Harga petrol naik, harga beras makin mahal, harga ayam bertambah, harga minyak masak melambung. Ini adalah isu yang selalu diperkatakan samada perbualan antara dua sahabat di kedai kopi mahupun perdebatan serius antara ahli parlimen semasa bersidang. Ia bukan masalah yang dihadapi di Malaysia sahaja bahkan fenomena ini sedang dihadapi oleh penduduk seluruh dunia. Masalah ekonomi yang melanda memaksa ramai individu untuk mengambil tindakan yang tersendiri untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka. Golongan yang tidak bermoral akan terlibat dalam kegiatan yang tidak sah disisi undang-undang seperti mencuri dan sebagainya. Manakala golongan yang benar-benar ingin berusaha dan memajukan kehidupan dalam kekangan masalah kewangan akan mencari jalan yang lebih mulia seperti menceburi bidang perniagaan secara sambilan.
Oleh sebab itu ramai yang akui bahawa menjalankan perniagaan secara sambilan penting untuk memberi sumber pendapatan yang lebih supaya mereka dapat menampung segala tanggungjawab dari segi kewangan. Pendapatan daripada aktiviti berniaga secara sambilan dapat membantu menyelesaikan masalah kewangan yang disebabkan oleh harga barang dan kos pengangkutabn yang makin meningkat.
Mungkin juga pendapatan daripada perniagaan secara sambilan itu dapat memberi anda lebihan sumber kewangan untuk anda melakukan sesuatu yang diingini seperti bercuti keluar negara dan sebagainya.
Berniaga secara sambilan juga dapat memberi anda wang untuk menanggung kos pelajaran anak-anak. Adalah lebih baik jika anda menggunakan wang pendapatan daripada perniagaan secara sambilan untuk kos pelajaran anak-anak dibandingkan dengan meminjam daripada institusi kewangan yang kebanyakanya akan mengenakan yuran yang agak membebankan.
Tak kurang juga yang menceburi bidang perniagaan secara sambilan kerana minat semata-mata. Pendapatan yang diperolehi bolehlah dijadikan sebagai simpanan untuk hari yang mendatang. Satu langkah yang bijak juga.
Apabila anda menjalankan perniagaan secara sambilan, anda akan perolehi banyak ilmu dan selok belok tentang perniagaan atau tentang produk yang anda jual. Oleh itu, amalan berniaga secara sambilan juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sekali gus akan menjadikan anda seorang individu yang lebih berdaya saing. Nah! Ini adalah peluang yang harus ambil untuk memajukan diri ke tahap yang lebih tinggi dalam tangga kerjaya anda samada peluang untuk dinaikkan pangkat ditempat kerja anda ataupun mungkin anda akan menjadi yakin dan meneruskan perniagaan yang anda mulakan secara sambilan ke tahap yang lebih tinggi dan secara sepenuh masa pula. Apa yang penting sikap positif dan disiplin diri mesti dititik beratkan apabila anda memikul dua tanggungjawab yang berat.
Sebelum anda membuat keputusan menceburi bidang perniagaan secara sambilan, banyak faktor yang perlu dikaji secara lebih mendalam. Faktor pertama yang paling penting untuk anda fikirkan ialah samada penglibatan anda dalam perniagaan secara sambilan nanti akan memberi kesan secara negatif terhadap tanggungjawab kerja hakiki yang sedia ada.
Apabila aktiviti berniaga secara sambilan memakan banyak masa dan mengganggu jadual kerja hakiki, anda akan dibebani dengan masalah lain. Pekerjaan hakiki menuntut anda supaya mematuhi syarat dan disiplin kerja seperti yang dipersetujui oleh anda semasa menandatangani kontrak untuk bekerja. Lazimnya, kebanyakan syarikat tidak akan membenarkan pekerjanya menjalankan perniagaan secara sambilan samada di pejabat atau di mana sahaja. Sesetengah pula mungkin akan mengenakan syarat tidak dibenarkan membuat perniagaan sambilan di pejabat sahaja. Oleh itu, anda hendaklah menyemak kembali syarat-syarat yang telah termaktub dalam surat majikan supaya anda tidak melanggar peraturan. Apabila anda melanggar peraturan syarikat yang memberi anda kerja hakiki, anda mungkin akan dikenakan denda atau penggantungan kerja dan lebih teruk lagi diberhentikan. Anda mesti tidak mahu berlakunya pepatah “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”.
Kerja sambilan yang dipilih haruslah sesuatu yang melibatkan perniagaan yang senang untuk dikendalikan kerana anda tidak akan mempunyai banyak masa secara sambilan. Anda terpaksa membahagi masa antara komitmen terhadap kerja hakiki dan berniaga secara sambilan. Berniaga secara sambilan yang senang untuk dilaksanakan oleh seorang individu yang mempunyai kepakaran tertentu contohnya seorang pelukis pelan rumah atau bangunan. Anda boleh memulakan perniagaan secara sambilan yang berkaitan dengan ilmu dan kemahiran yang anda ada. Anda boleh memulakan perniagaan anda dengan menghubungi syarikat-syarikat pembinaan dan menawarkan khidmat melukis pelan dengan harga yang lebih rendah daripada firma-firma yang lebih terkenal. Dengan cara ini syarikat pembinaan akan dapat mengurangkan kos mereka dan anda akan dapat sedikit pendapatan tambahan melalui perniagaan sambilan ini. Ini juga salah satu kepentingan berniaga secara sambilan iaitu membolehkan situasi menang menang dalam proses perniagaan. Banyak pihak yang dapat manfaatnya!
Anda harus berhati-hati supaya perniagaan secara sambilan yang dipilh tidak melibatkan kos yang tinggi kerana tujuan asal anda memulakan perniagaan secara sambilan adalah untuk menambahkan pendapatan dan bukan sebaliknya. Jika perniagaan sambilan menelan belanja yang banyak sebelum ianya dimulakan, anda akan lebih dibebani dengan masalah kewangan. Segala analisa terhadap belanja, pelan tindakan, jadual untuk perlaksanaan haruslah disediakan dengan terperinci sepertimana anda akan menjalankan sebuah perniagaan yang biasa. Yang berbeza disini hanya dari segi masa yang boleh anda luangkan kerana terikat dengan kerja hakiki. Jika anda memilih untuk menjual produk makanan, pastikan anda boleh meluangkan masa untuk memasak. Anda perlu fikirkan masa yang perlu untuk membeli bahan-bahan untuk memasak, masa untuk membungkus makanan tersebut serta masa untuk membuat penghantaran dan sebagainya.
Berniaga secara sambilan melalui internet tidak memerlukan banyak masa untuk membuat promosi yang hebat. Oleh itu anda tidak perlu menggunakan masa anda yang lebih untuk berniaga secara sambilan. Anda boleh menunjukkan gambar produk-produk anda di laman blog. Anda boleh mengemaskini maklumat apabila anda masa terluang. Oleh itu anda boleh menjalankan perniagaan secara sambilan dengan selesa dan lebih fokus.
Anda juga boleh membuat perniagaan secara sambilan dengan menjual barang terpakai di MUDAH.my atau eBAY. Modal yang diperlukan amat rendah kerana barang-barang yang terlibat memang sedia ada. Risiko juga tidak ada kerana jika tidak terjual, barang-barang yang memang anda tidak mahu bolehlah didermakan. Bayaran juga terjamin kerana pelanggan harus membayar anda sebelum anda menghantar produk kepada mereka.
Jika tuntutan kerja hakiki memerlukan anda sentiasa bertugas ke luar daerah atau luar negara, anda perlu berhati-hati jika mahu meneruskan hajat untuk berniaga secara sambilan. Jika anda adalah dalam golongan ini, mungkin anda boleh menjalankan perniagaan menjual barang-barang yang unik dari negara atau daerah luar. Produk-produk kecantikan, hiasan rumah, barang kemas, tekstil dan pakaian dari luar negara pasti akan menjadi tarikan pelanggan. Anda boleh membeli dan menjualnya di internet seperti di eBAy atau MUDAH.my atau menjual terus kepada rakan-rakan dan pelanggan lain. Cuma anda perlu ingat bahawa cara ini memerlukan modal yang lebih kerana harga produk-produk yang terlibat biasanya agak tinggi. Risiko yang harus anda tanggung pula mungkin apabila produk tidak dapat dijual kerana tiada pelanggan yang mempunyai citarasa yang sama dengan anda. Oleh itu, anda perlu mengambil langkah-langkah yang terntentu untuk mengelak risiko ini.
Ada juga peluang berniaga secara sambilan yang anda boleh jalankan setiap masa walaupun kerana ia tidak memerlukan anda membawa stok produk yang memerlukan tempat simpanan yang besar dan senang dibawa kesana kemari. Produk yang dimaksudkan ialah kad prabayar untuk telefon bimbit. Permintaan terhadap produk ini memang meningkat pada hari ini. Permintaan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Masa untuk urusan jual beli juga sangat singkat. Modal untuk memulakan perniagaan ini juga agak rendah.
Anda mungkin juga boleh menceburi perniagaan secara sambilan waktu tertentu seperti seminggu sekali di pasar malam dan di pasar tani. Produk-produk boleh dibeli dari pasar borong secara pukal. Untuk mendapat tarikan yang lebih dari pelanggan, anda bolehlah membungkus produk anda dengan kreatif dan menarik serta amalkan cara yang bersih.
Setelah keputusan dibuat, anda perlu pula menyediakan senarai tindakan lanjut apa yang perlu anda lakukan sebelum bermula. Anda mungkin perlu membuat sedikit simpanan wang kerana apa jua bidang perniagaan samada secara kekal ataupun secara sambilan akan memerlukan sedikit modal. Contoh jika anda mahu memulakan penjualan nasi lemak dan dihantar ke kedai-kedai makanan sekitar kawasan perumahan anda. Anda sudah semestinya perlu membeli bahan dan alatan untuk membungkus dan membawa nasi lemak yang sudah siap ke tempat jualan tersebut.
Amatlah penting untuk anda menjaga dan membahagi masa antara kedua tuntutan kerja. Seperti yang ditekankan tadi, anda perlu mematuhi segala terma dan syarat kerja yang dikenakan oleh majikan sedia ada. Dengan ini, anda perlulah bijak menguruskan masa. Jika anda mahu lebih fokus dan menjalankan kedua-dua tanggungjawab dengan lebih berjaya, mungkin anda boleh membuka gerai pada hujung minggu sahaja.
Jika anda boleh menyediakan produk jualan anda di rumah dan mempromosikan produk anda di internet, perniagaan anda akan lebih diketahui ramai. Perniagaan produk secara atas talian akan memudahkan anda dari segi pengurusan masa. Anda boleh meletakkan masa penghantaran yang tertentu mengikut kesesuaian masa anda.
Selain daripada maklumat-maklumat yang telah dibentangkan di atas tadi, anda harus ingat bahawa walaupun anda menjalankan perniagaan secara sambilan, etika perniagaan yang bagus harus diamalkan. Penipuan haruslah dielakkan sama sekali. Anda juga harus menepati apa yang dijanjikan kepada pelanggan. Hal ini dikira agak sukar untuk anda amalkan kerana anda harus ingat bahawa anda perlu menjalankan dua tanggungjawab.
Disiplin yang tinggi perlu diamalkan. Untuk membantu anda lebih fokus dan disiplin, anda perlulah membuat jadual kerja yang lengkap supaya masa yang diagihkan untuk berniaga secara sambilan ialah masa yang terluang selepas segala tuntutan kerja hakiki sudah selesai.
Sokongan dari ahli keluarga amatlah diperlukan kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti tuntutan kerja yang hakiki yang memerlukan anda bertugas luar daerah secara tiba-tiba walhal anda sudah membuat perjanjian dengan pelanggan anda untuk menghantar produk anda. Pelanggan yang ada mesti dijaga, oleh itu anda perlulah meminta pertolongan ahli keluarga supaya pelanggan masih mendapat produk yang dipesan mengikut masa yang dijanjikan.
No comments:
Post a Comment