08 January 2020

MAYAT HIDUP SELEPAS 7 HARI DIKEBUMIKAN

Assalamualaikum


MAYAT HIDUP SELEPAS 7 HARI DIKEBUMIKAN
Hayati 23, terkenal dengan rupa paras yang jelita di kampungnya, anak kepada Pak Hassan seorang ketua kampung yang dikatakan kaya dengan dusun buah-buahan dan ladang getah.  Walaupun kaya harta, Pak Hassan miskin anak.  Beliau ditakdirkan mempunyai seorang sahaja anak.  Hayati adalah segala-galanya bagi pasangan Pak Hassan dan Makcik Aminah.  Dialah jantan dan dialah betina, hanya Hayati sahaja yang bakal mewarisi harta pusaka mereka kelak.
Di kampung itu, Pak Hassan terkenal dengan sikap cerewet, garang dan angkuh.  Walaupun begitu beliau suka bersedekah kepada mana-mana keluarga yang menghadapi kesusahan di kampung itu.  Kepada Pak Hassan sahajalah tempat orang kampung mengadu jika terdapat apa-apa masalah.  Kehidupan Pak Hassan sekeluarga memang bahagia, cuma satu yang merungsingkannya sehingga kini, Hayati anak dara mereka masih belum-belum dipinang orang.
Usia Hayati yang sedang elok itu, seharusnya sudahpun mempunyai suami, jadi sibuklah Pak Hassan dan isteri memilih-milih siapakah teruna kampung yang bakal menjadi menantu tunggal mereka.  Sudah puas mencari dan meninjau, terlintas di fikiran Pak Hassan untuk mengahwinkan Hayati dengan Amran anak sepupunya yang akan tamat pengajian pondok (sekolah agama) di kampung seberang.
Pak Hassan berasa Amranlah sahaja yang layak menjaga Hayati serta hartanya kelak.  Dalam diam-diam, rupanya Hayati sedang bercinta dengan Rizal seorang posmen daerah yang sering menghantar surat ke rumah Pak Hassan.  Hayati sering bertemu Rizal setiap petang di tepi ladang getah milik ayahnya.  Di situlah mereka memadu asmara dan berjanji setia, hinggalah pada suatu hari, Pak Hassan telah diberitahu tentang hubungan Hayati dengan Rizal oleh beberapa anak teruna kampung yang sememangnya iri hati dengan mereka.  Menyirap darah Pak Hassan apabila mendapat tahu Hayati anak tunggalnya itu sedang memadu asmara dengan seorang posmen yang sememangnya tidak layak digandingkan dengan mereka.
Hayati dimarahi dan ditegah bertemu dengan Rizal, bertambah malang ibunya juga sependapat dengan Pak Hassan.  Mereka takut kononnya jika Hayati dijodohkan dengan Rizal yang tidak berpelajaran itu akan menyusahkan hidup anaknya yang sedari kecil dimandikan dengan kemewahan.  Jadi pada hari itu juga Pak Hassan bertindak memanggil Rizal untuk menerangkan keadaan yang sebenarnya.  Penjelasan yang diberikan oleh Pak Hassan pada Rizal, bahawa Hayati akan dikahwinkan dengan Amran seorang lelaki yang jauh lebih baik darinya itu begitu mengecewakan.
Betapa beliau terasa terhina apabila Pak Hassan membanding-bandingkan Amran dengannya.  Atas rasa penuh hormat Rizal kepada Pak Hassan yang dahulu pernah menolong keluarganya ketika susah, beliau terpaksa akur dengan keputusan itu.  Mungkin kerana cara meninggalkan Hayati gadis yang dicintainya itu boleh membalas segala budi baik Pak Hassan selama ini.
Hati Rizal terluka... cinta yang dipupuk sekian lama bersama Hayati akhirnya musnah disebabkan darjat semata.  Rizal merajuk dan mengambil keputusan untuk berpindah tugas ke daerah lain.  Beliau sengaja tidak memberitahu Hayati, tak sanggup rasanya untuk menatap wajah Hayati yang sedang kecewa itu.  Biarlah Hayati dengan orang yang sepadan dengannya.
Hari berganti hari, rindu Hayati pada Rizal kian memuncak.  Seminggu sudah beliau tidak bertemu dengan Rizal kerana dikurung ketat oleh ibunya.  Hinggalah pada satu hari, ketika rindu Hayati kian menebal, beliau memberanikan diri keluar dari rumahnya untuk bertemu Rizal ketika ibunya sedang sibuk di dapur.  Tiba di ladang getah, Hayati bertindak menunggu Rizal di tempat biasa dengan menyandarkan dirinya ke sebatang pokok yang agak lebar, Hayati setia menunggu.
Dari awal petang Hayati menunggu namun tidak juga nampak-nampak kelibat Rizal.  Beliau masih bersabar sehinggalah menjelang senja.  Hayati sudah putus harapan.  Bermacam-macam yang bermain difikirannya.  Perasaan cinta dan rindunya masih belum dilepaskan.  Beliau akhirnya melangkah kaki untuk pulang ke rumah dan bercadang untuk datang semula keesokan harinya.  Untuk pulang ke rumah, Hayati terpaksa melalui jalan pintas di mana jarang orang lalu.  Jalan yang dipenuhi dengan rumput dan lalang yang panjang itu diredahnya jua.
Sesekali beliau menjenguk-jenguk ke kiri dan kanannya, risau ada orang yang nampak.  Dalam Hayati sedang terhendap-hendap itu, sekali lagi nasib malang telah menimpanya.  Beliau dipatuk ular berbisa dan serta-merta rebah di tempat kejadian.  Kebetulan, seorang tua bernama Pak Ali lalu kerana hendak ke masjid.  Beliau terserempak dengan Hayati yang terbaring kaku dengan kesan patukan ular di betis kirinya.  Tanpa berlengah-lengah lagi, Pak Ali segera membawa Hayati pulang ke rumah Pak Hassan.
Gempar seluruh kampung dengan penemuan Hayati dengan kesan patukan ular di betisnya itu.  Pak Hassan dan Makcik Aminah terkejut yang amat sangat.  Tubuh Hayati pucat umpama mayat, matanya separuh tertutup dan betisnya menjadi biru kesan bisa ular itu.
Bomoh ular dipanggil untuk menyelamatkan nyawa Hayati, malangnya beliau datang agak lewat.  Hayati tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.  Pak Hassan dan Makcik Aminah mula merasa kesal atas apa yang berlaku.  Kalau dituruti saja kehendak Hayati dahulu mungkin perkara ini dapat dielakkan tapi apakan daya, ajalnya sudah sampai.  Berbagai-bagai andaian dibuat oleh penduduk kampung.  Ada yang mengatakan Hayati bunuh diri kerana kecewalah kerana beliau kini sudah mengandung anak Rizal dan tidak tahan malu dan bermacam-macam lagi andaian yang memalukan Pak Hassan dan Makcik Aminah.
Upacara pengkebumian berjalan seperti biasa.  Masyarakat kampung bersama-sama menguruskan jenazah Hayati.  Upacara membaca Yassin berjalan selama 6 hari berturut-turut.  Kekesalan pada raut wajah Pak Hassan tidak dapat disorok lagi, dia kelihatan tidak dapat menerima kenyataan bahawa Hayati anak tunggalnya kini tiada lagi.  Pak Hassan hampir seharian duduk di atas sejadah merintih dan menangis memohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya.  Para sahabat dan rakan sekampung hanya mampu menasihati Pak Hassan agar menerima sahaja takdir yang tersurat.  Makcik Aminah pula menangis tidak berhenti-henti, beliau seperti tidak percaya Hayati sudah tiada lagi.  Masyarakat kampung risau melihat Pak Hassan dan Makcik Aminah yang semakin memecilkan diri semenjak kematian Hayati.  Ramai yang datang bertandang untuk menenangkan mereka namun tidak berhasil.
Pada hari yang ke tujuh, Pak Hassan dan Makcik Aminah nampak semakin pulih.  Nampaknya hasil sokongan masyarakat kampung terhadapnya memang berhasil.  Pak Hassan sudah mula berborak-borak dengan orang kampung di serambi sewaktu persiapan kenduri arwah yang ke tujuh berlangsung.
Pada petang itu sewaktu orang ramai sedang membaca Yassin, lalu seorang hamba Allah yang sedang mengheret seekor lembu untuk dibawa pulang.  Beliau yang datang dari kampung seberang tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku di kampung itu tetapi beliau kenal dengan Pak Hassan.  Terasa ingin nak tahu apakah yang terjadi, kebetulan Pak Hassan sedang duduk di serambi.
“Assalamualaikum! Saya Pak Abu, pengembala lembu dari kampung seberang.  Saya nampak rumah penghulu ni macam ada kenduri sahaja, kenduri apa penghulu?”  Pak Abu bertanya penuh musykil.  Pak Hassan yang sedang termenung terkejut dengan sapaan itu.
“Maaflah jika saya mengganggu, kenduri apa ini penghulu?” Pak Abu mengulangi pertanyaan penuh berhati-hati.  “Kenduri arwah anak saya Hayati”, jawab Pak Hassan hiba.
“Innalillahhiwainna ilaihiraji’in... sakit apa anak penghulu tu sehingga membawa maut...?”  Pak Abu sedikit terkejut dengan penjelasan itu, bukannya beliau tidak kenal dengan Hayati, kisahnya sudah tersebar di merata-rata tempat sehingga di kampungnya.
“Beliau meninggal akibat dipatuk ular, di ladang getah saya tu..” jelas Pak Hassan lagi.  Sejenak Pak Abu memikirkan apa yang telah disampaikan oleh penghulu kepadanya tadi.  Setelah lama termenung, tiba-tiba Pak Abu bersuara.
“Pada firasat saya, anak penghulu itu masih hidup”, kata Pak Abu.  Berkerut dahi Pak Hassan dengan apa yang didengarnya itu.  Betul ke tidak orang tua ni... fikirnya dalam hati.  Pak Hassan merenung tajam pada Pak Abu.
“Mengarutlah awak ni... sudah seminggu dia meninggal.  Saya sendiri yang menyaksikan pengurusan jenazahnya.  Tidak masuk akal langsung”, bentak Pak Hassan dengan nada tinggi.  Namun Pak Abu masih berkeras mengatakan Hayati masih hidup dan disebabkan itu suasana rumah Pak Hassan kembali gempar dan kecoh.  Mereka bertikam lidah antara mereka kerana tidak percaya dengan kata-kata Pak Abu.
“Kasihan budak yang merana dalam liang lahat.  Dia masih bernyawa, awak tidak percaya tidak mengapa.  Saya tetap dengan pendirian... saya mesti selamatkan budak itu.  Tolong tunjukkan kuburnya kepada saya, percaya atau tidak nanti kita sama-sama tengok sendiri”, kata Pak Abu menamatkan pertelingkahan.
Mereka berderu-derulah orang kampung dan Pak Hassan sekeluarga ke kubur untuk melihat kebenaran kata-kata yang tidak masuk akal itu.  Pak Hassan bukan apa, beliau bimbang perkara ini akan menambahkan lagi penderitaan yang ditanggungnya dahulu.  Setelah tiba di tanah perkuburan, beberapa orang pemuda kampung diarahkan menggali kubur Hayati yang masih merah oleh Pak Abu.  Pak Hassan hanya memerhati dari jauh akan telatah Pak Abu.
Macam-macam yang difikirkan dibenaknya.  Setelah kubur selesai digali, papan lahat dibuka satu persatu.  Mereka yang berada di situ sudah bersiap sedia menutup hidung, bimbang bau busuk akan hinggap ke hidung mereka nanti.  Kini jasad Hayati yang dibaluti kain kapan itu nampak dengan jelas.  Kelihatan kain kapan itu sudah mula bertukar warna.  Orang ramai yang masih setia menunggu di situ sudah mula terasa seram.  Ada yang segera pulang dan ada pula yang menoleh muka mereka ke tempat lain.
Pak Abu menyuruh mereka mengangkat naik jasad Hayati ke tepi.  Lepas satu-satu helaian kain kapan di buka dan anehnya mayat Hayati masih elok dan tidak berbau.  Alangkah terkejutnya Pak Hassan apabila melihat mayat Hayati yang tidak reput walaupun sudah seminggu di tanam.  Kulitnya masih basah seperti orang berpeluh, matanya tidak lagi separuh tertutup, beliau kelihatan seperti sedang tidur dengan nyenyak.
“Betul tak apa yang saya katakan, dia masih bernyawa”, kata Pak Abu sambil tersenyum.  Walaupun begitu, Pak Hassan masih tidak percaya kerana Hayati masih kaku dan tidak bergerak.  Serta-merta Pak Abu duduk bersila di atas tanah, mulutnya berkumat-kumit membaca sesuatu.  Dalam masing-masing sedang meninjau-ninjau, tiba-tiba kelihatan beberapa ekor ular berbisa datang menuju  ke arah jasad Hayati.  Suasana menjadi tegang... orang-orang kampung ada yang melarikan diri kerana ketakutan.
Berapa lama kemudian, ular-ular berbisa semakin banyak dan mengerumuni penuh di sekeliling jenazah Hayati.  Pak Hassan dan saki-baki orang kampung yang tinggal berundur ke belakang.  Masing-masing terpegun dengan keajaiban itu.  Pak Abu masih tidak berganjak sambil membaca sesuatu.  Ular-ular berdiri kaku disisi jawsad Hayati.  Dalam banyak-banyak ular yang datang, ada seekor ular yang sederhana besar sedang memerhati dari jauh.  Tiba-tiba Pak Abu berteriak.
“Kamu yang di hujung sana kemari.  Sedut kembali bisa di bahagian mana yang kamu patuk tempoh hari!” penuh tegas Pak Abu berkata seperti sedang marah.  Semua orang di situ tercari-cari siapakah yang Pak Abu maksudkan.  Ternyata ular itu mengikut sahaja arahan Pak Abu tanpa melawan.
Ular itu menyedut kembali bisa patukan di kaki Hayati sebagaimana yang disuruh oleh Pak Abu.  Sekali lagi orang ramai terpegun dengan keanehan yang mereka saksikan itu.  Sesudah itu ular-ular di sisi Hayati beredar seperti berpakat.  Beberapa minit kemudian di sedikit-sedikit jasad Hayati bergerak.  Pak Hassan dan Makcik Aminah terus melulu terhadap Hayati.  Akhirnya Hayati sedar semula dan memanggil nama abahnya.
Alangkah terkejutnya Pak Hassan dan Makcik Aminah dan mereka berasa seperti bermimpi.  Mereka segera mendapatkan Hayati dan mereka pelukan erat dan sepuas-puasnya.  Ternyata Pak Abu bercakap benar, saki-baki orang kampung yang masih ada di situ begitu terharu dan takjub dengan apa yang mereka saksikan.  Kegembiraan yang tidak terperi di hati Pak Hassan dan Makcik Aminah tidak terucap.  Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa, jika belum sampai ajal, walau ditimbus dengan tanah berminggu-minggu masih boleh hidup.
Rupa-rupanya Pak Abu adalah dukun terkenal di Kampung Simpang Empat, hanya Pak Hassan yang tidak mengenalinya.  Selepas dari kejadian itu, sikap angkuh Pak Hassan sudah mula berubah.  Beberapa orang pemuda kampung mula masuk meminang Hayati dan ianya disambut baik oleh Pak Hassan dan isterinya Aminah.
Malangnya kali ini keadaan berbeza jawapan yang diberikan oleh Hayati betul-betul membuatkan jantung Pak Hassan dan Makcik Aminah tersentap.  Hayati menolak sekeras-kerasnya peminangan itu kerana beliau terhutang budi pada Pak Abu dan mengambil keputusan untuk menjadi isteri kepada Pak Abu.  Pak Hassan dan isteri tidak boleh berkata apa-apa, hendak ditolak nanti apa pula akan terjadi kelak.  Jadi mahu tak mahu terpaksa jua mereka menerima Pak Abu sebagai menantu mereka.  Kalau dulu Pak Hassan menganggap posmen tidak layak berkahwin dengan anaknya, kini Pak Abu si pengembala lembu itu pula menjadi menantu Pak Hassan.
Kisah yang dipaparkan ini adalah sebuah kisah benar.  Kini Pak Abu masih hidup tetapi umurnya agak lanjut tetapi Hayati sudahpun kembali ke Rahmatullah kerana sakit tua namun meninggalkan beberapa orang anak.  Kisah ini telah diceritakan sendiri oleh sahabat Pak Abu.  Semoga ianya menjadi teladan kepada pembaca sekalian.  Harta kekayaan, rezeki, ajal dan jodoh adalah ketentuan Allah semata.  Manusia hanya mampu merancang namun Allah jua yang menentukan.

🆗️♥️💙💚❤💛💜🖤💞🔁

No comments: