap inilah cahaya. Tuhan ini mestilah mempunyai
sifat-sifat yang terbaik dan tidak tercela. Tetapi dalam Alam Wujud ini
ada kejahatan-kejahatan. Kejahatan-kejahatan ini tentulah bukan dari
tuhan kerana tuhan itu tidak bersifat jahat dan keji. Lalu mereka
sangkakan ada satu perjuangan antara tuhan yang gelap dan kedua-dua ini
mereka namakan "Yazdan" dan "Ahriiman". Pada sangkaan saya(Imam
Ghazali), inilah orang-orang yang menduakan Tuhan.
Cukuplah setakat ini contoh-contoh bahagian ini. Kelas-kelas ini lebih banyak lagi dari yang saya sebutkan itu.
Kedua, orang yang terhijab oleh cahaya yang bercampur dengan gelap dari khayalan.
Mereka
ini melangkah dari sempadan deria kerana mereka sedar adanya sesuatu di
sebalik objek-objek deria. Tetapi golongan ini tidak dapat melangkah
lebih dari sempadan khayalan. Oleh itu, mereka sembah sesuatu yang
benar-benar duduk di atas kursi singgahsana.
Peringkat
yang paling bawah daripada kelas ini ialah mereka yang memperbadankan
Tuhan; kemudian itu ialah golongan "Karramitah". Tidak perlu kita
bincangkan tulisan dan pendapat mereka itu di sini kerana tidak ada
gunanya di sini.
Yang
paling tinggi darjatnya dalam golongan itu ialah mereka yang menafikan
Allah itu berbadan dan segala yang berkenaan dengannya, kecuali satu -
iaitu arah(direction), dan itu ialah arah ke atas. Kata mereka itu, apa
yang tidak ada arah, tidak di dalam atau di luar alam, maka itu
tidaklah wujudnya kerana tidak termasuk pada akal khayalan. Malangnya
mereka gagal memandang bahawa darjat pertama sebenarnya bagi budi
bicara akal membawa kita bersih dan bebas dari semua rujukan apa
sahaja, arah atau pun ukuran.
Ketiga, orang-orang yang terhijab oleh cahaya Ketuhanan yang bercampur dengan gelap logik akal yang palsu.
Mereka
ini menyembah tuhan "yang mendengar, melihat, dan berilmu, berkuasa,
berkehendak dan hidup", dan melampaui semua arah termasuk arah ke atas.
Tetapi konsep mereka tentang sifat-sifat ini diserupakan dengan
sifat-sifat mereka sendiri, hingga ada mereka berpendapat bahawa
perkataan (KALAM) Tuhan itu ialah berhuruf dan berbunyi, seperti
manusia juga. Sementara yang lain pula lebih maju lagi ke depan. Kata
mereka; "Sebenarnya seperti kalam fikiran kita, iaitu tidak berbunyi
dan tidak berhuruf". Oleh itu, apabila mereka dicabar untuk menunjukkan
bahawa Allah itu benar-benar "mendengar, melihat, hidup dan lain-lain",
maka penjelasan mereka seolah-olah memperbadankan tuhan itu sebagai
manusia, meskipun mereka menafikannya.
Ini
adalah kerana mereka tidak dapat memahami apakah sebenarnya maksud
idea-idea tentang Sifat Allah itu. Mereka berkata bahawa berkenaan
dengan Iradat atau Kehendak Allah itu, adalah ianya bergantung atau
berkaitan, seperti kehendak atau iradat manusia juga, berkehendak
kepada sesuatu dan bertujuan. Semua pendapat-pendapat ini sudah
terkena; dan termasyhur dan kita tidak perlu panjang-lebarkan bicara
berkenaan hal ini. Mereka ini terhijab oleh beberapa cahaya Ketuhanan
dan bercampur dengan kegelapan logik akal palsu. Semua yang tersebut
itu adalah kelas-kelas bagi bahgian kedua yang terdiri daripada hijab
gelap bercampur cahaya.
Ulasan Suluk.
Golongan
yang terakhir yang disebutkan oleh Imam Ghazali di atas banyak terdapat
dalam masyarakat kita akhir-akhir ini. Walaupun mereka bertuhankan
Allah dan mengakui kerasulan Nabi, namun mereka jahil dengan idea-idea
yang berkaitan sifat-sifat Ketuhanan Yang Maha suci lagi Maha Sempurna.
Biasanya golongan yang tersasar ini adalah dari golongan mereka yang;
Hanya berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis semata-mata dengan menolak mazhab-mazhab atau pendangan Ulama-ulama yang Muktabar,
Hanya berpandukan kepada Al-Quran semata-mata;
Menafikan Kefarduan Mempelajari Ilmu Usuluddin atau Sifat Dua atau Ilmu Tauhid;
Hanya bertaklid kepada warisan keluarga(Islam Baqa) semata-mata.
Berhati-hatilah anda terhadap golongan yang sesat lagi menyesatkan ini.
"Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya". (Al-Quran)
Allahu-A'lam
3. Mereka yang terhijab oleh cahaya sebenarnya
--------------------------------------------------------------------------------
Bahagian
ketiga ini ialah mereka yang terhijab oleh cahaya sebenarnya. Bahagian
ini pun terbahagi kepada beberapa kelas atau golongan. Saya tidak
hendak menyatakan semuanya, hanya cukuplah kepada tiga sahaja.
Pertama
Orang
yang telah mencari dan mencapai fahaman maksud sebenarnya tantang
sifat-sifat Allah. Mereka telah mengetahui bahawa apabila sifat-sifat
Allah itu dinamakan Perkataan(KALAM), IRADAT, Kuasa (QUDRAT), ILMU,
Hidup(HAYAT), Pendengar(SAMA'), Pelihat(BASHAR) dan lain-lain lagi,
maka semua itu bukanlah serupa dengan sifat-sifat manusia (Mukholafatul
lil hawadis/bersalahan dengan sesuatu yang baru). Ini menyebabkan
mereka tidak menyifatkan Allah itu demikian. Apabila hendak
menceritakan tentang Allah, mereka merujuk kepada makhluk sahaja,
seperti jawapan Nabi Musa a.s kepada Firaun; apabila Firaun bertanya;
"Apakah Tuhan sekelian alam itu sebenarnya?". Jawab Nabi Musa a.s. ;
"Tuhan Yang Maha Suci Yang Melebihi tanggapan sifat-sifat, Dialah
Penggerak dan Pemerintah sekelian langit".
Kedua
Kelas
kedua dalam golongan ini lebih tinggi lagi daripada yang tersebut
itu(kelas pertama). Mereka nampak bahawa sekelian langit itu
berbilang-bilang(banyak) dan penggerakkan bagi tiap-tiap beberapa
langit itu ialah makhluk yang bernama malaikat. Dan malaikat ini pula
berbilang-bilang iaitu banyak. Perhubungan malaikat-malaikat ini dengan
cahaya-cahaya Ketuhanan adalah ibarat perhubungan bintang-bintang
dengan semua cahaya lain yang kelihatan. Kemudian mereka lihat bahawa
langit-langit itu diselubungi oleh satu lingkungan; dan dengan gerak
lingkungan ini semua yang lain berputar sekali dalam masa 24 jam.
Akhirnya, ..... Tuhan itu ialah Dia Yang Memberi gerak kepada
lingkungan yang paling luar itu; dan lingkungan paling luar ini
menyelubungi semua yang lain. Maka dengan itu (kata mereka) Tuhan itu
mestilah tidak berbilang-bilang.
Ketiga
Kelas
yang ketiga lebih tinggi lagi dari itu. Kata mereka bahawa perhubungan
gerak langsung pada benda-benda langit itu mestilah satu tindakan
perhambaan kepada Tuhan Sekelian Alam; tindakan penyembahan dan
ketaatan kepada perintahNya dan dilakukan oleh satu daripada
makhluk-makhluk iaitu malaikat. Perhubungan malaikat ini dengan
cahaya-cahaya Ketuhanan Maha Suci itu ialah ibarat perhubungan bulan
dengan lain-lain cahaya yang nampak.
Mereka
mengatakan bahawa Tuhan itulah yang ditaati oleh malaikat ini. Maka
Allah Subhanahuwa Taala itulah mesti dianggap sebagi penggerak secara
perintah(amar) sahaja, dan bukan secara langsung dengan lakuan.
Penjelasan tentang "perintah" yang manakah dan apakah sebenarnya, maka
perkara ini tidaklah jelas dan sangat susah hendak difahami oleh
kebanyakan orang. Di samping itu pula, perkara ini tidak termasuk dalam
pembicaraan kitab ini.
Semua yang tersebut itu adalah peringkat-peringkat yang terhijab oleh cahaya-cahaya tanpa bercampur dengan gelap.
"Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya". (Al-Quran)
4. Matlamat Yang Dicari.
--------------------------------------------------------------------------------
Bagi
mereka yang telah mencapai (Mengenal Allah dengan sebenarnya) akan
mendapat yang keempat. Kepada mereka diterangkan bahawa yang ditaati
itu, jika dikenalkan sebagai Allah, tentu sekali disifatkan sebagai
Yang Maha Esa dan Maha Sempurna. Tujuan kitab ini bukanlah untuk
menghuraikannya. Antara yang ditaati ini dengan Wujud Hakiki itu ialah
ibarat perkaitan matahari dengan dengan cahayanya atau sesuatu yang
menyala dengan api; dan dengan itu "memalingkan muka-muka mereka"
kepada Dia Yang Menggerakkan langit dan Dia Yang Mengeluarkan
Perintahh(Amar) untuk gerak mereka, dan mencapai satu Wujud yang
melampaui semua yang dicapai oleh penglihatan mata atau kesedaran batin
manusia. Ini adalah kerana mereka dapati ianya melampaui dan berasingan
dari setiap sifat yang kita sebutkan dulu.
Yang
ini pun terbahagi kepada beberapa kelas. Bagi satu kelas dalam golongan
ini, seluruh apa yang nampak habis lenyap, hapus dan fana; namun begitu
jiwa (ruh) itu sendiri tetap bertafakur tentang Keindahan dan Kekudusan
Mutlak itu dan merenung dirinya dalam keindahanNya, yang dikurnia
kepadanya kerana ia telah mencapai Hadirat Ilahi. Pada mereka,
benda-benda yang nampak ini {tetapi bukan ruh yang melihat itu}, fana
dan hancur sirnanya.
Di
atas peringkat tersebut ada lagi peringkat yang hanya dicapai oleh
beberapa orang pilihan sahaja, iaitu mereka yang hancur lebur dalam
Keagungan Wajah Yang Maha Suci dan Kebesaran Tuhan Yang Maha Mulia. Dan
dengan ini mereka sendiri pun fana dan lenyap hilang. Tidak ada lagi
ruang bagi tafakur diri kerana tidak ada yang bersangkutan dengan diri.
Tidak ada lagi yang tinggal kecuali Allah. Ruh akan mengalami
firmanNya; "Semuanya hancur musnah kecuali Wajahnya"-(Al-Quran).
Berkenaan ini telah kita bincangkan dalam bab pertama dan telah
diterangkan juga apakah maksud yang mereka gelarkan keadaan ini sebagai
"persamaan" dan bagaimana mereka memandang perkara ini.
Demikian
penjelasan kita tentang kelas-kelas orang yang terhijab juga di antara
mereka itu dalam perjalanan. Tidak perlu naik peringkat demi peringkat,
dalam peringkat-peringkat yang telah kita sebutkan dulu, dan kenaikan
mereka itu tidak pula mengambil masa yang panjang dan lanjut, tetapi
hanya dalam masa yang singkat sahaja mereka telah mencapai makrifat dan
mengakui Kebesaran dan Keagungan Allah itu melebihi segala-galanya.
Mereka mencapai peringkat makrifat ini dengan pantas sekali. Kedatangan
"Tajalli" Tuhan melimpahi mereka sehingga "Keagungan WajahNya telah
menelan" segala yang diketahui dengan penglihatan deria atau kesedaran
akal.
Mungkin
jalan pertama (berperingkat demi peringkat) itu adalah jalanya Nabi
Ibrahim a.s. (KhalilulLah); dan yang kedua (jalan pantas sekaligus) itu
jalannya Nabi Muhamad SAW. (HabibulLah). Allah sahaja Yang Maha Tahu
rahsia kemajuan perjalanan mereka dan maqam-maqam (stesyen-stesyen)
mereka dalam perjalanan ini.
Demikian
penjelasan kita tentang kelas-kelas orang-orang yang terhijab oleh
hijab-hijab. Tidaklah hairan sekiranya semua maqam ini diperjeniskan
sepenuhnya dan dikaji sepenuhnya tentang hijab-hijab orang-orang dalam
perjalanan ini. Maka akan didapati bahawa bilangan kelas-kelas ini
boleh sampai kepada 70 000. Namun, jika saudara lihat baik-baik,
saudara dapati semuanya termasuk dalam bahagian-bahagian yang saya(Imam
Ghazali) terangkan itu. Seperti yang kita lihat, mereka mestilah
terhijab;
oleh sifat-sifat keinsanan mereka sendiri, atau
oleh deria,
khayalan,
akal yang memikir dan membuat keputusan, atau
oleh cahaya yang sebenarnya.
Sekianlah
sahaja yang dapat saya jawab pertanyaan saudara, meskipun perkara ini
datang kepada saya semasa fikiran saya berbelah bahagi dan sedang
bertafakur, dan perhatian saya menumpu keepada perkara yang lain
daripada perkara ini. Saya harapkan supaya saudara maafkan saya kerana
mungkin pena saya tersilap atau kaki saya tergelincir, kerana bukannya
mudah untuk menceburkan diri ke dalam lautan rahsia-rahsia Ketuhanan
yang tidak bertepi itu; dan sukar, amat sukar sekali hendak mengarang
dan menceritakan tentang cahaya-cahaya Maha Tinggi yang terletak jauh
di sebalik tabir.
T A M A T
ALLAH اللهَ ALLAH اللهَALLAH اللهَALLAH اللهَ
Pemakaian Ayat An-Nur dan Hadis Berkenaan Hijab
اَللَّهُمَّ صَلِّىْ عَلَىْ سَيِّدِنَامُحَمَّدٍ
والله أعلم بالـصـواب
Moga Bermanfaat.
Insya ALLAH
.........................................................



No comments:
Post a Comment