09 February 2012

Pendapatan Lebih USD$100,000 Setahun dengan YouTube

Dari golongan muda hingga ke golongan tua, kanak-kanak kecil dan dewasa sememangnya menyukai memuat turun video dari YouTube. Youtube ialah laman web perkongsian video yang membenarkan penggunanya memuat naik fail dari komputer ke internet. Di YouTube pelayar internet akan menonton, dan berkongsi klip video. Video-video yang dimuat naik di sini boleh dinilai dan kekerapan video itu ditonton akan dipaparkan.

YouTube diasaskan pada Februari 2005 oleh tiga orang bekas pekerja PayPal. Youtube yang berpusat di San Bruno menggunakan teknologi Adobe Flash untuk memaparkan video. Jenis kandungan laman web ini amat meluas dan merangkumi klip-klip filem, rancangan televisyen, dan video muzik, serta kandungan amatur seperti videoblog dan video ringkas yang asli. Syarikat ini yang kini menggaji lebih 100 orang pekerja dinobatkan “Rekaan Terbaik untuk Tahun 2006″ oleh majalah TIME. Pada Oktober 2006, Google Inc. mengumumkan bahawa ia telah mencapai persetujuan untuk memperoleh YouTube pada harga USD$1.65 bilion dalam bentuk saham Google. Urusniaga tersebut selesai dimeterai pada 13 November 2006.

Sudah pasti ada dikalangan anda yang tertanya-tanya bagaimana pula cara golongan ini membuat duit yang sebegitu banyak melalui YouTube? Secara amnya, terdapat dua cara utama bagaimana mereka menjana pendapatan dari video yang disalurkan di YouTube. Cara pertama dan yang paling cepat untuk menjana pendapatan adalah melalui iklan yang anda letakkan pada video yang anda muat naik ke YouTube. Kebanyakan syarikat iklan tersebut akan membayar anda mengikut berapa ramai orang yang membuka iklan tersebut semasa mereka menonton video yang anda paparkan. Cara kedua pula ialah dengan cara mengembangkan kemasyhuran anda di YouTube ke alam nyata. Contoh yang terdekat yang kita boleh lihat ialah Yuna yang bijak merebut peluang dari kemasyhurannya di YouTube untuk menjadi penyanyi tempatan terkenal dan dengan bakat yang ada beliau seterusnya dapat mengembangkan kerjaya nyanyian beliau hingga ke Amerika Syarikat. Contoh barat pula ialah penyanyi cilik tersohor Justin Bieber yang berasal dari sebuah kampung kecil di Kanada yang berjaya pula menempah nama hingga ke persada dunia hanya kerana YouTube!

Dalam tempoh setahun antara bulan Julai 2009 hingga Julai 2010, kita dapati ramai orang yang telah berjaya menempah nama di YouTube dengan memuat naik video klip mereka dan telah meraih kekerapan tontonan yang tinggi hingga mencecah jutaan tontonan.

Shane Dawson – USD$315,000

Ditangga teratas dari segi nilai pendapatan yang dikutip daripada bayaran iklan yang dipaparkan pada fail yang mereka muat naik di YouTube ialah Shane Dawson. Beliau telah berjaya mengutip USD$315,000 dalam tempoh tersebut dengan jumlah kekeparapan tontonan sebanyak lebih 431 juta tontonan. Dawson mempunyai 3 saluran YouTube yang berbeza. Saluran pertama menyiarkan video berunsur komedi dan muzik. Yang kedua pula memaparkan saluran video log yang diberi nama AskShane. Yang ketiga pula ialah saluran YouTube yang memaparkan segala video peribadi yang beliau rakam menggunakan iPhone.

Shane Dawson dilahirkan di California, Amerika Syarikat pada tahun 1988. Pada tahun 2011, saluran YouTube beliau yang utama telah menduduki tempat yang kelima diantara saluran YouTube yang paling kerap ditonton dan dilanggani. Saluran kedua yang beliau cipta pula kini berada di tangga yang ke 12 dalam senarai yang sama. Pada asalnya, Dawson dan kawan-kawan akan berkumpul dan lebih menggemari untuk membuat rakaman video daripada menyiapkan kerja sekolah. Video pertama yang dimuat naik oleh Dawson ialah merupakan hasil kerja yang beliau sediakan untuk satu subjek di sekolah. Daripada hanya seorang pelajar yang agak malas menyiapkan kerja sekolah, Dawson menempa nama dan telah dianugerahkan oleh majalah antarabangsa terkenal Forbes dalam tahun 2010 sebagai orang yang ke 25 masyhur diantara selebriti internet. Dawson juga memenangi anugerah Vlogger (video blogger) terbaik dan bintang internet pilihan pada tahun 2010.

The Annoying Orange – USD$288,000

The Annoying Orange pula merupakan saluran YouTube yang berjaya menduduki tangga kedua dalam tempoh satu tahun bermula Julai 2009 hingga Julai 2010. Mencatatkan nilai sebanyak USD$288,000 dengan kekerapan tontonan sejumlah lebih 349 ribu dalam tempoh setahun. Segala penggambaran untuk membuat video tersebut dibuat dan menggambarkan suasana di dapur. Bermula dengan sebiji oren yang bercakap, kini ia memaparkan pelbagai jenis buah sitrus seperti limau nipis, limau kasturi dan buah-buah lain seperti tembikai, pisang dan sebagainya. Dame Boedigheimer atau lebih dikenali dikalangan peminat YouTube sebagai Daneboe adalah pengasas saluran dan merupakan penyumbang suara The Annoying Orange. Beliau dilahirkan pada tahun 1979. Sekarang beliau menetap di California, Amerika Syarikat. Beliau adalah seorang yang jarang bercakap. Beliau pernah memberitahu para wartawan bahawa beliau pernah bekerja di Music’s Television (MTV) dan mengelolakan rancangan “Pimp My Ride”. Bermula dari pengalaman inilah, Daneboe memulakan usahanya dengan memuat naik video ke YouTube untuk memaparkan cerita-cerita pendek yang dituturkan oleh sebiji oren. Beliau boleh menukar suara dan mengguna serta menukar setiap lenggok nada dan suara beliau bersesuaian dengan buah-buahan yang digunakan. Video The Annoying Orange dimuat naik buat pertama kalinya di YouTube pada 9 Oktober 2009. Daneboe sebenarnya tidak menjangka bahawa video pertamanya itu menjadi sangat masyhur dan digemari oleh setiap golongan di seluruh dunia. Oleh sebab itu, video-video The Annoying Orange dan kesinambungannya telah dihasilkan untuk memenuhi permintaan ramai. Di dalam cerita tersebut, Daneboe memegang watak sebagai ketua tukang masak yang akan beraksi memegang sebilah pisau atau alat-alat dapur yang lain dengan tujuan untuk membunuh buah-buahan yang ada. Adiknya juga pernah melakonkan watak tembikai di dalam siri The Annoying Orange.

Philip DeFranco – USD$181,000

Philip DeFranco adalah orang yang bertanggungjawab melahirkan The Philip DeFranco Show. Rancangan tersebut memaparkan pelbagai isu-isu semasa dari topik berkaitan isu politik, gosip selebriti serta hal-hal kebudayaan. Berjaya meraih kekerapan tontonan sejumlah 248 ribu, DeFranco menzahirkan idenya yang kreatif kepada nilai wang sebanyak USD$181,000. Beliau juga dikenali dengan nama PhilyD. Dilahirkan pada tahun 1985 di New York, Amerika Syarikat. Pada kebiasaanya, penyampaian kandungan video dibuat secara sindiran dan mengikut pandangan beliau sendiri. Paparan beliau menduduki tempat ke 13 dalam industri YouTube dan telah dilanggani sebanyak 1.8 juta setakat bulan Ogos 2011.

Ryan Higa – USD$151,000

Ryan Higa pula terkenal dengan video yang dimuat naik ke YouTube yang bertajuk “How to become Gangster” dan “How to become Ninja”. Dalam tempoh setahun dari Julai 2009 hingga Julai 2010, video beliau telah ditonton oleh 206 ribu penonton dan telah pun meraih sebanyak USD$151,000. Beliau juga menghasilkan video berkisarkan komedi.

Fred Lucas Cruikshank – USD$146,000

Fred Lucas Cruikshank baru berusia 18 tahun dan merupakan pelakon komedi Amerika Syarikat. Pada asalnya beliau mencipta karakter Fred dan memaparkannya di YouTube. Video tersebut mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak yang bernama Fred Figglehorn yang berusia 6 tahun dan mempunyai masalah menguruskan kemarahan dan merupakan seorang kanak-kanak yang sentiasa ditinggalkan berseorangan dirumah. Fred terpaksa menghadapi hidup di dalam keadaan keluarga yang tidak berfungsi. Kejayaan beliau amat membanggakan sehingga cerita karya beliau itu difilemkan dan disiarkan di saluran Nickelodean. Sekitar tahun 2010, beliau berjaya meraih nilai USD$146,000 dalam tempoh satu tahun sahaja.

Greg Benson – USD$116,000

Seorang lagi selebriti YouTube yang berjaya mempopularkan diri dengan lakonan komedi ialah Greg Benson. Berasal dari Amerika Syarikat, Benson dilahirkan pada tahun 1968. Beliau berkecimpung dalam bidang lakonan iklan untuk alatan elektrik, iklan insuran kesihatan, iklan makanan dan sebagainya. Beliau menghasilkan video pada awal tahun 2005 dan memparkan video hasil karyanya di laman sesawang Mediocre Films. Lama kelamaan dia mengalihkan usaha memuat naik video hasil karya komedinya di YouTube dan berjaya meraih sejumlah wang yang agak lumayan dalam tempoh satu tahun iaitu sebanyak USD$116,000. Ia mencatat 159 ribu tontonan. Terdapat video yang dipaparkan oleh Benson mengenai sesi temuduga secara rawak dengan niat untuk memukul individu yang ditemuduga hanya kerana beliau ingin membuktikan bahawa ramai orang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat peluang muncul di kaca televisyen. Agak pelik bukan? Tetapi inlah realiti tentang perkara-perkara yang pelik tetapi berjaya memberi pulangan yang besar kepada penghasil karya tersebut.

Shay Carl – USD$140,000

Seterusnya, seorang lagi selebriti dilahirkan kerana YouTube ialah Shay Carl iaitu seorang juruhebah radio yang gemarkan komedi. Nama sebenar beliau ialah Shay Butler. Hasil karya beliau semuanya berkisarkan komedi. Sebanyak 192 ribu tontonan dicatatkan sepanjang tahun 2010. Untuk tempoh tersebut, beliau juga dapat mengutip sebanyak USD$140,000.



Smosh – USD$113,000

Smosh merupakan selebriti komedi terdiri daripada Ian Hecox dan Anthony Padilla yang pada asalnya berjuang dan memaparkan video hasil karya di YouTube. USD$113,000 berjaya dikutip dalam masa satu tahun bermula bulan Julai 2009 hingga bulan Julai 2010. Sebanyak 154,000 tontonan dicatat dalam tempoh tersebut. Seawal tahun 2003, Padilla telah memuat naik filem pendek dalam laman sesawang Newgrounds. Hanya selepas kehadiran Ian, mereka berjaya menempah populariti di internet melalui paparan video di YouTube. Terdapat beberapa saluran YouTube yang dihasilkan oleh Smosh iaitu “AskCharlie”, “Smosh Pit Weekly”, “Lunchtime with Smosh” dan “Anthony Padilla”.

The Young Turks – USD$112,000

The Young Turks pula menghasilkan rancangan berita komedi penuh dengan komen dan pendapat tentang isu-isu yang menarik. Sekitar tahun 2009 hingga 2010, saluran ini berjaya mengutip sejumlah wang yang agak lumayan iaitu USD$112,000 dengan jumlah tontonan mencecah 153 ribu tontonan.

Natalie Tran – USD$101,000

Pada tangga kesepuluh, seorang pelajar wanita berjaya memaparkan video untuk menunjukkan bagaimana seseorang boleh membuat perut kelihatan mempunyai otot yang menarik. Sangat mudah dan dengan cara yang bersahaja, Natalie Tran berjaya menarik penonton dengan caranya yang tersendiri. Beliau berjaya mengutip sebanyak USD$101,000 dari segi nilai wang dan catatan tontonan sebanyak 139 ribu. Beliau berusia 25 tahun dan berasal daripada Australia. Ibubapa beliau sebenarnya pelarian dari Vietnam dan mula menetap di Australia pada tahun 1981. Sebelum menceburi bidang media digital, Natalie pernah belajar bidang pendidikan selama dua tahun kerana pada asalnya beliau ingin menjejak langkah ibubapa yang bekerja sebagai guru. Oleh kerana minat yang mendalam, Tran sudah mempunyai 273 video (setakat bulan Mac 2011) yang telah dipaparkan di YouTube. Beliau juga telah memenangi banyak anugerah dan menyandang banyak gelaran dalam industri YouTube.

No comments: