04 January 2020

HANYA RASULULLAH S.A.W PEMEGANG SYAFAAT

 Assalamualaikum

HANYA RASULULLAH S.A.W PEMEGANG SYAFAAT

HANYA Nabi Muhammad SAW diberi keistimewaan mengemukakan syafaat (pertolongan memohon) kepada Allah supaya mahkamah perbicaraan dibuka oleh Allah, sedangkan rasul lain tidak sanggup berbuat demikian. Kesanggupan dan kejayaan itu kerana Baginda ialah penghulu kepada sekalian anak Adam pada hari kiamat.

Di tangan Rasulullah terletaknya ‘panji-panji kepujian’. Tidak ada seorang nabi pun pada hari itu, daripada Nabi Adam kepada nabi lain, melainkan berada di bawah panji-panji Baginda.

Firman Allah bermaksud: “Semoga tetaplah harapanmu (wahai Muhammad) bahawa Tuhan yang mendidikmu akan mengangkatmu ke satu darjat yang terpuji.” (Surah al-Isra’, ayat 79)

Darjat itu adalah kesanggupan Baginda dan kejayaannya meringankan keadaan huru-hara Padang Mahsyar dan penderitaan lama menunggu perbicaraan yang dijalankan oleh Tuhan yang Maha Adil.

Bagindalah nabi yang mula-mula mengemukakan syafaat dan yang mula-mula diterima syafaatnya pada hari kiamat. Perkara itu diterangkan oleh Rasulullah dalam hadis berikut:

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud: “Aku penghulu anak-anak Adam pada hari kiamat; dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah, di tanganku panji-panji kepujian; pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah, tidak ada seorang nabi pada hari itu – mulai daripada Nabi Adam hingga kepada nabi lain melainkan semuanya di bawah panji-panjiku; dan akulah orang yang mula-mula terbelah bumi untuk bangkit keluar daripadanya, dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah.”

Sabda Baginda lagi: “Kemudian manusia gempar dan haru-biru sebanyak tiga kali, lalu mereka pergi menemui Nabi Adam...”

“Akhirnya, mereka datang menemuiku, lalu aku pun pergi membawa mereka bersama... kemudian aku terus membenamkan mukaku lalu sujud, maka Allah memberi ilham kepadaku untuk memujinya dengan satu cara ucapan puji-pujian.

“Setelah itu dikatakan kepadaku: Angkatlah kepalamu dan mintalah supaya engkau diberi hajatmu dan kemukakanlah syafaat supaya dikabulkan syafaatmu dan katakanlah apa saja supaya diperkenan kata-katamu.”

Kemudian Rasulullah menerangkan: “Dan itulah dia pangkat Al-Maqam-Al-Mahmud yang Allah menyatakan dengan firman-Nya “Semoga tetaplah harapanmu (wahai Muhammad) bahawa Tuhan yang mendidikmu akan mengangkamu ke satu darjat yang terpuji).” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Daripada Ibn Abbas, bahawa Nabi Muhammad bersabda: “...Ketahuilah! aku adalah kekasih Allah, dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah; dan aku pembawa panji-panji kepujian pada hari kiamat, dalam pada itu, pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah; dan akulah orang yang mula-mula mengemukakan syafaat, juga yang mula-mula dikabulkan syafaatnya pada hari kiamat, dalam pada itu pengakuanku ini bukan untuk bermegah-megah...” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Nabi Muhammad menerangkan dalam hadis di atas bahawa ketika manusia menderita kedahsyatan huru-hara hari kiamat, mereka mendapatkan bapa manusia, Nabi Adam lalu memohon kepadanya supaya menggunakan pengaruhnya melepaskan mereka daripada penderitaan itu. Nabi Adam menyatakan bahawa Baginda tidak sanggup berbuat demikian.

Mereka kemudian memohon pula pertolongan nabi lain yang juga tidak sanggup menolong mereka. Akhirnya, mereka memohon kepada Nabi Muhammad. Lalu, Baginda mengemukakan syafaat, yang dengan sebabnya, Allah menjalankan perbicaraan menghakimi manusia. Maka, pada waktu itu Allah mengangkat Nabi Muhammad ke darjat yang disebut dengan nama ‘Maqam Mahmud’ iaitu darjat kebesaran yang dipuji oleh semua makhluk yang ada di Padang Mahsyar.

Daripada Ibn Umar, katanya: “Aku ada mendengar Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya matahari akan dekat ke atas kepala manusia hingga air peluh sampai ke paras separuh telinga, maka dalam masa mereka berkeadaan demikian, mereka meminta pertolongan Nabi Adam, lalu Baginda menolak dengan berkata: ‘Aku bukanlah orang untuk itu.’

“Kemudian, mereka meminta pertolongan Nabi Musa, maka Baginda juga menjawab demikian.

“Mereka kemudian meminta pertolongan Nabi Muhammad, lalu Baginda mengemukakan syafaatnya. Selepas itu, Allah membuka perbicaraan untuk menghakimi khalayak yang ramai itu... Maka, pada waktu itulah Allah mengangkatnya (Muhammad) ke martabat Maqam Mahmud yang dipuji oleh semua makhluk yang ada di padang Mahsyar.” (Hadis riwayat Bukhari, Ibn Jarir dan Ibn Marduwaih)


🤝🆗️💙💞🖤💜💛❤💚♥️💰🔁

No comments: