09 February 2012

Kisah Jangan Terkena Cahaya Matahari dan Jangan Memberi Hutang

Terdapat seorang lelaki kaya yang berada dalam keadaan sakit tenat. Doktor mengatakan bahawa hidupnya sudah tidak lama dan akan meninggal dunia. Maka, dia telah mewasiatkan perusahaan kepada dua orang anaknya, iaitu Wahid dan Wahab. Dengan harapan agar anaknya akan menguruskan perniagaan yang diwariskan.

Lelaki kaya itu memaklumkan kepada anaknya bahawa setiap seorang daripada mereka akan mendapat perniagaan yang perlu diusahakan. Dia berpesan agar anaknya menguruskan perniagaan itu dengan sebaik-baiknya. Selain itu, dia juga sempat berpesan kepada anaknya untuk mematuhi dua syarat dalam perniagaan jika mahu berjaya sepertinya. Syarat pertama, jangan keluar bekerja apabila matahari telah tinggi, dan syarat kedua pula, jangan mengutip hutang yang diberi pada pelanggan.

Tidak lama selepas itu lelaki kaya tersebut meninggal dunia. Jadi, mereka dua beradik telah menggantikan tempat ayah mereka dalam urusan perniagaan yang telah diwariskan. Sementara ibunya pula telah pulang ke kampung halaman dan membiarkan anak-anaknya meneruskan perniagaan seperti yang telah diwasiatkan.

Selepas dua tahun, si ibu telah kembali ke kota dan melawat rumah anak sulungnya, iaitu Wahid. Lalu bertanya tentang perusahaan yang telah mereka uruskan selepas kematian ayahnya.

Wahid menjawab dan memaklumkan kepada ibunya bahawa perusahaan itu sudah jatuh muflis. Ibunya membalas dan bertanya sebab perusahaan itu muflis. Wahid mengatakan bahawa syarat yang dipesan kepada mereka telah dipatuhi. Dia tidak pernah keluar bekerja apabila waktu tengahari. Kerana dia tidak boleh memandu kereta, dia hanya tahu membawa motorsikal sahaja. Maka, dia terpaksa menaiki teksi ke pejabat setiap hari sehingga menyebabkan banyak wang pernigaan dihabiskan untuk membayar tambang teksi.

Wahid juga mengikuti pesan ayahnya yang kedua iaitu tidak memungut hutang pelanggan. Jadi, wang perusahaan telah habis dibelanjakan dan dia sendiri tidak pernah memungut hutang dari pelanggan. Perkara ini telah menyebabkan wang perniagaan habis. Ibunya mengeleng kepala sambil berlalu pergi.

Pada keesokan hari, si ibu telah pergi ke rumah Wahab pula. Setelah bertemu, si ibu bertanya keadaan perniagaan yang diuruskannya. Si ibu juga memaklumkan bahawa perniagaan Wahid telah jatuh muflis. Wahid dengan senang hati mengatakan bahawa perniagaan yang diusahakannya semakin maju. Dia juga telah mendapat keuntungan lima kali ganda daripada harta yang telah diwariskan arwah ayahnya dahulu. Lalu si ibu bertanya apakah rahsia kejayaannya sehingga mencapai tahap itu.

Wahab menjawab dengan mengatakan bahawa dia mengikuti pesan ayahnya sebelum meninggal. Dia tidak pernah terkena sinar matahari kerana dia keluar rumah sebelum matahari terbit lagi. Dia hanya akan pulang ke rumah selepas matahari terbenam. Maka, dia tidak pernah terkena sinar matahari. Pesanan ayahnya yang kedua juga dipatuhi, dia tidak pernah meminta hutang kerana dia tidak memberikan pelanggan berhutang dengannya. Kerana itu dia tidak pernah mengutip hutang dan ianya sama seperti pesanan si ayah. Si ibu tersenyum puas dengan kejayaan anaknya itu.

No comments: