ISLAMKAN JIN
Pengalaman Ustaz Zawawi Zakaria, 30, berjaya menarik jin daripada golongan Ifrit untuk memeluk agama Islam dalam satu usahanya mengubat seorang pesakitnya dianggap satu kejayaan bagi dirinya, sesuai dengan tugasnya sebagai seorang guru agama dan pendakwah. Ustaz Zawawi yang bertugas di Pusat Dakwah dan Pendidikan Islam Batu 7, Gombak berkata, peristiwa itu adalah salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika dia merawat seorang pesakit yang terkena gangguan jin. Berdialog, berinteraksi dan memujuk makhluk daripada kalangan Jin bukanlah perkara mudah. Makhluk itu banyak helah dan putar belitnya. Sekiranya tidak cukup ilmu di dada, agak payah juga untuk menghalau atau menundukkan makhluk jenis itu.
Peristiwa itu berlaku ketika sepasang suami isteri dari Sabah datang berubat dengannya. Suami wanita itu mengadu bahawa isterinya itu mengalami penyakit misteri sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Menurutnya, kemungkinan penyakit itu terjadi akibat perbuatan sihir orang tertentu yang dengki perkahwinannya dengan wanita tersebut.
“Pada hari pertama saya mengubat perempuan itu, tidak ada sebarang perbezaan, begitu juga pada hari kedua. Jin tesebut masih degil dan berkeras kepala tetapi apabila masuk hari ketiga, saya tidak boleh bersabar lagi dengan kerenah jin tersebut. Apa yang saya pelajari daripada arwah datuk saya dahulu, saya gunakan sepenuhnya”, ujarnya. Ketika itu barulah ada tindak balas daripada jin tersebut. Perempuan itu mula bersuara. Suaranya bertukar menjadi agak kasar dan garau. Ustaz Zawawi tahu, jin itu mula menunjukkan ‘signal’ bersedia untuk berkomunikasi dengannya.
“Memang pelik melihat seorang perempuan bersuara garau seperti lelaki tapi itu perkara biasa bagi kes-kes kerasukan jin seperti ini. Apa sahaja perkataan yang keluar daripada mulut perempuan itu sebenarnya datang daripada jin tersebut dan perempuan itu atau sesiapa yang menjadi tumpangan jin tersebut tidak akan menyedari apa yang berlaku serta apa yang dibicarakannya”, jelasnya.
Dia kemudian mula berdialog dengan jin itu. Jin tersebut merungut-rungut kerana menurutnya, Ustaz Zawawi mengganggu tempat tinggalnya dan cuba membakar dirinya dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. “Bila ditanya siapa tuannya, dia enggan memberitahu maka ketika itu saya mula bertegas. Saya katakan padanya mengikut kitab, akal jin dan manusia berbeza. Jin ini bodoh, jin berlipat kali ganda bodohnya daripada manusia. Mendengarkan kata-kata saya, jin tersebut mula berang. Pada mulanya jin itu marah juga, maklumlah dikatakannya bodoh. Jin itu kata hanya saya yang mengatakan dia bodoh sedangkan tuannya sendiri tidak pernah berkata begitu pada dirinya”, ujarnya sambil tersenyum.
Ustaz Zawawi terus mempersendakan jin tersebut dengan mengatakan bahawa dia adalah jin yang bodoh kerana sengaja membiarkan dirinya dipermainkan oleh tuannya. Namun setelah melihat kemarahan jin tersebut agak reda, seakan mula berfikir tentang kebenaran daripada kata-katanya, Ustaz Zawawi bertanyakan satu soalan pada jin tersebut berkenaan Rasulullah s.a.w dan Islam. “jin itu kata pada saya, dia kenal pada Nabi Muhammad s.a.w dan juga mengetahui tentnag ajaran Islam yang dibawa oleh baginda. Dari situlah saya mula menyuruh dia berfikir tentang perbezaan yang boleh dilihat di antara dirinya dengan jin Muslim. Saya suruh dia renung bagaimana kehidupan jin Muslim yang tenang kerana taat kepada Allah jika dibandingkan dengan dirinya. Kemudian saya menjelaskan padanya bahawa niat saya ikhlas dan tidak ada niat untuk mempermainkan dia. Dan akhirnya dia mengaku bahawa apa yang saya katakan itu benar namun dia tidak berani untuk melanggar perintah tuannya, bimbang dia dibunuh”, jelas Ustaz Zawawi.
Kemudian menurut Ustaz Zawawi, jin itu mengakui bahawa dia ingin keluar daripada tubuh perempuan tersebut tetapi tidak menemui jalan keluar. Ustaz Zawawi berjanji akan membantu jin tersebut untuk keluar sekiranya jin tersebut mahu memeluk Islam dengan rela hati. “Akhirnya dia mengucap kalimah syahadah, lancar dan fasih pulak tu. Rupa-rupanya perempuan yang ditumpang tubuhnya itu rajin sembahyang dan membaca Al-Quran. Dari situlah lama-kelamaan dia pun fasih tentang ayat-ayat Al-Quran dan lafaz kalimah syahadah”.
“Saya menyuruh dia membaca Fatihah dan selepas membacanya diapun keluar melalui kaki perempuan tersebut. Saya menasihatinya agar pergi ke Mekah, bertaubat kepada Allah dan lebih baik menetap disana. Banyak jin-jin Muslim tinggal di Mekah dan dia boleh mempelajari Islam dengan lebih mendalam di sana. Saya memberikannya nama Muhammad Abdullah Umar”, ujarnya.
Itulah antara salah satu pengalaman Ustaz Zawawi selama dia membantu pesakit yang datang kepadanya dalam masalah gangguan jin. Dia berasa puas kerana berjaya mengislamkan salah seorang makhluk Allah yang berasal dari alam lain.
🕋🇲🇾💜❤💓💕💗💚💛💚💙🌏🕌
No comments:
Post a Comment