29 February 2012

Ph.D

Ph.D MEMBINASAKAN DIRI.


Dalam sebuah hadis, baginda Rasulullah s.a.w ada menyebutkan yang bermaksud:
Ketahuilah bahawa pada tubuh manusia itu ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baiklah tubuh itu dan apabila ia buruk, buruklah tubuh itu. Segumpal daging itu adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Salah satu penyakit mental yang semua orang ada samada sikit atau banyak adalah sifat hasad dengki. Apa itu hasad? Hasad adalah seseorang yang menginginkan hilangnya kesenangan yang dimiliki oleh orang lain dan berusaha memindahkan kesenangan itu agar berpindah kepada dirinya. Dalam pemahaman dari sudut bahasa kita, hasad seringkali disebut sebagai iri hati atau dengki terhadap prestasi atau keberuntungan yang dicapai oleh orang lain. Urutan daripada sikap ini ialah berusaha menghilangkan keberuntungan itu agar beralih kepada dirinya.

Kerana hasad dengki juga, menjurus kearah bermacam kes jenayah kecil sehingga besar. Kerana hasad dengki, banyak orang menggunakan sihir keatas orang lain. Sifat hasad dengki boleh merosakkan perpaduan ummah.

Allah SWT telah berfirman, yang bermaksud:
Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui segala apa yang mereka kerjakan. (Ali-Imran: 120)
Membicarakan perkara berkaitan dengan hasad dengki ini. Sememangnya, sebagai seorang hamba Allah yang biasa, yang selalu sering sahaja terlupa. Perasaan hasad dengki boleh dikatakan dirasai oleh semua orang. Yang menyedihkan, seringkali disinonimkan sikap hasad dengki itu dengan orang Melayu.

Di Malaysia, apabila disebut sahaja berkaitan dengan hasad dengki (Phd), maka sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Seolah-olahnya bangsa Melayu memang terkenal dengan sebuah masyarakat yang mempunyai hasad dengki yang tinggi jika boleh digredkan mungkin dapat Ph.D, bukan "Doctor of Philosphy".

Adakah tanggapan ini benar?

Sekiranya kita mengatakan benar, adakah hanya masyarakat Melayu sahaja mempunyai sifat mazmumah ini? Sekiranya kita mengatakan tidak benar, seolah-olahnya kita menafikan realiti yang berlaku dalam masyarakat. Sedangkan realiti yang pernah disaksikan memperlihatkan bagaimana jatuh bangunnya pemimpin Melayu, perniagaan Melayu, dan sebagainya akibat hasad
dengki.

Kata Imam Al-Ghazali, hasad dengki ialah sebesar-besar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Katanya lagi, "Ketahuilah hasad itu haram dan maknanya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu," – (Hidayatus Salikin 206).

Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya. Rasulullah bersabda bermaksud:
“Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” – (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah – Riadus Salihin 4:1441)
Dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali ada disimpulkan punca dan sebab timbulnya perasaan hasad dengki. Antaranya ialah:

1. Perasaan Permusuhan dan Kebencian.
Perasaan inilah yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Mereka yang disakiti oleh seseorang, pasti berasa marah lalu menimbulkan kebencian. Di sini akan tertanamlah bibit dengki dalam dirinya.

2. Berasa Diri Mulia.
Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu berasa keberatan kalau ada orang yang mengatasi kebolehannya. Dia tidak rela kalau ada orang lain yang melebihinya.

3. Takbur.
Orang yang mempunyai sifat takbur mempunyai watak suka membesarkan diriterhadap orang lain. Dia selalu memperkecilkan dan suka memperhambakan
seseorang. Begitulah halnya dengan sikap Iblis yang takbur, lalu dia dilaknat oleh Allah S.W.T.

4. Ujub.
Allah S.W.T. telah menjelaskan kepada kita perihal umat di zaman silam. Mereka berasa takjub dengan diri mereka sendiri. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapatkan kebenaran.

5. Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.
Biasanya perasaan ini wujud di kalangan orang yang saling berlumba-lumba merebut sesuatu habuan. Setiap orang akan berasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat sesuatu kelebihan.

6. Ghairah Untuk Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.
Seseorang yang terlalu ghairah untuk mencari populariti atau terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan tertentu akhirnya terdedah kepada sifat hasad dengki. Apabila orang lain berjaya mendapatkan jawatan yang diidam-idamkan olehnya itu akan timbul hasad dengki.

7. Busuk Hati.
Sekiranya busuk hati ini wujud pada seseorang, akan menyebabkan orang itu tidak suka sesuatu kebaikan diperoleh oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, hatinya menjadi sempit dan resah mendengarkannya. Tetapi apabila diketahui pihak lawannya gagal dan menerima nasib malang, dia akan berasa gembira dan suka hati.

Bersama-samalah kita menjauhi perbuatan hasad dengki ini. Ayuhlah kita suburkan persaingan yang bersifat sihat yang digalakkan di dalam Islam. Sesungguhnya sifat hasad dengki ini hanyalah akan merugikan umat semata-mata.

Sekian, Wasallam.

No comments: