اَلسَلامُ عَلَيْكُم وَرَحْمَةُ اَللهِ وَبَرَكاتُهُ
3X سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقَهِ وَرِضَى نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Sesungguhnya Aku berniat kerana اللهَ
Tugasan gerak organ-organ tubuh badanKu kepada اللهَ
Daku Niatkan Tasbih anggota-anggota organ tubuhku buat اللهَ.
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Ku serahkan seluruh kehidupanku kebergantungan sepenuhnya KepadaMu Ya اللهَ
Kerdipan Mataku berIstighfar Astaghfirullah (أسْتَغْفِرُاللهَ)
Hatiku berdetik disetiap saat menyebut Subhanallah (سُبْحَانَ اللَّهِ)
Denyutan Nadiku dengan Alhamdulillah (الْحَمْدُ لِلَّهِ)
Degupan Jantongku bertasbih LA ILAHA ILLALLAH (لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱلله)
Hela Turun Naik Nafasku berzikir Allāhu akbar (اللَّهُ أَكْبَرُ)
الْحَمْدُ لِلَّهِ syukur kepada وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّ ...اللهَ
SURAH
AL-FATIHAH :
Persoalan
Hukum Membacanya
(Dengan nama Allah, Segala
puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Kesempurnaan membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang
sangatlah dituntut kerana ianya adalah salah satu daripada rukun yang wajib
dalam sembahyang.
Surah ini sangat mulia sehingga dikatakan bahawa seluruh
ilmu-ilmu al-Qur’an, iaitu tauhid, ibadah, nasihat serta peringatan terkandung
dalam surah yang pendek ini. Antara kemuliaannya lagi ialah Allah Subhanahu
wa Ta‘ala membahagikan surah ini
kepada dua bahagian; satu bahagian untukNya dan satu bahagian lagi untuk
hambaNya, begitu juga ibadah sembahyang tidak akan diterima tanpanya.
Memandangkan surah al-Fatihah ini
mudah dihafal dan dibaca, adakalanya faktor inilah yang mengakibatkan
sebilangan orang memandang ringan akan kesempurnaannya lalu membacanya tanpa
berguru atau didengarkan kepada orang yang dapat memimpinnya sebagai bacaan
yang betul.
Kerana pentingnya perkara ini, kita
akan cuba mengupas mengenai pembacaan surah al-Fatihah dalam sembahyang sebagai
panduan untuk kita semua.
Hukum Membaca Surah Al-Fatihah Dalam
Sembahyang
Ulama mazhab asy-Syafi‘e berpendapat
bahawa membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat hukumnya adalah wajib ke
atas orang yang bersembahyang sama ada imam, munfarid (orang yang
sembahyang sendiri) mahupun makmum menurut pendapat yang paling shahih, sama
ada dalam sembahyang sirriyah (sembahyang yang bacaannya dibaca secara
perlahan) mahupun sembahyang jahriyyah (sembahyang yang bacaannya dibaca
secara nyaring).
Adapun bagi orang yang masbuk pula,
hukumnya tetap wajib baginya membaca al-Fatihah sekadar apa yang sempat
dibacanya sebelum imam rukuk. Akan tetapi jika imam sudah rukuk, maka tidaklah
perlu baginya untuk membaca surah al-Fatihah lagi, kerana bacaan surah
al-Fatihah tersebut ditanggung oleh imam dan dikira baginya rakaat tersebut
sebagai satu rakaat, dengan syarat makmum yang masbuk itu mestilah sempat thuma’ninah
bersama imam ketika rukuk.
Bacaan surah al-Fatihah bagi makmum
juga ditanggung oleh imam jika sekiranya makmum itu tidak mempunyai kesempatan
membacanya ataupun tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskannya semasa
qiyam imam (sebelum imam rukuk), sama ada kerana bacaan atau
pergerakannya yang lambat, misalnya ketika bangun dari sujud, imam sudahpun
rukuk kembali kerana pergerakan makmum yang lambat, ataupun terlupa bahawa dia
sedang bersembahyang atau ragu-ragu adakah dia sudah membacanya ataupun belum
sedangkan imam sudahpun rukuk. Maka dalam keuzuran-keuzuran seperti ini, bacaan surah
al-Fatihah tersebut ditanggung oleh imam walaupun ianya berlaku pada setiap
rakaat dalam sembahyang.
Tuntutan wajib membaca surah al-Fatihah
itu dilaksanakan sama ada dengan cara hafalan ataupun ditalkinkan
kepadanya (dibacakan kepadanya ketika dia bersembahyang, kemudian dia ikut
membacanya) ataupun membacanya dengan cara melihat mushaf, jika dia pandai
membaca. Dalam hal ini, mengadakan mushaf itu pula hukumnya adalah wajib, sama
ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib pula mengadakan
lampu, jika tempat dia bersembahyang itu gelap. Tujuannya ialah untuk
membolehkannya membaca mushaf tersebut. Jika dia enggan melaksanakan
perkara-perkara ini, sedangkan dia sebenarnya mampu, maka wajib ke atasnya
mengulang semula semua sembahyang yang dikerjakannya sepanjang keengganannya
melakukan perkara-perkara di atas.
Tegasnya, surah al-Fatihah tetap
wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, sedaya upaya yang termampu. Begitu
juga usaha-usaha yang membolehkan ianya dilaksanakan, seperti mempelajarinya,
mendapatkan mushaf mahupun menyediakan lampu adalah wajib jika ada kemampuan
untuk melakukannya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari
dan Muslim dari ‘Ubadah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam telah bersabda:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لمَ ْيَقْرَأْ
بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ.
(رواه
البخاري ومسلم)
Maksudnya: Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca
Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah).
(Hadits riwayat Imam Bukhari dan
Muslim)
Bacaan Surah Al-Fatihah Yang Sempurna
Secara umumnya, bacaan surah al-Fatihah yang sempurna itu
ialah dengan membacanya mengikut bacaan yang disepakati oleh ahli-ahli
al-Qur’an, seperti wajib mad, idgham dan hukum-hukum tajwid yang lain.
Imam al-Baijuri ada menyebutkan secara ringkas sebelas
syarat yang perlu dijaga ketika membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang,
iaitu:
1. Bacaan yang dapat didengar dengan jelas
oleh telinganya sendiri (bagi yang sihat pendengaran).
2. Membaca dengan tertib (tersusun mengikut susunan
ayat-ayatnya).
3. Membaca secara berterusan (muwalah), iaitu
bacaan yang tidak terputus-putus kecuali pada kadar untuk bernafas.
4. Menjaga segala
hurufnya, termasuk sabdunya yang empat belas. Tiga daripadanya
terdapat pada Basmalah(بِسْمِ
اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ).
5. Tidak melakukan kesilapan dalam bacaan yang boleh menukar
makna.
6. Tidak membacanya dengan bacaan yang ganjil (syadz)
yang merubah makna.
7. Tidak menukar perkataan-perkataannya.
8. Membaca setiap ayatnya termasuk Basmalahnya,
kerana ianya adalah sebahagian daripada surah al-Fatihah.
9. Membacanya dalam bahasanya yang asal iaitu bahasa Arab
dan tidak menterjemahkannya ke dalam bahasa lain, kerana jika diterjemahkan
akan hilanglah mukjizat al-Qur‘an itu.
10. Khusus bagi orang yang tidak mampu membaca surah
al-Fatihah, hendaklah membaca penggantinya dari surah-surah lain juga dalam
bahasa Arab. Lainlah halnya jika gantiannya itu terdiri daripada zikir ataupun
doa, kerana ianya boleh diterjemahkan jika tidak mampu membacanya dalam bahasa
Arab.
11. Membacanya dalam keadaan qiyam (berdiri).
Jika tidak mampu berdiri, maka hendaklah dibaca dalam keadaan duduk,
berbaring dan sebagainya.
Kaedah Bacaan Yang Disunatkan (Afdhal)
Ada beberapa kaedah bacaan yang disunatkan menurut ulama,
iaitu:-
1. Sunat waqaf pada setiap ayat, termasuk juga dalam hal ini
pada ayat Basmalah sebagaimana menurut pendapat muktamad dalam kitab
Fath al-Mu‘in.
Imam al-Bujairimi berkata: Pendapat yang muktamad ialah
sunat waqaf pada Basmalah kerana ianya adalah satu ayat yang sempurna,
dan setiap ayat yang sempurna itu disunatkan waqaf padanya.
Ini berdasarkan hadits
shahih, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam membaca dengan cara waqaf seayat demi seayat.
Ummu Salamah Radhiallahu ’anha meriwayatkan ketika
menjelaskan cara bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau
berkata:
كَانَ يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً
آيَةًً.
(رواه الإمام أحمد)
Maksudnya:
Sesungguhnya Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memutus-mutuskan
(mewaqaf) bacaannya (surah al-Fatihah) seayat demi seayat.
(Hadits
riwayat Imam Ahmad)
2.
Tidak waqaf pada ayat أَنْعَمْتَ
عَلَيْهِمْ)). Syeikh Ramli berkata dalam Kitab
an-Nihayah: Adalah sunat untuk menyambungnya dengan ayat selepasnya kerana ayat
tersebut bukanlah tempat waqaf dan bukan pula penghujung ayat.
Bagaimanapun, tidaklah merosakkan sembahyang jika waqaf
dilakukan menurut Imam asy-Syabramallisi. Jika waqaf juga pada ayat أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ)),
maka adalah lebih baik menyambungnya sahaja dengan ayat selepasnya.
3. Membaca secara tartil dan tidak terburu-buru sehingga
merosakkan bacaan. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Janganlah
engkau (wahai Muhammad) – kerana hendakkan cepat menghafaz al-Qur‘an yang
diturunkan kepadamu – menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai
dibacakan kepadamu oleh Jibril ‘alaihissalam).
Surah
al-Qiamaah : Ayat : 16))
Sebab turunnya ayat ini, menurut Ibnu ‘Abbas Radhiallahu
‘anhuma, ialah kerana sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam ketika Malaikat Jibril menurunkan wahyu kepada Baginda, Baginda
membacanya dengan cepat sehingga memberatkan dirinya sendiri.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala
lagi:
Tafsirnya: Dan
al-Qur’an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia
dengan lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.
(Surah al-Israa’:
Ayat:106)
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdul Rahman bin Syibl al-Anshari Radhiallahu ‘anhu bahawa
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
اِقْرَؤُواْ الْقُرْاَنَ وَلاَ
تَغْلُواْ فِيهِ.
(رواه
أحمد)
Maksudnya: Bacalah oleh kamu al-Qur’an, dan janganlah berlebih-lebih
padanya (membaca pantas).
(Hadits riwayat Imam Ahmad)
Membaca surah al-Fatihah dengan
tergopoh-gapah dan tidak membacanya seayat demi seayat atau membacanya tanpa
berhenti langsung, khususnya semasa sembahyang Tarawih di bulan Ramadhan tidak
memenuhi tuntutan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam.
Membaca dengan tenang seayat demi
seayat mengikut kaedah bacaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ini
pada hakikatnya, akan lebih mendatangkan kekhusyukkan, di samping memudahkan
kita untuk merenung, menghayati serta memahami maksud ayatnya satu persatu,
ataupun sekurang-kurangnya, jika tidak memahami maksud ayatnya, sebagai adab
dan tanda hormat kita terhadap Kalamullah. Ini tidak syak lagi akan
menimbulkan rasa kemanisan ibadah terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Imam Ghazali berkata: Ketahuilah
bahawa sesungguhnya bacaan secara tartil itu disunatkan bukanlah semata-mata
untuk merenung maksud ayatnya sahaja, bahkan orang-orang bukan Arab yang tidak
memahami makna ayat al-Qur’an pun disunatkan supaya membacanya secara tartil dan
tenang, kerana ini lebih menunjukkan rasa sopan dan hormat terhadap al-Qur’an,
dan akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam di dalam jiwa daripada
membacanya secara tergopoh-gapah dan tergesa-gesa.
4. Mengindah dan memerdukan suara.
Diriwayatkan daripada al-Bara’ bin ‘Aazib Radhiallahu
‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda:
زَيِّنُوا الْقُرْآنَ
بِأَصْوَاتِكُمْ.
(رواه
النسائي وإبن ماجه وأحمد)
Maksudnya: Hiasilah al-Qur‘an dengan (kemerduan) suara-suara
kamu.
(Hadits riwayat Imam an-Nasa’ie,
Ibnu Majah dan Ahmad)
Permasalahan Tertib Dalam Bacaan
Surah Al-Fatihah
1. Wajib membaca surah al-Fatihah itu secara tertib yakni
tersusun mengikut susunan bacaan yang sabit dari Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
membaca dengan tertib dan tersusun. Maka cara Baginda Shallallahu ‘alaihi
wasallam itu wajib diikut berdasarkan sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi
wasallam:
صَلُّواْ
كَمَا رَأَيْتُمُونِى أُصَلِّى.
(رواه البيهقى وإبن حبان)
Maksudnya:
Sembahyanglah kamu sepertimana kamu
melihat (cara) aku bersembahyang.
(Hadits riwayat Imam al-Baihaqi dan
Ibnu Hibban)
Jika
dengan sengaja membaca dengan tidak mengikut tertib seperti mendahulukan ayat
yang kemudian ataupun sebaliknya, maka batallah bacaan surah al-Fatihahnya itu,
kerana membaca ayat-ayatnya bukan pada tempatnya yang betul. Sembahyangnya
tidak batal jika dia isti’naf (membaca semula dari awal) surah
al-Fatihah tersebut.
Adapun
jika ianya tidak disengajakan, sebagai misal jika mendahulukan membaca (مَالِكِ يَوْمِ الدِِّينِ) dari (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ),
maka cukup baginya sekadar menyambung ayat tersebut (الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) dengan ayat selepasnya, iaitu (مَالِكِ يَوْمِ الدِِّينِ) tanpa perlu membaca semula dari awal
surah. Sementara ayat (مَالِكِ يَوْمِ الدِِّينِ) yang didahulukannya itu tadi tidak
dikira. Bagaimanapun, jika sudah jauh jarak waktu kesalahan tersebut berlaku,
maka diwajibkan isti’naf.
Adapun jika sekiranya bacaannya itu membawa kepada perubahan
makna, maka batallah sembahyangnya jika dilakukannya secara sengaja dan
dia mengetahui hukum larangan melakukannya. Jika tidak disengajakan dan
dia tidak tahu hukumnya, maka dalam hal ini bacaannya menjadi batal dan wajib isti’naf,
akan tetapi tidaklah membatalkan sembahyangnya.
2. Orang yang sudah membaca separuh daripada surah
al-Fatihah, lalu dia merasa syak adakah dia sudah membaca Basmalah
ataupun belum? Lalu diteruskannya juga bacaannya itu tanpa mengulangi Basmalah,
kemudian dia teringat setelah selesai membaca surah al-Fatihah itu bahawa dia
sudahpun membaca Basmalah, maka dalam hal ini mengikut pendapat yang awjah (paling tepat) menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami,
wajib membaca semula surah al-Fatihah dari mula hingga akhir,
termasuklah Basmalah.
3. Jika berlaku syak kemungkinan tertinggal suatu huruf
ataupun lebih setelah habis membaca keseluruhan
surah al-Fatihah dan sebelum rukuk, maka keraguan tersebut tidak dikira kerana
dia dianggap sudah membacanya dengan sempurna dan ianya dimaafkan. Berlainan
halnya jika dia ragu-ragu bahawa adakah dia sudah membaca surah al-Fatihah
ataupun belum? Jika ini berlaku, wajib atasnya isti’naf.
4. Jika berlaku syak tertinggal sebahagian ayat dari surah
al-Fatihah setelah ianya selesai dibaca, maka keraguan itu tidak dikira kerana
sudah dikira telah membacanya dengan sempurna.
Adapun jika sekiranya keraguan itu berlaku sebelum selesai
membaca surah al-Fatihah, wajib baginya isti’naf jika keraguannya
itu lama. Jika keraguannya itu tidak lama, maka cukuplah baginya sekadar
membaca kembali ayat yang diragukannya itu tadi dan kemudian menyambung kembali
bacaannya dari ayat tersebut sehingga selesai.
Bagaimanapun, jika dia ragu-ragu kemungkinan ada tertinggal
suatu ayat dari surah al-Fatihah, dan dia sendiri tidak pasti ayat yang mana
satu yang berkemungkinan tertinggal itu, maka wajib ke atasnya isti’naf.
5. Apabila orang yang membaca surah al-Fatihah dalam keadaan
khayal, lalai atau kurang tumpuan, misalnya membacanya sedangkan ketika itu dia
sedang berangan ataupun memikirkan perkara yang lain, kemudian
tersedar kembali apabila sampai pada ayat (صِرَاطَ الَّذِينَ), lalu dia tidak yakin dalam waktu
terdekat akan kesempurnaan bacaannya ketika lalai itu (keraguannya itu lama),
maka wajib atasnya isti’naf. Adapun jika dia masih yakin akan
kesempurnaan bacaannya (ketika lalainya itu) dalam masa terdekat, maka bolehlah
dia meneruskan sahaja bacaannya.
Permasalahan Muwalah
(Berturut-Turut) Dalam Bacaan Surah Al-Fatihah
Wajib muwalah dalam bacaan
kerana mengikut bacaan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan
sabda Baginda:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِى أُصَلِّي.
(رواه
البيهقى وإبن حبان)
Maksudnya: Sembahyanglah kamu sepertimana kamu melihat (cara) aku
bersembahyang.
(Hadits
riwayat Imam al-Baihaqi dan Ibnu Hibban)
Maksud muwalah ialah membaca
secara berturut-turut antara satu kalimah dengan kalimah yang lain, dan tidak
memisahkan antara keduanya kecuali dalam kadar mengambil nafas.
Adapun perkara-perkara yang boleh
memutuskan muwalah itu ialah:-
1. Sengaja diam dalam satu kadar
masa yang lama ketika membaca surah al-Fatihah sehingga dapat dirasakan bahawa
dia ingin memutuskan bacaannya, atau dapat dirasakan bahawa dia dengan rela
hatinya enggan meneruskan bacaannya, maka putuslah muwalah dan batallah
bacaannya, dan wajib atasnya isti’naf (mengulanginya).
Adapun jika sekiranya dia berniat
untuk memutuskan bacaannya, maka putuslah muwalah walaupun dia hanya
berhenti sekejap sahaja mengikut pendapat yang paling shahih dan masyhur dalam
mazhab Imam asy-Syafi‘e.
Akan tetapi, jika dia berniat untuk
memutuskan bacaannya sedangkan dia tidak melakukannya (tidak juga memutuskan
bacaannya), maka tidak terputus muwalah tersebut.
Berlainan halnya jika orang yang
diam lama kerana keuzuran, misalnya tidak tahu hukum, terlalai, gagap, banyak
bersin, batuk, menguap ataupun diam kerana mengingati ayat yang terlupa;
perkara-perkara seumpama ini tidak memutuskan muwalah.
2. Membaca tasbih, tahlil mahupun
zikir-zikir yang lain atau membaca ayat-ayat dari surah yang lain sama ada
banyak mahupun sedikit ketika membaca surah al-Fatihah. Perkara-perkara
sedemikian tidak disuruh kerana boleh memutuskan muwalah.
Umpamanya juga menyahut seruan azan
ketika membaca surah al-Fatihah, mengaminkan bacaan surah al-Fatihah yang
dibaca oleh bukan imamnya, ataupun mengucapkan "Alhamdulillah" ketika
bersin, kerana perkara ini walaupun sunat dilakukan di luar sembahyang, ianya
tidak sekali-kali diharuskan dalam sembahyang. Akan tetapi jika ianya tidak disengajakan,
misalnya kerana terlupa ataupun terlalai maka tidak terputus muwalah
sebagaimana tersebut di dalam kitab Mughni al-Muhtaj.
Adapun perkara-perkara yang disuruh
seperti mengaminkan bacaan imam, atau sujud tilawah kerana bacaan imam, atau
membetulkan bacaan imam yang terhenti bacaannya kerana terlupa, sama ada surah
al-Fatihah atau surah-surah yang lain, atau membaca doa memohon rahmat ketika
imam membaca ayat-ayat rahmat dan membaca doa memohon perlindungan ketika
dibacakan ayat-ayat azab (dalam bahasa Arab), maka menurut pendapat yang ashah
(paling shahih), tidaklah memutuskan muwalah bacaan surah al-Fatihah
itu. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah
disunatkan isti’naf sebagai mengambil kira pendapat sebahagian
ulama mazhab asy-Syafi‘e yang mengatakan bahawa perkara-perkara tersebut
termasuk juga dalam perkara-perkara yang memutuskan muwalah. Yang
demikian itu sebagai jalan keluar untuk mengelakkan dari perselisihan pendapat.
3. Membetulkan bacaan imam yang
terlupa ataupun salah bacaannya sedangkan imam tersebut belum lagi berhenti
membaca, yakni masih lagi mengulang-ulang bacaannya untuk mengingati ayat
tersebut.
Akan tetapi, mengikut Imam
asy-Syarqawi, boleh membetulkan bacaan imam yang masih lagi mengulang-ulang
bacaannya jika telah sempit waktu (waktu sembahyang hampir habis).
Perlu diingat juga di sini bahawa
untuk membetulkan bacaan imam, selain disyaratkan supaya memastikan imam sudah
berhenti membaca, disyaratkan juga ketika membetulkan itu supaya berniat qiraah
(membaca al-Qur’an) semata-mata, ataupun berniat qiraah dan membetulkan
bacaan imam. Jika diniatkan untuk membetulkan bacaan imam semata-mata tanpa
niat qiraah maka ianya akan menyebabkan sembahyang makmum tersebut
menjadi batal sepertimana pendapat muktamad dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.
Permasalahan Ta’min Selepas
Bacaan Surah Al-Fatihah
1. Ta’min ialah mengucapkan آمين)) setelah selesai
membaca surah al-Fatihah. Hukumnya adalah sunat ke atas setiap orang yang
bersembahyang setelah selesai membaca surah al-Fatihah sama ada imam, makmum, munfarid,
lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang yang bersembahyang dengan cara berdiri,
orang yang bersembahyang dengan cara duduk, orang yang sembahyang dengan cara
berbaring, orang yang bersembahyang fardhu, orang yang bersembahyang sunat,
dalam sembahyang jahriyyah mahupun dalam sembahyang sirriyyah
tanpa perselisihan pendapat antara ulama mazhab asy-Syafi‘e. Ta’min
juga sunat ke atas orang yang telah selesai membaca surah al-Fatihah di luar
sembahyang. Bagaimanapun, menurut Imam al-Wahidi, tuntutannya dalam sembahyang
adalah lebih utama.
Ini berdasarkan hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah Radhiallahu
‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda:
إِذَا قَالَ الإِمَامُ )غَيْرِ
الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ( فَقُولُواْ: آمِين. فَمَنْ وَافَقَ قَوْلُهُ
قَوْلَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.
(رواه
البخاري)
Maksudnya:
Apabila imam
membaca (غَيْرِ
الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ)
maka katakanlah: “Amin”. Maka sesiapa yang bertepatan ta’minnya
dengan ta’min Malaikat, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.
(Hadits
riwayat Imam Bukhari)
2.
Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, sunat diam sekejap (dalam kadar
kira-kira membaca Subhanallah) sebelum berta’min. Tujuannya
supaya membezakan surah al-Fatihah dengan perkataan "Amin", kerana
ianya bukanlah sebahagian daripada surah tersebut.
3. Jika sembahyang yang dikerjakan itu ialah sembahyang jahriyyah,
maka bacaan ta’min pun dibaca secara jahr sebagaimana bacaan
surah al-Fatihahnya dibaca secara jahr. Begitu juga sebaliknya bagi
sembahyang sirriyyah, bacaan ta’min akan dibaca secara sirr,
sama ada bagi imam ataupun makmum.
4. Makmum sunat menta’minkan bacaan surah al-Fatihah imam
dalam sembahyang jahriyyah sungguhpun imam itu sendiri tidak menta’minkannya,
sama ada dia sengaja meninggalkannya ataupun terlupa, supaya imam itu terdengar
lalu turut menta’minkannya.
5. Sunat ta’min makmum serentak dengan ta’min
imam, supaya ta’min mereka itu bersamaan (satu masa yang sama) dan
bertepatan dengan ta’min malaikat, kerana para malaikat ketika itu turut
sama berta’min bersama imam.
Imam Bukhari meriwayatkan dalam shahihnya daripada Abu
Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda:
إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ
فَأَمِّنُواْ، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلاَئِكَةِ
غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.
(رواه
البخاري)
Maksudnya: Apabila
imam berta’min, maka berta’minlah kamu, kerana sesungguhnya para malaikat turut
sama berta’min bersama ta’min imam itu. Maka sesiapa yang bertepatan (masa)
ta’minnya itu dengan ta’min para malaikat, nescaya akan diampunkan baginya
dosa-dosanya yang telah lalu.
(Hadits
riwayat Imam Bukhari)
6.
Jika makmum membaca surah al-Fatihah bersama-sama imam, misalnya kerana makmum
tersebut tahu bahawa imam tidak akan membaca surah selepas membaca surah
al-Fatihah, atau hanya akan membaca surah yang pendek dan khuatir tidak akan
sempat menghabiskan surah al-Fatihah, maka jika makmum tersebut lebih dulu
selesai membaca surah al-Fatihah, mengikut pendapat yang terpilih dalam mazhab
asy-Syafi‘e hendaklah dia menta’minkan bacaan surah al-Fatihahnya
terlebih dahulu kemudian berta’min sekali lagi setelah imam
selesai membaca surah al-Fatihah.
Imam as-Sarkhasi di dalam kitab al-Amali menyebutkan: Jika
seorang makmum itu berta’min bersama imam, kemudian makmum itu membaca
surah al-Fatihah, maka hendaklah makmum tersebut menta’minkan lagi
bacaan surah al-Fatihahnya sendiri. Dan jika makmum itu membaca surah
al-Fatihah bersama imam dan habis membaca bersama-samanya, maka adalah memadai
baginya untuk berta’min sekali sahaja.
7. Sunat bagi imam supaya diam sebentar (saktah lathifah)
setelah ta’min ketika sembahyang jahriyyah dalam kadar kira-kira
memberi peluang kepada makmum untuk menghabiskan bacaan surah al-Fatihah
mereka. Diam di sini bukanlah bermaksud diam semata-mata, akan tetapi
disunatkan bagi imam pada waktu tersebut untuk membaca zikir, doa ataupun
membaca ayat-ayat al-Qur’an secara sirr. Tersebut di dalam kitab Mughni
al-Muhtaj dan Fath al-Mu‘in, adalah lebih awla (lebih utama) bagi imam
ketika saktah lathifah itu supaya membaca ayat-ayat al-Qur’an (secara sirr).
8. Untuk menta’minkan bacaan imam dalam sembahyang jahriyyah,
makmum disyaratkan supaya dapat mendengar bacaan surah al-Fatihah imam dengan
bunyi suara yang jelas, iaitu sekira-kira dapat makmum itu membezakan
huruf-huruf yang dibacakan oleh imam, bukannya semata-mata mengikut ta’min
imam. Dan memadai bagi makmum dalam hal ini untuk mendengar imam membaca (وَلاَ الضَّالِّينَ) sahaja,
tidak disyaratkan mendengar keseluruhan bacaan surah al-Fatihah imam.
9. Ta’min akan dikira luput
jika dengan sengaja diam melebihi dari kadar yang disunatkan
selepas (وَلاَ
الضَّالِّينَ), iaitu dalam
kadar kira-kira dirasakan putus nisbah (hubungan) ta’min dengan surah
al-Fatihah.
Ta’min juga
luput sekiranya orang yang bersembahyang itu rukuk, atau membaca sesuatu yang
lain selepas (وَلاَ
الضَّالِّينَ) walaupun secara tidak sengaja sungguhpun sedikit.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami mengecualikan dalam hal ini jika
orang itu membaca (رَبِّ
اغْفِرْلِي) selepas (وَلاَ
الضَّالِّينَ) sebelum ta’min, kerana
pernah dikhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
membaca (رَبِّ
اغْفِرْلِي) setelah (وَلاَ الضَّالِّينَ),
dan sebelum ta’min.
Kesalahan-Kesalahan Pada Huruf
Dan Baris Surah al-Fatihah
Imam as-Sayyid Muhammad Abdullah
al-Jurdani, iaitu pengarang kitab Fath al-‘Allam ada menyebutkan permasalahan
ini dalam kitabnya, beliau berkata:
·
Jika menggugurkan satu huruf dari
surah al-Fatihah, misalnya membaca (إِيَّاكَ نَعْبُدُ إِيَّاكَ نَسْتَعِينَ)
dengan menggugurkan huruf (و)
·
Atau menghilangkan sabdu, misalnya
membaca (إِياَكَ)
·
Atau menukarkan dengan huruf yang
lain, misalnya menggantikan (الَّذِينَ) dengan (الَّدِينَ)
·
Atau menggantikan (اَلَْحَمْدُ لِلَّهِ) dengan (اَلْهَمْدُ لِلَّهِ)
·
Atau membaca (الضَّالِّينَ)
dengan (الظَّالِّينَ)
·
Atau membaca (أَنْعَمْتَ) dengan (أَنْأَمْتَ)
·
Atau membaca (الْمُسْتَقِيمَ)
dengan (الْمُسْتَئِيمَ) atau (الْمُسْتَقِينَ)
·
Atau membaca (نَسْتَعِينَ)
dengan (نَثْتَعِينَ) – maka batallah sembahyangnya jika orang
tersebut sengaja dan mengetahui akan hukumnya.
Adapun jika ianya tidak disengajakan,
maka batallah bacaannya pada kalimah tersebut, dan wajiblah ke atasnya sebelum
rukuk untuk membetulkan bacaannya itu tadi, kemudian menyempurnakannnya jika
belum lama waktu kesalahan itu berlaku. Jika sudah lama, maka wajib atasnya isti’naf
(mengulangi semula bacaannya dari awal surah al-Fatihah).
Jika dia sengaja rukuk sedangkan dia
tahu hukumnya bahawa dia wajib memperbetulkan bacaannya sebelum rukuk, maka
batallah sembahyangnya. Adapun jika dia tidak sengaja rukuk misalnya kerana
terlupa ataupun tidak tahu hukumnya, maka rakaatnya itu tadi tidak dikira.
Jika menukar baris sehingga tertukar
makna kalimah tersebut, misalnya membaca (إِيَّاكِ) atau (أَنْعَمْتُ)
atau (أَنْعَمْتِ),
maka batallah sembahyangnya jika disengajakan dan tahu akan hukumnya.
Adapun jika tidak disengajakan, maka
batallah bacaannya pada kalimah tersebut, maka wajib atasnya mengulangi bacaan
tersebut sebelum rukuk selama mana jarak masanya masih lagi hampir. Jika
jaraknya sudah jauh, maka wajib atasnya isti’naf. Jika sengaja tidak
mahu memperbetulkannya sebelum rukuk sedangkan dia tahu hukum memperbetulkan
bacaannya itu wajib sebelum rukuk, maka batallah sembahyangnya sepertimana permasalahan
di atas.
Dalam masalah melakukan kesalahan
dalam bacaan yang membawa kepada perubahan makna ini, menurut pendapat Imam
Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan sujud sahwi jika ianya tidak disengajakan.
Ini kerana setiap kesalahan yang jika disengajakan boleh membatalkan
sembahyang, tetapi dilakukan secara tidak sengaja, maka adalah disunatkan untuk
melakukan sujud sahwi.
Manakala jika perubahan baris itu
tidak membawa kepada perubahan makna, misalnya membaca (لِلَّهُ)
atau (نَعْبِدُ)
maka tidaklah sekali-kali ianya membatalkan sembahyang, akan tetapi haram
hukumnya jika disengajakan dan tahu akan hukumnya.
Semua permasalahan ini adalah bagi mereka yang pada asalnya mampu
membaca dengan betul.
Adapun bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk
membacanya dengan betul dan tidak pula mampu mempelajarinya, maka sembahyang
mereka tetap sah dan tidak menjadi haram bagi mereka membaca sedemikian
rupa.
Hukum Jika Tidak Pandai Membaca Surah al-Fatihah
Telahpun disentuh di awal-awal
lagi bahawa surah al-Fatihah wajib dibaca sama ada melalui hafalan, mahupun ditalkinkan
kepadanya ataupun dengan cara melihat mushaf, dan wajib mengadakan mushaf itu
sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib pula
menyediakan lampu jika tempat dia bersembahyang itu gelap bagi membolehkannya
membaca mushaf tersebut.
Pendek kata surah al-Fatihah tetap
wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, disertai juga segala usaha yang
membolehkannya membaca surah al-Fatihah itu dengan seberapa mampu yang boleh.
Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk melakukan
perkara-perkara di atas, Islam telah memberikan kelonggaran ke atas mereka ini
untuk menggantikan surah al-Fatihah itu dengan bacaan-bacaan lain.
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran.
(Surah al-Baqarah: Ayat: 185)
Dalam hal ini, para ulama telahpun
menyebutkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengannya seperti berikut:-
1. Jika orang tersebut boleh membaca
ayat-ayat al-Qur’an yang lain selain surah al-Fatihah, maka bolehlah ia
dijadikan sebagai pengganti surah al-Fatihah. Dengan syarat ianya mestilah sekurang-kurangnya
tujuh ayat ataupun lebih baik lapan ayat menurut Imam asy-Syafi’e
sepertimana yang telah dinukilkan daripadanya oleh Imam al-Mawardi. Dan
huruf-hurufnya pula mestilah tidak kurang daripada huruf-huruf surah
al-Fatihah, iaitu tidak kurang dari seratus lima puluh enam huruf.
Tidak disyaratkan setiap huruf pada
ayatnya menyerupai jumlah setiap huruf pada ayat-ayat surah al-Fatihah, bahkan
adalah memadai sebagai syarat bahawa ianya adalah sekurang-kurangnya tujuh ayat
dan huruf-hurufnya secara keseluruhannya tidak kurang dari huruf-huruf surah
al-Fatihah dengan mengambil perhatian bahawa setiap huruf yang bersabdu dalam
surah al-Fatihah itu dikirakan sebagai dua huruf.
Ayat-ayat pengganti dari
al-Qur’an ini, menurut Imam an-Nawawi, boleh dibaca sama ada secara tersusun
dalam satu surah, ataupun dibaca bercerai-cerai dari satu ataupun beberapa buah
surah yang berlainan, sama ada makna ayat-ayat tersebut ada kaitan antara satu
dengan yang lain ataupun tidak, sungguhpun orang itu hafal secara tersusun
dalam satu surah.
Walau bagaimanapun, Imam Ibnu Hajar
al-Haitami berpendapat, jika ianya dibaca secara bercerai-cerai dengan tidak
tersusun makna, orang itu mestilah berniat dengan niat qiraah
(membaca al-Qur’an) ketika membaca ayat yang bercerai-cerai itu kerana bacaan
yang seumpama itu tidak dinamakan al-Qur’an jika dilafazkan semata-mata tanpa
niat qiraah.
2. Jika langsung tidak boleh membaca
mana-mana ayat daripada al-Qur’an, maka bolehlah orang itu menggantikannya
dengan tujuh macam zikir sebagai ganti tujuh ayat surah al-Fatihah berdasarkan
hadits yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ: إِنِّي لاَ أَسْتَطِيعُ أَنْ آخَذُ مِنَ
القُرْآنِ شَيْئًا ، فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئُنِي مِنهُ ، قَالَ: قُلْ: سُبْحَانَ
اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ
، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ.
(رواه
أبو داود وأحمد)
Maksudnya:
Telah
datang seseorang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu beliau berkata
kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesungguhnya aku tidak
mampu mempelajari sesuatupun daripada al-Qur’an, maka ajarkanlah aku (bacaan)
apa yang memadai bagiku (selain) daripada al-Qur’an.
Lalu
Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menjawab: Bacalah:
(سُبْحَانَ اللَّهِ ، وَالحَمْدُ لِلَّهِ ، وَلاَ إِلٰهَ
إِلاَّ اللَّهُ ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ ، وَلاَ حَوْلَ
وَلاَ قُوَّةَ
إِلاَّ بِاللَّه الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ).
(Maha suci Allah, dan segala puji hanya
bagi Allah, dan tiada tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar, dan tiada
daya serta tiada kekuatan kecuali dengan (keupayaan dan kekuatan) Allah yang
Maha Tinggi lagi Maha Besar).
(Hadits riwayat Imam Abu Daud dan
Ahmad)
Dalam hadits di atas, Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada orang tersebut lima macam zikir,
dan ditambahkan lagi oleh ulama sebagai mencukupi syarat tujuh macam zikir itu
dengan dua macam zikir lagi, iaitu:-
(مَا
شَاءَ اللهُ كَانَ)1.
Maksudnya: Segala apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku.
(وَمَا لَمْ يَشَأْ لَمْ يَكُنْ)2.
Maksudnya: Dan segala apa yang tidak dikehendakiNya, tidak akan
berlaku.
Walau bagaimanapun, menurut pendapat
yang ashah (paling shahih), tidaklah ditentukan mana-mana zikir untuk
dibaca sebagai badal (ganti) surah al-Fatihah itu. Adalah memadai
sebagai syarat dengan memilih mana-mana tujuh macam zikir dan mengulanginya
atau menambahnya dengan zikir-zikir lain sehingga huruf-hurufnya mencukupi
kadar huruf surah al-Fatihah.
Selain zikir, boleh juga surah al-Fatihah tersebut
digantikan dengan doa. Imam Nawawi berpendapat bahawa doa tersebut mestilah
(wajib) doa-doa ukhrawi (yang berkaitan dengan urusan akhirat), misalnya
memohon syurga, keampunan, keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dan sebagainya dalam bahasa Arab sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar
huruf-huruf surah al-Fatihah. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab,
maka bolehlah diterjemahkan doa tersebut ke mana-mana bahasa yang dikuasainya.
Jika orang tersebut tidak juga
pandai membaca terjemahan doa ukhrawi, maka bolehlah membaca doa-doa duniawi
(yang berkaitan dengan urusan keduniaan), misalnya memohon keselamatan dan
sebagainya dalam bahasa Arab. Jika tidak pandai membacanya dalam bahasa Arab,
maka bolehlah ianya dibaca dalam mana-mana bahasa yang dikuasainya sehingga
huruf-hurufnya mencukupi kadar huruf-huruf surah al-Fatihah.
Selain dibolehkan memilih antara
zikir ataupun doa ini, dibolehkan juga untuk mencampurkan keduanya sepertimana
yang dinukilkan dalam kitab Tuhfah al-Habib karangan Syeikh Sulaiman
al-Bujairimi.
3. Sungguhpun ada keringanan untuk
membaca terjemahan badal dari zikir dan doa dalam sembahyang jika tidak
pandai membacanya dalam bahasa Arab, perlu diingat di sini bahawa al-Qur’an
tidak boleh sekali-kali diterjemahkan ke dalam bahasa lain dalam
sembahyang. Ini kerana turunnya al-Qur’an itu dalam bahasa Arab serta
keindahan lafaz ayat serta susunannya adalah merupakan satu mukjizat. Maka
menterjemahkannya ke dalam bahasa lain akan merosakkan keindahannya dan secara
langsung akan mencacatkan, bahkan akan menghilangkan nilai kemukjizatannya itu.
Kerana itulah terjemahan al-Qur’an itu menurut Imam Khatib
asy-Syarbini, tidak lagi dinamakan al-Qur’an berdasarkan firman Allah Subhanahu
wa Ta‘ala dalam surah Yusuf: ayat:2:
Tafsirnya: Sesungguhnya
Kami menurunkan Kitab itu sebagai Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab.
(Surah Yusuf : Ayat:2)
4. Tidak
disyaratkan untuk berniat ketika membaca badal dari zikir mahupun doa
ini, akan tetapi jika ingin berniat juga maka tidak dibolehkan berniat selain
daripada meniatkan bahawa badal tersebut adalah sebagai pengganti bacaan
surah al-Fatihah semata-mata.
5. Sekiranya orang tersebut mampu
membaca sebahagian ayat surah al- Fatihah, maka tidak memadai baginya
mengulang-ulang ayat dari surah al-Fatihah yang dia tahu itu selagi mana dia
tahu membaca badal lain, sama ada dari al-Qur’an, zikir mahupun doa.
Akan tetapi, diberikan kepadanya
keringanan untuk mengulangi ayat dari surah al-Fatihah yang diketahuinya itu
sehingga huruf-hurufnya mencukupi kadar keseluruhan huruf-huruf surah
al-Fatihah jika sekiranya orang tersebut langsung tidak pandai membaca
mana-mana badal dari al-Qur’an, zikir dan doa.
6. Orang yang mampu membaca
sebahagian surah al-Fatihah dan mampu membaca badal dari al-Qur’an,
zikir ataupun doa, maka wajib baginya membaca ayat surah al-Fatihah tersebut di
tempatnya, yakni wajib membacanya secara tertib mengikut tertib susunan ayatnya.
Jika ayat surah al-Fatihah yang
diketahuinya itu adalah ayat keempat, maka wajib baginya membaca badal
sebagai ganti separuh pertama (ayat satu hingga tiga) surah al-Fatihah dahulu,
kemudian barulah membaca ayat surah al-Fatihah yang diketahuinya itu (ayat
keempat) dan kemudian membaca pula badal bagi separuh terakhir surah
al-Fatihah tersebut (ayat lima hingga tujuh).
Begitu juga halnya jika surah
al-Fatihah yang mampu dibacanya itu bercerai-cerai. Wajib baginya membaca
ayat-ayat surah al-Fatihah yang diketahuinya itu mengikut tertib susunan
ayatnya, dan wajib pula membaca badalnya tepat pada ayat surah al-Fatihah
yang dia tidak tahu membaca itu.
7. Jika sekiranya langsung tidak
pandai membaca surah al-Fatihah, dan tidak tahu pula membaca mana-mana badal
dari al-Qur’an, zikir mahupun doa, dan tidak juga pandai membaca terjemahan
zikir dan doa serta tidak berkemampuan untuk belajar, maka wajib atasnya qiyam
(berdiri) sahaja dalam kadar bacaan surah al-Fatihah, iaitu kira-kira kadar
bacaan yang sederhana.
Ini kerana bacaan surah al-Fatihah
dan berdiri ketika membacanya itu kedua-duanya wajib, maka jika tidak mampu
mengerjakan satu daripada keduanya (membaca surah al-Fatihah) tidak akan
menggugurkan kewajiban yang satu lagi iaitu berdiri.
Penutup
Kesungguhan dalam membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang
itu adalah satu perkara yang sangat penting dan wajib dijaga kerana sebarang
kesilapan yang berlaku tidak syak lagi akan menjejaskan kesempurnaan
sembahyang.
Janganlah kerana surah ini lancar di mulut ianya dibaca
secara tidak berperaturan dengan tidak menyebutkan setiap hurufnya daripada
makhrajnya yang betul, tidak memelihara tajwidnya, bahkan ada yang
menghabiskannya hanya dengan satu nafas seolah-olah tiada penghayatan dan tiada
rasa hormat terhadap al-Qur’an.
Wajiblah ke atas kita memelihara kemuliaan al-Qur’an ini,
dengan membacanya sepertimana Nabi junjungan kita Nabi Muhammad Shallallahu
’alaihi wasallam membacanya. Iaitu dengan tartil, penuh penghayatan,
memelihara tajwid serta peraturan-peraturannya seperti muwalah, tertib
dan sebagainya, di samping berusaha belajar dan memperbaiki bacaan jika tidak
mampu membacanya dengan baik dan sempurna.
Mudahan-mudahan dengan maklumat mengenai permasalahan
membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang ini akan dapat menambahkan ilmu kita
mengenai sembahyang dan sekaligus membantu kita untuk menyempurnakannya sepertimana
yang dituntut oleh syara‘ dan meningkatkan lagi kualiti peribadatan kita
terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Wallahu Alam Bishshawab.
Moga Bermanfaat.
Insya ALLAH
.........................................................


No comments:
Post a Comment