Friday, February 24, 2012

BERSIHKAN HATI UNTUK SUBURKAN JIWA.

BERSIHKAN HATI UNTUK SUBURKAN JIWA.


Umumnya, pelbagai pendekatan boleh diaplikasikan untuk membudayakan nilai murni secara teratur dan terancang. Contohnya, penerapan nilai murni boleh dilaksanakan melalui jalan kerohanian pendekatan tasauf.

Al-Suhrawardi (1145-1234) dalam karyanya ‘Awarif al-Ma’arif, menukilkan maksud tasauf sebagai individu sentiasa dalam usaha pembersihan (al-Tasfiyah). Ia sentiasa memelihara setiap waktu daripada kekotoran iaitu dengan membersihkan hati daripada kekotoran hawa nafsu.

Individu itu sentiasa memelihara diri daripada terikat dengan kepatuhan mutlak kepada Allah SWT dan melaksanakan sunnah. Melalui kaedah pentarbiahan latihan kerohanian itu, dapat memberi gambaran secara praktikal untuk merawat penyakit batin yang tidak dapat didiagnosa oleh manusia iaitu penyakit hati yang cenderung kepada sifat tercela.
Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu. (Surah al-Taubah, ayat 112)
Oleh demikian, kaedah itu memberi petunjuk kepada individu untuk menjernihkan hati daripada semua sifat yang tidak sempurna. Penyucian jiwa itu bertujuan mendidik hati individu terbabit untuk mencapai darjat kesempurnaan iman dan akhlak.

Penegasan itu disentuh oleh Ibn ‘Abidin dalam penulisannya ‘Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Dur Mukhtar Ibn ‘Abidin’ dengan memberikan ulasan: “... dan sifat kerosakan jiwa lainnya seperti ilmu mengenai sombong, kedekut, dengki, putar belit, marah permusuhan, kebencian, tamak, bakhil, sombong, takbur, khianat, bermuka-muka, menolak kebenaran, tipu muslihat, keras hati, panjang angan-angan, dan lain-lainnya yang telah dijelaskan dalam seperempat kebinasaan sebagaimana terdapat dalam kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din.

Imam al-Ghazali (1058-1011) berkata: Seseorang itu janganlah melalaikan hal itu, seharusnya ia mempelajari dari rab ‘al-muhlikat apa yang diperlukan dirinya. Sedangkan menghilangkan semua itu adalah fardu ain. Hal itu tidak dapat dilakukan melainkan harus mengetahui batasan, faktor, tanda, dan upaya penyembuhkannya, kerana orang yang tidak mengetahui keburukan akan terjebak di dalamnya.”

Berpandukan ulasan itu, dapat difahami bahawa kesucian dan ketenangan hati daripada nilai keji yang boleh mencacatkannya adalah kunci keselamatan kepada manusia di dunia dan akhirat.

Antara kaedah yang boleh diaplikasikan untuk menyuburkan nilai murni dalam diri individu melalui pendekatan disiplin amalan sunat seperti zikir, qiamulail, puasa sunat, solat sunat (taubat, duha, rawatib, tahajud) serta amalan yang boleh mendekatkan jiwa manusia dengan Penciptanya.

Amalan dinyatakan itu sebahagian mekanisme bertujuan mendidik dan membersihkan hati daripada pelbagai kotoran nilai keji (mazmumah). Keterikatan hati manusia dengan nilai keji itu didorong nafsu syahwat boleh mengundang kepada kerosakan potensi insan dan hubungannya dengan Allah SWT.

Menginsafi situasi itu, Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya sentiasa memberi komitmen tinggi kepada cara hidup beragama secara sempurna. Justeru, andai kata jiwa manusia dilingkari nilai keji maka ia perlu berusaha memperbaiki dan menyucikannya.

Jika nilai itu tidak dapat diatasi, nescaya sistem pertahanan dalamannya tidak mempunyai keupayaan untuk menahannya daripada tergelincir ke lembah kejahatan. Melalui latihan berorientasikan nilai kerohanian, manusia dapat menginsafi dan memenuhi keperluan kerangka nilai murni yang luhur.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.” (Surah al-Taubah, ayat 112)
Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir, ayat itu adalah pujian daripada Allah SWT terhadap hambaNya yang berkorban jiwa dan hartanya kepada Allah. Sebagai balasan, golongan ini disediakan dengan syurga.

Mereka ini disifatkan sebagai orang yang bertaubat, beribadah kepada Allah dengan perkataan dan perbuatan memujiNya, berpuasa, melakukan solat, dengan rukuk dan sujud. Di samping itu, mereka menyeru manusia lain ke jalan yang baik dan melaksanakan amal makruf nahi mungkar.

Lantaran itu, Allah SWT menyatakan bahawa bergembiralah golongan manusia yang bersifat sedemikian.

Daripada Abu Hurairah katanya, Nabi SAW bersabda:
“Allah berfirman: Aku menurut sangkaan hambaKu terhadap Aku dan Aku bersama dengan dia, apabila dia mengingati (menyebut) Aku. Apabila ia menyebut Aku dalam hatinya, nescaya Aku menyebutnya pula sendiriKu. Dan kalau dia menyebutKu di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sejengkal, nescaya aku mendekatkan kepadanya sehasta. Dan kalau dia mendekatkan diri kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu berjalan biasa, nescaya Aku datang kepadanya berlari.” (Hadis Muttafaq’alayh)
Berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah, dapat difahami bahawa manusia yang dilengkapi nilai murni menurut kerangka Islam akan menjadi insan baik hati budinya dan diredai Allah SWT. Tidak diragukan lagi bahawa nilai murni dihayati individu manusia akan memantulkan cahaya kebaikan dan kebajikan yang memberi manfaat kepada persekitaran sekelilingnya.

Wassalam

No comments:

YouTube

Loading...