26 February 2012

MENGUBAH NASIB SENDIRI

MENGUBAH NASIB SENDIRI



Banyak orang menyalahkan takdir atau nasib ketika sedang mengalami kesusahan, atau mengalami sesuatu yang tidak diinginkan, tidak lulus ujian dianggap sudah takdir, gagal membina rumah tangga dianggap sudah takdir, jadi orang miskin kerana sudah takdir, kena musibah sudah takdir, jadi pemalas sudah takdir, jadi orang jahat sudah takdir, jadi orang sukses sudah takdir, jadi orang gagal dianggap sudah takdir, jadi calun penghuni syurga sudah takdir, jadi calun penghuni neraka dianggap sudah takdir, seakan-akan semua nasib yang menimpa manusia dianggap kerana takdir, sepertinya hidup itu tidak ditentukan oleh yang menjalani, rasanya seperti diatur oleh kekuatan luar biasa yang berada di luar dirinya, dan di luar batas kemampuannya.

Dalam al-Quran Allah SWT menegaskan bahawa untuk mengubah kelemahan sesuatu kaum hendaklah dengan mengubah kelemahan dalaman mereka.

Firman Allah SWT maksudnya:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) sehingga mereka mengubah (kelemahan, kehinaan, kemiskinan) yang ada dalam diri mereka. Ar-Ra’d [13:11].


Kelemahan dalaman adalah kelemahan tasawwur terhadap asas-asas keimanan, kelemahan akhlak dan kelemahan keazaman. Kelemahan dalaman juga adalah kelemahan matlamat hidup dan pelan pelaksanaannya, kelemahan jati diri dan kelemahan disiplin dalam kerja-kerja berpasukan. Semuanya ini adalah kelemahan dalaman diri manusia.

Umar al-Khattab r.a meriwayatkan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya:


“Sesungguhnya setiap kerja bergantung dengan tujuannya, dan setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan..”


Niat dan tujuan adalah objektif dan matlamat yang ingin diperolehi daripada kerja-kerja yang dibuat dalam hidup samaada matlamat di dunia mahu pun di akhirat.

Amat berbeza orang yang meletakkan matlamat mereka untuk berjaya di akhirat dengan orang yang hanya mengejar dunia. Amat berbeza orang yang bercita-cita untuk membawa Rahmat keseluruh dunia dengan orang yang mementingkan diri sendiri.

Amat berbeza orang yang memiliki manhaj yang jelas dalam melahirkan insan yang soleh dengan orang yang menyerahkan urusan pendidikan anak-anaknya kepada pihak lain yang tidak jelas arah tujunya. Amat berbeza orang yang memiliki perniagaan sendiri dan bercita-cita untuk membina empayar kekayaan untuk ummah dengan mereka yang hanya bekerja membesarkan empayar kekayaan bangsa lain.

Apabila manusia tidak memliki matlamat hidup yang besar mereka akan bergaduh disebabkan perkara remeh seperti kanak-kanak yang bergaduh kerana berebut barang mainan. Apabila manusia dikuasai oleh tabiat yang buruk seperti malas, menyalahkan orang lain berasaskan sangkaan tanpa bukti, takbur, tidak suka merancang, mementingkan diri, kedekut, tiada semangat juang dan sebagainya mereka tidak akan berubah kemana-mana.

Lantas Allah mengubah manusia dengan manhaj tersendiri sentiasa mendengar wahyu-wahyu Allah, sentiasa menyucikan dalaman mereka daripada syirik, khurafat dan sifat-sifat tercela, mempelajari hukum-hukum Allah dan ilmu kebijaksanaan.

Setelah merubahkan sendiri nasib kita sendiri, hendaklah bertawakal kepadaNya dan berdoa supaya kita dapat beribadat kepadaNya.

Wasallam.

No comments: