24 February 2012

HIKMAT AYAT 1000 DINAR

HIKMAT AYAT 1000 DINAR



Jika kita makan di Restoran Islam, didinding selalunya tergantung ayat 1000 dinar yang tulisannya dapat kita baca dari jauh. Ayat 1000 dinar ini adalah sebahagian dari ayat kedua dan sebahagian dari ayat ketiga Surah At-Talaq.

Ramai orang menganjurkan supaya mengamalkan ayat ini untuk memperolehi kejayaan atau keuntungan. Ramai peniaga menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan mereka, dengan harapan supaya perniagaan bertambah maju. Ramai pula yang menghafal ayat ini untuk dibaca dimasa-masa yang sesuai, seperti selepas solat.

Memang kita tidak boleh menafikan kelebihan ayat 1000 dinar. Malangnya, pendekatan sebahagian orang mengenai ayat ini, adalah sesat dan tidak betul. Jika kita lihat terjemahan ayat ini, ia mengandungi dua pengajaran iaitu supaya kita bertaqwa dan bertawakkal. Oleh itu, pendekatan yang betul untuk mengamalkan ayat 1000 dinar ini ialah dengan bertaqwa dan bertawakkal. Kenalah kita pelajari bab bertaqwa dan bertawakkal.

Kalau menampalkan pelekat ayat 1000 dinar ini di premis perniagaan, tapi solat tidak dikerjakan, amalan tidak jujur dalam perniagaan terus dibuat atau sebagainya, ini tidak bermakna kita mengamalkan ayat 1000 dinar.

Tujuan menampalkan pelekat itu hanyalah sebagai cara supaya kita selalu beringat untuk bertaqwa dan bertawakkal. Begitu juga kalau kita baca ayat ini beribu-ribu kali dalam sehari, sedangkan kita tidak bertaqwa dan bertawakkal, itu juga bukan cara yang betul mengamalkan ayat 1000 dinar.

Sebenarnya ayat seribu dinar adalah sebaik-baik segala doa untuk segala masalah. Banyak doa-doa lain untuk perlindungan diri dari musibah dan ketika susah. Tetapi mampukah kita menghafal kesemua doa-doa tersebut. Hanya segelintir diantara kita yang mampu menghafal banyak doa-doa yang khusus untuk sesuatu tujuan.

Tetapi ayat seribu dinar merangkumi kesemuanya untuk mendapatkan rezki yang banyak, melindungi diri dari bala dan musibah serta perlindungan dari syaitan, jin dan iblis. Di kala kita dalam kesusahan yang seperti dialami oleh pelajar-pelajar di Mesir yang terkini terkepung. Ada kalanya kita terlupa, apakah doa yang hendak dibaca. Yang sebaik-baiknya ayat seribu dinar yang mudah dibaca dan dihafal sewaktu dalam keadaan darurat.

Ini ayat seribu dinar namanya, ayat ini diamal oleh seorang hamba yang mendapat hikmat ini dari Nabi Allah Khidhir ketika belayar di laut dengan berkata berkat amal ayat ini hamba itu mendapat kemuliaan dan menjadi raja.

Ayat ini mengandungi seribu faedah jikalau di amalkan tiap-tiap kali lepas sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah, barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.

Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh.

Jikalau mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala.

Jikalau masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika di pukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali.

Selepas mengetahui hikmat ayat ini, eloklah dihafalkan dan fahamkan maknanya sekali sebagai bekalan kita ketika menghadapi segala kesusahan dan kesengsaraan yang tidak kita jangkakan. Jazakallah Khairan.




Maksudnya:

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya).Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang di kehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."

No comments: