Thursday, February 9, 2012

Teknik Menyimpan Wang

Hampir semua orang bersetuju bahawa mereka perlu menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka. Tetapi ramai yang gagal untuk melakukannya. Mereka fikir bahawa kadar penyaraan hidup adalah terlalu tinggi, banyak bil yang perlu dijelaskan, terlalu banyak barangan yang perlu dibeli. Memang ada kebenarannya. Tetapi pada hakikatnya, walau siapa pun anda atau sebanyak mana sekali pun pendapatan, anda masih boleh menabung. Kemudian barulah anda boleh memutuskan sebanyak mana anda boleh ketepikan daripada pendapatan anda.

Ramai yang mempercayai bahawa sekiranya mereka tidak dapat menyimpan dengan banyak, maka mereka tidak perlu menyimpan. Mereka terlepas pandang fakta bahawa sekecil mana sekalipun jumlah yang disimpan dengan tetap, akan bertambah dalam jangka masa yang panjang. Seandainya anda menyimpan hanya lima peratus daripada pendapatan anda, maka jumlah yang tersimpan adalah sama dengan jumlah gaji penuh setahun dalam masa kurang daripada 20 tahun (malah beberapa tahun lebih kurang jika diambil kira jumlah faedah yang terkumpul dalam akaun simpanan anda). Ia kelihatan seperti suatu masa yang panjang, tetapi harus diingat bahawa kita memperkatakan tentang pendapatan penuh setahun! Oleh itu berapakah pula masa yang dikurangkan sekiranya anda menabung RM1,000 atau RM500?

Sebagai perbandingan, apakah yang anda boleh tunjukkan bagi wang yang anda tidak simpan itu? Cuba renungkan pada beberapa tahun kebelakangan dan tanya diri anda sendiri, apakah kerugian yang anda alami sewaktu menyimpan lima atau sepuluh peratus daripada pendapatan anda itu. Adakah ia terlalu ketara atau adakah ia menguntungkan? Adakah ia mendatangkan kepuasan sepertimana yang anda rasai sewaktu mengetahui jumlah wang yang terkumpul sehingga kini? Sudah tentu tidak.

Untuk menghilangkan tabiat berbelanja boros memerlukan kekuatan diri. Tetapi apabila jumlah simpanan anda bertambah, sedikit demi sedikit, ia akan menjadi lebih mudah. Malah, ia akhirnya menjadi suatu kenikmatan. Dan, sementara jumlah simpanan anda kian bertambah, anda juga akan menerima kadar kaedah yang membantu menambahkan jumlah simpanan anda dengan lebih cepat.

Bukankah benar bahawa segala apa yang anda benar-benar mahukan boleh diperolehi daripada simpanan anda? Luangkan masa seketika dan senaraikan dalam fikiran anda barangan atau perkara-perkara yang bernilai dan sesuai untuk disimpan. Adakah masuk akal sekiranya anda impikan untuk mendapat ganjaran dari mana-mana, atau mewarisi harta, ataupun daripada sumber-sumber kekayaan sekelip mata? Sudah tentu tidak. Anda tahu apa yang anda harus lakukan – mulakan menabung.

FORMULA UNTUK MENYIMPAN WANG

Formulanya adalah daripada lima patah perkataan – “BAYAR DIRI ANDA TERLEBIH DAHULU”. Sebelum anda membayar sewa kepada tuanpunya rumah atau peruncit atau sesiapa sahaja, pastikan anda BAYAR DIRI ANDA TERLEBIH DAHULU.

Teorinya cukup mudah. Jika anda cuba menyimpan daripada baki yang tinggal selepas membayar semua bil dan keperluan lain, anda tidak akan dapat menyimpan untuk diri anda. Jika sebaliknya, anda membayar diri anda terlebih dahulu, anda akan menjadi sedikit kaya setiap bulan, dan anda masih boleh menjelaskan pembayaran bagi segala keperluan yang mustahak daripada baki pendapatan anda (walaupun anda perlu lebih teliti mentadbirkan kewangan anda).

Jika anda tidak percaya ianya boleh dilakukan, pertimbangkanlah perkara berikut. Andaikan bahawa pihak kerajaan menaikkan cukai pendapatan bagi semua orang sehingga sepuluh peratus. Tiada siapa pun menyukainya, tetapi semua orang akan mendapati pendapatan mereka dikurangkan mengikut kadar potongan cukai yang baru itu. Selepas beberapa waktu penyesuaian, anda boleh menyelaraskan perbelanjaan anda mengikut jumlah pendapatan anda yang sedikit berkurangan itu. Anda terpaksa melakukannya kerana kemampuan anda sudah berkurangan.

Begitu juga dengan membayar diri anda terlebih dahulu. Formulanya sama. Jika anda mengetepikan sejumlah wang untuk akaun simpanan sebelum sesen pun dibelanjakan, bermakna anda membuat ‘pemotongan pendapatan’ anda sendiri. Akhirnya anda akan menyesuaikan penyaraan diri anda mengikut jumlah yang boleh dibelanjakan. Cubalah dengan sepuluh peratus daripada pendapatan anda – atau dengan hanya lima peratus. Anda akan terperanjat apabila mengethui bahawa menyimpan wang tidak akan menurunkan taraf hidup anda. Malah secara keseluruhan, ia akan mempertingkatkan kehidupan. Anda tidak akan jatuh miskin dengan menyimpan wang.

CARA-CARA UNTUK MEMULAKAN AKAUN SIMPANAN

Di sini ada beberapa idea yang boleh membantu anda menabung. Cara-cara ini telah berkesan untuk semua orang. Jangan cuba kesemuanya.

1. Daripada pertukaran wang anda seharian, simpanlah syiling-syiling pada kadar tertentu, seperti syiling sepuluh sen, syiling dua puluh sen, atau syiling lima puluh sen. Letakkan syiling-syiling tersebut ke dalam tabung. Anda tidak rasa kehilangannya, malah anda akan terperanjat apabila melihat begitu cepatnya ia bertambah.

2. Daripada hanya menyimpan syiling-syiling mengikut kadar tertentu, lebih baik anda menyimpan semua syiling pertukaran wang anda setiap hari.

3. Selepas anda membayar ansuran terakhir kereta anda ataupun pinjaman-pinjaman yang lain, tambahkan jumlah yang sama ke dalam akaun simpanan anda setiap bulan yang mendatang. Anda sudah pun mempunyai tabiat mengetepikan jumlah tersebut setiap bulan, oleh itu teruskanlah dengan membuat pembayaran pada diri anda sendiri.

4. Jika anda mendapat pulangan cukai pendapatan, masukkanlah ia ke dalam akaun simpanan.

5. Jika anda menerima bonus, gunakanlah ia untuk membuka akaun simpanan atau untuk membesarkan jumlah akaun yang sedia ada.

6. Simpanlah wang pendapatan kerja lebih masa anda daripada membelanjakannya.

7. Jika anda dinaikkan gaji, simpanlah ia. Sebelum ini pun anda sudah biasa tanpa wang tambahan tersebut.
8. Simpanlah ke dalam akaun simpanan anda segala wang yang diterima sempena hari jadi, sewaktu menyambut hari perayaan atau sambutan-sambutan tertentu.

9. Pastikan wang anda bekerja untuk anda. Carumkanlah wang-wang yang berlebihan secepat mungkin ke akaun simpanan.

10. Amalkan program jangka-pendek ‘hidup sederhana’ dimana ketika itu anda menyimpan sebanyak mungkin. Jangan membeli sekiranya tidak perlu. Elak daripada pergi menonton, makan luar, atau perbelanjaan untuk segala bentuk hiburan.

ANDA TIDAK AKAN RUGI WALAU APA CARA SEKALI PUN

Menabung bukan sahaja membuat anda lebih kaya, malah anda juga akan mendapat ketenangan jiwa kerana kewangan anda kukuh. Anda akan lebih menghormati diri sendiri. Anda akan dapati bahawa corak kehidupan anda akan menjadi lebih teratur. Dan pastinya anda sedang menuju ke arah kejayaan kewangan.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KEJAYAAN KEWANGAN?

Kejayaan kewangan adalah mudah. Ia adalah keupayaan untuk mengumpul wang dan menerima pulangan daripada apa yang anda simpan. Apa yang anda belanjakan atau berapa banyak pendapatan anda bukannya penentu bagi kejayaan kewangan anda. Yang menentukannya ialah berapa banyak anda menyimpan!

BAGAIMANAKAH ANDA MENCAPAI KEJAYAAN KEWANGAN?

Pertamanya, ambillah suatu inventori untuk mengenalpasti kedudukan kewangan anda. Berapakah pendapatan anda? Ke mana perginya wang anda? Berapa banyak hutang anda? Berapa banyak simpanan anda? Dengan cara ini sahaja anda boleh mengenalpasti kedudukan kewangan anda yang sebenar.

Kedua, buat satu matlamat. Tentukan jumlah wang yang anda mahu dan bila anda mahu mencapai matlamat tersebut. Misalnya, katakanlah anda mahu memilik RM5,000 disimpan dalam masa lima tahun. Tulis matlamat anda ini. Kini anda telah mempunyai objektif yang tertentu.

Selepas anda mencipta matlamat itu, gunakan sebarang cara dalam penguasaan anda untuk mencapainya. Sambil anda beusaha ke arah matlamat itu, anda akan menerima perasaan keseronokan dan kepuasan di atas kerja yang anda lakukan. Anda akan mentadbir segala hal ehwal anda sendiri. Anda telah memiliki perasaan kebebasan yang tiada sesiapa pun boleh mengambilnya dari anda.

Kebanyakan orang berkata bahawa mereka mendapati sukar untuk menyimpan wang kerana terlalu banyak tempat di mana mereka terpaksa membelanjakannya. Jika mereka mahu, orang-orang seperti ini juga boleh menyimpan. Apa yang lebih penting ialah keinginan membara untuk beroleh kejayaan dengan kewangan anda. Anda perlu memutuskan untuk menyimpan lebih daripada membelanjakan.

UNTUK MENYIMPAN DENGAN LEBIH BAIK, ANDA JUGA PERLU BERBELANJA DENGAN BAIK

Orang yang telah mempelajari rahsia menabung selalunya juga mempelajari cara berbelanja dengan lebih baik. Mereka berusaha dengan pelan pentadbiran kewangan yang tetap, yang boleh mengawal segala perbelanjaan, yang juga membuat setiap ringgit bermatlamat. Jika idea-idea ini tidak boleh anda turuti – jika, selepas membayar diri anda terlebih dahulu, anda masih mempunyai hutang dan terpaksa pula meminjam sebanyak mana yang anda telah simpan – maka anda harus pergi kepada pelan dasar kewangan. Anda akan dapati bahawa anda mempunyai terlalu banyak pembocoran dalam belanjawan anda yang boleh ditampal supaya anda tidak lagi sekerap mungkin memerlukan wang simpanan anda.

IA BOLEH DILAKUKAN!

Orang lain telah melakukannya. Anda juga boleh berbuat demikian! Jika anda benar-benar berhasrat untuk berjaya dalam menabung, anda akan melakukannya.

No comments:

News Today

Loading...

YouTube

Loading...