24 March 2020

Iblis Itu Alim Tetapi Sombong




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sesungguhnya Aku berniat kerana Allah:
Tugasan gerak tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota tubuhku buat Allah.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya kepada Mu Ya Allah..

Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah سبحان الله
Denyutan Nadiku dengan  Alhamdulillah الحمد لله
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH لا إله إلا الله
Hembusan Nafasku berzikir Allāhu akbar  الله أكبر

 الحمد لله syukur kepada الله

Iblis Itu Alim Tetapi Sombong

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Iblis awalnya bernama ‘Azazil yang terhormat dan memiliki 4 sayap, merupakan raja di langit dunia dan juga penjaga syurga, amun, hal ini juga membuat ia merasa bongkak.

Iblis Itu Alim

Berkatalah Iblis, “Tidak sekali-kali Allah memberiku tugas ini melainkan kerana aku mempunyai kelebihan di atas para malaikat.”

Dan walaupun iblis sangat sombong, ia juga sebenarnya sangat alim dan berilmu pengetahuan.

Jika engkau bertanya tentang Al-Quran kepada iblis, maka iblis akan dapat menerangkan dengan sangat jelas, kerana iblis tahu bila ayat itu turun dari langit.

Jika engkau bertanya tentang ilmu hadis kepada iblis, maka iblis akan dapat menjelaskannya dengan lancar, kerana iblis tahu asbabul wurud dari hadis tersebut.

Jika engkau bertanya tentang kisah para nabi, iblis akan dapat menceritakannya dengan baik, kerana iblis sudah ada sejak nabi Adam masih berada di dalam syurga.

Iblis ahli Quran.
Iblis ahli hadis.
Iblis ahli riwayat.
Iblis ahli ibadah.
Iblis alim dan pandai dalam segala ilmu.

Tapi, iblis tidak pernah menjadi kekasih Allah, kerana dalam diri iblis ada kalimat..

“AKU LEBIH BAIK DARI KAMU!”

Semoga sedikit ilmu yang dititipkan Allah di hati kita tidak menjadikan kita sombong dalam segala urusan.

Kita juga akan faham bahawa ilmu tidak menjamin seseorang itu menjadi taat dan soleh, serta dikasihi Allah.

Yang aku takut,
Hatiku kian mengeras dan sukar menerima nasihat,
Namun sangat pandai menasihati orang lain.

Yang aku takut,
Aku merasa paling benar,
Sehingga merendahkan yang lain.

Yang aku takut,
Egoku terlalu tinggi,
Hingga merasa paling baik di antara yang lain.

Yang aku takut,
Aku lupa bercermin diri sendiri,
Namun sibuk berprasangka buruk kepada yang lain.

Yang aku takut,
Ilmuku akan membuatku menjadi sombong dengan memandang yang lain lebih rendah ilmunya dariku.

Yang aku takut,
Lidahku makin lincah membicarakan aib orang lain,
Namun lupa dengan aibku yang menggunung.

Yang aku takut,
Aku hanya hebat dalam berkata namun buruk dalam perbuatan.

Yang aku takut,
Aku hanya cerdas dalam mengkritik, Namun lemah dalam memperbaiki diri sendiri.

Yang aku takut,
Aku membenci dosa orang lain,
Namun di saat aku sendiri yang membuat dosa aku tidak pula membencinya.

Semoga Allah SWT sentiasa menyedarkanku sehingga aku lebih rajin menilai kelemahan dan keburukan diriku sendiri daripada menilai keburukan orang lain. Aamiin.

Semoga memberi manfaat.

Kenapa Allah Mencipta Iblis Dan Syaitan?

Kita pastinya asyik terfikir, Iblis itu jahat dan menghasut manusia agar membuat kejahatan sedangkan Allah inginkan kita menjadi baik. Jadi kenapa Allah ciptakan juga Iblis?

Kenapa Allah Mencipta Iblis Dan Syaitan?
Gambar hiasan.

Iblis ialah sejahat-jahat kejadian yang diciptakan oleh Allah SWT dan ramai orang secara tidak sedar beranggapan bahawa Allah tidak sepatutnya mencipta Iblis.

Bukankah lebih baik jika Iblis tidak wujud? Maka semua manusia akan lebih cenderung untuk beriman dan taat kepada Allah.

Sebenarnya, mereka mempersoal dan mempertikaikan penciptaan Iblis ini lantaran kejahilan mereka terhadap hikmah kejadian Iblis.

Keadaan ini samalah juga dengan malaikat yang berasa hairan dengan penciptaan manusia pada awal-awal dahulu.

Lalu mereka bertanya kepada Allah tentang rasional manusia yang gemar melakukan kerosakan dan menumpahkan darah itu dicipta sebagai khalifah di muka bumi.

Namun, persoalan malaikat itu bukanlah untuk mempertikaikan perbuatan Allah. Para malaikat itu suci daripada segala bentuk kemaksiatan.

Sebenarnya persoalan mereka itu menunjukkan bahawa malaikat tidak tahu hikmah Allah menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Tiga Asas Kefahaman

Sebelum perbincangan lanjut tentang hikmah penciptaan Iblis, kita perlu ingat tiga asas berikut:

1. Segala perbuatan Allah sama ada baik atau buruk pada penilaian manusia tidak boleh dipersoalkan kerana Allah mempunyai hak mutlak untuk menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, “Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang dilakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” (Surah al- Anbiya ’ : 23)

2. Allah menciptakan manusia di muka bumi adalah bertujuan untuk menguji siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al- Mulk ayat 2.

Justeru, penciptaan Iblis adalah sebahagian daripada ujian Allah bagi menilai umat manusia.

3. Allah telah memberi amaran berulang- ulang kali dalam al-Quran dan sunnah Rasul-Nya bahawa Iblis dan syaitan itu musuh manusia yang paling nyata.

Maka kita tiada alasan untuk mengatakan mereka tidak mengetahui musuhnya.

Berikut adalah antara hikmah penciptaan Iblis:

Hikmah 1: Membuktikan Allah Pencipta Mutlak

Berbalik kepada hikmah penciptaan Iblis, antaranya adalah bagi menunjukkan kekuasaan Allah dalam menciptakan segala yang wujud secara berpasang-pasangan dan berlawanan antara satu dengan lain.

Hal ini samalah seumpama Allah menciptakan lelaki dan wanita, jantan dan betina, malam dan siang, baik dan buruk, cantik dan hodoh, Muslim dan kafir, termasuk juga malaikat dan Iblis.

Sebagaimana Allah mampu menciptakan satu makhluk yang tidak pernah ingkar kepada-Nya dan hanya beribadah kepada-Nya semata-mata pada setiap waktu, begitulah juga Allah mampu menciptakan satu makhluk yang paling kuat mengingkari perintah-Nya seperti Iblis.

Semua ini sekali gus menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah dalam penciptaan sehingga manusia tidak boleh mengatakan bahawa Allah hanya mampu menciptakan benda-benda yang baik sahaja.

Sebaliknya, benda-benda yang jahat seperti Iblis dan syaitan itu berkuasa menciptakan dirinya sendiri bagi menandingi Allah.

Hikmah 2: Membuktikan Kekuasaan Allah

Penciptaan Iblis juga akan menzahirkan dan membuktikan beberapa nama dan sifat Allah seperti al- Qahhar (Maha Gagah Perkasa), al-Muntaqim (Maha Pembalasan), al- ’Adl (Maha Adil), al-Dhar (Maha Memberi Mudarat), Syadid al-'Iqab (Maha Pemberi Azab Pedih), Sari ’ al-Hisab (Maha Pemberi Pembalasan Segera), alKhafidh (Maha Merendahkan), al- Mu ‘iz ( Maha Memuliakan), al- Muzill (Maha Menghinakan), al-Rafi' (Maha Meninggikan) dan lain-lain.

Nama-nama dan sifat-sifat Allah ini tidak akan terzahir dan terbukti sekiranya semua makhluk yang wujud ini bersifat seperti malaikat.

Sebaliknya ia terzahir disebabkan kewujudan makhluk yang menzahirkan penentangan terhadap titah dan perintah Allah.

Hal ini dijelaskan lagi dengan peristiwa-peristiwa Allah memberi pertolongan kepada wali-wali-Nya dan menghancurkan musuh-musuhnya.

Hikmah 3: Menzahirkan Kasih Sayang Allah

Selain itu, kewujudan Iblis juga akan menzahirkan sifat Allah yang Maha Pengampun, Maha Pemaaf, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan sebagainya.

Hal ini benar -benar tidak dapat disangkal lagi apabila Allah memasukkan hamba- hamba-Nya yang berdosa ke dalam syurga tanpa mengambil kira secara terperinci segala dosa dan maksiat yang telah dilakukan akibat godaan dan hasutan Iblis.

Jika tiada manusia yang berdosa dan melakukan maksiat, maka tiadalah keperluan untuk Allah menzahirkan sifat - sifat ihsan dan belas kasihan ini.

Hikmah 4: Menyempurnakan Kehambaan Manusia

Al-Imam Ibn Qayyim alJauziyyah menyebut bahawa antara hikmah penciptaan Iblis adalah untuk menyempurnakan tahap-tahap kehambaan kepada Allah sepertimana yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul serta pengikut mereka.

Ini kerana tahap perhambaan ini tidak sempurna kecuali dengan menguji mereka dengan musuh-musuh.

Musuh-musuh Allah akan mengganggu dan memerangi mereka yang berusaha untuk istiqamah dalam agama.

Sekiranya mereka bersabar dan berjihad melawan musuh-musuh Allah dan mengutamakan pahala, maka dengan kesabaran dan kesungguhan itu akan sempurnalah tahap kehambaan mereka kepada Allah.

Selanjutnya Ibn Qayyim mengatakan bahawa banyak perkara yang kita tidak nampak kebaikan dan keutamaannya melainkan apabila dinampakkan lawannya.

Maka proses untuk menampakkan keburukan berlaku menerusi penciptaan Iblis dan syaitan.

Wallahu a‘lam

Iblis Merasai Kesakitan Setiap Makhluk Saat Kematiannya

Abu Laits Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Afnah bin Qays berkata: Saya pergi ke Madinah ingin bertemu dengan Omar bin Al Khattab RA, tiba-tiba saya bertemu dengan Ka’bul Ahbaar yang menceritakan dalam suatu majlis, “Ketika Adam AS sedang menghadapi saat kewafatan, baginda berkata: “Ya Rabbi, musuhku pasti akan mengejek padaku jika ia melihat aku telah mati, padahal ia diberi hingga hari kiamat”.

Gambar hiasan.

Maka di jawab Allah SWT: “Hai Adam, kamu akan menuju ke syurga, sedang si celaka (iblis) ditunda hingga hari kiamat supaya merasakan sakit maut, sebanyak makhluk yang pertama hingga yang terakhir”.

Lalu nabi Adam AS pun bertanya kepada malaikat Izrail: “Sebutkan kepadaku bagaimana rasa pedihnya maut”. Sesudah diterangkan oleh malaikat Izrail, nabi Adam AS pun berkata: “Tuhanku, cukup!! cukup!!”

Maka gemuruhlah suara para hadirin berkata: “Hai Abul Ishaq, ceritakan pada kami, bagaimanakah ia merasakan maut, pada mulanya Ka’abul Ahbaar menolak, tetapi kerana didesak, maka ia berkata: “Jika dunia sudah akhir dan hampir ditiup sangkakala, sedang orang ramai di pasar sedang sibuk bertengkar dan berdagang, tiba-tiba terdengarlah suara yang sangat keras di langit, sehingga separuh penduduk bumi pengsan kerananya selama tiga hari.

Bagi mereka yang tidak pengsan bingung bagaikan kambing ketakutan. Dalam keadaan hirik pikuk sedemikian, maka terdengarlah lagi satu suara gemuruh bagaikan suara halilintar yang sangat keras bunyinya, maka tidak seorangpun melainkan mati kerananya dan kesemua manusia, jin, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain makhluk mati, maka tiba giliran iblis laknatullah pula untuk merasainya.

Maka Allah SWT pun memerintahkan malaikat Izrail: “Aku telah menjadikan padamu pembantu sebanyak orang yang pertama hingga yang terakhir dan Aku telah memberikan kekuatan penduduk langit dan bumi dan kini Aku pakaikan kepadamu pakaian murka dan kemarahan, maka turunlah dengan membawa murka dan kemarahanKu kepada si celaka dan terkutuk iblis. Maka rasakan kepadanyakepedihan maut yang telah dirasakan oleh orang yang terdahulu hingga terakhir dari jin dan manusia, berlipat-lipat ganda, dan hendaknya kamu membawa tujuh puluh ribu malaikat yang kesemuanya penuh rasa murka dan kecemasan, dan tiap malaikat Zabaniyah membawa rantai dari neraka Ladha, dan cabutlah dengan tujuh puluh ribu bantolan dari neraka Ladha, dan beritakan pada malaikat Malik supaya membuka pintu-pintu neraka”.

Maka turunlah malaikat Izrail dengan bentuk yang sangat mengerikan, sehingga andai kata seluruh penduduk langit dan bumi dapat melihat bentuk yang mengerikan itu niscaya akan cair kesemuanya kerana tersangat ngeri akan keadaan bentuknya.

Maka apabila sampai kepada iblis laknatullah dan dibentaknya sekali sahaja, langsung ia pengsan dan berdengkur dan andaikan dengkur itu dapat didengari oleh penduduk timur hingga barat, niscaya pengsanlah kesemuanya.

Setelah sedar iblis laknatullah, lalu malaikat Izrail pun membentak iblis laknatullah sekali lagi: “Berhentilah hai penjahat!!!, kini aku rasakan padamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh banyaknya hitungan orang yang telah engkau sesatkan dalam beberapa abad yang engkau hidup, dan hari inilah hari yang ditentukan oleh Tuhan bagimu, maka ke manakah engkau akan lari!!”

Maka larilah iblis laknatullah dalam ketakutan ke hujung timur, tiba-tiba malaikat Izrail muncul di hadapannya. Lalu iblis laknatullah pun menyelam ke dalam laut, namun malaikat Izrail tetap muncul di hadapannya, lantas ia dilemparkan oleh laut, maka ia berlari keliling bumi, namun tetap tidak ada tempat untuknya berlindung.

Kemudian iblis laknatullah berdiri di tengah dunia di kubur nabi Adam AS sambil berkata: “Keranamu aku telah menjadi celaka, duhai sekiranya aku tidak dijadikan”.

Lalu ia bertanya pada malaikat Izrail: “Minuman apakah yang akan kau berikan padaku dan dengan siksa apakah yang akan kau timpakan kepadaku?”

Malaikat Izrail pun menjawab: “Dengan minuman dari neraka Ladha dan serupa dengan siksa ahli neraka dan berlipat-lipat ganda”, maka bergulingan iblis laknatullah di tanah sambil menjerit sekeras suaranya, kemudian berlari ketakutan dari barat ke timur dan patah balik dari timur ke barat dan sampai ke tempat mula-mula ia diturunkan ke muka bumi ini.

Maka malaikat Zabaniyah AS pun menghadang iblis laknatullah dengan bantolan-bantolan dari neraka Ladha. Bumi ini bagaikan bara api, sedang iblis laknatullah dikerumuni oleh malaikat Zabaniyah dan menikamnya dengan bantolan-bantolan dari neraka itu.

Tatkala iblis laknatullah mula merasai sakratul maut maka dipanggil nabi Adam AS dan Siti Hawa untuk melihat keadaan iblis laknatullah itu, maka bangkitlah keduanya untuk menyaksikannya.

Sesudah melihat, maka keduanya berdoa: “Ya Tuhan kami, sungguh engkau telah menyempurnakan nikmatMu pada kami”.

Betapa Hinanya Iblis Ketika Hampir Dicabut Nyawa

nfo Agama. Setelah sangkakala terakhir ditiup, semua penduduk dunia pun mati. Lalu Allah menitahkan malaikat Izrail turun ke bumi untuk mencabut nyawa iblis laknatullah. Maka turunlah Izrail dengan rupa yang amat menggerikan.

Gambar hiasan

Apabila Izrail sampai kepada iblis, Izrail terus mengherdiknya. Iblis terus pengsan. Sebaik tersedar, malaikat Izrail pun membentak iblis sekali lagi.

"Kini aku rasakan kepadamu kepedihan maut sebagaimana dirasakan oleh kebanyakan orang yang telah engkau sesatkan seluruh abad sepanjang engkau hidup. Inilah hari kematianmu! Ke manakah engkau hendak lari lagi wahai iblis?", herdik Izrail.

Maka larilah iblis kerana ketakutan yang teramat sangat sampai kehujung timur dunia. Sekelip mata sahaja Izrail muncul di hadapannya. Iblis cuba melarikan diri dengan menyelam ke dasar laut.

Namun Izrail dengan sekelip mata dapat mengejarnya. Iblis lari pula dengan mengelilingi bumi. Namun Izrail tetap juga dapat menemuinya.

Akhirnya, iblis kepenatan dan berputus asa. Lalu iblis lari mendapatkan kubur Nabi Adam a.s.

"Wahai Adam! Disebabkan engkaulah aku dilaknat Allah dan dihalau dari Syurga. Aduhai sekiranya aku tidak pernah diciptakan... alangkah baiknya", ratap iblis sambil disaksikan Izrail yang sudah bersedia untuk mencabut nyawa iblis.

Iblis bertanya kepada Izrail: "Apakah minuman dan seksaan yang akan dikenakan kepadaku?".

Izrail menjawab dengan suara bagaikan halilintar: "Engkau akan diberi minuman daripada neraka Ladha. Diseksa dengan seksaan berlipat kali ganda daripada ahli neraka lain yang telah engkau sesatkan!".

Iblis terlalu takut hingga bergulingan dan meraung sekuat-kuatnya. Kemudian iblis kehilangan punca akibat ketakutan yang teramat sangat sehinggakan iblis lari berulang-alik dari Timur ke Barat.

Turunlah malaikat Zabaniyyah yang bertanggungjawab menjaga neraka untuk membantu Izrail. Zabaniyyah pun menghalang iblis dengan tombak-tombak berapi dari neraka Ladha. Selepas itu tubuh iblis ditikam dengan tombak berapi dari serata arah.

Tersungkurlah iblis dalam keadaan sakaratulmaut. Kemudian datanglah Adam a.s. dan Siti Hawa untuk melihat sendiri keadaan iblis yang pernah menyesatkan mereka dan menyebabkan Allah mengeluarkan dari Syurga.

Setelah mendapati iblis dalam keadaan nazak, Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa pun berdoa kepada Allah: "Ya Allah Ya Tuhan kami. Sesungguhnya dikau telah menyempurnakan nikmat-Mu kepada kami!".

-SENTIASAPANAS.COM

No comments: