MASALAH ZIHAR ISTERI... BERLAKU TANPA DISEDARI.
Kepada isteri yang selalu dibandingkan oleh suaminya serupa ibunya atau saudaranya. Kena baca supaya perkara yang tidak diingini boleh berlaku secara tidak kita disedari.
Zihar pada segi bahasa ertinya bahagian-bahagian belakang tubuh badan hingga ke belikat. Di situlah segala bebanan ditanggung oleh manusia. Pada segi istilah syarak, ertinya suami yang telah menyerupakan juzuk tubuh badan isteri dengan muhram suami dengan mana-mana anggota lahirnya.
Allah swt sangat melarang keras bagi suami yang menyamakan isteri mereka dengan muhramnya sebab isteri bukanlah orang yang melahirkan mereka sebaliknya si isteri itu adalah orang yang melahirkan anak-anak mereka. Sesiapa yang telah melakukan zihar sesungguhnya telah melakukan pengkhianatan terhadap rumahtangganya.
Allah swt telah berfirman yang maksudnya:
“Orang-orang yang menzihar isteri di antara kamu,(menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya (mengziharkan) perkataan yang mungkar dan dusta. Dansesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”(Surah Mujaadilah:Ayat 2)
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua hati di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu sendiri….” (Surah Al Ahzab: Ayat 4)
Menurut adat kebiasaan Arab jahiliah apabila si suami menziharkan isterinya maka tercerailah suami isteri itu dan tidak boleh bersama kembali (tidak boleh rujuk) buat selama-lamanya. Tetapi setelah datangnya Islam maka amalan ini dihapuskan yang mana zihar tidaksampai bercerai suami isteri tetapi dilarang pergaulan(jimak) suami isteri sehingga suami membayar kifarah.
Contoh perkataan yang boleh terjatuhnya hukum zihar ialah, seperti kata suami kepada isterinya:
“Jari awak yang runcing ni saling tak tumpah macam jari mak abang tu.”
“Muka ayang ni macam muka Siti, cucu kita anak si Mohd Ghazali tu.”
Tidak jatuh hukum zihar kalau suami menyamakan muhramnya dengan isteri. Begitu juga halnya kalau disamakan dengan rambut, kuku, air mata, air susu,gigi, air liur atau peluh kerana ia adalah lebihan anggota badan.
Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat rukun iaitu:
1. Suami yang sah
2. Isteri yang sah
3. Orang yang diserupakan dengan isteri (muhram suami).
4. Lafaz samada secara terang-terangan atau sindiran melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami.
Sila ambil perhatian, siapakah muhram suami itu? Hanya ada tiga golongan sahaja muhram suami yang melibatkan jatuhnya hukum zihar iaitu:
Sebab keturunan
a. Ibu kandung.
b. Anak perempuan.
c. Adik-adik beradik perempuan suami samada seibusebapa, seibu atau sebapa;
d. Nenek kandung hingga ke atas
e. Anak saudara perempuan iaitu anak kepada adikberadik lelaki atau perempuan suami yang seibu sebapa,seibu atau sebapa;
f. Nenek saudara seibu sebapa. Seibu atau sebapa
g. Cucu-cucu perempuan samada dari anak lelaki atau perempuan hingga ke bawah.
Muhram berambil-ambilan
Hanya ibu tiri sahaja yang tidak boleh disama kandengan isteri. Masalah ini terbahagi dua, ayah kita kahwin dua (emak kita bermadu) tapi semasa itu kita belum lahir lagi ke dunia. Contohnya, ketika itu kita masih di dalam kandungan ibu, ayah kita kahwin seorang lagi. Lahir-lahir sahaja ke dunia, ibu tiri telah menjadi ahli keluarga kita. Maka hanya ibu tiri ini sahajalah yang tidak boleh disamakan dengan isteri..Seaindainya ayah berkahwin lagi sewaktu kita sudah pandai merangkak maka tidak jatuh hukum zihar disamakan si isteri dengan ibu tiri tersebut.
Perlu diingat bahawa anak perempuan tiri, menantu perempuan atau ibu mertua tidak akan jatuh zihar jika isteri disamakan dengan mereka sebab muhramnya datang kemudian.
Ibu susu ramai terdapat di kalangan bangsa Arab dan jarang sekali berlaku di dalam bangsa kita. Amalan ini elok dilaksanakan, ianya bertujuan untuk menyihatkan akal fikiran dan pertumbuhan si anak.
Seelok-eloknya carilah dua tiga orang ibu susuan sepertimana Rasulullah saw. Baginda telah disusukan oleh Halimatun Saadiah dan Thuwaibatul Islamiah.
Pendapat ulama Syafie, seseorang anak itu boleh dijadikan anak susu selagi usianya belum dua tahun dengan syarat lima kali kenyang. Tanda anak itu kenyang bila dia terlena dan melepaskan hisapan dariibu susunya. Jika suami menghisap susu isteri, suami tidak akan menjadi orang sesusuan.
Muhram secara ridha’ (susuan)
Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susukepada ayah atau ibu si suami). kerana semasa ayah atau ibu si suami menyusu kepada ibu susuannya, ia belum lahir ke dunia.
Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota isteri dengan ibu susuan si suami kerana semasa suami menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke dunia. Begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya menyamakan si isteri dengan adik beradik perempuan sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayahsusu.
Lengkaplah hukum zihar apabila telah memenuhi rukun yang keempat iaitu lafaz atau sighah. Lafaz ini mengandungi tiga bahagian iaitu:
1. Perkataan yang nyata ataupun secara sindiran(kinayah). Kalau berlaku secara sindiran ianya berkehendakkan niat. Sekiranya ada niat untukmenyamakan isteri dengan muhram suami maka barulah jatuh hukum zihar.
2. Tulisan (surat) Contohnya: “Menemui adinda yang dikasihi, sepanjang permusafiran ini yang entah bila pulangnya ini, abang selalu terkenangkan adinda. Wajah adinda saling tak tumpah macam rupa anakanda Siti Khadijah…..”
Secara automatik jatuhlah hukum zihar kerana si isteri telah disamakan dengan anak perempuan mereka.
3. Isyarat ditujukan kepada orang bisu dengan syaratianya boleh difahami.
Denda dan kafarah bagi suami yang mengziharkan isteri :
Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu.Firman Allah swt yang bermaksud:
“orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur.Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berfirman lagi yang bermaksud:
“Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur.Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukumAllah dan orang-orang kafir ada baginya siksaan-sikaaan yang amat pedih.”
Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.
Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.
Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya syarat pertama ini menjadi mansukh. Maka seorang suami itu mestilah menjalani syarat yang kedua.
Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.
Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa,dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya.Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.
Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah dia beralih kepada syarat ketiga.
Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hariakan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti biasa.Dan tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami menceraikan isterinya dengan talak satu (untuk mengelak kafarah atau dengan harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujukkembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yangdilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.
Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan,satu dosa dan kemungkaran.
Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu,ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak kita sedari,entah berapa banyak dosa2 yang telah dikumpulkan.Nauzubillah.. Akhir kata dari saya, di dalam membina rumahtangga bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam mengeluarkan kata-kata. Si isteri jangan suka bertanya itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan dengan ahli keluarga suami. Bimbang kalau sisuami jahil dalam bab ini atau terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya hukum zihar. Kadang-kadang kerana peramahnya mulut isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.
Sumber: Dipetik dan diolah berdasarkan pemahaman penulis dari kitab faru'ul masail dan syarah qanun ahwal syaksiyyah,Dr Mahmud Ali Sarthowi..
No comments:
Post a Comment