25 January 2020

Israel semakin mencengkam Masjid al-Aqsa

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabaroekatuh...





Jumaat, 24 Januari 2020 | 11:01am

- Foto justislam.co.uk

Israel semakin mencengkam Masjid al-Aqsa



Masjid al-Aqsa ialah masjid ketiga terpenting dalam Islam. Nama masjid ini dirakam dalam al-Quran ketika Allah SWT menceritakan peristiwa Israk Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke al-Quds. Al-Aqsa juga pernah dijadikan kiblat pertama umat Baginda sebelum ditukar ke Kaabah. Masjid ini juga menjadi tumpuan nabi terdahulu sebagai destinasi hijrah dan dakwah mereka.
Dalam peta moden, al-Aqsa terletak dalam kawasan al-Quds seperti dikenali orang Arab dan Muslim atau Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat. Masjid ini terletak dalam satu kota lama berpagar dikelilingi beberapa pintu masuk yang malangnya dikawal tentera Zionis.
Antara salah faham umat Islam adalah mengkhususkan bangunan tertentu sebagai Masjid al-Aqsa yang sebenar. Ada mendakwa Masjid Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) sebagai bukan al-Aqsa, sebaliknya menganggap binaan masjid berkubah kelabu sahaja sebagai al-Aqsa sebenar.


Hakikatnya, Masjid al-Aqsa meliputi semua kawasan terletak dalam pagar kompleks al-Aqsa, termasuk Masjid al-Qibli, Masjid al-Buraq, Masjid al-Qubbah, Masjid al-Qadim dan Masjid Marwan.
Al-Aqsa ialah kiblat dalam kepercayaan Judaisme. Tapak paling suci bagi orang Yahudi pula ialah tapak Masjid Qubbah al-Sakhrah. Oleh itu, ramai penganut Judaisme khasnya Ortodoks mengelakkan daripada masuk ke kawasan itu kerana hanya agamawan terpilih sahaja layak berbuat demikian, manakala orang awam diharamkan.
Sejak pencerobohan zionis ke atas Palestin, Masjid al-Aqsa sering dijadikan sasaran serangan Yahudi.
Antara paling provokatif pada 21 Ogos 1969, apabila warga Australia, Denis Michael Rohan, menceroboh ke ruang legar Masjid al-Qibli seterusnya membakar monumen yang menjadi antara paling bersejarah, Mimbar Salahuddin al-Ayyubi. Mimbar itu amat penting sebagai simbolik kemenangan Salahuddin al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib pada kurun ke-12.
Selain itu, mahkamah Israel beberapa kali mengeluarkan ketetapan membenarkan orang Yahudi masuk ke Kompleks al-Aqsa.
Ini termasuk lawatan dilakukan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pada 2000.
Setiap kali kumpulan Yahudi masuk, kebiasaannya berlaku kekacauan antara orang Arab dengan Yahudi. Mereka sentiasa berusaha meroboh binaan yang ada di al-Aqsa, khasnya Masjid Qubbah al-Sakhrah.
Sejak 1967, Israel juga memulakan penggalian terowong di bawah al-Aqsa tanpa kebenaran. Tujuan mereka adalah untuk mencari artifak, sekali gus mengaitkan dakwaan tapak itu sebagai tapak rumah ibadat mereka.
Namun, sampai hari ini, ahli arkeologi mereka tidak menjumpai sebarang bukti, melainkan artifak yang kembali ke zaman Rom Timur, Umayyah dan tentera Salib.
Antara kesan penggalian itu ialah struktur al-Aqsa semakin lemah. Pada 2004, selepas gempa bumi, pagar Mughrabi diisytiharkan berhadapan risiko roboh kerana struktur semakin lemah. Ini rentetan penggalian dan juga pembinaan lorong oleh Israel di kawasan berkenaan.
Sehingga kini, walaupun dipersetujui kawasan Baitulmaqdis Timur sepatutnya diserahkan untuk ditadbir pihak berkuasa Palestin, agak menyedihkan kerana ia masih dikawal tentera Zionis.

Setiap pintu masuk ke kota lama al-Quds dan pagar masuk al-Aqsa dikuasai tentera bersenjata automatik. - Foto Anadolu Agency

Setiap pintu masuk ke kota lama al-Quds dan pagar masuk al-Aqsa dikuasai tentera bersenjata automatik.
Mereka berhak menahan sesiapa sahaja daripada masuk ke al-Aqsa. Bahkan mereka menutup pagar al-Aqsa sekitar setengah jam selepas tamatnya solat Isyak berjemaah. Pagar hanya akan dibuka semula sejam sebelum Subuh.
Ketika penulis berkunjung ke sana, khatib dan imam al-Aqsa memberikan peringatan terhadap tindakan provokatif terhadap Bab al-Rahmah yang turut dikenali sebagai Pintu Emas.
Dalam kepercayaan Judaisme, al-Masih akan masuk ke al-Aqsa menerusi Bab al-Rahmah dan membina semula rumah ibadat mereka di sana. Sekarang, tentera Zionis beberapa kali cuba membina sinagog (rumah ibadat) mereka di sana dan membuka kembali pintu berkenaan.
Selepas menguasai pagar sebelah barat al-Aqsa lalu dibangun sebagai dinding ratapan, sasaran mereka sekarang ialah Bab al-Rahmah yang terletak di pagar sebelah timur.
Kelantangan khatib al-Aqsa yang juga Mufti Palestin, Sheikh Dr Ikrimah Sabri, antara lain dijadikan alasan Israel untuk menafikan haknya daripada bertugas di al-Aqsa.
Pada 19 Januari lalu, Israel menggeledah rumah Sheikh Ikrimah dan mengeluarkan larangan kepada beliau daripada masuk ke al-Masjid al-Aqsa selama seminggu.
Menurut sumber al-Aqsa, Israel dijangka mengeluarkan ketetapan larangan mutlak kepada Syeikh Ikrimah daripada bertugas di al-Aqsa esok.

Masjid al-Aqsa yang sebenar. - Foto justislam.co.uk

Sekiranya ini berlaku, maka jemaah Masjid al-Aqsa akan kehilangan tokoh agama paling lama di situ. Suaranya tidak akan lagi berkumandang di mimbar al-Aqsa.
Kepada umat Islam dan masyarakat dunia yang prihatin, marilah kita bersama mengambil berat terhadap gelombang permusuhan terbaru terhadap Masjid al-Aqsa ini.
Tindakan Zionis perlu dikritik kerana bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan peradaban manusia.
Penulis adalah Ketua Program Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang

No comments: