04 January 2020

KEMARAHAN RASULULLAH S.A.W

 Assalamualaikum

KEMARAHAN RASULULLAH S.A.W

SEORANG Badwi datang menjual ternakannya di Mekah. Abu Jahal yang melihatnya, kononnya bersedia membeli ternakan Badwi itu. Abu Jahal pun menyuruhnya menghalau ternakannya itu ke kandang milik Abu Jahal. Dia berjanji membayar pada keesokan harinya. Badwi itu datang semula menemui Abu Jahal keesokan harinya tetapi Abu Jahal berjanji hendak membayarnya pada hari yang lain pula. Setiap kali Badwi itu datang, Abu Jahal terus menangguhkan pembayarannya sehingga dia terpaksa tinggal di Mekah beberapa hari lamanya.

Dia cuba melaporkan perkara ini kepada para pemimpin Quraisy yang lain tetapi tidak seorang pun yang mahu menolongnya. Akhirnya setelah merasa berputus asa, Badwi itu masuk ke Masjidilharam. Sekali lagi dia bertemu dengan pemimpin Quraisy dan meminta bantuan mereka untuk mendapatkan wang daripada Abu Jahal. Salah seorang pemimpin Quraisy yang ada di situ menasihatkannya supaya meminta tolong kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang sedang duduk dekat Kaabah.

Sebenarnya tujuan pemimpin Quraisy ini hendak mempermainkan Rasulullah, kerana semua orang tahu Abu Jahal sangat sombong dan benci kepada Rasulullah. Oleh itu mustahil Rasulullah boleh meminta wang daripada Abu Jahal. Badwi ini pula tidak tahu apakah yang sebenarnya terjadi antara Rasulullah dengan Abu Jahal.

Dia pun pergi menemui Rasulullah dan melaporkan perkara itu kepada Baginda.

Selepas berbicara dengan Badwi itu, Rasulullah terus berdiri dan diajaknya Badwi itu mengikutinya. Mereka berdua menuju ke rumah Abu Jahal.

Sampai di rumah Abu Jahal, Rasulullah mengetuk pintu rumahnya dan dipanggilnya Abu Jahal dengan suara kuat.

Abu Jahal segera membuka pintu dan Rasulullah segera memegang leher baju Abu Jahal sambil berkata, ``Jelaskan sekarang juga hutang anda kepada orang ini!''

Pada masa itu tubuh Abu Jahal gementar dan mukanya nampak ketakutan. Abu Jahal menurut sahaja apa yang diperintahkan oleh Rasulullah.

``Baiklah aku akan jelaskan sekarang,'' katanya. Abu Jahal pun masuk ke dalam biliknya dan keluar dengan pundi-pundi berisi wang yang diserahkan kepada Rasulullah, dan Baginda pun menyerahkan wang itu kepada Badwi tadi.

Kemudian Rasulullah kembali lagi ke masjid bersama Badwi itu. Dengan hati gembira Badwi itu menceritakan kepada mereka yang berada di masjid. Sementara itu Rasulullah kembali bertafakur berhampiran Kaabah. Tidak lama kemudian Abu Jahal pun datang ke masjid dan mereka yang ada di masjid itu pun bertanya kepadanya tentang kebenaran cerita Badwi itu. Abu Jahal menyatakan bahawa ketika namanya dipanggil Rasulullah, jiwanya sudah mulai berasa takut. Setelah pintu rumah dibukanya, dilihatnya di belakang Rasulullah seekor ular yang sangat besar dan menakutkan. Lantaran takut dia tidak dapat membantah apa yang diminta oleh Rasulullah.

Di sini dapat diambil iktibar bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W. tidak merasa takut kepada Abu Jahal setelah menerima segala caciannya. Tetapi Baginda marah ketika menerima aduan bahawa Abu Jahal menzalimi orang yang lemah.


🆗️💙🔁💞🖤💜💛❤💚♥️💰

No comments: