24 January 2020

MAYAT MENJADI ULAR

Assalamualaikum



MAYAT MENJADI ULAR
Kisah perjanjian dengan ular ini merupakan satu kisah yang telah dijadikan satu lagenda oleh penduduk di sekitar Hulu Sungai Pergau. Walaupun ia telah lama berlalu, namun ia masih tetap terpahat dalam setiap ingatan penduduk melalui cerita yang telah diperturunkan dari generasi ke generasi. Semoga cerita ini dapat dijadikan pedoman dan iktibar buat kita semua. Jangan kita mendekati syaitan dan memujanya kerana kelak kita akan disesatkan dan akan menerima azab seksa di dunia dan di akhirat.
Kita sebagai umat Islam seharusnya sedar bahawa menggunakan kuasa sihir, tidak kira untuk kebaikan atau kejahatan tetap dilarang dan akan dilaknati Allah SWT. Walaupun ada yang berpendapat bahawa sihir itu dibolehkan kerana ia diajarkan oleh Nabi Sulaiman a.s tetapi perkara ini jelas dinafikan Allah SWT dalam surah Al-baqarah Ayat 102 yang bermaksud :
“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan semasa kerajaan Sulaiman dan Sulaiman bukanlah orang yang tidak beriman, tetapi syaitan itu yang tidak akan dapat mereka mengajar sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan oleh Malaikat Harut Marut di negeri Babil dan kedua-duanya tidak mengajar seorang pun melainkan terlebih dahulu dikatakan; Kami hanya membawa ujian (fitnah) sebab itu janganlah kamu menjadi orang-orang yang tidak beriman (kafir) lalu mereka mempelajari dari keduanya apa yang memisahkan antara lelaki dan isterinya dan mereka tidak akan dapat mendatangkan bahaya itu melainkan dengan izin Allah”.
Kisah mayat bertukar menjadi binatang ini pernah terjadi di zaman Rasulullah saw. Ketika Rasulullah saw pergi ke masjid bersama sahabatnya dia berjumpa dengan seorang pemuda yang sedang menangis lantas baginda bertanya. Orang muda itu menjawab bahawa dia sedih kerana ayahnya meninggal dan tiada orang yang ingin memandikannya. Lalu Rasulullah s.a.w menyuruh Abu Bakar dan Umar pergi melihat mayat tersebut dan didapati mayat itu telah bertukar menjadi babi hutan.
Sekitar tahun 1930an dahulu kawasan sekitar tebing Hulu Sungai Pergau banyak ditumbuhi hutan rimba yang tebal. Persekitarannya pula dikelilingi bukit dan gua-gua batu kapur yang sangat menyeramkan. Pada ketika itu dikatakan datang seorang perompak yang sangat ganas dari Pasir Puteh lalu beliau membuka kawasan tersebut. Dia dikenali sebagai Tok Leh Ular yang merupakan seorang yang sangat ditakuti dan digeruni kerana telah banyak keganasan dan kekejaman yang telah dilakukannya.
Namun keganasannya berakhir apabila dia dapat dikalahkan oleh seorang pendekar yang handal tinggal di kawasan Jeram, Pasir Puteh. Ekoran daripada itu dia terpaksa melarikan diri dan sampai di situ. Ada juga, pendapat yang mengatakan bahawa sebelum melarikan diri dia sempat menculik salah seorang anak pembesar negeri dan kemudian dijadikan isterinya.
Di sebalik kehebatannya, terdapat satu rahsia mistik yang menjadi amalannya. Dia sebenarnya merupakan seorang pemuja ular dan dengan kekuatannya itu dia telah diberi satu kelebihan yang sangat luar biasa dan disebabkan itulah dia diberikan gelaran sebagai Tok Leh Ular. Dia dikatakan dapat menjelmakan dirinya sebagai seekor ular dan dapat menyusup masuk melalui lubang-lubang kecil pada dinding dan lantai rumah. Selepas itu barulah dia menjelma semula menjadi manusia biasa.
Kemudian dia akan mencuri atau merompak segala harta benda milik tuan punya rumah tersebut. Banyak harta benda penduduk kampung dirompaknya dan jikalau ada yang ingin menentangnya, dia akan bunuh tanpa belas kasihan. Kuasa penjelmaan itu sukar untuk dipastikan kerana dia mampu berubah wajah dalam sekelip mata. Dengan ini, jejaknya sukar dikesan melainkan mereka yang pakar sahaja.
Ketika di Pasir Puteh, kuasa penjelmaannya dapat dipatahkan oleh seorang raja bomoh ular yang merupakan seorang rakan seperguruan dengannya. Sebenarnya pada awal penglibatannya dalam ilmu kebatinan ini, ilmu yang dipelajari oleh Tok Leh adalah baik. Tiada tujuan lain hanya untuk membantu orang yang menjadi mangsa patukan sahaja. Dengan mempelajari ilmu itu, ia dapat menjadi bomoh yang mampu menyeru ular supaya datang menyedut bisa orang yang terkena patukan itu tetapi entah apa yang mempengaruhi fikirannya, suatu hari Tok Leh dikesan telah menyalahgunakan ilmu itu untuk kepentingan dirinya.
Akhirnya apabila rahsia tentang dirinya dapat dibongkarkan, dia telah diburu oleh penduduk kampung. Ini menyebabkan dia terpaksa melarikan diri jauh ke pendalaman supaya jejaknya tidak terhidu oleh sesiapa. Sesampai di Hulu Sungai Pergau, beliau membina sebuah pondok di atas tebing sungai tersebut. Anak gadis ayng dipercayai diculik itu telah dijadikan isterinya kemudian melahirkan dua orang cahaya mata iaitu Tok Mek Pah dan Salleh yang kini telah meninggal dunia.
Menurut cerita Tok Mek Pah, dia mengakui bahawa beliau masih ingat ketika dia masih kecil banyak ular datang berlingkaran di atas rumah dan menjalar-jalar di atas tubuh ayahnya. Boleh dikatakan kehidupan sehariannya hanya dikelilingi oleh ular-ular. Antara banyak-banyak ular tersebut, terdapat seekor ular yang besar dikenali sebagai Raja Ular. Ia berupa ular sawa yang sangat besar yang bernama Raja Sawa Bunga. Ia diletakkan di dalam gua yang sehingga kini masih lagi dikenali sebagai Gua Ular. Di dalam gua ini dia mampu untuk menjelmakan dirinya sama ada ular kecil atau ular yang sangat besar.
Di gua tersebut, Tok Leh akan mengadakan upacara pemujaan dengan meletakkan makanan seperti babi hutan dan kambing. Upacara ini harus dilakukan selama 40 hari sekali, jika tidak ular itu akan mengamuk dan memakan dirinya. Upacara itu akan diadakan di dalam gua dan segala permintaannya akan diletakkan di atas batu hampar di dalam gua. Ketika itulah ular tersebut akan menjelma menjadi ular kecil atau besar.
Sememangnya ilmu ini sukar untuk diterima logik akal masyarakat kita hari ini tetapi itulah hakikatnya apa yang telah berlaku. Namun kita semua perlu mengakui bahawa di zaman peralihan Islam, masyarakat kita masih banyak dipengaruhi unsur budaya pemujaan dan kepercayaan kepada amalan mistik animesma. Tuhan Maha Berkuasa segalanya, kesesatan amalan syirik kepadaNya akan dibalas dengan kematian yang tragis dan penuh kehinaan. Roh yang bangkit dari jasad Tok Leh tidak dapat ditempatkan di tempat yang sewajarnya.
Ketika ia hampir ajal Tok Leh sakit tenat selama beberapa bulan dan ketika itu dia tidak mampu lagi untuk melaksanakan upacara pemujaan yang seperti mana dalam perjanjian dengan Raja Ular tersebut. Menurut perjanjian itu, Tok Leh hendaklah melakukan upacara pemujaan tidak lebih dari 40 hari, jika tidak segala kuasanya akan hilang dan dia terpaksa menyerahkan dirinya kepada ular tersebut.
Tok Mek Pah masih ingat semasa ayahnya sakit tenat beberapa kali ular tersebut datang ke rumahnya menuntut supaya diadakan upacara pemujaan dan jika tidak dia ingin menelan Tok Leh. Ular itu datang dalam bentuk jelmaan manusia yang cukup mengerikan. Kulitnya bersisik dan kepalanya berbentuk ular tapi iras-iras manusia. Kata Raja Ular itu jika Tok Leh tidak melakukan upacara pemujaan dia akan menelan Tok Leh atau Tok Leh juga akan turut di sumpah menjadi Raja Ular.
Lalu Tok Leh menyuruh isterinya supaya pergi ke gua. Semasa isterinya pergi ke gua, beliau tidak pulang-pulang dan dipercayai telah ditelan oleh ular tersebut. Lantaran itu, tinggallah Tok Leh bersama anaknya. Beliau menderita sakit di dalam pondok itu. Azab dan seksa tidak terkira, bermacam peristiwa berlaku semasa dia menghadapi sakaratulmaut. Kadang-kadang apabila tibanya di waktu malam Tok Leh bertukar menjadi ular yang sangat besar sehingga memenuhi ruang pondok. Ada ketikanya pula Tok Leh meraung-raung apabila terdapat banyak ular-ular yang keluar dari mulut dan hidungnya. Ular-ular tersebut mengigit-gigit tubuhnya dan kadang-kadang tubuhnya bertukar menjadi ular yang separuh badannya manusia. Bayangkanlah bertapa perit dan seksanya ketika dia menghadapi sakaratulmaut.
Apa yang menyedihkan lagi, di saat ulat itu dikatakan datang kembali untuk menuntut janji namun niatnya dihalang oleh anaknya Salleh. Salleh memberi kesanggupan bahawa dia akan pergi meneruskan upacara pemujaan tersebut. Apabila Salleh memberi kesanggupan tersebut barulah ular itu  beredar kembali ke gua. Akhirnya Tok Leh meninggal dunia dan Salleh mengkebumikan mayat ayahnya di tepi sungai.
Ular itu dikatakan menunggu di atas kubur Tok Leh selama tujuh hari tujuh malam dan apabila masuk hari yang kelapan, didapati ada sebuah lubang pada kubur ayahnya. Lantas dia pergi menggali semula kubur ayahnya dan didapati mayat sudah tiada lagi. Dia yakin bahawa Raja Ular telah memakan mayat ayahnya. Sejurus selepas itu Tok Mek Pah didatangi sebuah mimpi bahawa ayahnya datang kembali berjumpa dengannya dan memberikan pesan agar di antara mereka dua beradik mesti ada yang harus memberi kesanggupan untuk meneruskan upacara tersebut, jika tidak keturunannya akan menjadi mangsa Raja Ular tersebut.





🕋🇲🇾💜❤💘💝🖤❣💟💞❤💜💓💛💕💚💖💙💗🕌

No comments: