16 March 2020

Pengubatan atau Perubatan




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sesungguhnya Aku berniat kerana Allah:
Tugasan gerak tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota tubuhku buat Allah.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya kepada Mu Ya Allah..

Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah سبحان الله
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah الحمد لله
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH لا إله إلا الله
Hembusan Nafasku berzikir Allāhu akbar  الله أكبر

 الحمد لله syukur kepada الله


Pengubatan atau Perubatan

Dua perkataan ini “Pengubatan”  dan “Perubatan”  sering digunakan secara bercampur aduk oleh pelbagai pihak di negara ini. Ada yang menganggap dua perkataan ini sama sahaja tetapi digunakan dalam konteks berbeza. Misalnya ada yang menyebut “Perubatan Tradisional”, “Pengubatan Tradisional”, “Perubatan Akupunktur” dan “Pengubatan Akupunktur”. Jadi yang mana satukah penggunaan yang betul?
Kedua-dua perkataan mempunyai akar kata “ubat” dan  mempunyai imbuhan prefix “per” dan “peng” serta suffix “an” pada perkataan pengubatan dan  perubatanDari segi leksikal ia mudah difahami tetapi dari sudut semantik, ianya amat berbeza.
Untuk membezakan keduanya dari sudut semantik, ubat adalah satu objek, bahan, atau material yang digunakan dalam proses merawat. Oleh itu, pengubatan dilihat sebagai amalan atau rawatan atau terapi yang dijalankan ke atas pesakit dan salah satu bahan yang digunakan ialah ubat; manakala perubatan adalah satu bidang ilmu yang merangkumi di dalamnya ubat-ubatan, kaedah diagnosa, merawat, dan memantau kemajuan pesakit. Perubatan adalah payung kepada pengubatan.
Di dalam bidang pengubatan, rawatan boleh dijalankan ke atas pesakit oleh perawat berdasarkan pengalaman perawat, dan ilmu perawat dalam pengubatan ini lazimnya tidak bertulis, menjadi milik perawat, tidak boleh dipelajari secara terbuka,  tidak perlu mendapat pengiktirafan oleh badan berautoriti dan tidak mempunyai nilai tambah baik berterusan kerana ia tidak ada komponen penyelidikan formal yang akan menghasilkan kaedah atau bahan baru dalam rawatan. Ilmu merawat pada kebiasaannya diwarisi atau dipelajari dari individu tertentu serta terhad dan ada juga yang bersumber daripada mimpi atau melalui makhluk halus. Kaedah merawat pesakit juga adalah berbeza dalam kalangan perawat.
Di dalam bidang perubatan kotemporari pula,  rawatan boleh dijalankan ke atas pesakit oleh perawat berdasarkan kepada ilmu yang bertulis, berdokumen, boleh dipelajari di pusat perubatan dan pusat pengajian tinggi secara terbuka, diiktiraf oleh badan berautoriti, dan mempunyai nilai tambah baik berterusan melalui penyelidikan. Kaedah merawat pesakit tidak jauh berbeza dalam kalangan perawat kerana bidang perubatan mempunyai ISO, SOP, dan prosidur yang bersifat global.
Di dalam Kamus Dewan, pengubatan merujuk kepada kata nama dan kata perbuatan, manakala perubatan merujuk kepada kata nama
Slide1Slide2
Jika pencerahan ini boleh diterima, maka perkataan pengubatan adalah sesuai digunakan untuk: pengubatan tradisional yang boleh djumpai dalam masyarakat pelbagai etnik misalnya urut, bekam serta mentera dan jampi.
Suatu ketika dulu, herba, ginseng, Ayurveda, homeopati, akupunktur dan kiropraktik dianggap sebagai pengubatan tradisional, tetapi kini boleh dikategorikan sebagai pengubatan alternatif. Maksud “alternatif” ialah kaedah pengubatan ini menjadi pilihan lain daripada perubatan arus perdana atau perubatan kontemporari yang terdapat di klinik dan hospital. Sebahagian ilmu dalam bidang perubatan alternatif sudah pun dibukukan dan boleh dirujuk. Di negara China dan India, ilmu pengubatan ginseng, bekam, akupunktur, dan Ayurveda telah dijadikan ilmu yang boleh dipelajari secara formal dan diiktiraf  oleh institusi tertentu. Khidmat rawatan dan ubat yang diberikan dalam perubatan alternatif adalah berbayar sepertimana perubatan kontemporari dan pengubatan tradisional.
Satu lagi perkataan yang perlu dilihat ialah “perubatan komplementari” iaitu kaedah rawatan yang digunakan bagi melengkapkan rawatan perubatan kontemporari yang telah dijalankan di hospital atau klinik. “Pengubatan komplementari” bukan bersaing dengan perubatan kontemporari dan bukan menggantikan perubatan moden sebaliknya melengkapkan. Ada ketika, perubatan kontemporari gagal mengesan punca penyakit dan tidak ada rawatan atau ubat untuk menangani penyakit. Kes seperti ini dikenali sebagai idiopathic. Apabila pesakit dikategorikan dalam kes idiophatic, maka langkah seterusnya ialah mengklasfikan pesakit sebagai pesakit mental atau yang relevan dalam bidang perubatan kontemporari. Ketika inilah “pengubatan komplementari” boleh digunakan bagi membantu proses rawatan ke atas pesakit idiopathic.
Salah satu “pengubatan komplementari” ialah Perubatan  Komplementari Islam seperti Ruqyah Syar’ieyyah. Di dalam Perubatan Komplementari Islam  ini, perawat menggunakan ayat Quran dan doa yang ma’thur (sahih lagi wibawa) dan bahan-bahan yang patuh syariah. Tidak ada jampi dan mentera atau kaedah yang tidak patuh syariah seperti yang diamalkan oleh sesetengah perawat dalam bidang pengubatan tradisional. Perbezaan dalam kalangan perawat Perubatan Komplementari Islam  ialah antara lain tahap saksiyyah dan cara pembacaan ayat Quran dan doa dengan betul dan tepat. Untuk menjadi perawat alam amalan Perubatan Komplementari Islam , tidak  ada undang-undang yang mewajibkan pengiktirafan ke atas seseorang dalam mengamalkan Perubatan  Komplementari Islam  ini melainkan pihak berkuasa seperti JAKIM dan Jabatan Agama Negeri mewajibkan semua pengamal atau perawat yang mendakwa diri mereka sebagai  Perubatan Komplementari Islam  berdaftar dengan JAKIM dan Jabatan Agama Negeri bagi mengelakkan penipuan yang boleh merosakkan akhlak dan aqidah ummah.
Mengapa Perubatan Komplementari Islam  dan tidak Pengubatan Komplementari Islam?  
Ilmu dalam Perubatan Komplementari Islam  adalah bertulis dan boleh dirujuk serta boleh dipelajari secara terbuka dan formal. Terdapat badan atau pusat pengamal  Perubatan Komplementari Islam  yang memberikan kursus secara formal dan memberi sijil pengiktirafan  kepada mereka yang telah tamat kursus berkenaan. Ilmu ini bukan milik perawat tetapi boleh dimiliki oleh orang ramai secara terbuka, tidak sepertimana ilmu perawat pengubatan tradisional. Dalam Perubatan Komplementari Islam , ayat-ayat Quran dan doa yang perlu dibaca dengan betul dan tepat untuk memastikan keberkesanannya. Selain daripada doa-doa ma’thur, doa yang baik dan patuh syariah (tidak menganduni unsur syirik) dibaca boleh dilakukan dalam bahasa masing-masing kerana Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.  Pengamal PerubatanKomplementari  Islam  tidak mengambil upah rawatan kerana ayat-ayat Quran dan doa yang dibaca tidak boleh dijual beli. Sumbangan ikhlas pesakit untuk diberikan kepada perawat atau pusat  Perubatan Komplementari Islam  adalah hak pesakit dan ia tidak dipaksa atau disuruh oleh mana-mana pihak.
Akhirnya satu isu yang masih mengelirukan orang ramai ialah adakah terdapat perubatan Islam dan perubatan moden? Dalam Islam, apa sahaja bentuk yang pengubatan atau perubatan yang membawa kepada kesejahteraan kesihatan dan keselamatan manusia boleh dianggap sebagai “perubatan Islam” dengan syarat kaedah dan bahan yang digunakan adalah patuh syariah. Perubatan Komplementari Islam  adalah unik dan menjadi nic dalam dunia perubatan.
Sumber: Sub-Projek LRGS USM (2012-2016)

No comments: