Mengenal Diri dan Hakikat Kehidupan Ini.
Renung sejenak adakah aku kenal diriku sendiri? Jika aku kenal diri ku ini bermakna aku adalah hambaMu yang lemah dan kerdil dihadapanMu, Ya Allah. Setiap yang dilahirkan dimuka bumi ini akan melalui suatu tempuh masa yang dinamakan kehidupan. Setiap orang akan mentafsirkan kehidupan ini berdasarkan maklumat dan pengalaman yang diterimanya sejak dia mula berfikir dan dapat menyimpan memorinya. Bagi seorang muslim dia melalui satu jalan pintas untuk mengetahui apakah sebenarnya hakikat kehidupan ini melalui maklumat yang diterangkan oleh Al Quran dan Sunnah
Al-Quran sebagai petunjuk, Al Quran adalah kitab terakhir yang merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia di dunia ini, Ia ibarat peta bagi seorang musafir. Di dalamnya terkandung gambaran jalan yang lurus untuk menuju suatu matlamat yang telah digariskan. Malah ianya menerangkan destinasi sebenar yang sepatutnya semua orang menujunya. Alam Akhirat dan perkara ghaib digambarkan oleh Al Quran sebagai suatu yang real dan secara strait forward sebagai jalan pintas untuk akal fikiran manusia memahaminya.
Sebab itulah Al Quran hanya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang mengimani perkara ghaib termasuk Alam Akhirat.
"Itulah dia Al Kitab yang tiada ragu padanya, sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang beriman dengan perkara ghaib dan mendirikan sembahyang serta mereka menafkahkan sebahagian daripada apa yang kami rezkikan kepada mereka..” (al Baqarah 2-4)
Walaupun dengan akal yang waras yang Allah SWT kurniakan kepada manusia itu boleh menyampaikan seseorang itu kepada hakikat ketuhanan, akan tetapi Allah SWT (dengan rahmatnya) telah mengutuskan para Rasul dan Kitab sebagai jalan pintas dan jalan mudah untuk manusia sampai kepada hakikat tersebut. Begitu juga dengan hakikat kehidupan ini serta di mana kesudahan dan apa tujuan manusia dihidupkan di alam ini juga secara terperinci ditunjukkan oleh Al Quran. Oleh itu sebenarnya Al Quran adalah sebesar-besar nikmat yang diturunkan Allah SWT untuk manusia di alam buana ini. Sebab itu bagi mukmin menatap ayat-ayatnya saban hari itu (selain daripada mendapat faedahnya) adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT di atas nikmat tersebut.
Mengenali Hakikat Diri.
Manusia adalah makhluk yang paling unik yang diciptakan Allah SWT di alam buana ini. Kemuliaannya boleh mengatasi ketinggian para malaikat akan tetapi kehinaannya pula boleh sampai lebih hina daripada binatang.
Itulah yang digambarkan Allah SWT:
“Sesungguhnya kami jadikan manusia itu sebaik-baik kejadian, kemudian kami kembalikannya ke tempat yang paling rendah, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh…” (al Tin ayat: 4-5)
Kemuliaan atau kehinaan adalah dua pilihan yang mesti dibuat oleh manusia kerana kedua-duanya adalah berbeza. Jalannya juga berbeza dan tidak boleh bercampur. Bagi yang memilih kemuliaan dan ketinggian maka jalan yang digambarkan oleh Al Quran sebagai jalan yang lurus dan itulah jalan menuju Allah Yang Maha Tinggi. Adapun jalan yang bercabang atau bengkok adalah jalan menuju kehinaan dan kerendahan.
“Dan inilah dia jalanku jalan yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu ikuti jalan-jalan yang lain nescaya kamu akan berpisah daripada jalannya.”
Manusia juga mesti mengenali hakikat dirinya sendiri serta mengetahui apa yang perlu disediakan untuk memudahkannya sampai kepuncak kemuliaan dan ketinggian.Seperti seorang yang bermusafir yang mengetahui selok belok kenderaan yang dinaikinya serta apa yang diperlukannya semasa perjalanan akan lebih mudah untuk sampai ke destinasi yang ditujunya, begitu juga di dalam perjalanan menuju Allah Yang Maha Tinggi.
Hakikat kejadian manusia seperti digambarkan oleh Al Quran dan Al Sunnah terdiri daripada LIMA unsur yang setiap satunya diberi penekanan oleh Islam di dalam pembinaan,pemeliharaan dan penyelenggaraanya.
1-Tubuh fizikal:
Terdiri daripada anggota zahir serta organ-organ dalaman yang memerlukan pemakanan serta pergerakan tertentu untuk memeliharanya. Allah SWT memerintahkan kita menjaganya serta mengelaknya daripada sebarang kemusnahan.
“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu kepada kemusnahan.”
”Makanlah dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan.”
2-Roh/Nyawa:
Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui tentang hakikat kejadiannya.., Roh atau nyawa menjadikan tubuh fizikal manusia boleh berfungsi dan segala kecantikan dan kehebatan tubuh fizikal tanpa roh tidak ada ertinya.
”Mereka menanyakanmu (wahai Muhammad) tentang Roh, katakanlah Roh itu daripada urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu melainkan sedikit sahaja.”
3-Akal
Akal adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada manusia yang membezakannya dengan binatang. Ia menterjemahkan segala apa yang diterima oleh pancaindra. Apa yang dilihat, didengar,disentuh dan dirasa semuanya akan diterjemahkan oleh akal sebagai maklumat.
Antara kemampuan akal juga, boleh menyimpan serta menganalisa maklumat yang dikumpulkan. Ia berfungsi kepada manusia sebagai penasihat atau perunding yang sentiasa menasihati untuk kebaikan diri manusia jangka panjang berdasarkan maklumat yang diterimanya. Jika betul dan baik maklumat yang diterima dan disimpan serta tepat analisanya, maka akan betul dan tepatlah nasihat yang diberikan kepada diri itu, begitulah sebaliknya jika tidak baik atau buruknya maklumat yang diterima serta tidak betulnya cara analisa yang dibuat, maka akan lahirlah nasihat yang tidak baik oleh akal tersebut kepada diri itu.
Walaubagaimanapun akal bukan pemutus kepada diri sama ada melakukan sesuatu tindakan atau tidak dan ia masih merupakan unsur neutral dalam diri seseorang dan bukan penentu untuk manusia membuat pilihan dalam tindakannya sama ada ya atau tidak.
Dalam hal ini islam amat menitik beratkan dalam pembinaan dan pemeliharaan akal manusia. Islam menjadikan memelihara akal sebagai keperluan yang ketiga dituntut daripada lima keperluan iaitu Agama,nyawa, akal, keturunan dan harta di mana segala hukum hakam syariat berligar di atas lima keperluan ini. Malah Islam mengangkat Taklif (tidak dikira dosa dan pahala) ke atas seseorang apabila dia tidak berakal. Begitu juga Islam menfardhukan setiap muslim dan muslimah supaya menuntut ilmu dan Rasulullah SAW menyatakan bahawa jika sekiranya Allah SWT menghendaki seseorang itu kebaikan maka Allah SWT akan memberi kefahaman kepadanya terhadap Agama. Begitu juga Islam mewajibkan kita supaya Tathabbut (mempastikan) terhadap setiap berita dan maklumat yang kita terima supaya akal tidak memberi nasihat kepada diri kita untuk mengambil apa-apa sikap dan tindakan berasaskan maklumat yang salah.
Mukmin yang menjadikan sumber maklumatnya daripada Al Quran dan Al Sunnah serta berita dan ilmu Tajribi (pengalaman) yang tepat dalam membentuk tasawwur terhadap sesuatu perkara adalah manusia paling beruntung kerana akalnya akan senantiasa memberikan nasihat yang tepat untuk kebaikan dirinya sama ada dalam hidupnya beragama ataupun untuk hidupnya di dunia.
4- Nafsu
Ia merupakan satu elemen dalam diri manusia yang merupakan penasihat atau perunding kedua kepada diri manusia. Ia sentiasa mendorong seseorang supaya mendapatkan kelazatan segera tanpa melihat akibatnya. Apa saja yang boleh mendatangkan kelazatan atau keseronokkan kepada diri sama ada dalam bentuk fizikalnya seperti makan, minum, seks, kelazatan mendengar dan melihat atau dalam bentuk maknawi seperti kelazatan mendapat kemegahan serta pujian orang, kelazatan berkuasa dan sebagainya.
Ia merupakan unsur atau elemen yang perlu kepada manusia untuk penerusan hidup manusia dan zuriatnya di atas muka bumi ini, tetapi ia mesti dibendung dan dilatih supaya kerakusannya tidak memudharatkan serta memporakperandakan kehidupan di alam ini.
“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya. Sungguh beruntung bagi siapa yang menyucikan jiwa itu dan sungguh rugilah orang yang mengotorinya.” (al Syams 7-10)
Islam sebagai agama yang Syumul amat menititberatkan dalam pendidikan mengawal nafsu. Pensyariatan Puasa, hukum menundukkan pandangan kepada bukan muhrim, hukum nikah kahwin, halal haram dalam pemakanan dan yang lainnya semuanya bermatlamatkan melatih dan membendung nafsu supaya ia dapat berfungsi sebaiknya kepada manusia. Sekurang-kurangnya Allah SWT mengkategorikan kepada tiga peringkat atau darjat nafsu manusia.
Pertama. Nafsu Ammarah yang sentiasa mendorong manusia kepada kejahatan.
Kedua. Nafsu Lawwamah yang sentiasa mencela dirinya apabila terlanjur melakukan kejahatan dan Nafsu al Mutmainnah yang hanya mendorong diri kepada apa yang diredhai Allah SWT sahaja. Pokoknya nafsu boleh di latih dan dididik sehingga dia menjadi penasihat yang baik kepada diri seseorang. Tetapi apabila ia dibiarkan tanpa didikan ia tak akan puas sehingga menjadi rakus dan memudharatkan makhluk lain di bumi ini. seperti kata-kata hukama’:
”Nafsu ibarat kanak-kanak menyusu… jika dibiarkan dia akan ketagih susu sampai ke Muda, tetapi apabila di hentikan (fitam) dia mampu untuk meninggalkannya”
“wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan di redhaiNya, maka masuklah di kalangan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam SyurgaKu” (al Lail 27-30)
5- Hati ( al Qalb)
Inilah elemen yang paling penting dalam diri manusia. seperti kata-kata Rasulullah SAW :
”Apabila Ia baik maka baiklah seluruh anggota jasadnya dan apabila Ia buruk maka buruklah segala jasadnya…, ketahuilah bahawa ia adalah Hati.”
Ia ibarat raja dalam sesebuah negara, segala sesuatu ditentukan olehnya. Dialah yang membuat pilihan, anggota lain termasuk tangan dan kaki hanya pelaksanaan kepada pilihan yang dibuatnya. Anggota lain tidak akan bertindak melainkan setelah pilihan yang ditentukan olehnya. Termasuk akal fikiran dan juga Nafsu hanya sebagai perunding dan penasihat kepadanya. Yang menentukan keputusan sama ada ya atau tidak adalah hati. Oleh itu Islam amat menekankan dalam pembentukan hati yang sejahtera. Hati yang benar-benar mengenali siapa Penciptanya. Hati yang sentiasa menyerah dan tunduk kepada perintah Tuhannya. Hati yang redha dengan ketentuan Penciptanya. Hati yang kuat dan kental dalam menegakkan dan memperjuangkan prinsip yang diperintahkan kepadanya. Hati yang selamat daripada segala kotoran hasad dengki, tamak dan bakhil…Malah perjalanan menuju Allah SWT adalah sebenarnya perjalanan hati dan anggota lain sebagai kenderaan dan kehidupan adalah jalan-jalan yang terpaksa dilalui. Akhirnya Allah SWT menerima untuk menemuiNya kelak hanya mereka yang datang dengan memiliki hati-hati suci yang sejahtera…
“Hari yang tiada guna segala harta benda dan anak pinak melainkan mereka yang datang kepada Allah SWT dengan hati yang sejahtera…”
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment