Relakah anda dimadukan?
Kalau kita tanya kaum lelaki, apa yang mereka idamkan. Jawapannya banyak sekali.....seperti berkereta mewah 2 atau 3 buah, banglo mewah yang besar di 2 atau 3 tempat yang ekslusif dan beristeri lebih daripada satu.
Tetapi suami hendaklah mengukur baju di badan sendiri. Tanya diri tu? Mampukah anda!
Untuk kahwin lebih daripada satu, suami perlu mempunyai kewangan yang kukuh dan juga kekuatan seks yang luar biasa. Jika tidak, berlakulah kes-kes isteri curang dan bermacam-macam lagi sehingga kita tertanya-tanya apakah kita tidak pernah mengambil iktibar daripada kes-kes tersebut.
Namun sebenarnya, tidak semesti orang yang mempunyai kewangan yang kukuh sahaja yang mampu beristeri lebih dari satu! Ada yang cukup-cukup makan pun pasang sampai tiga. Dulu, ada seorang jiran saya yang dikenali sebagai "Man Tiga". Dia ni digelar begitu kerana mempunyai tiga isteri. Isteri-isterinya semua bersatu hati dan berbaik-baik antara madu. Masing-masing membuat kuih-muih dan menjual di hadapan rumah. Hasilnya, si suami gunakan untuk menampung hidup serta persekolahan anak-anak yang sebanyak 15 orang.
Saya pernah bertanya, mengapa tidak dicukupkan 4 orang? Jawapannya, "Coming Soon!" Dia berkata begitu dengan bangga sekali.
Saya? Teringin jugak! Tapi, setakat ini, cukuplah dengan satu isteri. Mungkin saya tidak sanggup menduakannya kerana melihat jauh ke dalam anak mata anak-anak saya yang empat orang itu. Saya sangat sayangkan anak-anak saya yang comel dan cerdek ini. Kalau orang lain saya tak tahu lah pulak! Semoga cita-cita beristeri lebih daripada satu bukan menjadi agenda saya, tidak sekarang, tidak juga di masa depan, insya-Allah. Lagipun, tak ada adik-beradik saya yang beristeri lebih dari satu. Takut nanti jadi suatu perkara yang luar biasa bagi keluarga kami.
Saya pernah terbaca dalam satu majalah tempatan. Kata isteri seorang Dato, "Biarlah dato ada 'affair' dengan 'mistressnya' daripada dato (suaminya) berkahwin dengan perempuan itu. Mengucap panjang saya.
Sanggupkah menanggung dosa? Tidak takutkah kepada azab Allah SWT? Tahukah betapa besarnya dosa berzina di sisi Islam?
Masya-Allah!!!!!
Ini kisah tentang kaum lelaki di utara Semenanjung. Ada yang sanggup melintas ke seberang melepaskan nafsu serakah. Memanglah, kalau kita tengok gadis-gadis di sana, muda-muda dan bergetah. Layan lelaki macam raja. Lelaki-lelaki ini berkata bahawa isteri mereka tidak sanggup buat seperti apa yang dilakukan oleh gadis-gadis seberang ini. Makan disuap, kaki dibasuh dan macam-macam lagi layanan yang tidak terbuat oleh isteri kita.
Tapi mereka lupa. Yang tidak halal itu memang sedap kerana di tengah-tengah lelaki dan perempuan itu duduknya syaitan. Tentu sahaja enak, kerana syaitan dah terselit dan mengindahkan segala-galanya. Lupakah bahawa di sana penyakit Aids sedang menular pantas? Tak takutkah terkena virus HIV? Atau dijangkiti siplis, herpes dan lain-lain penyakit kelamin? Nauzubillah! Kemudian, bila balik ke rumah, maka berjangkitlah penyakit ini kepada si isteri. Tidak kasihankah kepada isteri yang setia? Yang baik? Yang tidak tahu apa-apa? Nanti, jika terbocor rahsia, siapa yang malu? Satu keturunan mendapat aib. Yang pasti, bukan suami sahaja akan dikutuk, dimaki, malah seluruh keluarga akan dipulau masyarakat setempat!
Jadi bacalah post ini wahai para isteri yang budiman .....
POLIGAMI
Poligami antara tanggungjawab sosial, keinginan lelaki dan keresahan wanita. Poligami sebenarnya merupakan punca keresahan kepada isteri pertama lebih daripada merupakan masalah wanita keseluruhannya. Dari kenyataannya, wanita secara umum perlukan kepada poligami sebagaimana lelaki namun sebab sahaja yang berbeza. Suami yang berkeinginan kuat, memerlukan lebih dari seorang isteri. Wanita yang lemah memerlukan perlindungan – bilangan mereka ini ramai – perlukan kepada suami. Tidak semua keadaan atau bukanlah keadilan mutlak kalau kita berpegang kepada kaedah ‘satu lelaki untuk satu perempuan’.Sebaliknya ia akan menyebabkan kepincangan dalam masyarakat.
“Ustaz tolong cakap kepada suami saya…”.
Begitulah bunyinya seorang isteri memulakan luahannya apabila suami ingin
‘pasang cawangan’.
“Dia tidak mampu, apa yang saya tahu –saya isterinya – dia tidak boleh berlaku adil. Bukan saya tidak setuju….”, luahnya lagi.
Beginilah detik-detik kehidupan seorang isteri yang ingin dimadukan. Perasaan sedih, kecewa, celaru bercampur-baur, mengakibatkan bak kata pepatah, “mandi tak basah, tidur tak lena dan makan tak kenyang.” seolah-olah seluruh dunia memusuhinya.
Sebaliknya pula pengakuan suami.
“Saya bahagia dengan isteri saya, kami tidak ada masalah, cuma saya rasa nakkan satu lagi. Saya percaya saya boleh beri keadilan kepada isteri saya kalau saya berpoligami. Isteri saya InsyaAllah boleh terima keadaan ini. Bukan kerana cantik. Kalau nak lihat pada kecantikan isteri saya yang pertama pun lagi cun…”
Keinginan yang melonjak-lonjak sukar ditafsirkan. Tetapi itulah hakikatnya. Ucapan suami yang berkobar-kobar dan keresahan isteri yang berdebar-debar. Punca apa yang perlu dikaji ialah, apakah punca kepada keresahan isteri pertama itu sebenarnya?
Dari pengamatan penulis ada beberapa punca yang menyebabkan perkara itu berlaku:
1. Ia kadangkala berpunca daripada sikap wanita itu sendiri yang pentingkan diri sendiri (isteri pertama), sukar untuk bertolak ansur, dan sukar menerima hakikat ia sudah berkongsi tongkat.
2. Kadang-kadang berpunca dari sikap lelaki yang bersikap ‘habis madu sepah dibuang’ dan senang melihat penderitaan isteri yang dimadukan.
3. Kadang kala berpunca daripada masyarakat yang memandang serong kepada poligami, sehingga menganggap isteri tua tidak pandai menjaga suami dan sebagainya.
4. Serta tidak kurang juga masalah datang daripada isteri kedua yang tamak dan tidak sedarkan diri. Setelah mengambil suami orang dia berusaha merampasnya terus.
Keempat-empat punca ini, adalah penafsiran sebenar kepada keresahan untuk menerima hakikat bermadu oleh isteri pertama. Ia bukan disebabkan oleh poligami itu sendiri.
Poligami membawa kebaikan kepada masyarakat dan keluarga jika ia dilaksanakan dengan menepati kehendak hukum Islam. Sistem Islam yang amat adil ini dicemari oleh perbuatan manusia sehingga poligami dilihat negatif oleh banyak kelompok masyarakat. Jika sekiranya manusia lelaki dan wanita bersikap adil (adil bukan hanya sifat lelaki) poligami akan dapat menyelesaikan banyak masalah yang sedang dihadapi oleh manusia kini. Kesedaran Sosial Penulis ingin mengajak isteri-isteri untuk merenung nasib kaum sejenis dengannya.
Siapakah yang lebih halus perasaannya untuk merasa belas kasihan kepada kaum wanita yang tidak bernasib baik, kalau isteri pertama hanya mementingkan diri dan mengatakan jangan kacau suami saya, maka siapa yang akan selamatkan mereka? Kalau begitu wanita adalah mereka yang paling tidak sensitif dengan isu wanita dan amat mementingkan diri sendiri.
”Kalau nak kawin dengan anak dara tua oklah juga atau selamatkan janda yang tidak terbela….. ini tidak, nak cari anak dara, berkelulusan tinggi ada profesion dan kadang kala tidak pentingkan agama….ada potensi boleh didik, dakwanya. Mana tanggungjawab sosial di sini? Saya nampak tak ada lain kecuali nafsu”.
Ya, kenyataan itu ada benarnya, namun tanggungjawab sosial tidak terhenti kepada masalah yang disebutkan. Mengelakkan berlaku perzinaan dan hubungan sumbang juga adalah suatu tanggung jawab sosial.
Suami ada sebab tersendiri yang diterima syariat untuk melepaskan keghairahannya dengan cara berpoligami. Kepada isteri kedua hendaklah berterima kasih kepada isteri pertama. Hormatilah mereka sebagaimana sepatutnya.
“….Dulu saya yang carikan untuknya isteri, sampai hati dia sanggup meninggalkan saya”
Jagalah lidah daripada ucapan menghasut, dan usaha untuk control suami.
”Saya tidak suka dengan perempuan gila tu..tak tahu jaga laki !!!”
Islam melarang isteri yang bermadu bertindak demikian. Hadapilah sikap mementingkan diri sendiri dengan mujahadah. Sebaliknya berilah dorongan kepada suami agar bersegera ke rumah isteri pertama.
“Abang kalau balik sana , kirim salam pada kakak ya!”
Kekang keinginan dengan perasaan tanggungjawab.
“Masa mula-mula kahwin dulu dia balik setiap dua hari tetapi sekarang ada saja alasannya. Kalau yang sana tu telefon cepat-cepat dia balik, kadang-kadang nak minum air bersama anak-anak pun tak sempat”.
Selepas beberapa bulan dari berpoligami kenyataan perit bermula. Perahu kini sudah tidak berkemudi lagi. Lajak sudah tidak boleh diundur dan nasib isteri pertama sukar diramalkan. Rasa tanggungjawab mula nipis dan ikrar keadilan mula dilupakan. Suami mula menghadapi dunia baru yang tidak dijangka sebelum ini.
“Macam mana selepas buka cawangan?”
“Perempuan, perempuan juga. Kalau belum mula tu…. tak payahlah”
Oleh kerana menyedari akan ragam manusia ini Islam meletakkan panduan yang lengkap yang perlu diikuti oleh pasangan yang ingin berpoligami.
Naluri keinginan lelaki seharusnya dihalakan untuk memenuhi tuntutan sosial seperti berikut;
1. Kemandulan: Isteri tidak mampu melahirkan zuriat untuk si suami. Islam mengharuskan suami untuk berpoligami sebagai satu usaha untuk memperolehi zuriat sendiri.
2. Penyakit: Isteri mengidap penyakit yang menghalang si suami untuk menikmati kehidupan rumahtangga secara sempurna, kerana isteri gagal memberi layanan yang sewajarnya kepada suami, Islam mengizinkan suami untuk berpoligami sebagai satu ganjaran terhadap kesabaran suami yang sanggup menjaga dan menanggung isteri yang berpenyakit.
3. Nafsu: Suami memiliki keupayaan seksual yang luarbiasa dan tidak mampu ditampung oleh seorang isteri, apatah lagi sekiranya si isteri berada dalam haid dan nifas. Islam mengharuskan suami berpoligami untuk memelihara kesucian agama dari terjebak ke lembah maksiat.
4. Pertambahan bilangan janda, balu dan andartu: Bertambah bilangan kumpulan di atas secara tidak langsung menambahkan bebanan sosial dan mempengaruhi kerosakan akhlak di kalangan masyarakat. Keadaan ini mendorong sesiapa yang berjiwa mulia untuk berpoligami dengan niat memelihara kehormatan dan kemulian kaum wanita.
5. Musafir: Para suami yang banyak bermusafir keluar negara dalam tempoh yang agak lama diatas urusan tertentu juga adalah antara faktor yang membolehkan lelaki untuk berpoligami. Kerana dengan itu ia dapat mengelak dari terjebak kepada dosa dan zina.
6. Pertambahan bilangan perempuan: Perkara ini berlaku disebabkan kematian ramai kaum lelaki. Keadaan ini juga adalah antara sebab sosial yang mengharuskan poligami.
Syarat-syarat poligami
Ada beberapa syarat yang ditetapkan kepada lelaki yang ingin berpoligami. Antaranya ialah:
1. Ada keinginan daripada pihak lelaki
2. Tidak boleh melebihi empat orang. Islam menghadkan poligami hanya kepada empat orang sahaja.
3. Mampu berlaku adil. Keadilan meliputi perkara-perkara berkaitan tempat tinggal, nafkah, makan pakai dan tidak termasuk hal-hal yang berkaitan dengan hati dan kecenderungan perasaan. Jika keadilan gagal dipenuhi Islam tidak mengizinkan lelaki berkahwin lebih daripada satu.
Hukum berpoligami.
1. Wajib apabila dibimbangi membawa kepada zina dan maksiat
2. Harus, bila suami berkemampuan dan berkeinginan untuk berpoligami
3. Haram, apabila tidak mampu menunaikan hak yang sepatutnya kepada isteri-isterinya.
4. Makruh, apabila suami gagal menunaikan bebarapa hak isterinya dan dengan keredaan isteri
Apakah poligami harus digalak atau harus dihindari terserahlah kepada penilaian suami yang bijaksana.
Wasallam
Wasallam
No comments:
Post a Comment