TIDAK TERTANGGUHNYA WALAU SEDETIK PUN KEMATIAN ITU.
Semalam ada seorang guru lelaki yang masih muda baru berusia 41 tahun meninggal dunia pada malam jumaat. Mengajar di Sekolah Menengah Khir Johari, Bagan Datoh. Allahyarham Chegu Amir baru dikebumikan sebelum solat jumaat tadi. Arwah seorang yang baik dan peramah dan mati pulak pada hari jumaat, itulah tanda-tanda kematian yang mulia. Kita bagaimana pulak agaknya? Semuga roh beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
Diriwayatkan dari Imam at-Turmuzi dalam himpunan hadis dari Abdullah Bin A'mru telah berkata: Bersabda Nabi Sallahu Alaihi Wasallam:
"Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur." (Berkata al-Albani dalam Ahkam Janaiz, hadis yang dihimpunkan dari pelbagai toriq adalah hasan atau sohih).
Jelaslah hadis ini menunjukkan kelebihan bagi sesiapa yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat menunjukkan baiknya pengakhiran seseorang itu (Husnul Khotimah).
Mudahan-mudahan kita juga terpilih untuk mengakhiri nafas ini dengan pengakhiran yang terbaik.
Setiap detik pasti ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru.
Kita di dunia umpama seorang musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian kita akan meneruskan perjalanan ke alam kubur atau alam barzakh yang menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda.
Berdasarkan (iktikad) Ahli Sunnah wa al-Jama’ah, setiap manusia akan berada dalam satu alam dinamakan alam barzakh, terletak antara alam dunia dan alam akhirat.
Hal ini bersesuaian firman Allah SWT yang bermaksud:
“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) – supaya aku mengerjakan amalan salih dalam perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata dia saja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).” (Surah Al-Mukminun, ayat 99-100).
Seseorang yang sudah mati dan berada di alam barzakh dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak.
Perkara ini disebut dalam riwayat Imam al-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat).”
Dr A’idh Abdullah al-Qarni menulis dalam sebuah bukunya yang cukup terkenal bertajuk Malam Pertama di Alam Kubur, seorang penyair Arab pernah mendendangkan syairnya: “Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam itu .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba.”
Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i berkata: “Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: Dulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”
Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa sahabatnya dalam satu majlis: “Wahai fulan! Engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir mengenai kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.”
Pada suatu ketika pula, Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang bersurai kecuali beliau dan beberapa sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur itu.
Tidak lama kemudian sahabatnya bertanya: “Wahai Amirul Mukminin, kau adalah wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang. Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Amirul Mukminin.
Kubur ini memanggilku dan berkata: Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.
Kubur berkata: Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.
Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata: Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati.
Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.”
Antara syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Tetapi ramai kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman berbahaya ini.
Jika pun kita mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.
Jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki, tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati keras dan beku, rawatilah dengan penjelasan dahsyatnya kubur supaya ia hidup kembali.
Untuk merawat hati yang keras, memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir; sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah; menghadiri majlis ilmu; mengingati mati dan menziarahi kubur.
Jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya adalah satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
Wassalam
No comments:
Post a Comment