MAYAT DIRASUK SYAITAN PULANG KE RUMAH
Pada bulan April 1999, Ramli pergi ke Felda Gua Musang kerana dia dipanggil oleh sepupunya Mamat untuk membantunya mengait buah kelapa sawit yang ketika itu agak banyak. Namun pemergian Ramli kali ini seolah-olah seperti terpanggil kerana apabila dia sampai ke sana, ibu saudaranya iaitu ibu kepada Mamat sedang sakit tenat. Jadi kedatangan Ramli bolehlah meringankan beban untuk sama-sama menjaga ibu saudaranya itu. Namun kehendak dan ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menghalang. Selepas tiga hari Ramli berada di sana, ibu saudaranya itu telah kembali ke rahmatullah pada pukul 1 tengahari. Seluruh ahli keluarga meratap tangis tetapi apakan daya, itu sudah kehendakNya.
Bagi yang masih hidup, tugas untuk menguruskan mayat difardukan sebagai fardu Kifayah dan semua orang wajib menunaikannya. Sudah menjadi lumrah bagi masyarakat kampong kerja itu dilakukan secara bergotong royong bersama sanak saudara dan penduduk kampong yang lain. Orang-orang muda yang mempunyai kudrat yang kuat selalunya akan mengambil tugas sebagai penggali kubur dengan diketuai oleh seorang yang berpengalaman iaitu Pak Nik Seman. Ramli dan beberapa orang sepupunya serta penduduk kampong sama-sama menggali kubur yang letaknya di kawasan yang agak jauh di pinggir hutan.
Di kawasan hutan, kuburnya bukan seperti kawasan Bandar, terlalu banyak bahayanya jadi kubur digali bermula dari pukul 1:30 tengahari dandapat disiapkan sepenuhnya pada pukul 5:30 petang. Itupun sudah dikira agak cepat kerana gembelengan tenaga muda, kadang-kadang sampai malam. Setelah kubur siap digali mereka berehat-rehat di sekitar kawasan tersebut seketika dengan harapan jenazah akan sampai tidak lama selepas itu. Tetapi tidak lama selepas itu sepupunya Midin adik kepada Mamat dating sambil membawa nasi dan air untuk mereka makan. Dia juga memberitahu bahawa jenazah akan dikebumikan lewat sedikit kerana ingin menunggu seorang lagi waris iaitu kakaknya yang akan pulang dari Kuala Lumpur. Midin juga membawa pesan dari Tok Imam bahawa Ramli dan yang lain kenalah tunggu di situ sehingga jenazah sampai.
Walaupun Ramli dan yang lain masih keletihan, mereka semua terpaksa akur dengan arahan itu. Apabila hari menjelang senja mereka secara bergilir-gilir pergi ke sungai berdekatan untuk mandi dan mengambil air sembahyang. Setelah selesai mereka sama-sama menunaikan sembahyang mahgrib berjemaah. Selesai sembahyang, tiba-tiba Ramli lihat ada beberapa bayang-bayang manusia sedang berjalan-jalan dan berlegar-legar di dalam hutan berdekatan dengan mereka.
“Eh kau tak nampak ke bayang-bayang manusia di dalam hutan tu?”, Tanya Ramli kepada yang lain. Mereka yang sedang berbual-bual jadi terdiam dan tersentak dengan pertanyaan yang tidak semena-mena itu dari Ramli. Masing-masing melontarkan pandangan kea rah hutan seperti yang ditunjukkan Ramli. Dari bayangan unggun api yang dihidupkan sejak tadi, dengan jelas mereka mendapati ada bayangan putih sedang berlegaran di kawasan hutan tersebut.
“Siapa tu…!!! Keluarlah!!! Buat apa dalam hutan waktu malam begini?”, Ramli berkata dengan nada suara yang agak keras. “Eh jangan ditegur jika kita tidak pasti bahawa itu manusia”, tegah Pak Nik Seman. Semua terdiam dan akur dengan arahan Pak Nik Seman. Mereka menganggap Pak Nik Seman sebagai ketua, jadi segala arahan yang dikeluarkan oleh Pak Nik Seman mereka akan ikut. Kelihatan bayangan tersebut bergerak semakin hampir tetapi seketika kemudian bergerak semakin jauh dan kelihatan beberapa lagi bayang-bayang mengikutinya. Mereka semua memandang dengan penuh kehairanan dan ketakutan.
“Kita jangan hiraukan pada bayangan tersebut. Itu semua dugaan. Mari kita sama-sama bertasbih dan berzikir kepada Allah semoga dijauhkan dari bala bencana”, ajak Pak Nik Seman. Jadi mereka semua duduk di atas satu tikar dan sama-sama berzikir dengan diketuai oleh Pak Nik Seman.
Kira-kira pukul 8:30 malam barulah jenazah sampai untuk dikebumikan. Setelah semua selesai barulah mereka boleh pulang. Dalam perjalanan pulang Ramli ada menceritakan perkara yang berlaku itu kepada Tok Imam tetapi Tok Imam hanya memberikan pendapat bahawa itu sebenarnya perasaan kita sahaja kerana pada masa itu hati kita dalam keadaan ketakutan. Ramli berasa sedikit lega dengan penjelasan dari Tok Imam walaupun di hati kecilnya masih ada perasaan curiga.
Setelah pulang, Ramli tidur seorang diri di rumah. Neneknya pergi tidur di rumah si mati kerana sebagai satu acara berkabung keluarga. Walaupun badan dalam keletihan dia merasakan seperti tidak sedap hati dan tidak boleh melelapkan mata. Dai masih dibayangi peristiwa yang berlaku ketika di kubur tadi. Dihatinya masih tertanya-tanya apakah bayang-bayang yang muncul dari hutan itu tadi jelmaan syaitan atau manusia. Sedang berfikir, timbul pula perasaan seram dan beliau bercadang untuk ke rumah arwah kerana di sana mungkin ramai orang.
Lantas Ramli mencapai lampu picit dan terus berjalan menyusuri denai ladang kelapa sawit dalam keadaan yang semakin gelap-gelita. Hanya bunyi cengkerik dan unggas mengiringi perjalanannya. Jauh juga dia terpaksa mrnyusuri denai tersebut kerana jarak rumahnya di suku pendalaman. Ramli merasakan seperti ada lembaga manusia sedang mengekorinya. Bunyi seperti orang ramai kerana bunyi tapak kaki silih berganti. Apabila dia berpaling lantas lembaga tersebut lari. Ada yang berpecah memasuki semak dan belukar berhampiran.
“Haa… siapa tu…? Janganlah nak mengusik aku pula, keluarlah..”, kata Ramli berani dan beranggapan bahawa itu mungkin rakan-rakannya yang mahu mengusik. Tetapi selepas itu bayang-bayang itu hilang, Ramli berasa sedikit marah lalu berpatah balik dan pergi ke arah bayang tersebut tetapi tiada apa pula sesiapa di situ, Ramli berasa hairan dan tiba-tiba meremang bulu tengkuknya. Dia mula merasakan bahawa tentu ada sesuatu yang tak kena lantas cepat-cepat melangkah meninggalkan tempat tersebut. Sampai di rumah ibu saudaranya, dia dapati masih ramai lagi orang yang belum tidur. Kelihatan Mamat dan rakan-rakanya yang lain sedang asyik berbual-bual.
“Kenapa kau ni Ramli muka pucat lesi macam orang dikejar hantu?”, tanya sepupunya. “Eh tak adalah, aku letih sikit”, jawab Ramli memberi alasan. “Bagus juga kau tak tidur lagi di rumah nenek tadi, aku tidak dapat melelapkan mata”, sambungnya dan mereka yang lain termasuk menantu arwah berbual-bual dan tidak sedar pada masa itu jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi.
Secara tiba-tiba angin bertiup dan menggerakkan daun pintu jendela besar. Mereka semua tersentak dan terdiam seketika, tiba-tiba hidung terhidu bau kemenyan dan kapur barus seperti yang digunakan untuk mengkafan jenazah siang tadi. Mereka semua berpandangan sesama sendiri. Angin bertiup semakin kuat seolah-olah hari nak hujan. Bau mayat semakin menusuk hidung namun mereka semua terdiam tanpa memberi apa-apa reaksi. Angin kuat itu tiba-tiba berhenti dan digantikan dengan angin sejuk yang bertiup lembut menyebabkan masing-masing kesejukan. Lantas Mamat sepupu Ramli bingkas bangun menuju ke jendela untuk menutup daun pintu yang terbuka luas itu.
Sampai sahaja Mamat di pintu, tidak semena-mena beliau terpelanting dan rebah pada bucu tiang rumah. Semua orang terkejut dan panik. Tatkala itu muncul sati lembaga yang sangat menakutkan duduk bertenggek di atas pagar pintu. Kapas-kapas putih masih lagi terlekat di wajahnya. Lidahnya terjelir panjang, sungguh menyeramkan, wajahnya pucat dan matanya merah menyala memerhatikan mereka.
“Ya Allah… mengapa ini boleh berlaku. Itulah arwah yang baru dikebumikan sekejap tadi tetapi mengapa ia boleh hidup kembali atau ada sesuatu yang tidak kena mengenai dirinya…”, fikir Ramli sendiri. Mamat terketar-ketar dan tidak berganjak dari tempat dia rebah sekejap tadi. Semua mata tertumpu pada lembaga itu.
“Apa yang kamu mahu?”, tanya menantu arwah memberanikan diri.
“Aku lapar dan mahu makan!”, kata lembaga itu agak keras dan mengerikan.
“Pergilah di dapur, banyak lagi makanan yang belum habis”, jawab menantu arwah spontan.
Dengan pantas lembaga itu bergerak ke dapur. Kain-kain kafan terjuntai dan berselerakan sehinggakan terkena mereka yang duduk di ruang tamu, semua hanya terdiam membiarkan sahaja apa yang hendak dilakukannya. Di dapur semua makanan dilahapnya termasuklah daging mentah dan ayam yang baru disembelih petang tadi. Ketika melahap makanan, suaranya berbunyi mengaum-ngaum seperti beberapa ekor harimau yang sedang berebut-rebut makanan. Setelah selesai melahap makanan, lembaga itu menuju ke pintu dan hilang begitu sahaja. Mereka semua ketakutan kecuali menantu arwah tadi. Dia memang kuat semangat seolah-olah tidak takut sedikitpun. Selepas itu dia membaca ayat-ayat Quran sebagai memohon menolak dari segala bencana. Mamat menjadi seperti orang koma kerana terlalu takut dan begitu juga Ramli.
Keesokan harinya seluruh kampung menjadi gempar apabila cerita itu tersebar luas. Ramai juga tidak percaya dengan cerita tersebut tetapi setelah disahkan oleh beberapa orang saksi barulah mereka mula menerimanya. Tok Imam yang sememangnya sudah berpengalaman tidak begitu terkejut dengan kejadian sebaliknya dia berpendapat bahawa sebenarnya mayat arwah telah dirasuk hantu hutan.
Suatu ketika dahulu semasa tempat itu baru dibuka, peristiwa seperti ini pernah berlaku. Di kawasan hutan yang asalnya tidak pernah dijejaki manusia memang banyak hantu hutan. Kebanyakkannya adalah hantu belaan manusia yang dibuang dan tidak dijamu. Jika ada kematian mereka akan berkeliaran merasuk mayat untuk makan. Bayang-bayang manusia yang berlegaran semasa di kubur itu tadi sebenarnya ialah bayangan hantu hutan yang sedang berkeliaran untuk merasuk mayat. Begitulah kejamnya syaitan terhadap manusia. Tok Imam dan beberapa orang lagi pergi ke kubur untuk melakukan sesuatu.
Alangkah terkejutnya semua kerana di kubur tersebut terdapat satu lubang besar. Lantas Tok Imam melakukan sesuatu yang sukar untuk diperjelaskan di sini namun itu mungkin satu cabang ilmu yang dipelajarinya. Selepas itu dia mengarahkan keluarga si mati membuat tahlil dan bacaan Yasin selama 7 hari 7 malam, diikuti pula dengan sembahyang hajat.
“Kejadian seperti itu sememangnya sudah tidak asing lagi bagi penduduk yang mendiami kawasan hutan yang dahulunya tidak pernah dijejaki manusia. Sebab itulah suatu ketika dahulu terdapat satu amalan orang menjaga kubur sambil membaca Al-Quran, dikhuatiri perkara ini akan berlaku…”, kata Ramli. Walau apapun yang berlaku itu kita perlua yakin bahawa perkara itu hanyalah tipu helah syaitan yang ingin menyesatkan manusia. Dia tidak boleh melakukan apa-apa pada kita jika kita tidak bersekutu dengannya.
🆗️💚❤♥️💞🖤💜💛🔁💙💚❤
No comments:
Post a Comment