06 January 2020

AKIBAT MEROGOL ADIK KANDUNG

Assalamualaikum



AKIBAT MEROGOL ADIK KANDUNG
SEPANJANG lebih 10 tahun menguruskan jemaah ke Tanah Suci sama ada mengerjakan umrah atau haji, saya sudah masak dengan berbagai keadaan yang berlaku di sana. Setakat kejadian pelik yang menimpa jemaah seperti hilang, tidak nampak Ka’abah dan bermacam lagi bukanlah sesuatu yang menghairankan saya. Malah, kita sendiri arif bahawa segalanya boleh berlaku ketika berada di Mekah.
Apa saja dosa yang kita lakukan walau sebesar kuman sekalipun, jika Allah mahu membalasnya, di dunia lagi kita akan menerima balasannya. Namun, saya tertarik untuk menceritakan sebuah kisah yang berlaku pada seorang jemaah ketika bersama rombongan saya untuk menunaikan umrah kira-kira dua tahun lalu.
Apa yang berlaku pada jemaah itu adalah berlainan daripada yang pernah saya saksikan sendiri. Bukan tujuan saya untuk memburukkan empunya diri tetapi saya harap dengan cerita ini, dapat kita jadikan teladan dan mencerminkan diri untuk merenung sejauh mana hitam atau putihnya diri kita setakat ini di hadapanNya.
Biarlah saya namakan orang itu sebagai Syukri. Orangnya masih segak walaupun sudah berusia awal 40-an. Shukri tergolong dalam golongan orang-orang berada. Dia seorang ahli perniagaan berjaya dan mempunyai banyak syarikat dalam berbagai cabang perniagaan.
“Kenapa tak bawa anak isteri sekali? Kan lebih bagus, bukannya tak mampu,” kata saya sewaktu Shukri menyatakan niatnya untuk ke Tanah Suci.
“Bukannya tak mahu tapi mereka tak sedia lagi. Cuma hati saya seorang yang tiba-tiba terbuka nak ke Tanah Suci, jadi saya sendiri sajalah yang akan pergi nampaknya,” Jawab Syukri.
Sebelum berangkat, Syukri banyak bertanya tentang amal ibadat yang harus dilakukannya ketika menunaikan umrah nanti. Apa yang saya perhatikan, saya rasa Syukri seorang yang tidak menitikberatkan amal ibadat dalam kehidupannya. Nam membaca ayat mudah seperti niat sembahyang pun dia tergagap-gagap. Bak kata orang, Islam Shukri hanya pada nama sahaja. Namun, saya tidak pandang rendah sebaliknya saya bangga kerana walaupun Shukri begitu, hatinya telah terbuka untuk memulakan langkah mendekatkan diri kepada Tuhan. Kerana itu, saya cuba membantunya. Selain mengajar, saya bekalkan juga dia dengan berbagai buku berkaitan tentang ibadah supaya lebih mudah untuk dia menghafal dan mengamalkannya.
Sampai masa, rombongan kami pun berangkat ke Tanah Suci. Sewaktu di Madinah, saya lihat Syukri tidak ubah seperti jemaah lain. Dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah. Bezanya, dia banyak bertanya kepada saya atau kepada jemaah lain tentang sesuatu perkara berkaitan ibadah walaupun ia hanya perkara kecil.
Walaupun orang kaya, namun Syukri tidak pernah membezakan statusnya itu dengan jemaah lain. Berebza dengan apa yang saya perhatikan pada jemaah yang terdiri dari orang-orang kaya sebelum ini. Mungkin Syukri tahu bahawa Allah tidak pernah membezakan hamba-hambaNya dari segi kekayaan duniawi apatah lagi ketika berada di rumahNya.
Sehingga kami menaiki bas meninggalkan Madinah untuk ke Mekah, segalanya berjalan lancer. Namun, ketika bas baru memasuki sempadan Mekah, saya yang duduk tidak jauh dari Syukri terperanjat apabila Syukri yang ketika itu sedang duduk, tiba-tiba turun dari tempat duduknya.
Pada mulanya dia berlutut dan kemudian meletakkan kedua belah tangannya di atas lantai bas. Keadaannya tak ubah seperti orang yang mahu merangkak! Bukan hanya saya tetapi jemaah lain turut terkejut dan hairan melihat tingkah laku Shukri itu. Kami bertanya-tanya apa yang mahu dilakukan Shukri.
“kenapa dengan anak ni? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Tanya seorang jemaah lelaki yang duduk selang sebuah kerusi dari Syukri.
“Tak tahulah pakcik. Saya tak tahu kenapa jadi macam ni. Tiba-tiba kaki dan tangan saya seperti bergerak sendiri,” jawab Shukri membuatkan kami semua terperanjat. Riak wajah Shukri jelas menunjukkan ketakutan. Kami semua cuba membantunya. Kami cuba membangunkan dia tetapi gagal. Kami cuba meluruskan kaki dan tangannya tetapi tidak berjaya. Walau sudah dua orang tenaga lelaki cuba menarik kaki Syukri untuk diluruskan tetapi kakinya seolah-olah seperti besi, keras dan kaku!
“Macam mana ni… macam mana saya boleh jadi begini… Tolonglah saya,” rayu Syukri yang mula cemas dengan keadaannya itu. Kerana tidak dapat berbuat apa-apa, kami terpaksa membiarkan Syukri begitu sehinggalah kami sampai ke tempat penginapan. Kami terpaksa mengangkat Syukri ke biliknya. Jika tidak, Syukri terpaksa merangkak.
Yang peliknya, keadaan Shukri tidak berubah malah semakin teruk apabila kami sampai saja di Mekah. Dia terpaksa merangkak untuk bergerak dan lidahnya asyik terjelir. Gelagat Shukri tak ubah seperti anjing. Dalam keadaan begitu, Syukri tidak pula malu untuk sama-sama keluar melakukan ibadah bersama kami.
“Biarlah kalau terpaksa merangkak sekalipun. Mungkin ada kesalahan saya yang belum diampunkan Tuhan. Minta-minta jika saya beribadat dalam keadaan begini, dosa saya diampunkanNya dan keadaan saya kembali pulih,” kata Syukri.
Namun, satu lagi masalah timbul apabila kami sampai di depanKa’abah. Syukri tidak dapat melihat Ka’abah. “Sungguh aji, saya tak nampak Ka’abah. Yang saya nampak Cuma orang ramai berjalan di atas tanah lapang saja. Mana Ka’abahnya?” soal Syukri kepada saya.
Saya menggelengkan kepala. Berdasarkan pengalaman, saya tahu ada sesuatu yang telah dilakukan oleh Syukri sehingga dia menerima balasan sedemikian rupa dan tidak dapat melakukan ibadah yang sepatutnya. Sewaktu sampai waktu makan, saya nasihatkan Syukri agar menunggu sahaja di dalam bilik dan saya menyuruh orang untuk menghantar makanan kepadanya tetapi Syukri berkeras tetap mahu mengikut kami semua.
Di restoran, saya ambilkan makanan seperti yang Syukri mahu. Kemudian saya letakkan dihadapannya, dia cuba mengangkat tangannya untuk ambil makanan itu tetapi tidak berjaya. Saya tawarkan diri untuk membantu tapi Syukri tidak mahu. Akhirnya, dia makan dengan menggunakan mulutnya. Menjilat tak ubah seperti anjing makan.
Saya cukup kasihan melihat keadaan Syukri. Bayangkanlah orang lainberjalan dan makandi atas meja tapi Syukri terpaksa merangkak dan makanpun di atas lantai, tak ubah seperti kita memberi makan kepada haiwan peliharaan. Selama tiga hari keadaan Syukri begitu, walaupun dia cuba untuk melakukan ibadat tetapi tidak berjaya tambahan pula dengan keadaannya seperti itu.
“Beginilah, tak usah awak nak berahsia dengan saya sebab saya rasa awak tidak sakit. Panggil doctor pun tiada guna. Saya rasa apa yang menimpa awak ini ada kaitan dengan perbuatan awak. Berterus-teranglah, bukan niat saya nak mencungkil rahsia awak tetapi saya ingin membantu. Saya tidak mahu lihat keadaan awak terus begini,” kata saya kepada Syukri sewaktu berdua di dalam bilik penginapannya.
“Memang saya banyak melakukan dosa,” jawab Syukri. Air mukanya menggambarkan kesedihan. Menurut Syukri, dia telah lama lupa pada Tuhan. Sejak muda, hidupnya banyak dihabiskan dengan syurga dunia. Minum arak, berjudi, riba, menindas orang lain dan bermacam dosa lagi sudah menjadi amalan kehidupannya. Paling digemari Syukri ialah berzina. Baginya wanita tidak ubah seperti baju. Bila-bila masa dia akan menukar sesuka hati.
“Sudah ramai wanita yang ‘rosak’ angkara perbuatan saya aji. Ada di antara mereka yang saya rogol tapi perbuatan saya tidak setakat itu sahaja malah lebih teruk lagi. Adik dan kakak saya turut menjadi mangsa,” cerita Syukri dengan linangan air mata.
“Adik dan kakak? Maksud awak? Tanya saya inginkan penjelasan.
“Ya aji. Adik dan kakak kandung saya sendiri turut menjadi mangsa nafsu serakah saya. Saya paksa mereka melayan nafsu saya. Mereka tidak berani melawan kerana saya memang terkenal dengan sifat bengis. Mereka takut pada saya jadi, saya ambil kesempatan mempergunakan mereka,” ujar Syukri terus menangis.
Saya hanya mampu mengucap dan menggelengkan kepala mendengar pengakuan Syukri itu. Bagaimana dia tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Ya Allah, aku berdosa… berdosa. Tidak patut hambaMu ini hidup di dunia ini. Aku tidak layak jadi manusia, sedangkan haiwanpun tahu menyayangi keluarga sendiri tetapi aku telah menghancurkan hidup darah daging sendiri. Aku rela, aku rela jika Kau ambil nyawa aku sekarang. Aku tidak layak hidup di muka bumi ini,” raung Syukri sambil terus menangis.
Melihat keadaannya itu, saya menyuruh dia mengucap dan bersabar. Saya mesti membantu Syukri sama ada berjaya ataupun tidak, biarlah Allah SWT yang menentukan.
Jam 1 pagi, saya ke bilik Syukri. Saya menyuruh dia mandi hadas. Dalam keadaan Syukri yang masih merangkak, saya terpaksa membantu memandikannya. Selepas itu, saya bawa dia ke masjid. Selepas saya ajarkan, saya suruh dia buat sembahyang taubat.
Kemudian, saya bawa dia ke Ka’abah. Saya bantu dia melakukan tawaf kerana Syukri masih tidak dapat melihat Ka’abah. Dalam keadaan dia yang merangkak itu, dia tidak henti-henti menangis. Mulutnya tidak lepas daripada sentiasa meminta ampun kepada Allah SWT.
Hampir dua jam Syukri selesai menjalani ibadah dengan bantuan saya. Kemudian saya lihat dia menangis sambil berkata-kata seorang diri di depan Ka’abah. Sengaja saya biarkan dia begitu kerana saya tahu dia sedang berdoa dan meminta ampun dari Allah SWT.
Tiba-tiba saya agak terkejut apabila melihat Shukri tiba-tiba duduk berlutut dan menadah kedua belah tangannya seperti orang sedang berdoa. Setahu saya sebelum ini, dia langsung tidak boleh mengangkat tangannya. Perlahan-lahan saya mendekati Syukri. Kebetulan ketika itu, Syukri baru sahaja habis membaca doa.
“Syukri…,” panggil saya. Sambil itu, saya pegang kedua belah bahunya dan saya bantu dia berdiri. “Kau dah pulih ke?” tanya saya. Syukri yang mendengar pertanyaan saya itu terpana seketika. Kemudian, dia melihat dirinya seperti tidak percaya denga apa yang berlaku.
“Saya dah pulih? Eh! Betul ke aji? Tapi, sekarang saya dah boleh berdiri. Ni… tangan dan kaki saya ni… dah boleh digerakkan. Saya dah boleh jalan,” kata Syukri sambil menggerakkan kaki dan tangannya. “Eh! Aji, itu Ka’abah kan?” tanyanya apabila berpaling kehadapan. Saya hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Saya dah nampak aji, saya dah nampak Ka’abah, Besarnya. Ya Allah, akhirnya aku nampak juga Ka’abah,” ujar Syukri yang tidak putus-putus bersyukur dan ternyata benar-benar menyesali perbuatannya sebelum ini.


💚❤♥️💛💜🖤💞🔁💙🆗️

No comments: