اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
Ilmu FALAK
Ilmu FALAK
ILMU FALAK: SATU PENEROKAAN
ILMU FALAK: SATU PENEROKAAN
Dr Mat Rofa Ismail
Jabatan Matematik
Universiti Putra Malaysia
Pendahuluan
Ayat al-Qur’an yang pertama diwahyu kepada Rasulullah saw
menyebut tentang iqra’ dan al-qalam, yakni merujuk kepada pembacaan dan pena.
Kedua-dua kalimah menjadi simbol kepentingan ilmu dalam Islam. Iqra’ merujuk
bacaan, kajian, analisis dan penyelidikan. Kajian sains dalam tamadun Islam
bermaksud mengkaji keindahan hukum Ilahi yang ditakdirkan ke atas alam semesta,
lalu bacaan dilakukan dengan nama Allah SWT. ”Bacalah dengan nama Tuhan-Mu”
(al-`Alaq, 1). Paradigma Tauhid menjadi paradigma kajian sains tabii di
kalangan saintis Muslim.
Al-Qur’an menggesa agar diperhatikan kejadian langit dan
bumi, memerhatikan perjalanannya serta kejadian siang dan malam. ”Sesungguhnya
pada penciptaan langit dan bumi serta pertukaran siang dan malam benar-benar
menjadi tanda (keagungan Ilahi) bagi ahli Ulil-Albab” (Ali Imran, 190). Umat
Islam diseru agar merenungi kejadian langit dan bumi serta hitungan perjalanan
matahari, bulan dan cakerawala yang menjadi intisari dalam kajian astronomi.
Alam sesmesta bergerak secara tertib dan harmoni. Apakah
sebabnya peristiwa harian seperti edaran matahari, bulan, bumi dan cakerawala
keseluruhanya berlaku dalam suasana yang sedemikian tepat dan persis?Saintis
Islam mengkaji keindahan sistem perjalanan alam semesta itu sebagai manifestasi
keagungan ciptaan Allah SWT. Seluruh jirim langit berjalan mengikut ketentuan
Ilahi yang telah ditakdirkan kepada mereka. Mereka melakukan peredaran penuh
ketaatan tanpa bantahan. Mereka tunduk dan patuh. Mereka bertasbih serta
melakukan ibadat dalam pengertian fitrah kejadian masing-masing. Keharmonian
hukum alam pada hakikatnya ialah manifestasi kepatuhan alam terhadap takdir
Ilahi. ”Bertasbih kepada Allah seluruh yang ada di langit dan di bumi,
sedangkan Dialah Yang Maha Perkasa kagi Maha Bijaksana” (al-Hasyr,1).
Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada ketentuan Ilahi,
tunduk dan patuh kepada hukum Ilahi. Seluruh jisim langit dan bumi, seluruh
jisim yang seni seperti elektron yang mengelilingi neukleus sehingga cakarewala
yang mega yang mengelilingi pusat cakerawalanya, bergerak sedemikian dengan
penuh peraturan, sebagai simbol kepatuhan dan ketundukannya kepada Pencipta.
Simbol kepatuhan yang sama dapat disaksikan apabila kita mememerhatikan
peraturan para jamaah haji melakukan pusingan tawaf mengelilingi kaabah dengan
penuh ketaatan dan kepatuhan. Keharmonian hukum alam ialah simbol kepatuhan
alam terhadap arahan ketuhanan. Alam adalah Muslim pada pengertian maknawi.
Saintis Muslim tidak pernah memisah antara sains dengan iman, antara ilmu
dengan agama. Kedua-dua ilmu emperikal dan tauhid dikaji dalam acuan yang sama,
sepadu dan saling berkaiatn, tidak terpisah seperti amalan saintis Barat. Di
atas prinsip inilah tamadun Islam terbina.
.Islam melihat kegiatan ilmu sebagai ibadat umum umat Islam.
Ilmu sains tabii dikaji dalam satu paradigma kesepaduan ilmu yang berfungsi
untuk melihat alam sebagai satu manifestasi keagungan Ilahi. Alam yang berjalan
secara teratur dan tertib, bukan terjadi secara kebetulan tetapi menerusi
Iradat dan perancangan Ilahi yang penuh hikmah. Alam semesta yang menjadi objek
kajian sains hakikatnya dianggap sebagai kitab terbuka yang harus dikaji secara
selari dengan kitab wahyu al-Qur’an. Hasil akhir kegiatan saintifik seseorang
Muslim ialah sifat bertakwa yang menjadikan diri pengkajinya tunduk dan patuh
kepada kehendak Ilahi, apabila melihat bahawa semua objek kajian sains di
langit dan di bumi tunduk patuh kepada Pencipta-nya. Di atas paksi inilah
seharusnya kajian saintifik moden umat Islam dilakukan. Setiap kajian yang
ikhlas akan berakhir dengan pengiktirafan keagungan Ilahi dalam penciptaan alam
semesta.
Hukum keseragaman alam yang disangka saintis Barat sebagai
hukum tabii, hakikatnya ialah hukum Allah SWT yang disebut Sunnatullah. Muslim
bermaksud orang yang patuh dan tunduk kepada peraturan dan kehendaki Ilahi.
Dalam pengertian ini, alam semesta yang berjalan secara teratur dan seragam
hakikatnya patuh dan tunduk kepada perintah Ilahi. Maka hakikatnya alam semesta
adalah Muslim dengan pengertian ini. Hukum sebab dan akibat sebenarnya
merupakan sebahagian daripada sunnatullah. Hukum ini tetap berjalan seadanya
selagi dikehendaki berlaku demikian oleh Pencipta-nya.
Ilmu Falak dan Umat Islam
Falak atau astronomi ialah ilmu tentang kajian bintang dan
sistem peredarannya. Menurut al-Khawarizmi al-Katib, astronomi ialah perkataan
Yunani; astro- bintang dan nomi – ilmu. Pengarang Mafatih al-’Ulum itu
mentakrifkan: Astronomi ialah ilmu berkenaan pergerakan jisim-jisim langit
(al-ajsam al-samawiyyah), saiz dan bentuknya. Ilmu ini diwarisi daripada para
anbia terdahulu termasuk Nabi Idris as. Nabi Idris memperturunkan ilmu tersebut
kepada para sahabatnya di Mesir. Orang Mesir terkenal dengan pengetahuan mereka
tentang alam langit sebab mereka mewarisi ilmu tersebut daripada para anbia.
Mesir muncul sebagai umat terawal yang mengembangkan ilmu berkenaan. Mereka
mengira perjalanan matahari, bulan dan planet, serta mereka mengira peristiwa
gerhana matahari, pasang surut laut, musim dan kalendar. Ilmu ini disusun
kembali oleh ilmuwan Mesir seperti Batlamius (Ptolemy) dan angkatannya lalu
diwariskan pula kepada umat Islam khususnya apabila pembukaan Mesir dilakukan
oleh para khalifah Islam yang awal.
Dalam pendahuluan buku al-Durr al-naqiy, Syeikh ’Umar
Nuruddin seorang ahli falak tempatan, menceritakan mengenai pelopor ilmu-ilmu
bersumberkan akal termasuk ilmu pengiraan dan falak:
’Dan orang yang menghantar dia (’ilm Hisab) seperti yang
menghantar ilmu handasah dan ilmu tanjim dan ilmu hai’ah dan barang yang
bergantung dengan dia iaitu Hasib Karim al-Din ibn Daniel, al-Nabi, dengan
berkat doa bapanya dan kata qil Saidina Idris a.s.; dan kelebihan, iaitu
berhajat kepadanya dan kebanyakan daripada segala ilmu dan muafakat segala
ulama dan ahli mudun lamanya dan barunya atas perkenan akan dia dan dipujikan
dia dan diamati-amati akan dia…
Ilmu tanjim dan hai’ah yang dimaksudkan oleh Syeikh Nuruddin
di atas ialah cabang-cabang ilmu mengenai bintang dan alam langit. Catatan yang
menghubungkan ilmu falak dengan para anbia adalah cacatan popular dalam catatan
penulis Muslim termasuk penulis Melayu. Zubair bin ’Umar al-Indunisi membuat
catatan tentang ilmu falak secara yang lebih terperinci dalamKhulasah
al-Wafiyyah seperti di bawah:
’ Nama ilmu ini ialah ilmu pengiraan (al-Hisabi) dan
pencerapan (al-irsyad) dan dimasyurkan dengan nama ilmu falak bahagian-bahagian
ilmu hai’ah. Orang Arab membahagikan ilmu ini yang di sisi orang Yunani
dikenali sebagai astronomi dan bermakna hukum-hukum perjalanan bintang (qawanin
al-nujum) kepada tiga bahagian: deskriptif (wasfi), tabi’i dan amali. Falak
wasfimengkaji tentang ehwal jirim-jirim langit dan pergerakan, kemunculan, cara
perjalanan, ketinggian dan kerendahannya, panjang malam dan siang dan yang
bersangkutan dengan bulan, tahun, hilal, gerhana bulan dan gerhana matahari.
Falak tabii mengkaji tentang ehwal jirim-jirim tersebut dari segi dalil tentang
peristiwa-peristiwa dan ’illah peristiwa-peristiwa tersebut serta kaedahnya.
Cabang ini dinamai ilmu tanjim atau ahkam atau ilmu melibatkan perdalilan
(istidlali). Falak amali pula mengkaji tentang pengetahuan yang dicapai oleh
dua bahagian tadi dengan rubu` al-mujayyab, al-muqantar, jadual hisab zij,
pencerap (al-rasd) dan logaritma. Inilah tujuan buku ini.
’Pengasas ilmu ini ialah Nabi Allah Idris, ke atas Nabi kita
dan ke atasnya selawat dan salam. Beliaulah orang pertama yang mengeluarkan
ilmu hikmah dan ilmu bintang kerana sesungguhnya Allah Subhanahu Ta’ala memberi
kefahaman kepada beliau rahsia-rahsia falak dan susunannya, tempat-tempat
ijtima’ kawajib dan menganugerahkan kefahaman tentang bilangan tahun dan
pengiraan…”
Umat Islam memurnikan ilmu astronomi warisan Mesir-Yunani
menerusi budaya dan sistem nilai Islam yang dipadankan menerusi wahyu Ilahi
yang murni. Pemisahan antara unsur kuantitatif dengan kualitatif yang bercampur
antara unsur khurafat dan murni dilakukan sepanjang pemindahan ilmu berkenaan
khususnya apabila para khalifah Abbasiyyah membina balaicerap dan kajian
perjalanan bintang kemudiannya. Ilmu ini dikenali kemudiannya sebagai ilmu
falak. Istilah falak mempunyai konotasi yang berbeza daripada astronomi.
Astronomi di sisi masyarakat Mesir digunakan untuk urusan harian seperti
pengiraan musim, pertanian, perjalanan dan kalendar. Falak di sisi ilmuwan
Islam lebih rapat kepada aktiviti ibadat kerana banyak ibadat umat Islam
berkait rapat dengan ilmu berkenaan selain daripada aktiviti harian termasuk
pengembaraan, pertanian dan kalendar. Kalimah falak diambil sempena kalimah
falak yang terdapat dalam al-Qur’an.
“Dan Dialah yang menjadikan malam, siang, dan matahari serta
bulan. Kesemuanya itu (terapung) berenang dalam falak masing-masing” (al-Anbia,
30).
Sa`id Hawwa menerusi al-Asas fi al-Tafsir ketika mengulas
ayat ini menyatakan bahawa ayat di atas mempunyai nilai saintifik yang tinggi.
Dinyatakan dalam ayat tersebut kesemua malam, siang, matahari dan bulan
terapung beredar di udara seperti orang berenang. Perkataan kull (dengantanwin)
bererti melibatkan kesemua objek yang telah disebut sebelumnya. Namun malam dan
siang bukan objek seperti bulan dan matahari, tetapi termasuk dalam bilangan
yang dimaksudkan. Ini bererti bumi, tempat berlaku siang dan malam itulah yang
dimaksudkan terapung di dalam orbit. Lagi pula istilah yasbahun dalam ayat di
atas merujuk kepada tiga atau lebih objek mengikut tatabahasa Arab. Ini
menafikan bagi orang yang berpendapat bulan dan matahari sahaja yang
dimaksudkan dalam ayat tersebut. Jika hanya dua objek yang dimaksudkan tentulah
kalimah yasbahandigunakan, bukan yasbahun. Demikian hujah Sa`id Hawwa dalam
ulasannya.
Ibadat umat Islam seperti solat, haji, puasa, takwim, arah
kiblat, dan seumpamanya berkait rapat dengan ilmu falak. Para ulama menyatakan
hukum mempelajari ilmu ini bertaraf fardu kifayah. Husain Muhammad al-Mahali
misalnya menyatakan ilmu pengiraan berkaitan falak khususnya merupakan satu
sudut (rukn) daripada sudut-sudut agama. Contoh kegunaan ilmu ini dalam hukum
fiqh diperjelas oleh Abul’l Yasr al-Bazdawi dalam Risalah Fi Simt al-Qiblat:
Kemudian, setiap orang perlu melakukan solat setiap hari,
berulang-ulang, yang tidak dapat dilakukannya kecuali dengan mengetahui
rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Antara syaratnya ialah tawajjuh kepada
kiblat; mengetahuinya wajib. Imam-imam salaf telah mengasas banyak masalah
dalam syarat-syarat dan memperlihatkan dalil-dalil kesahannya; tidak mencukupi
untuk bertaklid sahaja. Demikian pula mereka meletakkan masalah yang banyak
tentang zakat, puasa, perkahwinan, talak, perniagaan, jenayah dan masalah-masalah
lain. Walaupun kebanyakan manusia tidak perlu mengetahuinya dalam setiap segi,
tetapi tidak memadai untuk mereka bertaklid sahaja. Kemudian imam-imam salaf
kebanyakan mereka enggan merenung masalah kiblat dan mereka berpuas hati dengan
bertaklid. Bertaklid tidak wajib bagi mereka. Mereka tidak melakukan pengiraan
itu tanpa alat untuk mengira arah kiblat, dan kiblat tidak dapat diketahui
kecuali dengan ilmu pengiraan …..
Penyusunan takwim sembahyang memerlukan pengetahuan geometri
sfera dan trigonometri khususnya tentang fungsi songsangan sinus, kosinus dan
tangen. Ini adalah asas dalam pengiraan waktu syuruq, fajar, ghurub, ijtima`dan
yang seumpamanya. Dalam penentuan tersebut, seseorang ulama perlu mengetahui
glob bumi, sistem matahari, falak perjalanan bumi mengelilingi matahari,
surihan bulan dan kemerengan bumi dalam putaran dan edarannya. Ini memerlukan
pengetahuan yang mendalam tentang matematik dan cabangnya khususnya falak,
geometri, trigonometri dan aljabar.
Menurut al-Ghazali, ilmu dikelaskan kepada dua kategori
iaitu ilmu syariah dan bukan syariah. Ilmu syariah hanya diperoleh menerusi
wahyu tetapi ilmu bukan syariah mempunyai pelbagai sumber akal, pemerhatian,
percubaan atau pengalaman manusia. Falak dikelaskan di bawah ilmu matematik.
Matematik dikenali sebagai ilmu al-ta`lim dalam tradisi Islam. Matematik terbit
daripada pemikiran akal manusia sedangkan akal pula anugerah Ilahi yang mulia
kepada manusia. Ilmu perubatan diperoleh menerusi pemerhatian dan ujikaji,
manakala ilmu bahasa diperoleh menerusi pendengaran. Menurut al-Ghazali lagi,
ilmu bukan syariat terbahagi kepada tiga juzuk yang lain: harus, terpuji dan
dikeji. Matematik dan perubatan, menurut al-Ghazali ialah dua contoh ilmu yang
terpuji dalam kategori ini. Kajian ilmu falak dilakukan sebagai cabang ilmu
matematik yang bertaraf fardu kifayah menurut Hujjatul-Islam tersebut.
Al-Khawarizmi menerusi Kitab al-`Amal bi al-Astrulab
(Pengiraan menggunakan Astrolab) dan Kitab Amal San`al-Astrulab (Seni Pengiraan
menggunakan Astrolab) menceritakan tentang penggunaan alat astrolab untuk
menentukan altitut jisim samawi daripada titik cerapan tertentu.Astrolab ialah
alat yang diperbuat daripada kayu atau logam yang digunakan ahli falak untuk
menentukan altitut jirim samawi, untuk menentukan latitut dan masa pencerap,
atau melakukan pengiraan matematik. Alat astrolab yang dicipta al-Khawarizmi
dikatakan mampu menyelesaikan 43 masalah yang berkaitan dengan pengiraaan
tersebut. Sekurun kemudian pula, tokoh falak Iran yang terkenal Abdul Rahman al-Sufi
pula telah merekacipta alat yang sama untuk digunakan dengan lebih cekap
sehingga mampu menyelesaikan sebanyak 1000 masalah berkaitan dengan astronomi
dan matematik.
Cabang-cabang ilmu falak termasuklah ilmu azyaj (kata
tunggal azyaj ialahzij), iaitu ilmu tentang jadual perjalanan falak, ilmu
hai’ah, iaitu ilmu tentang susunan orbit, jumlah bintang dalam rantai tertentu,
bahagian-bahagian buruj, jarak, saiz dan yang bersangkutan dengannya, ilmu
ahkam (kata tunggalnya hukm yang bererti hukum) dan ilmu tentang alat kajian
bintang (alat al-munajjimin). Ibnu Khaldun menyatakan dalam al-Muqaddimah,
bahawa ilmu zij ialah cabang ilmu hai’ah dan mentakrifkan ilmu hai’ahsebagai
ilmu pencerapan pergerakan bintang dengan kaedah geometri.
Trigonometri (al-muthallathat) diasas oleh umat Islam khusus
untuk pengiraan falak. Ilmu falak memerlukan pengetahuan tentang geometri satah
dan sfera. Ilmu ini diasas oleh rangkaian ilmuwan Islam termasuk al-Battani,
Abu’l-Wafa, al-Tusi dan al-Biruni. Perbincangan trigonometri boleh didapati
misalnya dalam Miftah al-Hisab (ditulis pada tahun 1428 Masihi) karya Jamsyid
Ghiath al-Din al-Kasyi. Beliau membicarakan ilmu ini dalam bab ilmual-misahah
yang melibatkan keluasan dalam bentuk segi tiga dan beliau mentakrifkan segi
tiga sebagai satah yang dilengkungi oleh tiga garis lurus yang digelar adla’
al-muthallah (sempadan segi tiga). Trigonometri ialah pengajian tentang segi
tiga.
Kegemilangan Falak Umat Islam: Satu Kenangan
Umat Islam mementingkan kajian emperikal dalam bidang falak.
Data dan cerapan menjadi kegiatan penting umat Islam sejak zaman kerajaan
Abbasiyyah. Pada masa pemerintahan al-Makmun mlnya, isdua balai cerap dibina
dalam kurun ke-9 iaitu di Syamsiah Baghdad dan Bukit Qasiun Damshik. Balai
cerap ini menjadi mercutanda penting dalam astronomi Islam yang kemudiannya
menyaksikan banyak balaicerap yang didirikan di seluruh wilayah Islam.
Balaicerap di Maragha dan Samarkhan misalnya dibina dengan ketinggian melebihi
70 meter.
Penyelidikan dengan metodologi saintifik menjadi tradisi
keilmuan tamadun Islam. Aspek emperikal menjadi pembeza antara pendekatan
Yunani dengan pendekatan Islam. Khalifah al-Makmun mengarah Banu Musa tiga
bersaudara untuk mengukur lilitan bumi. Mereka berpandukan bintang kutub dalam
pengukuran tersebut lalu mencari lilitan yang setara dengan pergerakan 1o
bintang tersebut. Mereka mendapati jarak yang sepadan ialah 66 2/3 mil Arab. I
mil Arab bersamaan 1979.3 km. Ini bermakna lilitan bumi mengikut garis bujur
berdasar cerapan ini ialah 47,356 km yang menunjukkan pencapaian hebat ilmuwan
Islam kurun ke-9 Masihi. Nilai yang diterima sekarang ialah 40,000 km. Cerapan
ini dilakukan di kawasan berdekatan Mausul Iraq. Mereka melakukan cerapan
ulangan pula kemudiannya di Kufah dan mendapati keputusan yang hampir sama.
Al-Biruni menjadi saintis Islam yang awal mentafsir
al-Qur’an secara perbandingan saintifik tentang kejadian alam. Di atas
permintaan Sultan Mahmud Ghaznawi, al-Biruni mentafsirkan ayat al-Qur’an yang
berkaitan dengan sains. Sebagai contoh, ketika mentafsirkan ayat tentang kisah
Zul-Qarnain dalam surah al-Kahfi, yang menceritakan bahawa Raja yang adil itu
tiba di suatu tempat matahari terbenam dalam satu tasik, manakala penduduknya
pula terdedah kepada sinaran matahari tanpa dapat berlindung diri sama sekali
sepanjang masa. Ayat ini ditafsirkan bahawa terdapat kawasan di atas muka bumi
ini yang mengalami siang selama 24 jam tanpa ada malam sama sekali. Pengembara
moden mendapati tempat tersebut berlaku di kutub utara atau selatan. Ini
menggambarkan kegiatan sains saintis Muslim berkait rapat dengan agama serta
menjadikan al-Qur’an sebagai paksi kegiatan ilmu.
Hasil kajian astronomi terdahulu disemak kembali oleh
rangkaian saintis Islam. Batlamius mencatatkan sudut kecondongan bumi sebanyak
230 51’ manakala ahli falak Hindu mencatatnya sebagai 240. Ibrahim Sinan dan
Abu Jaafar al-Khazin ingin mengkaji kemungkinan kecondongan tersebut berubah
sepanjang tahun. Al-Khujandi merumuskan memang benar kecondongannya berubah,
dan kecondongan maksimum atau al-mail al-a`zam mencapai 23032’ 22’’. Al-Battani
turut mengukur kecondongan tersebut dan memberi nilainya 230 35’. Al-Battani
turut menemui orbit bumi mengelilingi matahari bukan dalam orbit bulatan
sebagaimana sangkaan, tetapi elips.
Bulan yang mengeliling bumi pula dikaji oleh Abu al-Wafa
al-Buzajani dalam kurun ke-10. Al-Buzajani merumuskan perjalanan bulan
mengitari bumi menerusi persamaan halaju bulan yang digelarnya muadalah
al-sur`ah. Penulis Eropah menyatakan bahawa persamaan surihan bulan diberikan buat
pertama kalinya oleh Tycho Brahe dari Denmark dalam kurun ke-16. Dalam tahun
1749, Dunthorn menggunakan persaman halaju bulan untuk menentukan pecutan bulan
serta ramalan gerhana bulan dan matahari.
Menurut Ibn al-Haitham, bulan tidak mengeluarkan cahaya
seperti jirim langit lain yang bersinar, tetapi bulan membalikkan cahaya
matahari ke bumi.
Nasiruddin al-Tusi menyusun jadual falak untuk menyemak
kembali data astronomi Batlamius. Kegiatan al-Tusi tertumpu di Maragha.
Menerusi cerapannya, beliau mendapati ada banyak kesilapan data yang terdapat
dalam karya asal Batlamius. Al-Tusi cuba membuat andaian bahawa kesilapan
tersebut kemungkinan berpunca daripada kesilapan model geosentrik yang menjadi
pegangan umum ketika itu. Beliau mencadangkan model heliosentrik menggantikan
model Batlamius. Pandangan yang sama dikemukakan oleh al-Biruni dan Ibn
al-Haitham. Mereka sukar menerima premis Batlamius apabila kajian tentang titik
auj atau apogee dalam peristiwa akuinoks tidak menyokong langsung model
tersebut. Mereka mengemukakan model heliosentrik bahawa matahari berada di
tengah sistem suria dengan planet mengelilinginya. Pandangan ini sungguh
penting kerana teori heliosentrik dikemukakan kembali di Eropah oleh Copernicus
kemudiannya yang menimbulkan konflik yang besar dalam sejarah astronomi.
Abdul Rahman al-Sufi (903 – 986) telah menyebut tentang
kewujudan galaksi di luar Bima Sakti. Dalam karyanya Kitab al-Kawakib
al-Thabitah, beliau menceritakan tentang nebula Andromeda yang diberi nama
timanganKabus Kecil dan Awan Magallan sebagai al-Baqar al-Abyad.
Andromedadisifatkan berada sebelum mulut kumpulan bintang yang digelar Ikan
Besardalam pengelasan bintang Arab. Menurut al-Biruni pula, galaksi Bima Sakti
terdiri daripada koleksi bintang nebula yang tidak terkira bilangannya.
Jadual dan data falak yang dikenali sebagai zij telah
dihasilkan di pelbagai balai cerap. Antara zij yang terkenal termasuklah zij
yang dikumpulkan oleh al-Battani di Raqqah, Siria, zij yang dicerap Ibnu Yunus
al-Safadi di balai cerap Kaherah, Mesir dan zij yang dicerap oleh kumpulan
Ulugh Beg di balai cerap Samarkhan, Uzbekistan. Karya falak tersebut sangat
terkenal di Eropah dan dirujuki oleh ahli astronomi benua itu termasuk oleh
Copernicus ketika menulis bukunya De Revolutionibus Orbium, khususnya zij al-Battani.
Data gerhana matahari dan bulan al-Battani turut digunakan Dunthrone (1749)
untuk menyelidiki pecutan bulan.
Al-Biruni turut membawa satu kumpulan saintis untuk mengkur
lilitan bumi. Peristiwa ini dilakukan di tepi pantai Lautan Hindi di benua India
dengan menggunakan astrolab dan pengiraan secara trigonometri. Pengukuran
jejeri bumi didasarkan kepada rumus
R = [a kos q] / (1 – kos q),
dengan q sebagai sudut dongak puncak gunung dan a jarak
gunung daripada pencerap. Dalam pengukuran tersebut, tinggi gunung berkenaan
ialah 652.5 hasta, q = 34”. Data ini memberikan lilitan garis khattul-istiwa
sebagai 56.92 mil. Kajian ini dilakukan sebagai semakan terhadap kajian
terdahulu yang dilakukan pada zaman al-Ma`mun.
Al-Biruni menyusun kalendar Parsi, Hebrew, Rom, Hindi dan
Turki. Beliau turut menyenarai hari perayaan pelbagai kaum. Kalendar sistem
matahari dikira berdasar bilangan 365.2422 hari setahun (kiraan ini yakni
365.2422, masih tepat hingga kini). Al-Biruni turut memerhati pergerakan titik
awj atausolstis matahari yang berubah sepanjang zaman. Beliau turut memetakan
1029 objek samawi secara terperinci termasuk lokasi dalam hemisfera samawi yang
tepat kepada minit yang berhampiran. Dalam pengiraan, al-Biruni sangat terliti
dalam analisisnya. Sebagai contoh, beliau menggunakan nilai p =
3.141592653535898732 yang mempunyai 18 titik perpuluhan.
Karya teragung al-Biruni ialah al-Qanun al-Mas’udi ditulis
dalam 143 bab. Karya ini merupakan karya agung al-Biruni. Karya ini mempunyai
asas yang kuat dalam ilmu falak, geometri, trigonometri dan analisis berangka
matematik.
Karya sains beliau sangat banyak dan indeks penulisannya
dikumpulkan dalam senarai setebal 60 halaman. Al-Biruni membuktikan bahawa bumi
berputar atas paksinya, beredar dalam orbit elips dan beliau membuktikan teori
geosentrik Ptolemy menyalahi data cerapan astronomi. Beliau mengemukakan 7
kaedah penentuan kutub utara. Beliau turut mengukur perimeter bumi mengikut
garis khatulistiwa. Beliau meramalkan gerhana matahari pada 8 April 1019 dan
gerhana bulan pada 17 September 1019. Kedua-dua peristiwa dicerap benar di
Lamghan dekat Kabul.
Al-Biruni mencipta alat astrolab berbentuk selinder yang
berbeza daripada bentuk astrolab sebelumnya untuk cerapan dan kajian serta
pengiraan waktu sembahyang fardu. Rekaan beliau ini terdapat dalam beberapa
penulisannya termasuk dalam al-Tafhim li Awa’il Sinaah al-Tanjim.
Al-Biruni mengkaji tentang peristiwa pasang surut air laut
yang mempunyai kaitan dengan tarikan gravity antara bulan dan bumi. Kajian pasang
surut laut dilakukan al-Biruni di Bandar Somnath di India.
Rangkaian awal ahli falak Muslim seperti al-Fazari dan
al-Khawarizmi, dikuti oleh al-Biruni dan Ibn al-Zarqali, kemudian oleh Ibn
al-Shatir dan Ulugh Begh, telah memantapkan kajian data astronomi zij secara
kuantitatif yang terpisah daripada mitos dan khurafat, sehinggakan bidang ini
antara bidang yang paling pesat perkembangannya selain daripada bidang teras
agama
Apakah tajuk yang biasa dibincangkan dalam karya falak yang
membawa tajuk zij tersebut? Sebagai pengetahuan, antara lain zij mempunyai
beberapa tajuk yang piawai. Perbezaan antara satu zij dengan zij yang lain
bergantung penekanan serta data baru yang didasar kepada pengiraan dan cerapan
yang lebih terkini. Antara tajuk asas perbincangannya adalah seperti yang
berikut:
· Kronologi zij
· Trigonometri
· Astronomi sfera
· Pergerakan min suria, bulan, dan planet
· Persamaan suria, bulan dan planet
· Latitut bulan dan planet
· Kedudukan planet
· Paralaks
· Gerhana bulan dan matahari
· Ketampakan bulan dan planet
· Matematik geografi serta penentuan arah kiblat (dari
bandar tertentu bersama koordinat)
· Uranometri (jadual bintang malar serta koordinat)
Sejarah telah menyaksikan betapa ribuan kajian zij telah
dilakukan di seluruh wilayah Islam. Walaupun demikian, terdapat beberapa
balaicerap yang telah menghasilkan zij induk yang menjadi rujukan penting dalam
selang masa tertentu. Antara zij penting yang pernah dihasilkan dalam sejarah
falak Islam ialah:
· Zij al-Khawarizmi (kurun ke-9)
· Zij Sabi`al-Battani (kurun ke-10)
· Zij Hakimi Ibn Yunus (kurun ke-10)
· Zij al-Mas`udi al-Biruni (kurun ke-11)
· Zij Ibn Ishaq (kurun ke-12)
· Zij Ilkhani Nasir al-Din al-Tusi (kurun ke-13)
· Zij Sultani Ulugh Beg (kurun ke-15).
Di Eropah, pengaruh astronomi Muslim sangat besar. Kegiatan
penterjemahan karya tamadun Islam berlaku secara beransur-ansur sejak kurun
ke-12 sehingga kurun ke-15 dan kajian secara mendalam pula berlaku sekitar
kurun ke-16 dan 17 oleh Copernicus, Kepler, Brahe, Galileo, Descartes dan
Newton. Tokoh seperti Regiomontanus, mengulas tentang trigonometri satah dan
sfera yang menjadi unsur penting dalam kajian astronomi. Fungsi trigonometri
al-Battani dan Abu al-Wafa diperkenalkan secara mendalam oleh Regiomantanus di
Eropah. Jadual fungsi trigonometri yang tepat sangat diperlukan dalam kajian
astronomi kerana cerapan yang melibatkan angkasa raya itu sangat peka dengan
tabii ketepatan nilai, seperti nilai sin(10) yang menjadi perbincangan dalam
kurun ke-11.
John of Sacrobosco menulis kembali falak Islam di Paris
dalam karyanya termasuk Theorica planetarum atau Corpus astromicum. Karya
matematik Regiomontanus pula memulakan perbincangan trigonometri yang
membincangkan fungsi sinus, kosinus dan tangen sebagai adaptasi daripada karya
astronomi Muslim ke Eropah khususnya di Jerman. Karya De
triangalisRegiomontanus sebenarnya pernyataan kembali karya trigonomertri
Abu’l-Wafa al-Buzajani. Karya al-Zarqali telah dirujuk oleh Copernicus dalam
penyusunan De revolutionibus orbium coelestium. Rumus matematik dalam karya
Ibnu Syatir yang bertajuk Nihayah al-su’l dalam kurun ke-14 ditemukan sekali
lagi dalam karya Copernicus kurun ke-16.
Jadual falak susunan al-Khawarizmi, adaptasi daripada
astronomi India dan cerapannya sendiri telah diterjemahkan ke Latin. Antara zij
lain yang diterjemahkan ke Latin termasuklah Zij Hakimi Ibnu Yunus al-Safadi,
ZijMumtahan Yahya ibn Mansur dan Zij al-Fahhad. Selain itu Zij al-Battani,
al-Tusi, al-Biruni dan Ulugh Begh mendapat perhatian yang penting dalam
pembinaan astronomi Eropah. Zij al-Biruni diterjemahkan ke bahasa Rusia dan
Rusia menganggap al-Biruni sebagai tokoh teragung astronomi mereka. Al-Biruni
lahir di Khwarizmi dalam wilayah Rusia. Rusia menyambut ulang tahun ke-1000
al-Biruni pada tahun 1950 secara besar-besaran. Ini merupakan sumbangan besar
umat Islam terhadap perkembangan awal keilmuan Eropah khususnya dalam bidang
falak.
Kaedah emperikal ujikaji makmal yang diasaskan oleh Ibn
al-Haitham dalam optik digunakan secara meluas dalam penciptaan teleskop
kemudiannya menerusi kajian Kepler, Galileo, Newton dan Descartes di Eropah.
Bahkan banyak hasil yang dinyatakan sebagai hasil penemuan Newton termasuk
graviti, optik, hukum gerakan dan kalkulus boleh dijejak pengambilannya dalam
tulisan ahli sains Islam termasuk Ibn al-Haitham, Ibn Malka dan Thabit ibn
Qurrah. Kaedah al-istiqra’ wa al-tajribah yang dipopular dengan
kaedahhypothetico-deductive di Barat pada hakikatnya ialah kaedah yang diasaskan
oleh Jabir ibn Hayyan dalam kimia dan Ibn al-Haitham dalam bidang optik. Roger
Bacon sebagai pengembang pemikiran Ibn al-Haitham di Barat kemudiannya
diisytihar oleh penulis mereka sebagai pengasas kaedah hipotehtico-deductive.
Aspek cerapan emperikal tersebut membantukan kajian sains termasuk astronomi di
Eropah menjelang kurn ke-17.
Barat mengisytiharkan bahawa Copernicus sebagai saintis
pertama yang mengemukakan teori heliosentrik yakni teori matahari sebagai pusat
edaran planet dalam sistem suria dalam kurun ke-16. Sejarah Barat melanjutkan
bahawa Galileo yang menyokong teori Copernicus merupakan ahli astronomi agung
dengan penemuan teori tersebut. Namun hakikatnya, al-Biruni, Ibn Syatir dan
al-Zarqali telah menyatakan hakikat ini apabila mereka melakukan cerapan yang
bercanggah dengan teori geosentrik warisan Ptolemy. Ibn Syatir misalnya sekitar
tahun 1360 Masihi, menyatakan bahawa teori yang menyatakan bumi sebagai pusat
alam tidak benar sama sekali. Menurut Ibn Syatir, ketika jirimlangit bergerak
dari timur ke barat menurut pencerap, matahari pula berubah-ubah ufuk terbit
dan terbenamnya sepanjang tahun. Planet pula ada yang muncul dan tenggelam maka
ini menunjukkan bumi dan planet beredar mengelilingi matahari, dan bulan pula
mengelilingi matahari. Pandangan Copernicus sangat selari dengan pandangan Ibn
Syatir. Penulis Barat menafikan hubungan Copernicus dengan Ibn Syatir, walaupun
dalam perpustakaan bandar kelahiran Copernicus terdapat manuskrip astronomi
dalam bahasa Arab yang tersimpan di situ. Banyak pandangan Coperninus yang
menyerupai pandangan Ibn Syatir menerusi manuskrip tersebut
Pada tahun 1607, Kepler mengulangi pandangan Abu al-Wafa
al-Buzajani tokoh astronomi Muslim bahawa pergerakan planet, termasuk
bumi,mengelilingi matahari dalam surihan berbentuk elips. Newton mendapati daya
graviti memegang planet untuk kekal dalam orbitnya. Matahari yang menjadi pusat
pergerakan planet dianggarkan mempunyai garis pusat sepanjang 1,392,000 km,
kira-kira 109 kali lebih panjang daripada garis pusat bumi. Haba di pusat
matahari mencapai suhu 15 juta Kalvin dan pembakaran melalui fusi nuklear
menggunakan 600 juta ton metrik hidrogen sesaat.
Falak tamadun Islam bukan sahaja membina astronomi Eropah
bahkan Alam Melayu turut menerima pengaruh falak tamadun induknya, khususnya
apabila Islam bertapak mantap di rantau ini. Manuskrip mengenai ilmu falak
boleh ditemui di merata tempat negara kita. Perpustakaan Negara Malaysia, Pusat
Islam, perpustakaan universiti tempatan, sekolah agama, koleksi pertubuhan dan
koleksi perseorangan adalah tempat-tempat yang boleh ditemui manuskrip
berkenaan yang ditulis dalam bahasa Melayu atau Arab.
Perpustakaan Akademi Islam Universiti Malaya, cawangan
Kelantan misalnya, mempunyai satu koleksi warisan ilmu berkenaan yang masih belum
diketahui umum. Di antara manuskrip yang dimaksudkan termasuklah sebuah kitab
mengenai astrolab karya Mahmud Zuhdi bin Abdul Rahman yang ditulis pada tahun
1343H, sebuah kitab mengenai jadual falak karya Muhammad Marzuqi bin Syed
Husain yang ditulis pada tahun 1334H dan jadual-jadualnya ditulis dalam sistem
munajjimin atau sistem jummal, Kitab al-Wasilah al-Mar’iyyah li ma’rifat
al-auqat al-Syar’iyyah yang mengandungi 24 bab mengenai pengiraan waktu yang
berhubung dengan syari’ah karya Khalifah bin Hamad yang ditulis pada tahun
1326H, sebuah kitab falak mengenai jirim-jirim langit (al-ajram al-samawiyyah)
yang ditulis pada tahun 1334H, (tidak dinyatakan pengarangnya,) yang merupakan
salinan daripada sebuah kitab lain yang juga tidak dinyatakan namanya. Kitab
Syarh al-Dawa’ir karya Syeikh Sulaiman al-Zuhdi yang disalin balik oleh penulis
Nusantara yang tidak disebut namanya dan sebuah kitab falak bertajuk Kitab
al-Khusuf dan Kitab al-Kusuf karya Muhammad Mansur bin Abdul Hamid al-Batawi
(tidak dinyatakan tahun penulisannya) mengenai gerhana bulan dan matahari.
Selain daripada manuskrip, buku-buku bercetak yang
dihasilkan oleh ahli falak Nusantara juga banyaj ditemui. Antara karya penting
yang dimaksudkan Riad al-wardiyyah, Nukhbah al-Bahiyyah dan Khulasah al-Jawahir
al-Naqiyyah karya Syeikh Ahmad al-Khatib Pati Kiraan karya Syeikh Tahir
Jalaluddin, Khulasah al-Wafiah fi al-Falak bi jadwal al-Lugharatimiyyahkarya
Zubair ’Umar al-Jailani, Minhaj al-Qawim pada mengetahui Hisab dan Taqwim karya
Syeikh Abdul Rahman al-Fatani, Hisab Falak karya A. Katsir,Kitab Falak karya
Syeikh Ahmad al-Fatani, Almanak Jamiliyyah Syeikh Jamil Jambek, al-Majesti
Ajeungan H. Nawawi, dan lain-lain.
Para ilmuwan Melayu juga sangat berminat untuk mengkaji ilmu
kosmologi, yang bersifat lebih umum daripada ilmu falak. Kosmologi
membincangkan tentang kejadian alam semesta yang dihubungkan dengan falsafah,
kepercayaan, budaya dan sistem nilai sesuatu masyarakat. Dalam bidang ini,
ulama Nusantara tidak ketinggalan membincangkan kejadian langit dan bumi serta
membincangkan teori kosmologi Islam. Syeikh Nur al-Din al-Raniri, misalnya
pernah menulis tentang kejadian alam menerusi karyanya yang bertajuk Kitab bad’
Khalq al-Samawat wa’l-Ard (dicetak di pinggir kitab Taj al-Muluk) dan Jawahir
al-`Ulum fi Kasyf al-Ma’lum (masih berbentuk manuskrip). Syeikh Muhammad bin
Ismail (Nik Mat Kecik) al-Fatani membincangkan mengenai kosmologi Islam
termasuk kejadian cakerawala menerusi karyanya yang bertajuk al-Durr al-Masnun
wa’l-Jauhar al-Maknun(dicetak pada tahun 1309H di al-’Amirah al-Islamiyyah).
Syeikh Ahmad bin ’Abdul Latif menulis mengenai alam langit dalam Ma’rij
al-Aflak (berbahasa Arab). Persoalan langit dan cakerawala disentuh juga oleh
al-Khatib dalam bukunya yang bertajuk Dau al-Siraj yang membincangkan tentang
peristiwa Mi’raj Nabi s.a.w.
Lintasan sejarah ini memberikan gambaran bahawa umat Islam
terdahulu termasuk ilmuwan Islam Alam Melayu pernah menempa sejarah dalam
bidang falak serta ilmu yang berkaitan denganya. Akan tetapi rentetan sejarah
ini hanya tinggal sebagai kenangan indah dalam lipatan sejarah umat Islam.
Putaran Roda Umat Islam: Giliran Saintis Barat Menerajui
Astronomi
Kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 menyaksikan nasib malang
umat Islam yang paling derita dalam sejarah umat. Umat Islam kehilangan maruah,
daya juang, pendidikan, ekonomi, budaya dan politik. Kerajaan Uthamaniyyah
sebagai penaung terakhir umat Islam dalam kewarisan khalifah yang terbina
selama 1300 tahun telah runtuh. Umat Islam tiada sebarang penaung induk. Mesir,
Nigeria, India, Tanah Melayu, dan Borneo jatuh ke tangan British.Indonesia
menjadi jajahan Belanda. Moroko, Algeria, Tunisia menjadi taklukan Perancis.
Asia Tengah yang berpusatkan Samarkhan menjadi cabang wilayah Soviet. Negara
Arab Teluk yang kaya dengan minyak tunduk kepada kemahuan British. Lebih
menyayat lagi, bumi Palestin dirampas dan diisytiharkan wilayah Israel. Wilayah
ini dirancang untuk berkembang lebih luas dari masa ke semasa. Satu fasa
keagungan dan kejatuhan umat Islam telah lengkap kitarannya.
Umat Islam dilihat berada pada tahap paling rendah dalam
perkembangan ilmu keseluruhanya termasuk ilmu falak. Kegemilangan umat Islam
dalam bidang berkenaan seperti peninggalan azyaj cerapan yang dilakukan oleh
Ulugh Bagh, al-Kasyi, al-Tusi, Qadi Zadih, al-Zarqali, al-Biruni, Ibn al-Ha’im
dan angkatannya hanyalah indah dalam catatan sejarah. Hampir tiada kajian
baharu ke arah lanjutan cerapan zij Ulugh Begh misalnya. Umat Islam lebih
cenderung untuk mengadaptasi kajian silam bagi tujuan pengiraan asas takwim
yang berkaitan dengan umat Islam daripada karya falak silam tanpa melakukan
cerapan kajian asli yang baharu. Kajian moden terserlah di Barat sedangkan umat
Islam secara umumnya menjadi penonton terhadap kajian Barat. Walaupun ada umat
Islam yang berpeluang mendapat pendidikan kajian emperikal Barat, namun mereka
hanya menambah ilmu dalam paradigma dan sistem nilai Barat. Ilmu tersebut bukan
berpaksikan konsep Tauhid. Bahkan dalam banyak hal, mereka menafikan ketaudihan
lalu menganut fahaman positifisme yang melihat alam secara bebas daripada
ketuhanan. Astronomi Barat moden diasas terhadap fahaman tersebut.
Namun hakikatnya, Barat membina teori astronomi moden mereka
menerusi runtuhan ilmu falak Islam. Universiti Barat yang dibina berdasar
universiti Islam Sepanyol menjadikan falak sebagai satu ilmu asas mereka. Model
universiti Islam dibina di Perancis, Sicily, Jerman, England dan Itali. Perbincangan
teori heliosentrik disambung kembali oleh Kepler, Copernicus, Gallileo dan
rangkaianna. Akan tetapi sejarah pemindahan ilmu Islam ke Eropah itu tidak
dicatat oleh penulis Eropah, bahkan mereka menafikannya pula. Pada awal
pemindahan tersebut, golongan awal mereka mendapat tentangan hebat daripada
wibawa gereja. Gereja menentang keras kajian astronomi yang bercanggah dengan
kitab suci mereka. Ribuan saintis Barat, termasuk Bruno dan Servetus dihukum
bakar hidup-hidup kerana menyatakan pandangan astronomi yang dianggap bidaah
oleh wibawa gereja. Akhirnya komuniti Barat membuat keputusan nekad untuk
memisahkan kajian astronomi daripada agama. Hukum sunntulllah yang disebut
saintis Muslim menjadi law of nature di sisi mereka. Tabii mengambilalih peranan
ketuhanan dalam astronomi Barat. Inilah paradigma yang menjadi paksi
penyelidikan Barat.
Kajian Barat ditumpukan terhadap struktur galaksi yang
menjadi misteri kewujudan. Kewujudan nebula Andromeda telah dinyatakan oleh
ahli falak Muslim sejak kurun ke-10 lagi khususnya oleh al-Sufi dan al-Battani.
Al-Sufi menggambarkan bentuk lingkaran Andromeda. Galaksi ini hanya diketahui
di Eropah dalam tahun 1780 menerusi Messier, ahli astronomi Perancis lalu
ditandakan dalam peta galaksi sebagai M31 (huruf M sempena nama Messier).
Penemuan besar dalam kajian galaksi dan kosmos menjelang
pertukaran kurun ke-19 dan 20 ialah teori alam semesta yang dinamik. Edwin
Hubble (1889 – 1953) mengkaji anjakan merah cahaya dari galaksi yang jauh dari
bumi. Beliau mendapati terdapat hubungan yang linear antara anjakan merah
dengan jarak galaksi dari pencerap. Beliau melakarkan graf hubungan antara
jarak 24 galaksi tertentu yang terang cahayanya, lawan anjakan merah. Tokoh ini
dianggap saintis pertama yang mencadangkan hipotesis alam mengembang. Galaksi
yang lebih jauh dan pudar cahayanya didapati bergerak lebih laju daripada
galaksi yang dekat. Kelajuan yang dicerap itu agak luar biasa kepantasannya.
Pemerhatian inilah akhirnya melahirkan teoriDeguman Besar.
Fonomenon ini disebut kesan Doppler dalam fizik. Dalam
cerapan ini, semua garis hitam spektrum galaksi yang dicerap bergerak ke arah
garis merah manakala garis merah pula bergerak ke lampau merah, dan seterusnya.
Ini menunjukkan bahawa galaksi yang dicerap bergerak menjauhi pencerap. Analogi
lain yang biasa diberi dalam kuliah fizik ialah kesan bunyi keretapi yang
semakin perlahan apabila semakin lama keretapi tersebut menjauhi stesen dan
sebaliknya jika keretapi menuju dan mendekati stesen.
Akan tetapi ada saintis Barat seperti Fred Hoyle yang tidak
begitu bersetuju dengan teori pengembangan alam. Beliau lebih cenderung untuk
menyatakan alam bersifat statik seperti anggapan sebelum ini. Ini berkait pula
dengan sikap peribadi beliau sendiri yang berpegang kepada Atheisme. Hipotesis
pengembangan alam memerlukan permulaan alam semesta, yakni alam bermula pada
suatu ketika tertentu sedangkan beliau berpendirian bahawa alam adalah azali.
Teori ini tidak mendapat tempat dalam arus perdana kajian kosmologi kini.
Bahkan Hoyle sendiri pun telah meninggalkan teorinya sendiri.
Pada tahun 1917, Albert Einstein mengkaji peristiwa graviti
dan kosmos dengan anggapan alam bersifat statik, yakni dengan menggunakan
persamaan dalam kerangka kerelatifan maka didapati tabii persamaan tersebut
menunjukkan bahawa alam boleh mengembang atau mengecut, walaupun beliau sendiri
belum sampai kepada kesimpulan tersebut. Persamaan Eisntein dikaji oleh tokoh
kosmologi kemudian, dan secara model matematik menunjukkan alam boleh
berkembang atau mengecut saiznya bergantung kepada beberapa parameter kosmos.
Einstein mengakui kesilapannya kerana menambahkan satu parameter yang digelar
pekalipemalar kosmologi di bawah anggapan alam bersifat pegun. Beliau hanya
menjangkakan daya tarikan yang seimbang dalam alam semesta keseluruhannya agar
alam bersifat tenang dan diam tetapi kajian lanjut menunjukkan sebaliknya.
Stephen Hawking, ahli falsafah kontemporari yang mengkaji
asal usul alam semesta, menggunakan model relatifan Einstein yang serupa untuk
menyelidiki kemungkinan permulaan Letupan Besar. Beliau cuba merumuskan
persamaan-persamaan kosmos bersama Penrose untuk mengkaji letupan tersebut
dengan membalikkan masa sehingga beliau membuat keputusan bahawa masa memang
bermula dengan letupan tersebut dan titik singularan yang dimaksudkan memang
wujud.
Letupan Besar yang memulakan ruang dan masa dalam alam
semesta, mengikut teori ini, alam akan terus mengembang dan mengembang akibat
tolakan letupan tersebut ke arah sempadan alam. Akan tetapi andainya daya
tarikan graviti antara galaksi lebih kuat daripada daya yang terbit akibat
letupan besar, maka gerakan akan berhenti seperti peristiwa regangan bahan
kenyal dalam gerakan harmonik: setiap pengembangan akan sampai ke tahap
akhirnya, kemudian berhenti. Peristiwa tidak terhenti setakat itu tetapi akan
mengecut kembali mengikut jalan asalnya. Sebagaimana proses bermula,
demikianlah cara berakhirnya. Seluruh jirim alam semesta termasuk bintang,
galaksi, planet, dan segalanya akan terperangkap kembali ke dalam titik
singularan asal. Ketika itu seluruh alam semesta terperesok ke dalam peristiwa
yang dinamai Mampatan Besar. Keseluruhan alam akan mengalami kemusnahan
pengkahiran. Malapetaka itu tidak dapat digambarkan betapa dahsyatnya. Setiap
yang bermula pasti akan berakhir.
Akan tetapi, andainya daya yang terbit daripada letupan awal
lebih kuat daripada tarikan graviti antara galaksi dan objek samawi yang lain,
maka secara teorinya pengembangan akan terus berlaku. Kajian sedang giat
dilakukan untuk mengukur pekali pengembangan tersebut. Ada pula pandangan ahli
kosmologi yang menyatakan bahawa proses pengembangan dan pengecutan boleh
berlaku secara berulang-ulang kali seperti gerakan harmonik ayunan bahan kenyal
seperti getah atau spring.
Mengikut teori ini, alam yang kita diami sekarang berada di
antara dua selang masa, iaitu selang masa antara Letupan Besar dan Mampatan
Besar. Pada mulanya saintis berpendapat alam hanyalah terdiri daripada satu
galaksi sahaja. Akan tetapi apabila penemuan galaksi Andromeda, maka persepsi
penyelidikan astrofizik berubah wajah. Galaksi ada pelbagai bentuk: berpusar,
berlingkar, berbentuk elips, dan ada pula yang bentuknya tidak teratur. Galaksi
mempunyai pelbagai saiz, dan amat memeranjatkan para pemerhati apabila didapati
ada galaksi yang besar menelan galaksi yang kecil. Ada pula galaksi yang
dicerap bertembung di angkasa rasa kemudiannya berpadu menjadi satu paduan.
Kajian astrofizik menempa kemajuan luar biasa dalam kurun
ke-20 dan 21. Pengembangan alam yang dicerap secara saintifik mengubah persepsi
alam yang disangka sebelum ini sebagai statik. Penemuan Lubang Hitam, jisim
gelap, gelombang radio, sinaran latar kosmos dan kuasar mewarnai lagi kajian
kosmologi moden.
Keadaan kritikal selepas pertama Letupan besar menjadi bahan
kajian yang menarik kerana peristiwa tersebut menjadi titik tolak untuk
pemahaman tentang asal usul alam semesta. Kajian tertumpu kepada peristiwa pada
masa kurang daripada satu saat daripada peristiwa tersebut, yang melibatkan
suhu yang tinggi ketika itu, melebihi 1028K. Kajian menunjukkan alam semesta
berkembang sebanyak dua kali ganda dalam jangkamasa 10-34 saat. Di antara
selang masa 10-34 hingga 10-32 saat, alam semesta berkembang sebanyak 1050 kali
ganda.
Pembentukan logam berat seperti besi, emas, platinum,
uranium dan plutonium ada kaitan dengan kematian bintang di angkasa raya.
Apabila bahanapi bintang kehabisan maka tindakbalas nekleosentesis yang
menukarkan silikon dan sulfur kepada besi akan berlaku pada teras bintang. Besi
mempunyai susunan nekleus yang paling stabil. Tenaga pembentukan atom besi
sungguh tinggi. Besi tidak terbentuk di bumi tetapi dari bintang di ruang
angkasa menerusi proses yang disebut tadi. Ledakan nukleosintisisis yang
berlaku pada suhu yang tinggi akan menghamburkan besi ke ruang angkasa dan
seterusnya di tarik ke permukaan bumi menerusi tarikan graviti.
Di Cambridge, Stephen Hawking melakukan kajian kosmos untuk
ijazah PhD di bawah penyeliaan Denis Sciama. Kajian kosmos sedang giat
dilakukan di Cambridge ketika itu. Tahun 1963, saintis mula mengesan kewujudan
objek ganjil yang berjarak jutaan tahun cahaya yang sangat jauh yang mempunyai
saiz yang hampir sama dengan saiz sistem suria tetapi mempunyai tenaga yang
sangat luar biasa yang dijangkakan melebihi seluruh tenaga yang ada dalam
galaksi yang kita diami ini. Objek alien ini dikenali kemudiannya sebagai
kuasar. Pembentukan kuasar masih menjadi persoalan sains yang sukar dijawab.
Penemuan kuasar mendorong kelahiran teori lubang hitamyang menakutkan. Lubang
ini disifat oleh ahli astrofizik sebagai kawasan “gravititational completely
collapsed object”. Saintis pertama yang menamakan lubang hitam ialah John
Wheeler. Ada konjektur yang menyatakan bahawa jirim dalam lubang hitam akan
dihimpit menjadi satu titik seni yang mempunyai ketumpatan yang tidak
terhingga, dan di sana semua hukum fizik asas seperti hukum fizik klasik Newton
tidak berlaku lagi.
Newton merumus teori mekanik klasik yang menggambarkan alam
semesta sebagai sebuah mesin yang mematuhi hukum mekanik. Alam semesta dimodel
sebagai jisim yang mempunyai saiz dan model yang tidak berubah. Namun dalam
kurun ke-20, Einstein mengemukakan teori kerelatifan dengan rumus matematik
menggunakan geometri bukan-Euklid. George Lemaitre yang membuat pengiraan rumus
Einstein mendapati bahawa model alam yang statik adalah tidak benar, lalu
beliau mengemukakan model alam sedang mengembang luas tanpa henti. Andainya
alam berkembang, tentulah alam bermula daripada satu titik misteri. Model ini
kemudiannya menimbulkan teori letupan besar alam.
Teori letupan besar segera tersebar luas di kalangan ahli
kosmologi serta mendapat pelbagai reaksi. Sekumpulan pasukan kosmologi
Cambridge yang diketuai Fred Hoyle menolak teori tersebut. Beliau berpegang
kepada model alam yang pegun dan menyatakan bahawa letupan tersebut tidak
pernah berlaku. Saiz alam sentiasa kekal menurutnya, kecuali ada gangguan kecil
berlalu akibat pembentukan jirim baru dari masa ke semasa yang menyebabkan
kelihatan alam sedang mengembang. Lalu kajian mereka dilakukan ke arah
hipotesis ini untuk mencari lokasi baru pembentukan jirim tersebut termasuk
pembentukan planet.
Ada banyak persoalan baru yang perlu dijawab terhadap teori
lubang hitamdan permulaan alam semesta. Persoalan pertama tentang pertukaran
tenaga kepada jisim yang menjadi asal usul alam dan persoalan kedua berkaitan
dengan tabii letupan yang biasa berlaku yang berakhir dengan kemusnahan dan
malapelataka sedangkan teori ledakan tersebut berakhir dengan kelahiran alam
semesta serba indah lagi tersusun rapi.
Rumus E = mc2 Einstein yang terkenal menghubungkan jisim m
dengan tenaga E, manakala pemalar c merujuk kepada laju cahaya yang malar.
Bahan radioakatif yang mereput seperti uranium bukan sahaja mereput tetapi
bertukar menjadi unsur lain serta membebaskan tenaga yang tinggi. Ini
menunjukkan bahawa jisim dan tenaga boleh bertukar peranan. Jika jisim
membentuk tenaga maka proses sebaliknya pun mungkin berlaku. Maka teori lubang
hitam boleh dijustifikasi menerusi alasan ini.
Saintis mengemukakan teori jirim dan antijirim. Kedua-duanya
mempunyai sifat yang bertentangan dan tidak boleh bersatu pada masa dan tempat
yang sama. Masing-masing akan memusnahkan pasangannya. Elektronmempunyai
pasangan positron, proton mempunyai pasangan antiprotonmanakala neutron
mempunyai pasangan antineutron. Teori antijirimdikemukakan oleh Paul Dirac pada
tahun 1928 dan mula dikesan pada tahun 1932 oleh Carl Anderson. Jirim dan
antijirim andainya berpadu akan mengeluarkan pancaran elekromagnet berbentuk
foton. Kuantiti jirim alam semesta dijangka melebihi kuantiti antijirim. Paduan
jirim dan antijirim akan menyebabkan letupan berlaku dengan mengeluarkan tenaga
yang banyak. Bom hidrogen dibina berdasar teori antijirim. Adakah teori lubang
hitamboleh dijelaskan menggunakan konsep jirim dan antijirim?
Pada tahun 1950, saintis mendapati bintang yang membentuk
galaksi berputar keluar dalam bentuk lingkaran spiral. Vera Rubin mencadangkan
bahawa ruang kosong antara bintang dipenuhi jirim yang tidak dapat dilihat yang
digelar jirim hitam. Saintis percaya alam semesta terbentuk daripada 99% jirim
hitam. Ketumpatan jirim hitam mempunyai kaitan dengan proses pengembangan
galaksi. Saintis turut percaya bahawa pembentukan galaksi mempunyai kaitan
dengan jirim tersebut. Selepas letupan besar, jirim hitam terkumpul dan menarik
jirim di bawah pengaruh gravity galaksi. Namun jirim langit yang dapat disaksi
bukan berasal daripada jirim ini. Ada pandangan yang menyatakan bahawa partikel
yang terdapat dalam jirim hitam adalah pancaran radioaktif yang dikeluarkan
semasa proses pereputan.
Roger Penrose bersama Dennis Sciama membuktikan sebarang
jirim yang tertarik ke arah lubang hitam akan dihimpit ke satu titik singularan
yang mempunyai ketumpatan yang tidak terhingga. Apabila Hawking melakukan
penyelidikan bersama Penrose dan Sciama, persoalan lubang hitam serta
permasalahan pembentukan alam menjadi fokus penyelidikan. Hawking pernah
menggunakan teori termodinamik yang rumit untuk menerangkan sifat lubang
keramat tersebut serta permulaan dimensi ruang masa. Beliau menerbitkan hasil
kajiannya dalam tulisannya Large scale of space time. Hawking menyatakan bahawa
tiada apa pun yang mungkin terselamat daripada lubang hitam, namun dalam
sesetengah keadaan lubang tersebut mengeluarkan partikel subatom yang kini
digelar sebagai pancaran Hawking.
Menurut Hawking lagi, lubang hitam yang mengeluarkan pancaran
akan kehilangan jisimnya. Jika pancaran tersebut berlaku secara aktif dan
berterusan, lubang tersebut mungkin akan lenyap. Semua objek yang terperangkap
ke dalam lubang tersebut akan dihimpit dan membentuk alamnya sendiri walaupun
alam yang seni. Alam ini digelar alam bayi ataubaby universe oleh Hawking.
Kemungkinannya alam bayi ini akan membesar dan akan menyertai alam semesta yang
lain kemudiannya. Alam bayimenjadi satu cabang alam yang besar. Andainya teori
alam bayi Hawking benar, maka tentulah kelahirannya mempunyai kaitan dengan
kuantiti tenaga yang tertentu yang digelar pemalar kosmologi. Harapan saintis
adalah untuk mendapatkan nilai tersebut dan kajian menunjukkan bahawa nilai
tersebut sangat kecil sedangkan mereka menjangka nilai yang besar sesuai dengan
indeks pengembangan alam semesta.
Hawking mentakrif masa khayali sebagai masa takrifan yang
mempunyai arah bersudut tepat dengan masa biasa yang bermula dengan
kelahiranalam bayi. Objek mungkin musnah dan kembali ke titik singularan
melaluilubang hitam dalam kiraan masa biasa tetapi tidak hilang dalam masa
khayali. Riwayat objek tersebut hanya hilang dalam masa biasa tetapi berkekalan
dalam masa khayali. Masa khayali bukan bersifat fiksi sainstetapi takrifannya
dilakukan menggunakan takrifan matematik yang sah. Secara berjenaka, Hawking
menyatakan bahawa “sesiapa yang terjatuh kelubang hitam akan berfikir secara
khayali jua”.
Hawking bersama Penrose dan George Ellis pernah membuktikan
teorem singularan matematik kosmos. Teorem yang dikenali sebagai teorem
singularan ini memberi hubungan penyelesaian persaman kerelatifan am dengan
kewujudan sempadan singularan untuk ruang dan masa. Menerusi teorem ini, mereka
mentafsirkan bahawa alam semesta bermula daripada satu titik singularan.
Kajian Hawking tentang kosmos menjadi kajian kontemporari
yang menarik. Banyak persoalan secara falsafah telah timbul daripada
perbincangan kosmologi menerusi hujah matematik kenisbian. Banyak dimensi
tersirat dalam kajian beliau. Beliau berharap kajiannya menjadi kajian
saintifik yang tiada unsur metafizik. Akan tetapi apabila sampai kepada
pentafsiran hasil keputusannya, beliau tidak dapat mengelak diri daripada
menyentuh aspek tersebut.
Masyarakat Eropah kini menempa keagungan dalam pemikiran
saintifik moden manakala umat Islam tertinggal jauh mengekori dari belakang.
Inilah roda hidup. Ketahuilah roda hidup sentiasa berputar. Sekali ke atas,
sekali ke bawah. Satu masa dulu, umat Eropah duduk pada titik paling bawah
dalam putaran roda tersebut, manakala umat Islam ketika itu berada di
puncaknya. Hari silih berganti. Kini giliran umat Islam pula berada di bawah,
manakala umat Eropah dipuncaknya. Ingatlah roada akan terus berputar. Allah SWT
tidak mengubah nasib sesuatu umat, tanpa daya dan usaha yang diberikan sebagai ikhtiar
umat tersebut. Adakah umat Islam sudah memberikan usahanya serbagaimana umat
terdahulu memberikan usahanya dengan jiwa dan seluruh penghayatan?
ALAM KOSMOS: ILMU UMAT ISLAM
Alam kosmos dan ilmu yang berkaitan dengannya lebih dekat
kepada umat Islam berbanding umat yang lain. Al-Qur’an sentiasa menyebut ayat
Allah SWT di langit dan di bumi agar menjadi iktibar keagungan Ilahi, Pencipta
Hakiki alam semesta. Kalimah langit disebut sebanyak 310 kali dalam al-Qur’an.
Daripada jumlah tersebut, 120 tempat disebut dengan kalimah mufrad (yakni
al-sama’) dan 190 tempat dengan kalimah jamak (yakni al-samawat). Hakikat ini
diketahui oleh umat Islam yang sentiasa membaca al-Qur’an serta berfikir
tentang keajaiban kejadian langit dan bumi. Secara umumnya kalimah jamak
al-samawat yang tedapat dalam al-Qur’an merujuk kepada tujuh lapisan langit.
Langit yang tujuh tersebut masih menjadi misteri yang belum dapat diungkai atau
dicerap ahli kosmologi moden tetapi kewujudannya dinyatakan secara jelas dalam
al-Qur’an.
Langit yang disebut dengan kalimah mufrad sama ada
dinyatakan dalam bentuk makrifah dan bukan-makrifah (yakni al-sama’ atau sama’)
terdapat 38 tempat yang merujuk atmosfera sekeliling bumi yang terdapat awan,
angin, hujan, ozon, kilat, petir dan seumpamanya. Sebanyak 82 kalimah yang lain
merujuk kepada langit dunia yakni langit yang dekat yang sebahagiannya dapat
dicerap indera termasuk planet, bintang, galaksi, kuasar, lubang hitam, jirim
gelap dan seumpamanya.
Saintis Barat moden kini hanya mampu menerokai sebahagian
langit dunia yang mempunyai segala jirim langit serta kesatuan galaksi meganya
sedangkan langit yang tujuh menjadi misteri yang belum pernah terungkai dalam
pengetahuan saintis Barat. Langit dunia yang dipenuhi bintang dan galaksi ini
pun baru sahaja mula diterokai menjelang kurun ke-20 apabila teleskop dan
stelit moden diciptakan. Al-Qur’an menegaskan betapa langit dunia dihias dengan
gugusan bintang-bintang yang tersebar luas diangkasa raya. ”Sesungguhnya Kami
telah hiaskan langit dunia dengan lampu (yakni bintang) dan Kami jadikanya
untuk rejaman syiatan…” (al-Mulk, 5).
Walaupun al-Qur’an yang menjadi petunjuk umat Islam, namun
al-Qur’an membayangkan bahawa saintis bukan-Islam yang akan mengkajinya
terlebih dahulu serta menyaksikan asal usul kejadian langit dan bumi secara
saintifik. Al-Qur’an membayangkan saintis bukan-Islam akan menemukan fakta
saintifik tentang permulaan alam yang bermula daripada satu jisim yang berpadu
dan kemudiannya berpecah memisahkan bumi dengan jirim langit yang lainnya.
Saintis yang mengkaji komet, bulan dan bintang mendapati unsur alam yang
melibatkan jisim bumi dan langit adalah sama. Ini memberikan konjektur bahawa
bumi dan langit berasal daripada jisim yang sama. Kosmologi moden telah sampai
kepada kesimpulan tersebut berdasarkan cerapan terkini, yakni langit dan bumi
bermula daripada pemulaan yang sama. Namun al-Qur’an telah menegaskan bahawa
langit dan bumi berasal daripada paduan jisim yang sama lalu dipisahkan antara
kedua-duanya.
“Adakah tidak orang kafir melihat bahawa langit dan bumi
kedua-duanyaberpadu lalu Kami pecahkan kedua-duanya. Dan Kami jadikan daripada
air setiap sesuatu yang hidup. Kenapa mereka tidak beriman?” (al-Anbia, 30).
Dalam kosmologi, persoalan pembentukan alam menerusi pecahan
jisim singularan dikemukakan oleh pengkaji mutakhir khususnya apabila teori
astrofizik dan kerelatifan Einstein mula dibincangkan secara meluas dalam kurun
yang lalu. Seorang profesor dari Jabatan Geologi, Universiti Johannes
Gottenberg membuat ulasannya tentang fakta saintifik yang terkandung dalam ayat
di atas. Menurutnya, tidak mungkin manusia biasa yang hidup 1400 tahun yang
silam boleh menyelidiki asal usul alam semesta yang berkesimpulan bahawa langit
dan bumi asalnya satu paduan (ratqan) lalu terpisah dengan tenaga yang kuat
(fataqnahuma).
Ahli kosmologi moden seperti Hawking menyelidiki asal usul
alam semesta menggunakan model matematik seperti yang pernah dikemukakan dalam
teori kuantum kerelatifan Einstein. Beliau membuat pengiraan persamaan
kerelatifan Einstein dengan mengambil kira konsep ruang dan masa menggunakan
model geometri Labochevskian, yakni bulatan geodesi menjadi asas geometri,
bukannya garis lurus seperti cadangan Euklid. Hal ini selari dengan istilah
uruj yang bermakna garis lengkungan yang digunakan al-Qur’an seperti yang
dinyatakan dalam surah al-Ma`arij. Istilah mi`raj yang merujuk perjalanan
Rasulullah saw bersama Jibril ke langit yang ketujuh dan seterusnya ke Sidratul-Muntaha
dalam peristiwa Isra’ dan Mi`raj turut membawa konotasi yang serupa. Saintis
memnunjukkan bahawa cahaya bergerak dalam bentuk garis lengkung antara galaksi,
bukan dalam bentuk garis lurus seperti sangkaan Newton.
Menurut Hawking, alam semesta bermula dengan satu titik
singularan. Titik singularan ini mempunyai ketumpatan yang tidak terhingga,
berlakulah letupan besar lalu seluruh alam yang berada dalam dimensi ruang masa
yang baru wujud itu mengembang luas sehingga membentuk pelbagai bintang dan
galaksi. Teori ini digelar teori Letupan Besar. Teori ini sebenarnya masih
dalam bentuk kajian awal ahli kosmologi. Namun beberapa pengiraan yang
dilakukan termasuk cerapan anjakan merah menunjukkan teori tersebut ada asas
yang boleh dimodelkan dengan permulaan alam semesta. Mengikut teori ini, alam
yang kita diami ini sedang berkembang luas. Pengukuran anjakan merah
membuktikan secara yakin bahawa sememangnya alam semesta sedang berkembang
seperti belon berkembang. Sempadan alam semesta pun boleh diukur berdasarkan
teleskop maju lagi canggih.
Adalah sesuatu yang menarik di sini bahawa al-Qur’an
memberitahu kita betapa penemuan tentang kesepaduan langit dan bumi seperti
dalam ayat di atas ditujukan kepada saintis bukan-Islam. Kini tokoh kosmologi
terkenal dunia seperti Einstein, Tolman, Sciama, Kozai, Hoyle, Gold, Bondi,
Hawkings, Alpher, Gamow, Dicke, Bethe, Penrose, Penzias, Fowler, Cronin, Fitch,
dan angkatannya kesemuanya saintis bukan-Muslim.
Al-Qur’an merakamkan bahawa alam semesta sedang berkembang
dengan menggunakan kalimah lamusi`un. Musi` adalah ism fail dalam bahasa Arab
yang bermaksud sedang dan terus mengembang. Ayat dalam surah al-Zariyat
menerangkan bahawa:
“Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami dan
sesungguhnya Kamimengembangnya” (al-Zariyat, 47).
Pengetahuan tentang alam sedang mengembang adalah
pengetahuan yang sangat terkini. Pengetahuan ini dicerap dalam tahun 1930-an
seperti dalam perbincangan yang lepas. Sebelum itu, saintis termasuk Einstein
percaya bahawa alam berkeadaan statik dan tidak dinamik. Namun persamaan yang
beliau modelkan sebagai persamaan kosmos diselesaikan saintis terkemudian lalu
menunjukkan bahawa anggapan tersebut tidak benar, bahkan alam bersifat dinamik.
Pengembangan tersebut, mengikut teori ini, adalah akibat Letupan Besar yang
memulakan ruang dan masa. Hawking menjejaki peristiwa ke belakang menerusi
persamaan kosmos dan akhirnya bertemu dengan saat permulaan alam yang penuh
misteri.
Alam semesta kini sedang mengembang luas masa demi masa.
Ahli kosmologi berpendapat bahawa tahap pengembangan alam semesta akan terhenti
pada satu tahap. Pada tahap tersebut sempadan alam semesta tetap dan tidak
mengembang lagi. Kemudian mulalah proses pengecutan dan mampatan berlaku
sebagai proses kebalikan daripada pengembangan. Teori pengecutan dan mampatan
semula ini dikenali dalam teori kosmologi sebagai teori himpitan besar lawan
kepada letupan besar, proses pemulaan letupan dulu. Ini mengakibatkan alam
semesta mengalami kehancuran yang maha dahsyat yang merupakan katastrofi total.
Al-Qur’an menyatakan proses kemusnahan alam adalah proses
kebalikan daripada penciptaan.
Ingatlah hari yang Kami menggulung langit seperti menggulung
surat catatan. Sebagaimana Kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, demikianlah
Kami ulanginya (kembali)” (al-Anbia 103).
Ungkapan ayat Sebagaimana Kami mulakan wujudnya sesuatu
kejadian demikianlah Kami ulanginya kembali adalah sangat signifikan. Model
Hawking untuk mengetahui kesudahan alam semesta dalam peristiwa Himpitan
Besaradalah berdasarkan peristiwa awalnya yang diulang tayang semula. Kesudahan
alam semesta adalah mengikuti peristiwa yang sama dengan kelahirannya dulu.
Asal usul alam semesta menjadi kajian astronomi yang menarik
dalam kurun ke-20. Dr Kozai seorang perofesor Emeritus Universiti Hongo, Tokyo
yang membuat penyelidikan di makmal cerapan angkasa Mikata, Tokyo membuat
penemuan penting dalam astronomi. Menurutnya, rumus matematik yang dimodelkan
untuk alam semesta peringkat awal, menunjukkan pada suatu masa silam, seluruh
alam semesta tidak wujud kecuali asap. Kemudian pendapat ini dibuktikan pula
dengan teleskop yang berkuasa tinggi yang mampu melihat pembentukan bintang
baru yang sememangnya bermula daripada kelompok asap yang panas.
“Kemudian Dia menujukan kehendak-Nya ke arah langit sedang
langit masih berupa asap lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutlah
kamu berdua perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau terpaksa. Kedua-duanya
menjawab: Kami berdua sedia menurut patuh dengan sukarela” (al-Fussilat, 11).
Alangkah dekatnya penemuan-penemuan saintis bukan-Islam
seperti yang digambar di atas tadi dengan maksud firman Allah SWT berkaitan
dengan kejadian langit dan bumi. Andainya mereka mengkaji al-Qur’an tentukan
kajian mereka lebih bermakna kerana setiap penemuan mereka telah disentuh oleh
al-Qur’an. Al-Qur’an bukan kitab saintifik tetapi kitab hidayah dan petunjuk
yang meliputi dunia dan akhirat untuk makhluk seluruh pelusuk alam, di langit
atau di bumi. Barangkali itulah hikmah Ilahi agar penemuan rahsia kejadian alam
diterokai oleh saintis bukan Islam secara bebas daripada al-Qur’an. Andainya
saintis Muslim yang menemuinya, maka ada yang menyatakan bahawa penemuan itu
diperoleh daripada al-Qur’an. Namun penerokaan Barat tentang alam kosmos
benar-benar menyaksikan mukjizat al-Qur’an berkaitan dengan penciptaan alam
semesta.
Ustaz Sa`id Hawwa menerusi al-Asas fi al-Tafsir menyebut
bahawa ayat-ayat al-kauniyyah menjadi perantaraan dakwah yang berkesan kepada
bukan sahaja umat bukan-Islam malahan terhadap umat Islam sendiri. Ahli tafsir
terdahulu, menurut Sa`id Hawwa membuat andaian bahawa pembaca kitab tafsir
mereka terdiri daripada para penuntut ilmu atau ilmuwan yang mantap keimanan
mereka. Namun Sa`id Hawwa menegaskan bahawa perkara itu tidak semestinya benar
untuk umat Islam kini. Penyusunan kitab tafsir yang dilakukan menerusi al-Asas
fi al-Tafsir ditulis agar pembacanya yang bersekang mata meneruskan pembacaan
hingga waktu malam, bertambah keimanan bagi setiap halaman yang dibacanya.
Itulah harapan pengarang tafsir yang menulis tafsirnya dalam bentuk pentafsiran
saintifik selain mengikuti uslub Seyyed Qutub menerusi Fi Zilal al-Qur’an.
Sa`id Hawwa turut menekankan kajian saintifik terhadap kajian arkeologi yang
mula diterokai menerusi pertolongan stelit dan perkaedahan saintifik moden.
Seorang tokoh ilmuwan Islam kontemporari terkenal iaitu
Profesor Zaghlul Najjar turut mengkaji secara mendalam tentang ayat
al-kauniyyah dalam al-Qur’an serta mengajak umat Islam turut menerokai bidang
yang menjadi tema keimanan tersebut. Beliau menempelak golongan intelektual
yang menentang pengkajian alam dalam bentuk saintifik kerana golongan tersebut
berpendapat ayat al-Qur’an tidak boleh dikaji menerusi kaedah tersebut.
Golongan tersebut menentang kajian yang dilakukan oleh Harun Yahya, Seyyed
Hossein Nasr dan Maurice Bucaile. Namun hakikatnya, Harun Hahya, Nasr dan
Bucaille bukanlah golongan awal membincangkan hubungan sains dengan al-Qur’an
bahkan saintis silam seperti al-Biruni dan Fakhrul-Razi atau Sa`id Hawwa dan
Zaghlul Najjar pada zaman moden ini, turut mentafsirkan al-Qur’an dengan sains.
Kita jangan keliru. Ada dua pendekatan di sini. Pertama, ada yang menjadikan
sains sebagai kebenaran mutlak, lalu dengan merujuk kepada sains sebagai
rujukan, mereka mentafsirkan al-Qur’a agar disesuaikan dengan penemuan sains.
Ini merupakan fahaman Bucaillisme, andainya ingin disebut demikian.Pendekatan
ini menimbulkan konflik yang hebat kerana sains bersifat kebenaran relatif yang
berubah dengan penemuan baru.
Pendekatan kedua, seperti yang dilakukan oleh al-Biruni,
Fakhrul al-Razi, Sa`id Hawwa dan Najjar ialah menjadikan al-Qur’an sebagai
rujukan dan kebenaran mutlak. Al-Qur’an menggesa agar manusia berfikir tentang
kejadian alam semesta dan diri mereka sendiri. Ayat al-Qur’an menggesa agar
dikaji alam semesta dengan nama Allah SWT, lalu ditemui fakta sains yang
disokong oleh al-Qur’an. Kebenaran al-Qur’an tidak bergantung kepada penemuan
sains. Inilah pendekatan ulil-albab. Al-Qur’an sentiasa menggesa agar manusia
memerhatikan kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam, kejadian
guruh dan petir, edaran angin dan awan, aliran sungai dan laut, gunung ganang
dan cuaca, haiwan dan tumbuhan, kejadian manusia serta segala keajaiban
makhluk. Kajian inilah yang digelar kajian berpaksikan Tauhid menerusi acuan ulil-albab.
Golongan intelektual yang mengkritik itu yang kononnya penuh
iman di dada, mengkritik hebat lalu mengulas secara borong akan pendekatan
pertama dan kedua yang dilabelkan dengan fahaman Bucailisme tanpa membezakan
pendekatan kedua-duanya yang berlainan premis itu. Ini kritikan yang tidak
cermat. Bahkan Nabi Allah Ibrahim as sendiri meminta Allah SWT memperlihatkan
kepadanya bagaimana Ia menghidupkan yang mati. Lalu, Allah SWT bertanya kembali
kepadanya: Apakah anda tidak percaya? Namun dengan penuh keimanan Nabi Ibrahim
as menyebut, bahkan ia beriman, namun permohonannya sekadar menenangkan
perasaan hatinya sahaja. Pendekatan inilah yang diambil oleh golongan kedua
kerana keyakinan ada perlbagai tahap: ainul-yaqin, `ilm al-yaqin, haqqul-yaqin
dan seumpamanya.
Pendekatan Zaghlul al-Najjar dan Sa`id Hawwa bolehlah
dijadikan contoh pendekatan ulil-albab yang merenungi alam bumi dan kosmos
dengan penuh keinsafan yang berakhir dengan pengiktirafan keagungan Ilahi serta
doa yang syahdu mengakui ketauhidan Uluhiyyah, Rubbubiyyah dan Asma al-Husna wa
SifatiHi. Tiga buah buku Zaghlul Najjar yang bertajuk al-Ard fi’il-Qur’an
(geologi mengikut al-Qur’an) , al-Sama` fi’l-Qur’an (kosmos mengikut al-Qur’an)
dan al-Hawayan fi’l-Qur’an (haiwan mengikut al-Qur’an) adalah antara buku
terbaik yang pernah saya saksikan dalam pendekatan ini. Demikian pula Sa`id
Hawwa menerusi kitab tafsirnya al-Asas fi al-Tafsir (11 jilid) turut
menghuraikan ayat-ayat al-kauniyyah dengan penemuan sains terkini menerusi
pengetahuan balaghah al-Qur’an yang mendalam beliau mentafsirkan kembali maksud
ayat al-Qur’an yang mutlak sifatnya, yang mengesahkan penemuan terkini sains.
Ini bukan Bucaillisme. Ini sebahagian pengertian ulil-albab yang merenungi
kejadian langit dan bumi, mengkaji, menganalisis yang berkhir dengan kesimpulan
bahawa: Mahasuci Engkau wahai Tuhan-ku, tidaklah Engkau jadikan semuanya ini
dengan sia-sia. Justeru, lindungilah diriku ini daripada siksaan Neraka. Sekali
lagi ditegaskan, bahawa pendekatan kedua ini ssesuailah kalau diberikan nama
pendekatanulil-albab, yang berbeza sekali dengan pendekatan Bucailisme.
Sa`id Hawa mencadangkan pendekatan ulil-albab ini dijadikan
sebagai media dakwah yang berkesan kepada generasi muda Islam sendiri kerana
kekuatan hujah menerusi pendekatan ini. Bahkan, Zaghlul Najjar menyatakan dalam
seminar di Moscow pun ada ahli geologi Rusia yang mengisytiharkan syahadah
apabila mendengar hujah beliau yang menghuraikan kejadian gunung mengikut
al-Qur’an. Diberitakan penduduk Belanda dan Moscow kini menerima Islam secara
mendadak menerusi pendakwahan ini. Pertambahan penduduk asal Eropah ke dalam
Islam banyak dipengaruhi pendekatan ini.
Menerusi bukunya al-Sama’ fi al-Qur’an al-Karim, Zaghlul
Najjar mengajak pembacanya merenungi ayat-ayat al-kauniyyah yang terkandung
dalam al-Qur’an secara mendalam. Sebanyak 310 ayat yang menyebut langit dalam
al-Qur’an yang pengetahuan tentangnya menjadi misteri alam kosmos, benar-benar
menggambarkan al-Qur’an sebagai kitab mukjizat yang diturunkan kepada Junjungan
Besar Rasulullah saw yang disaksikan oleh manusia zaman moden ini. Antara lain
al-Qur’an menyentuh tentang:
· Langit merupakan binaan yang teguh, indah dan kemas bukan
kosong sebagaimana sangkaan orang terdahulu.
· Langit sentiasa berkembang, yang hakikat akhirnya hanya
dikatahui Allah SWT.
· Langit dan bumi pada awal kejadiannya daripada satu paduan
jisim yang sama.
· Langit pada awalnya berbentuk asap panas lalu diciptakan
alam semesta keseluruhannya.
· Kejadian tujuh langit dan tujuh bumi serta fasa
kejadiannya.
· Kejadian langit melalui enam fasa kejadian.
· Putaran bumi pada awal kejadiannya sangat laju,
beransur-ansur perlahan, tekal dan mantap, dan akhirnya berhenti.
· Pengembangan langit akan terhenti jua, kemudian
kemusnahannya mengikut ulangan kembai kejadiannya asalnya seperti menggulung
lembaran kertas.
· Manusia di atas muka bumi tidak mungkin melihat bintang
sebenarnya tetapi hanyalah melihat bekas lintasan bintang sahaja kerana cahaya
bintang mengambil masa jutaan tahun untuk sampai ke bumi.
· Makhluk ganjil yang dinamakan khunnas dan kunnas yang
berada di persada langit yang hakikatnya hanya diketahui Penciptanya.
· Bintang mereput yang berdenyut dikenali sebagai pulsar
dalam astrofizik yang denyutan berkala seperti nadi atau pukulan tukul yang
seragam. Bintang itu mengeluarkan cahayanya yang menembusi langit sebelum
ajalnya tiba. Adakah itu bintang al-tariq?
· Langit di sekitar bumi mempunyai lapisan ozon yang
memantulkan gelombang cahaya kembali ke angkasa dan langit dunia turut
membentuk medan elektromagnet yang terbit daripada bumi yang bermagnet yang
memantulkan kembali pancaran matahari yang berupa tsunami matahari ke angkasa.
Adakah ini maksud al-raj` yang disebut al-Qur’an?
· Teori tali temali yang menggambar kesatuan rangkaian
jaringan alam kosmos dengan galaksi menggambarkan simpulan temali tersebut
dalam model kosmos dalam kajian kosmologi moden. Adakah ini maksud al-hubuk
yang disebut al-Qur’an sedangkan orang Arab memahami habakah (atau jamaknya
hubuk) sebagai jalinan benang bulu untuk membuat pakaian?
Persoalan yang disebutkan dalam contoh yang di atas, menjadi
persoalan keimanan bagi mereka yang mempunyai sifat golongan ulil-albab atau
mereka yang mempunyai basirah mata hati yang tajam. Sudut-sudut ini hanyalah
permulaan penerokaan kepada kajian kosmos keseluruhannya. Semoga umat kajian
saintis Muslim lebih bermakna dengan menjadikan sudut tersebut sebagai langkah
pertama pengkajian alam langit.
Penutup: Satu Epilog
Marilah kita lapangkan hati dan perasaan kita seketika untuk
merenungi putaran roda umat Islam hari ini. Di manakah kedudukan umat Islam
dalam ilmu dan keilmuan? Walaupun Islam dibina di atas paksi ilmu dan keimanan
tetapi umat Islam secara umumnya, telah jauh meninggalkan paksi rujukan
tersebut.
Dalam perkembangan pemikiran sains, umat Islam menjadi
penonton setia kepada kajian umat lain. Barat membina ilmu mereka di atas paksi
positifisme yang menafikan sistem nilai dalam kajian saintifik. Andainya ada
umat Islam yang terlibat dalam kajian tersebut, maka kajian dilakukan di atas
paksi yang sama. Marilah kita renungi tentang saintis Muslim dalam dunia dan
teknologi moden dewasa ini. Andainya kita dikemukakan pertanyaan yang berikut:
Berapa ramaikah pemikir Islam moden kini yang pernah menerima Hadiah Nobel yang
melambangkan kecemerlangan pemikiran saintifik atau sumbangan sejagat yang
lain?
Hakikatnya, tidak ramai pemikir Islam yang mendapat
pengiktirafan tersebut. Antara nama dalam senarai yang kecil ini termasuklah
Abdul Salam (1979, fizik), Ferid Mourad (1998, perubatan), Ahmad Zewail (1999,
kimia) dan Sherin Ebadi (hak asasi, 2003) Mohamaed ElBaradei (2005, keamanan).
Namun adakah mereka mewakili saintis atau pemikir Islam
sejati? Abdus Salam sebenarnya pengikut Ahmadiyyah. Ferid Murad walaupun
ayahnya seorang Islam dari Albania tetapi beliau sendiri cenderung kepada
pemikiran Episkopalian. Pemilihan Sherin Ebadi misalnya sebagai pemenang Hadiah
Nobel yang dikaitkan dengan kegiatannya memperjuangkan hak kanak-kanak Iran,
lebih merupakan sikap anti-Islam beliau yang ditunjukkan kepada dunia. Beliau
mendakwa Islam seharusnya selari dengan demokrasi moden. Beliau menunjukkan
sikapnya yang sinis terhadap para ulama.
Naguib Mahfouz yang memenangi hadiah Nobel kerana penulisan
novel dianugerahkan kerana beliau ialah tokoh sasterawan yang mempersoalkan
kewajiban syariat Islam itu sendiri. Beliau dikecam oleh seluruh ulama muktabar
dunia Islam.
Berbanding dengan penerima anugerah Hadiah Nobel dari
kalangan pemikir Yahudi, misalnya yang berjumlah melebihi 170 saintis yang
menerima pengiktirafan tersebut sepanjang kurun ke-20, maka kita dapat sedikit
gambaran betapa kedudukan para pemikir Islam dalam ilmu yang berkaitan akliah
moden. Apapun alasan yang mungkin kita berikan terhadap fenomenon tersebut,
namun satu perkara yang pasti ialah umat Islam tertinggal jauh dalam pemikiran
saintifik hari ini berbanding masyarakat bukan-Islam..
Dalam bidang fizik, ramai tokoh Barat yang memeangi Hadiah
Nobel seperti Einstein, Bohr, Hertz, Feynman, Abrikosov, Alferov, Bloch, dan
Steinberg. Secara kebetulan, kesemua tokoh ini berketurunan Yahudi dan sifat
atom menjadi kajian mereka. Fizik atom merupakan bidang kajian yang membuka
ruang yang luas kepada para pengkaji untuk menerokai hakikat kejadian alam
semesta menerusi komponen seninya yang berada dalam komponen sebuah atom.
Kajian sains peringkat teori ini kemudiannya merungkai banyak rahsia alam
ciptaan Tuhan yang tersembunyi dalam alam semesta.
Sesungguhnya umat Islam tertinggal jauh dalam pemikiran dan
inovasi saintifik. Sejarah kegemilangan ilmu umat Islam seperti cebisan
episodnya digambarkan dalam buku-buku sejarah hanya tinggal kenangan abadi.
Umat Islam hari ini, bukan hanya ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan
bahkan ketinggalan dalam semua lapangan kehidupan. Umat Islam dihina oleh
masyarakat dunia. Mereka dilabel sebagai masyarakat mundur. Lebih malang lagi,
umat Islam hari ini bukan sahaja dilabelkan sebagai masyarakat mundur bahkan
turut dikaitkan dengan segala keburukan. Sebagai contoh, ahli politik British
yang bernama Robert Kilsroy-Silk menulis dalam Express on Sunday bahawa “We owe
the Arabs nothing”. Seterusnya beliau menulis:
What do they (the Arabs) think what we feel about them? That
we admire them for being suicide bombers, limb amputators, women repressors.
Walaupun kecaman yang menganggap umat Islam sebagai
pengganas seperti yang diungkapkan di atas yang dilakukan oleh individu
tertentu tetapi ungkapan itu mewakili pendangan besar masyarakat Barat terhadap
Islam. Mereka bukan sahaja mencemuh umat Islam bahkan mereka mencemuh Islam itu
sendiri. Islam dipersalahkan oleh Barat dan sekutu mereka. Islam telah
diletakkan dalam kandang orang salah. Bagaimanakah kita mampu membela serangan
terhadap Islam tanpa ilmu secukupnya?
Pandangan negatif sedemikian tidak hanya tersebar di
kalangan masyarakat Barat, bahkan kadang-kadang tersebar di kalangan umat Islam
sendiri. Mereka sinis terhadap budaya Islam. Sinis terhadap perundangan Islam.
Sinis terhadap ekonomi Islam. Sinis terhadap pentadbiran Islam. Kefahaman
masyarakat terhadap kesyumulan Islam dipudarkan oleh gerakan sekularisme yang
melanda umat Islam dalam kurun-kurun terakhir ini. Umat Islam yang pernah
berada pada puncak ketamadunan ilmu suatu ketika dahulu, kini berada pada titik
yang paling bawah dalam putaran roda peradaban.
Syariat Islam diperlekehkan oleh musuh Islam. Mereka
menggambarkan Islam kolot dan jumud yang sangat terikat dengan aliran fiqh yang
dikembangkan dalam kurun-kurun awal Islam. Mereka menanam syak wasangka kepada
generasi remaja Islam. Di sinilah peranan para pemikir Islam untuk mengadakan
jawapan yang tepat, mantik, jitu lagi saintifik terhadap persoalan tersebut.
Namun kemutlakan Islam tidak bergantung kepada umatnya. Islam tidak boleh
diukur menerusi kelakuan umatnya. Syariat Islam diasaskan kepada fitrah
kejadian insan. Para pengkaji yang ikhlas akan menemui hakikat ini. Sebagai
contoh, seorang uskup Barat melakukan kajian keunggulan syariat Islam yang
pernah disaksikan dalam peradaban manusia yang menyatukan hampir separuh dunia
di atas kalimah keimanan yang sama.
Beliau ialah Dr Rowan Williams Uskup Besar Canterbury
England yang merupakan tokoh besar Kristian Eropah. Beliau membuat satu kejutan
ketika beliau diwawancara Oleh BBC awal Februari 2008. Beliau menyatakan United
Kingdom perlu mempertimbangkan syariah Islam untuk dilaksanakan.Menurutnya,
”..the adoption of some Sharia Law in tha UK is unavoidable…adopting parts of
Islamic Sharia Law could help social cohesion”. Dalam wawancara tersebut,
beliau tidak menghuraikan alasan yang terperinci tentang cadangannya agar
syariah Islam diperkenalkan di bumi tersebut. Namun kita tahu, perkataan itu bukan
keluar dari mulutnya secara spontan tetapi setelah kajianya yang mendalam
tentang peranan Islam dalam hubungan antara kaum sepanjang sejarah yang
memperlihatkan toleransi umat Islam yang tiada taranya dalam sejarah dunia.
Seseorang pengkaji yang ikhlas akan mengiktiraf sejarah
toleransi umat Islam sepanjang zaman, khususnya seperti yang ditunjukkan
pemimpin Islam Andalusia sejak kemasukan Tariq bin Ziad ke Sepanyol. Islam
membawa ilmu dan tamadun ke Sepanyol. Islam mengatur kehidupan yang harmoni di kalangan
masyarakat majmuk yang terdiri daripada Kritian, Yahudi dan Islam. Pemimpin
Islam menunjukkan jaminan soasial yang adil terhadap setiap unit masyarakat
majmuk itu. Sepanyol menyebarkan budaya ilmu ke seluruh Eropah. Universiti
Islam di Sepanyol terbuka kepada seluruh penduduk Eropah. Pelajar Eropah dari
setiap penjuru datang ke Sepanyol untuk menimba ilmu dalam pelbagai bidang.
Sepanyol menjadi pintu masuk peradaban keilmuan Eropah selama 700 tahun lamanya
yang menjadi sebab berlakunya zaman kecerahan Eropah menjelang kurun ke-16.
Inilah sejarah yang tertulis dengan tinta emas dalam peradaban dunia. Shariah
Islam memberikan keadilan kepada seluruh penduduk Andalusia yang majmuk.
Sejarah keilmuan dan tamadun yang dibawa oleh Kerajaan
Uthmaniyyah yang bertapak di Turki menunjukan toleransi yang serupa. Turki
menerima pelarian orang Yahudi dari bumi Andalusia pada kurun ke-15 setelah
Ferdinand dan Isabela menguasai bumi tersebut. Dalam peristiwa itu, jutaan umat
Islam dibunuh di bumi Sepanyol. Orang Yahudi turut menerima nasib yang sama,
dan kumpulan yang terselamat melarikan diri ke Turki lalu diberi perlindungan
oleh khalifah Uthamaniyyah. Barangkali itulah sejarah yang dikenangi kembali
oleh Uskup Besar Canterbury yang tersebut.
Uskup Besar tiba-tiba teringatkan peranan yang pernah
dimainkan Islam dan sistem pentadbiran Islam yang merubah masyarakat Eropah
dari zaman kegelapan ke zaman kecerahan mereka, ketika umat Islam sendiri telah
lupa kepada jati diri mereka sendiri. Pandangan aneh Uskup diterima masyarakat
England khususnya dan Eropah umumnya dengan kecaman dan kritikan terbuka, sebab
umat Islam dilabelkan oleh ahli politik Barat sebagai ganas dan tidak
bertamadun. Suara ikhlas Uskup yang berdasar kajiannya tentang dialog antara
Islam-Kristian, dicabar oleh pemimpin besar mereka seperti Gordon Brown,
Perdana Menteri, Tony MacNulty Menteri Dalam Negeri dan Stephen Lowe, Uskup
Hulme. Kesemua tokoh ini memberi respons yang sama, bahawa pendapat Uskup Besar
itu merbahaya kepada perpaduan masyarakat. Akan tetapi Uskup Besar berhujah
bahawa memaksa umat Islam mengikut perundangan yang sama pun bahaya juga.
Mereka harus diberi kebebasan memilih. Penentangan terhadap cadangan
perlaksanaan Syariah Islam di England bukan sahaja ditentang oleh masyarakat
dan pemimpin Kristian Eropah, tetapi pemimpin umat Islam England turut
menentang dengan nada tersendiri. Sebagai contoh, Dilwar Husain tokoh Islamic
Foundation Eropah menyatakan masyarakat Islam sangat selesa berada di bawah
Undang-Undang British yang sekular. Menurutnya: “Most Muslims are perfectly
happy with the legal as it exists in UK. They support it. It protects them, it
includes provisions for Halal Food and for the bank service. In other words,
some of the most important things that concerns people are already in the
system. We are not seeking the introduction of a new system - absolutely not”
Kadang-kadang keindahan Islam yang dapat dilihat oleh orang
bukan-Islam tidak dapat dilihat oleh umat Islam sendiri. Fenomenon ini bukan
sahaja berlaku di Eropah tetapi merupakan senario biasa dalam negara umat
Islam. Yang menentang pentadbiran Islam yang syumul bukan sahaja datang
daripada masyarakat bukan-Islam bahkan datang dari umat Islam yang telah hilang
jati dirinya. Mereka tidak dapat melihat kebenaran itu sebagai perkara yang
benar, dan mereka juga tidak dapat melihat kepalsuan itu sebagai perkara yang
palsu. Dalam suasana seperti ini, mampukah umat Islam mengembalikan semula
kecemerlangan budaya ilmu seperti kecemerlangan puncak peradabannya? Marilah
kita berdoa agar dapat melihat kebenaran itu benar, dan kepalsuan itu palsu.
Persoalan ini berkait pula dengan ilmu, amalan, keikhlasan dan hidayat Ilahi.
Saya tinggalkan persoalan ini untuk direnungi bersama. Renungilah alam kosmos
yang mega dan kemudian kembalilah merenungi diri sendiri yang kerdil berada di
atas planet bumi yang terapung-apung di angkasa raya. Carilah maksud yang
tersirat dan tersurat dalam kejadian langit dan bumi keseluruhannya, nescaya
kita akan temui kesimpulan yang sama.
Selamat berfikir, berfikir dan berfikir!
Mafatih al-‘Ulum, hlm. 122.
Kerajaan Mesir tua wujud sekitar tahun 3000SM. Mesir
mendapat nama sempena anakanda Nabi Idris as yang bernama Misr. Menurut
riwayat, Nabi Idris as diutuskan kepada kaum di Mesir serta dianaugerah Allah
swt dengan beberapa suhuf. Nabi Idris as mengajar umatnya agar menyembah Tuhan
Yang Maha Satu. Akan tetapi apabila masa berlalu ajaran baginda telah
diseleweng oleh kaumnya, lalu akhirnya kaum itu telah menyembah bintang dan
cakerawala dan ada pula kaumnya yang menyembah Nabi Idris as sendiri yang
mereka gelar sebagai Hermis. Demikianlah halnya yang berlaku kepada umat
terdahulu apabila ajaran para rasul telah ditokok tambah dan dipinda oleh
generasi terkemudian.
.
Lihat Al-Asas fi al-Tafsir Sa`id Hawwa di bawah kesimpulan
al-Fawa’id ayat 30, surah al-Anbia’ (jilid 7, hal.3455). Beliau menulis
(terjemahan bebas penulis): “Ayat ini mengisyaratkan pergerakan bumi kerana
kalimah kullbermakna jamak, menunjukkan yang berenang (terapung) melebihi dua
objek sedangkan malam dan siang bukan objek. Bahkan bumilah objek terapung
berenang yang menyerupai pergerakan matahari dan bulan. Maka yang terapung
dalam ayat ini ada tiga objek: matahari, bulan dan yang ketiga tempat
berlakunya siang dan amlam, iaitu bumi. Justeru, ayat menunjukkannya pergerakan
[objek tersebut] dan ayat ini mendahului saintis yang menemui fenomenon ini, –
dan padanya mukjizat yang lain – daripada mukjizat al-Qur’an”.
Fath Rabb, al-Mahali, hlm. 4.
Lihat teks Risalah fi simt al-Qiblat al-Bazdawi yang
disiarkan oleh D. King dalam Majalah Tarikh al-‘Ulum al-‘Arabiyyah, hlm.
186-196.
Alat astrolab popular digunakan dalam tamadun Islam yang
dimulakan oleh al-Fazari. Catatan Ibn al-Nadim menunjukkan bahawa alat tersebut
adalah ciptaan asli al-Fazari. Namun berdasarkan nama astrulab yang disebut
oleh Arab daripada kalimah astrolab menunjukkan bahawa alat ini bukan berasal
dalam tamadun Arab tetapi diadaptasi daripada alat yang pernah digunakan dalam
tamadun Yunani. Mengikut catatan, Appolonius dan Hipparchus telah menggunakan
alat ini dalam tamadun Yunani. Ahli falak Islam telah memperbaiki serta
memperluaskan gunaannya. Ada kemungkinan hanya persamaan nama yang wujud antara
warisan Yunani dan Arab yang berlaku, kerana dinyatakan bahawa al-Fazari turut
mencipta alat yang berbentuk hemisfera yang belum dikenali oleh Yunani.
Al-Fazari turut menulis karya tentang penggunaan alat ciptaannya seperti Zat
al-Halaq (astrolab yang mempunyai cincin).
Lihat makalah Julian Smith bertajuk Astrolabe dalam
Encyclopaedia of the History of Science (ibid).
Nadir al-Nabulasi (ed.), 1977. Miftah al-Hisab al-Kasyi,
hlm. 197.
Penulis Barat berusaha keras untuk menafikan trigonometri
sebagai ilmu yang diasaskan oleh ahli falak Islam. Mereka lupa bahawa istilah
sinus dan kosinusyang menjadi istilah paling asas dalam ilmu berkenaan
merupakan adaptasi terjemahan kalimah jib dan jibtamam Arab. Bahkan nama
bintang dan buruj kebanyakannya masih kekal nama Arab hingga kini. Bahkan alat
rubu al-mujayyab itu bermaksud jadual sinus untuk sudut tersetentu.
Surah al-Kahfi, ayat 90.
Galaksi Andromeda kini ditandakan sebagai M31. Teks Barat
menyatakan bahawa galaksi ini ditemui oleh Simon Marius (1612). Nama al-Sufi
yang disebut Azhopi turut dirakamkan dalam teks Barat untuk sebuah kawah di
atas permukaan bulan (22.1S, 12.7E) yang digelar kawah Azhopi.
Al-Baqar al-Abyad bermaksud lembu putih. Adalah suatu yang
menarik bahawa cerapan al-Sufi terhadap galaksi ini dilakukan setelah mendapat
berita pelayar Arab yang mengembara ke Alam Melayu yang melihat kumpulan nebula
galaksi tersebut ketika malam yang terang.
Al-Biruni turut membuat model matematik terhadap putaran
bumi terhadap paksinya. Bumi ialah planet dalam sistem suria yang terletak
dalam Bima sakti.
Karya Copernicus De Revolutionibus Orbium dirujuki pula oleh
Galileo yang menimbulkan konflik yang besar dalam astronomi Eropah antara
saintis dengan gereja.
Disebut juga dalam bahasa Latin sebagai titik augee.
Pergerakan titik awj ini berlaku sebanyak 11.8” setahun atau
10 dalam jangkamasa 305 tahun.
Cara penulisan pecahan perpuluhan diasas seorang ahli
matematik Islam berbangsa Yahudi bernama Sama’wal al-Maghribi.
Perlu dingati bahawa ketika ramalan gerhana dibuat berdasar
pengiraan matematik yang teliti, masyarakat masih belum faham tentang ilmu
berkenaan. Al-Biruni telah mendapat fitnah masyarakat bahawa beliau mengamalkan
ilmu sihir, yang hampir membawa padah kepadanya. Sebelum itu, Jabir turut
dikatakan ahli sihir kerana mengkaji ilmu kimia yang mencuba untuk mengubah
sifat kualitatif logam murah menjadi logam mahal berdasar kajian ilmu
berkenaan. Ilmu kimia dan astronomi pernah disenaraikan sebagai ilmu sihir di
kalangan penulis tertentu yang tidak memahami asas ilmu berkenaan. Perlu
diingati bahawa ilmu astronomi (falak) berbeza sama sekali daripada ilmu
astrologi (tanjim).
Penulis Barat sering menyatakan kajian graviti dilakukan
oleh Newton, namun hakikatnya hampir semua saintis Muslim sejak kurun ke-9
termasuk al-Kindi telah menyatakan konsep tersebut.
Zij Sultani ini disusun oleh jawatankuasa yang diketuai oleh
Jamshid Ghiathuddin al-Kashi yang bekerja dengan Sultan Ulugh Beg seorang
pemerintah yang berilmu dan mementingkan penyelidikan falak. Kegiatan ini
berpusat di Samarqan yang dianggap ibu wilayah Islam timur. Ulugh Beg ialah
anakanda Shahrukh bin Taimur (Timurlane). Di balai cerap Samarqan terkumpul
ahli falak yang terkenal iaitu al-Kashi (ketua), Qadi Zadeh, Muhyiddin
al-Kashani, Salahuddin al-Mausawi dan al-Saqqar (atau Ali al-Khushaji). Di sini
ramai ahli falak China yang bergabung tenaga di bawahpatronaj Ulugh Beg dan
pembinaan balai cerap sepanjang Jalan Sutera ke China mempunyai kaitan dengan
Samarqan. Balai cerap Samarqan merupakan antara balaicerap terbaik yang pernah
didirikan dalam wilayah Islam. Balai ini berbentuk bulat dengan garispusat 46
meter, mempunyai bangunan 3 tingkat dengan ketinggian 30 meter yang dibina di
atas sebuah bukit yang terletak di tepi sungai. Pencerap yang besar diletakkan
di dewan cerapan utama. Amat menarik tentang zij ini kerana ramai ahli falak
Melayu menyalin zij induk ini untuk disesuaikan dengan suasana tempatan. Kami
menemui banyak manuskrip yang menjadikan zij ini sebagai rujukan induk dalam
manuskrip Alam Melayu. Ulugh Beg sendiri menggambarkan ketelitian cerapan
tentang zij ini dengan ungkapannya: “Setiap cerapan, setiap pakar perjalanan
planet, telah dicatatkan dalam karya ini”. Jadual ini merekod fenomenon samawi
yang melibatkan 1018 bintang dan planet. Zij ini merekodkan tempoh setahun
solar bersamaan 365 hari 6 jam 10 minit 8 saat. Nilai yang dikira pada hari ini
(selepas lebih 500 tahun berlalu) ialah 365 hari 6 jam 9 minit 9.6 saat.
Demikianlah besarnya peranan balai cerap Ulugh Beg dalam kajian detik-detik
akhir tamadun Islam dalam bidang berkenaan. Selepas kematian mengejut Ulugh
Beg, balai cerap ini dirobohkan, dan ahli falak telah lari bertempiaran.
Nashkah Zij Sultani atau dikenali juga dengan nama Zij al-Karkani, berjaya
diselamatkan oleh Ali al-Qushaji dalam pencerobohan tersebut. Zij inilah yang
tersebar luas kemudiannya sehingga ke India, China dan Alam Melayu.
Kebanyakan penulis teks Barat menafikan hubungan ini,
kecuali segelintir penulisnya seperti Sedillot, Sarton, Nalino, Kennedy dan
King. Apabila terdapat penulis Barat seperti Sedillot yang cuba memaparkan
sejarah yang murni tentang hubungan Eropah dengan tamadun Islam, maka penulis
seperti Duhem yang membabi buta menyangkalnya walaupun Duhem sendiri disifatkan
oleh Walker sebagai a physicist and philosopher ignorant of Arabic.Lihat Walker
(1996) ibid. hal.171.
Lihat Abdullah al-Daffa` al-`Ulum al-Riadiyyat fi al-Hadarah
Islamiyyah, hal.260.
Penemuan manuskrip Ibn Syatir pada tahun 1950 di Bandar
Bolanda menguatkan hipotesis hubungan meraka.
Pandangan saintis terhadap orbit planet mengelilingi
matahari berubah-ubah sejak zaman Batlamius hingga kini. Pada mulanya mereka
menganggap matahari mengelilingi bumi dalam bentuk bulatan. Kemudian, muncul
pula pandangan yang menyatakan sebaliknya, iaitu bumi yang mengelilingi dalam
bentuk bulatan. Sarjana Muslim menemui orbit tersebut sebenarnya dalam bentuk
ihlilaji (elips) yang diperkuatkan pula oleh Kepler kemudiannya, dengan
matahari berada di fokus elips. Kemudian pada pertengahan kurun ke-20 ada pula
pandangan yang menyatakan bahawa orbit bumi mengelilingi matahari dalam bentuk
terbuka meliuki berbentuk orbital bunga cengkih tetapi harmoni. Lihat buku
Shaharir (2004, ibid).
Data ini sering dikemukakan untuk menyangkal teori Einstein
bahawa objek tidak mungkin bergerak melebihi kelajuan cahaya. Kelajuan yang
ditunjukkan oleh pengembangan akibat letupan deguman besar (jika data dan
pengiraannya benar) itu bergerak melebihi halaju cahaya. Dalam teori kenisbian,
faktor Lorentz ditakrifkan sebagai 1 / Ö(1 – R2) dengan R nisbah halaju objek dengan
halaju cahaya. Faktor ini mencapai nilai maksimum tak terhingga apabila R = 1.
Sebagai jalan tengah, ada pandangan yang menyatakan bahawa objek dalam alam
semesta tidak boleh bergerak melebihi halaju cahaya, tetapi alam semesta
sendiri tidak terikat dengan syarat tersebut. Ada pula yang ingin mengubahsuai
faktor Lorentz menjadi 1 / Ö(R2 – 1) untuk menangani masalah ini, seperti yang
pernah dilakukan kepada faktor Prandtle-Glauert dalam kajian aeroangkasa yang
mengubah faktor tersebut iaitu dari 1 / Ö(1 – M2) kepada 1 / Ö(M2 – 1) untuk M
nisbah halaju objek terhadap halaju bunyi, dengan alasan yang sama. Lihat
Elsaie (ibid) hal.62, Shaharir (2004) hal. 124 – 142.
Zaglul al-Najjar al-Sama’ fi’l-Qur’an al-Karim, hal590.
Ketika mentafsir ayat surah al-Anbia ini, Sa`id Hawa menulis
seperti berikut: “Anda mendapati ayat ini mendahului kajian saintifik, dalam
kedua-dua tafsir, kalimah “ratq” bermaksud jisim padu yang satu yang terbit
daripada jisim al-sadimah (nebula), atau tafsir dengan maksud bumi tiada tumbuh-tumbuhan
dan langit tidak berhujan, kedua-dua pentafsiran sesuai dengan maksud bahawa
Bumi dalam bentuk asalnya suatu jasad panas seperti matahari yang ketika itu
tiada sebarang hidupan atau air. Kedua-dua pentafsiran diakui Ibn al-Kathir”.
Lihat buku Al-Rasul karya Said Hawwa (Dar al-Salam, 1986; hal.278) dengan
terjemahan bebas penulis ini.
Banyak sumber internet yang membincangkan kejadian alam
mengikut al-Qur’an tetapi pelajar seharusnya menyemak kembali kepada sumber
penulisan yang sah serta oleh ilmuwan yang berwibawa dalam bidang ini.
Lihat perbincangan kejadian alam mengikut ahli kosmologi
moden dalamHistory of Truth karya A.M.Elsaie (AS Nordeen, 2004) di bawah tajuk
The Universe.
Said Hawwa telah mentafsirkan ayat ini menerusi al-Asas fi
al-Tafsir (Dar al-Salam, 1985; jilid 10, hal.5522-5530) seperti yang berikut
(terjemahan bebas penulis ini): “Ayat ini menunjukkan langit berada dalam
pengembangan, penolakan keluar sentiasa atau Kami (yakni Allah swt) jadikan
keluasan langit. Ayat ini menunjukkan mukjizat al-Qur’an tentang kejadian alam”
(hal.5522). Seterusnya Sa`id Hawwa membuat ulasan lanjut seperti yang berikut:
“Antara penemuan saintifik yang besar dalam sejarah sains ialah pendapat yang
dikemukakan buat pertama kali dalam sejarah kosmologi oleh Einstein berbangsa
Yahudi, yakni teori pengembangan alam semesta yang belum pernah dikemukakan
sebelumnya, sehingga ada orang yang menggunakan istilah “al-Kaun
al-Einsteiniyyah” (alam mengikut pandangan Einstein) untuk merujuk peristiwa
pengembangan alam. Sebelum itu, dikatakan alam bersifat statik … namun ternyata
alam sedang mengembang dengan lajunya”. Menurut Said Hawwa lagi, kalimah
musi`undalam bentuk ism fa`il untuk kalimah ausa`a bagi gantinama ketiga
nahnuseperti dalam ayat bermaksud proses berterusan. Kitab tafsir al-Asas fi
al-Tafsir (11 jilid) ditulis dengan banyak rujukan tentang kajian sains moden.
Menurut Shaharir (2004, ibid) teori alam berbentuk statik
muncul kembali dalam kajian terkini.
Hanya Allah swt yang mengetahui maksud hakikinya. Namun ada
pentafsiran yang menyatakan bahawa bentuk lingkaran atau spiral galaksi yang berputar
keluar dari pusat galaksi sangat serupa dengan bentuk beberapa helai kertas
yang digulung secara longar yang dilihat dari sisi hujungnya. Bentuk ini serupa
lingkaran kulit siput yang disebut dalam bahasa Arab sebagai al-halazuniyyah.
Andainya proses kejadian alam ialah proses pengembangan, maka proses
kesudahannya boleh diibarat seperti kertas tersebut digulung ke dalam kembali,
yakni proses kebalikannya.
Dipetik daripada sumber internet di bawah tajuk perbincangan
sains dan al-Qur’an.
Sa`id Hawwa menulis beberapa siri asas Islam termasuk
al-Islam, Allah, al-Rasul, tazkiah al-nafs, tarbiyayh al-ruhiyyah, jundullah
dan tafsir al-Qur’an yang memperlihatkan Islam dalam bentuk kesepaduan rohani
dan jasmani, syariah dan keadilan, dunia dan akhirat. Buku-buku karangan beliau
telah menyentuh hati nuani penulis ini khususnya buku beliau yang bertajuk
al-Rasul, al-Asas fi al-Tafsir dan Jundullah.
Zaghlul al-Najjar al-Sama’ fi’l-Qur’an al-Karim, Dar
al-Ma`rifah, Beirut, 2007.
Khunnas dari segi bahasa bermaksud makhluk yang tidak dapat
dilihat manakala kunnas sering digunakan oleh orang Arab untuk maksud apabila
serigala yang hilang memasuki lubangnya. Kedua-dua makhluk itu merupakan sifat
bintang di langit. Zaghlul al-Najjar membandingkan istilah itu dengan white
dwarf yakni bintang yang kehilangan cahaya dan lubang hitam yang menelan semua
jirim langit sepanjang lintasannya. Namun hakikatnya hanya Allah SWT yang
mengetahuinya.
Express on Sunday 4 Januari 2004; Evening Standart UK, 23
April 2004.Maksudnya: ”Apa yang orang Arab fikir perasaan kita terhadap mereka.
Bahawa kita kagum dengan sikap mereka yang menjadi pengebom berani mati,
pemotong kaki dan tangan, penindas wanita”.
Wawancara dilakukan oleh Christopher Landau melalui Radio 4
BBC pada 7 Februari 2008. BBC = British Broadcasting Cooperation.
“What we don’t want either, is I think a stand-off where the
law squares up to people’s religious consciences” ujar Uskup Besar Dr Rowan
Williams
Maksudnya: Kebanyakan Muslim cukup gembira tentang sistem
perundangan yang ada di UK. Mereka memberi sokongan terhadapnya. Undang-undang
itu melindungi mereka termasuk peruntukan makanan halal dan perkhidmatan bank.
Dalam kata lain, kebanyakan perkara asas yang penting berkaitan masyarakat
sudah ada dalam sistem itu. Kami tidak meminta agar diperkenalkan satu sistem
yang baru – sekali-kali tidak.
http://www.kesturi.net/archives/category/makalah/page/16
Ilmu FALAK
Moga Bermanfaat

No comments:
Post a Comment