14 January 2020

SI MATI PULANG DARI ALAM BARZAKH

Assalamualaikum




SI MATI PULANG DARI ALAM BARZAKH

Seperti biasa menjalang waktu tengahari, Kamariah (bukan nama sebenar) memang sibuk.  Lepas satu-satu kerja yang dibereskan di dapur.  Lepas menyiang ayam dan ikan, beliau akan menyiapkan ramuan untuk dicampurkan dalam masakannya pula.  Sememangnya masakan itu dibuat khas untuk suami tercinta, Yaakob (bukan nama sebenar).

Itulah tarikan utama kamariah pada Yaakob yang semakin menyayanginya.  Walaupun tubuhnya masih terasa bisa akibat diserang demam lepas bersalin anak yang kedua, namun Kamariah menggagahkan juga tubuhnya untuk memasak di dapur.  Tidak sanggup rasanya melihat Yaakob asyik menjamah masakan di kedai sahaja sepanjang tempoh pantangnnya, biarpun Yaakob sendiri tidak kisah.

Sebaik sahaja siap memasak segala lauk-pauk, Kamariah bercadang untuk mengemas dapur yang berselerak.  Sedang leka membasuh pinggan, tiba-tiba beliau merasa pening tapi ditabahkannya juga.  Pada fikirannya, mungkin lama-kelamaan akan hilang sendiri.  Beliau meneruskan lagi kerja yang belum beres.  Semakin lama ditahan, semakin kuat sakitnya.  Berdenyut-denyut melarat ke seluruh badan hingga ke kepala.  Disebabkan sakit yang amat sangat tanpa disangka-sangka beliau rebah ke lantai.

Kebetulan Yaakob baru sahaja tiba di rumah untuk makan tengahari.  Dipanggilnya Kamariah berkali-kali namun tiada jawapan.  Apabila beliau meninjau ke dapur, beliau terkejut kerana mendapati tubuh Kamariah kaku di lantai dengan kain buruk yang masih tergengam di tangan.  Matanya yang separuh terbuka dan mulut yang terketar-ketar menyebabkan Yaakob menjadi panik.

Tangisan anaknya di bilik tidak diendahkan.  Kamariah terus diselamatkan terlebih dahulu! Jeritan nyaring bayi jelas kedengaran di beberapa buah rumah jiran berdekatan.  Disebabkan bunyi jerit tangis itu makin menjadi-jadi, jiran tetangga bergegas meninjau apa yang telah terjadi.  Sememangnya perhubungan jiran-jiran Kamariah dan Yaakob amat baik.  Mereka seperti satu keluarga.  Jika ada sesiapa yang mengalami kesusahan, maka sama-samalah akan menolong apa yang patut.

Suasana di dalam rumah menjadi gamat.  Jiran dan sahabat handal bergegas-gegas menyiapkan apa yang patut.  Mereka sungguh tidak sangka, Kamariah yang baru semalam ketawa riang bersama mereka boleh jadi begini.  Yaakob yang sedang meriba anak keduanya itu tidak tahan lagi melihat Kamariah yang terbaring kaku di atas tikar mengkuang.  Walaupun beliau tidak bersuara namun Yaakob seakan-akan tahu bahawa isterinya itu sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.  Dibelai-belainya dahi Kamariah dengan penuh mesra dan dipeluk serta dicium anak kecil di pangkuannya itu sambil menangis hiba.  Jiran-jiran dan saudara-mara yang hadir merasa simpati dengan Yaakob.

Tiba-tiba Kamariah membuka perlahan-lahan matanya dan memanggil Yaakob dengan lemah.  Yaakob gembira dan bersyukur kerana Kamariah kembali sedar.  Orang yang mengerumuni di keliling tempat pembaringan Kamariah tersenyum lega.  Masing-masing gembira dengan melihat keadaan Kamariah yang sudah sedar dari pengsannya.  Rupannya Kamariah kembali sedar hanya untuk berpesan kepada Yaakob dan orang ramai yang hadir agar tidak mengganggunya kerana dia hendak tidur sebentar.

Tidak sempat Yaakob untuk bertanya apa-apa, Kamariah sudah memejamkan matanya rapat-rapat seperti sedang tidur dengan nyenyaknya.  Pelik juga Yaakob rasakan.  Orang ramai yang hadir juga merasa aneh dengan pesanan Kamariah itu.  Namun begitu mereka kelihatan gembira, biarlah Kamariah tidur asalkan beliau masih boleh sedarkan diri.

Lepas satu-satu jiran dan sahabat handai pulang ke rumah.  Mereka sangka Kamariah betul-betul tidur akibat badannya terlalu lemah, jadi yang tinggal di atas rumah hanya saudara-mara dan seorang dua sahabat sahaja.  Anak kecil dipangkuan Yaakob yang sedari tadi dipangkunya pun sudah nyenyak tidur setelah diberikan susu.

Yaakob mengambil keputusan untuk baring di sisi Kamariah hingga beliau sedar kembali.  Yaakob terlena seketika.  Apabila beliau terjaga, Kamariah didapati masih terbaring lesu.  Setelah ditunggu lepas satu jam ke satu jam, Kamariah masih tidak menunjukkan tanda-tanda hendak bangun.  Bukan itu sahaja, tubuhnya juga tidak bergerak dan nadi Kamariah juga tidak lagi berdenyut.  Hati Yaakob kembali berdebar.

Dibasahkan muka isterinya perlahan-lahan namun Kamariah masih kaku.  Bibirnya pucat seperti mayat dan begitu juga jari-jemari serta kakinya yang sejuk kekuningan.  Yaakob panik lalu memanggil rakannya yang sememangnya arif tentang keadaan sebegitu.  Alangkah sayupnya perasaan Yaakob apabila rakannya memberitahu bahawa Kamariah sebenarnya sudah pergi.  Rupanya pesanan Kamariah bahawa beliau hendak tidur dan tidak mahu diganggu itu adalah tidur untuk selama-lamanya.

Keadaan rumah kembali gamat. Jiran tetangga yang sudah pulang kembali hadir apabila mendapati Kamariah yang mereka tahu sedang tidur rupanya sudah meninggal dunia.  Air mata mula bercucuran serta suasana bertukar menjadi hiba.  Bayangkanlah usia Kamariah yang baru 30an itu telah meninggalkan 2 cahaya mata yang masih terlalu muda untuk memahami keadaan sebenarnya.  Kamariah sewaktu hidup merupakan wanita contoh di kampungnya. Beliau sangat taat pada suami dan alim dalam ilmu agama.  Sebab itulah pemergiannya amat dirasai oleh seluruh penduduk kampung.

Yaakob sudah tidak mampu lagi menahan rasa sedihnya.  Diambil kedua anaknya dan diletakkan rapat di sisi jenazah ibu mereka. Dikuncupnya dahi Kamariah dengan penuh kasih sayang. Jika itulah kehendak Allah, beliau tidak boleh menghalangnya.  Biarlah Kamariah pergi dengan tenang. Selang beberapa jam kemudian, ramai orang-orang kampung datang untuk melawat dan membaca Yassin. Maka berbincanglah mereka tentang pengurusan jenazah Kamariah.

Di ruang tamu, terbujur jenazah Kamariah yang ditutupi dengan kain batik lepas dikelilingi saudara dan jiran-jiran. Mereka semua sedang membaca surah Yassin dengan nada sayu. Semakin lama semakin ramai orang datang menziarahi. Sedang hadirin leka membaca Yassin, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara orang bersin. Pada awalnya ianya tidaklah sesuatu perkara yang aneh. Mungkin ada dikalangan mereka yang bersin menyebabkan yang lain terkejut.

Makcik Limah yang sedari tadi duduk bersila di hadapan jenazah Kamariah terkejut kerana mendapati kain batik yang menutup jasad Kamariah sudah terhinggut. Namun tidak diendahkannya, mungkin angin yang tiup. Disambungnya kembali membaca Yassin yang tidak lekang dari tangannya itu. Tidak berapa lama kemudian kedengaran lagi suara bersin dan kali ini Makcik Limah pasti suara itu datang dari jenazah Kamariah. Perasaan hairan bercampur takut mula menguasai dirinya. “Takkan Kamariah kot... diakan dah meninggal?” fikirnya dalam hati. Tiba-tiba Makcik Limah memberanikan diri bertanya pada hadirin.

“Apa kamu semua ada dengar apa yang aku dengar tadi?” beliau terus bertanya, mana tahu kalau bunyi orang bersin itu hanya beliau sahaja yang mendengarnya. Ada dikalangan mereka yang mengangguk dan ada pula yang berkerut dahi. Mereka hairan dengan pertanyaan spontan dari Makcik Limah. Sememangnya mereka semua ada mendengar bunyi orang bersin tapi takkan itupun menjadi hal. Mulalah masing-masing berbisik sesama sendiri.

Setelah berpuas hati bahawa bunyi itu bukan beliau sahaja yang mendengarnya, Makcik Limah memberanikan diri membuka kain batik lepas yang menutupi muka jenazah Kamariah sedari tadi. Para hadirin menanti penuh debar. Alangkah terperanjatnya Makcik Limah apabila mendapati tubuh Kamariah yang kaku tadi sudah bergerak kembali. Betullah bagai disangka, Kamariahlah yang bersin tadi. Suasana rumah menjadi kecoh dan ramai orang lari bertempiaran kerana takut dan terkejut.

“Mayat hidup...! Mayat hidup...!” mereka bertempik melarikan diri. Makcik Limah dan saki-baki jiran yang tinggal tidak hiraukan mereka. Yang pasti Kamariah yang disahkan sudah meninggal dunia sebentar tadi, kembali bernyawa. Bukan main gembiranya Yaakob dan mereka semua. Dipeluknya tubuh lemah Kamariah penuh erat, seakan-akan tidak mahu dilepaskannya lagi. Isteri yang disayangi kini masih hidup! Beliau rasakan seolah-olah sedang bermimpi namun masih ada sesetengah jiran yang hadir merasa takut dan ada juga yang tidak faham kenapa boleh jadi sampai begitu. Setelah beberapa ketika, barulah keluarga dan jiran dapat menerima hakikat yang Kamariah sebenarnya masih hidup. Syukur sekali lagi kepada Allah. Maka hebohlah sekampung mengatakan Kamariah yang mati telah hidup kembali. Bermacam-macamlah andaian yang dibuat oleh mereka namun Yaakob tidak hiraukan.

Selepas beberapa lama kemudian Kamariah kembali pulih. Keadaan diri Kamariah selepas peristiwa itu juga telah merubah wataknya. Kamariah didapati sering termenung dan seperti orang di alam fana. Jika dahulunya Kamariah seorang yang ceria dan peramah, kini menjadi pendiam. Sekali ditanya sekali dijawab. Puas Yaakob cubamengembirakan hati isterinya itu namun Kamariah tetap begitu. Termenung adalah rutin harian yang mesti dilakukannya.

Rupanya Kamariah bukan termenung kosong, tidak seorang pun yang tahu tentang pengalamannya semasa beliau “tidur nyenyak” itu. Kisah inilah yang amat meninggalkan kesan mendalam pada dirinya. Akhirnya Kamariah sudi juga berkongsi pengalamannya itu pada suami dan sahabat-sahabat setelah dipujuk berkali-kali. Mungkin juga ianya adalah takdir Allah untuk menyedarkan kita yang masih hidup ini.

“Kamariah sudah meninggal dunia setahun yang lalu, kali ini betul-betul..” jelas Rohani, 53, salah seorang ahli keluarga Kamariah. Pengalaman yang jarang-jarang dapat ditempoh oleh manusia ini, telah diceritakan sendiri oleh Kamariah kepada beliau.

“Sebenarnya, walaupun Kamariah ‘mati’ ketika itu, namun dia masih boleh mendengar dan melihat akan kesibukan ahli keluarga dan jiran yang datang melawatnya, membaca Yassin, meratap menangis dan bercakap tentang apa yang harus dilakukan untuk menguruskan jenazahnya dan juga melihat wajah murum suaminya ketika itu”, cerita Rohani sayu.

“Setelah itu Kamariah di bawa oleh seseorang melwat ke satu tempat yang tidak pernah dikunjunginya. Beliau nampak satu padang yang luas kemudian melalui satu jalan yang sempit lagi gelap. Setelah melalui jalan yang gelap, kemudian bertemu pula satu tempat yang amat luas seperti sebuah padang pasir yang besar. Di situlah beliau melihat berbagai perkara yang ngeri untuk diceritakan..” Rohani tiba-tiba berhenti.

Pandangan Rohani tertumpu pada lantai untuk seketika waktu, ternyata beliau begitu sedih mengenangkan peristiwa itu. Kemudian Rohani kembali menyambung. Jelasnya, Kamariah dapat memerhatikan ada beberapa orang sedang melakukan sesuatu yang di luar fikiran manusia biasa. Orang itu menarik lidahnya lalu memotongnya sendiri berulang-ulang. Kamariah bertanya pada orang membawanya melawat ke situ.

“Kenapa orang itu memotong lidahnya sendiri?”. Lalu orang itu menjawab, “Itulah akibatnya orang suka bercakap dusta (orang munafik). Kamariah dibawa beredar dari situ.

Beliau nampak pula sekumpulan wanita mengerumuni sesuatu dengan berebut-rebut dalam keadaan gelojoh sedang memakan daging-daging hancur yang busuk dan mentah. Kamariah bertanya lagi pada orang itu, “Kenapa pula dengan mereka?”. Jawabnya, “Itulah pembalasan bagi wanita-wanita yang mengugurkan anak yang dikandung oleh mereka dan mereka akan diazabkan dengan memakan daging anaknya sendiri”.

Kamariah terus dibawa melawat lagi bagi menyaksikan pelbagai azab dan pembalasan dosa manusia yang telah mati. Ada di kalangan mereka berjalan dengan lutut, berjalan dengan lidah, berjalan dengan kepala ke bawah kakti di atas dan pelbagai-bagai azab manusia yang melakukan dosa sewaktu hidupnya. Betapa insafnya Kamariah melihat berbagai-bagai keadaan manusia. Mahu saja beliau meraung meminta keampunan dari Ilahi. Seterusnya Kamariah meminta pada orang itu supaya dapat bertemu dengan arwah ibunya. Lalu orang itu bertanya, “Adakah kamu kenal wajah ibumu?”. Jawab Kamariah, “Ya saya kenal”. Kemudian kamariah diperkenalkan dengan ibunya. Alhamdulillah.. ibunya berkeadaan amat cantik dan mempunyai tempat tinggal yang indah.

Ibu Kamariah berkata, “Kenapa kamu kemari, belum masanya kamu ke sini. Kamu masih punyai anak-anak kecil... mereka perlukan kamu. Pulanglah anakku”. “Saya di bawa melawat ke sini dan saya mahu pulang ke tempat saya”, sebaik sahaja Kamariah berkata begitu tiba-tiba Kamariah sedar yang beliau sedang terbaring dan disangkakan sudah mati.

Beliau melihat orang sekelilingnya bertempiaran lari ketakutan seperti melihat hantu dan mendapati tiga orang masih terpaku di situ iaitu suaminya Yaakob, kakaknya dan adiknya.  “Suaminya terus memeluk erat Kamariah kerana terlalu gembira. Kamariah disuruh mengucap bagi memastikan beliau bukannya hantu. Barulah orang ramai mengakui yang hidup kembali itu adalah Kamariah, bukannya jelamaan”, jelas Rohani lagi.

“Yang lucunya, setelah sedar, Kamariah terus meminta suaminya menyediakan nasi kerana berasa amat lapar. Setelah itu, mereka sekeluarga hidup bahagian dan dikurniakan dua lagi cahaya mata. Kata arwah, kejadian itu adalah kekuasaan Allah untuk kita yang masih hidup agar tidak melakukan dosa dan bertaubatlah bagi sesiapa yang telah terlanjur membuat dosa... Kamariah didapati lebih alim selepas itu.. syukurlah”. Kata Rohani menutup cerita.





💖💚⛰🇲🇾💛💕💓💜💎💌🖤❤💘💝❣💟💞🕋🕌

No comments: