اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ:
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Bayu Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
Pasak Kehidupan
Bumi semakin tua!
Itulah reaksi spontan banyak pihak apabila berlakunya gempa bumi kuat yang melanda negara Jepun 3 tahun lalu. Gempa yang kuat turut diikuti oleh ombak tsunami yang membadai muka bumi Jepun. Yang paling gempar ialah apabila kebocoran reaktor nuklear kesan daripada gempa dan tsunami tersebut.
Apabila semakin tua, kekuatan makin berkurangan, kelemahan mengambil tempat dan terdedahlah kepada kesakitan. Begitulah gambaran bumi. Tambahan pula apabila pasak bumi dimusnahkan, bukit bukau ditarah, gunung-ganang diratakan dan pelbagai lagi kerosakan lain yang mengakibatkan bencana demi bencana di atas muka bumi ini.
Namun bagaimana pula jika pasak kehidupan diabaikan? Apakah pasak kehidupan itu? Apakah kesannya sekiranya manusia mengabaikan pasak kehidupan?
Empat Pasak
Jika bumi boleh bergoncang apabila pasaknya semakin lemah, maka begitu jugalah dengan kehidupan manusia, akan dilanda badai dan gelombang. Buktinya, betapa saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai berita dan cerita kebobrokan sosial, akhlak dan moral masyarakat. Krisis demi krisis datang dan pergi. Masalah kehidupan seakan tiada penghujungnya.
Jadi kita perlu kukuhkan kembali pasak kehidupan kita, agar kehidupan ini dapat dijalani tanpa banyak goncangan, kegelinciran dan kemusnahan. Menjaga pasak kehidupan membantu kita menghadapi badai kehidupan dengan penuh utuh dan kukuh.
Para salasussoleh pernah berpesan, agar kita menjaga empat perkara sebagai pasak kehidupan iaitu zikrullah, muzakarah, ilmu dan mahabbah. Empat perkara kehidupan ini jika dibalut dengan adab dan akhlak akan menjadi pelindung jitu kepada kehidupan kita.
Hati Yang Stabil
Zikrullah adalah keterikatan seorang hamba dengan Allah SWT, penawar penyakit hati, malah mendatangkan ketenangan dan kemantapan hati. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:-
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (surah ar-Rad 13:28)
‘Itmi’nan’ adalah stabil, tidak bergoncang, tidak bergelora dan bergolak. Hati yang tenang adalah puncak kebahagiaan hidup seseorang kerana ketenangan hati tidak dapat dijual beli sama sekali. Tiada harga yang dapat membeli ketenangan kerana ketenangan itu hanya ada pada hati yang berzikir.
Lemah zikir akan mendedahkan kita kepada gelora dan pergolakan hati. Hati akan mudah marah, kecewa, geram, sedih, pilu, hiba, lemah dan mengalah. Kelemahan jiwa inilah yang menjadi punca penderitaan hidup. Seseorang yang hilang ketenangan hati seolah-olah telah hilang erti kehidupannya. Apabila hilang kebahagiaan di jiwa, ia tidak akan dapat dikutip kembali melainkan dengan jalan zikir kepada Allah SWT.
Pasak kedua adalah muzakarah. Muzakarah bererti menghadiri majlis-majlis ilmu dan saling berkongsi ilmu dengan guru dan rakan sepengajian. Muzakarah akan memantapkan kefahaman dan dasar pengetahuan seseorang. Dengan muzakarah, kekeliruan dan kejahilan akan hilang, malah kejituan fikrah dan fahaman akan diperolehi. Akal dan fikiran yang terasuh dengan muzakarah, akan lebih mantap dan stabil dalam menhadapi cabaran pelbagai cara dan corak pemikiran dan fikrah dalam jahilian zaman moden kini.
Ilmu Dan Mahabbah
Pasak ketiga ialah ilmu. Ilmu adalah penyuluh kehidupan. Ilmu juga memantapkan pendirian seseorang. Seseorang yang berilmu, tidak akan mudah ditipu atau dikelirukan serta dapat menilai benar atau salah sesuatu perkara. Ilmu menjadi panduan hidup.
Pasak keempat adalah mahabbah. Mahabbah adalah ikatan kasih sayang yang murni dan tulus. Kasih sayang adalah pengikat jiwa. Jiwa yang ada mahabbah terhadap Allah SWT pasti akan terikat dengan aturan dan perintah Allah SWT. Begitu juga mahabbah terhadap Nabi Muhammad SAW akan menjadikan Baginda SAW qudwah dan kekasih kita.
Manakala mahabbah antara suami dan isteri pula adalah ikatan yang melangsungkan rumah tangga berkekalan ke akhir hayat. Hidup yang dinaungi mahabbah akan menjadikan jiwa lebih tenang dan tenteram serta jauh daripada sifat cemburu, curiga dan kecurangan. Mahabbah adalah ubat penenang yang kita perlukan dalam berinteraksi dengan insan yang lain. Mahabbah dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah kemuncak cita-cita kehidupan kita di dunia.
Marilah kita mengukuhkan pasak kehidupan kita agar hidup kita kekal aman dan damai. Kehidupan aman damai adalah kebahagiaan yang didambakan oleh kita semua. Apabila lemah pasak kehidupan, kita bakal berdepan dengan cabaran hidup, tanpa bekal ilmu secukupnya. Hidup akan sumbang tanpa muzakarah dengan guru dan rakan-rakan. Jiwa akan gelisah tanpa zikir membasahi lidah dan hati. Mahabbah terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah tonggak segala-galanya.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment