16 January 2020

Pengalaman semasa hamil

Assalamualaikum



Pengalaman semasa hamil
Oleh REKHA NAIDU
KEGEMBIRAAN menanti kelahiran permata hati sama ada yang sulung atau bongsu, adalah satu kurniaan yang amat membanggakan setiap ibu.
Bagi saya, pengalaman yang membuat saya tidak berapa selesa ialah rasa loya yang menyebabkan saya selalu muntah. Walaupun ini lazimnya mencerminkan tanda-tanda awal kehamilan, rasa loya dan muntah yang saya alami bukan setakat tiga bulan, tetapi sepanjang tempoh saya mengandung.
Sebagai seorang pakar perunding diet, saya tahu pentingnya menambah berat badan supaya saya tidak melahirkan bayi yang kurang berat badan.
Seorang ibu mengandung perlu memastikan berat badannya bertambah secara beransur-ansur dan dikekalkan hingga ke saat bayi dilahirkan.
Tenaga yang mencukupi amat perlu. Tenaga yang diperlukan ini bukan sahaja digunakan oleh janin untuk membesar, tetapi juga untuk ibu mengawal mabuk hamil.
Mabuk hamil ialah masalah yang biasa dialami pada peringkat awal kehamilan. Darjah dan tahapnya berbeza antara seorang wanita dengan yang lain. Apa yang perlu dititikberatkan oleh pesakit dan doktor ialah usaha mengelakkan penyahhidratan, ketidakseimbangan elektrolit dan imbangan tenaga negatif.
Walaupun sebab musabab mabuk hamil masih tidak diketahui, pakar-pakar membuat kesimpulan berasaskan beberapa teori:
* Peningkatan hormon estrogen dan hormon gonadotrofin kronik manusia.
* Kekurangan vitamin B6 (Piridoksin) mungkin menjadi faktor di kalangan wanita yang mengalami gejala teruk dan pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin B6 mungkin boleh membantu.
* Faktor-faktor psikologi.
Mengurangkan gejala-gejalanya
* Kelaparan boleh memburukkan lagi keadaan mabuk hamil. Makanlah secara tetap dan utamakan makanan yang rendah lemak.
* Makan sarapan ringan - biskut tawar atau sekeping roti bakar lebih baik daripada nasi lemak.
* Elakkan makanan dan minuman yang berbau kuat.
* Minum sedikit tetapi secara lebih kerap dan campur glukosa atau madu untuk memberikan tenaga tambahan.
Adalah penting untuk memastikan tidak berlaku kehilangan berat badan secara mendadak dan/atau penyahhidratan yang mungkin mengakibatkan ibu mengandung dimasukkan ke hospital.
Penambah tenaga
Jumlah tenaga sebenar yang diperlukan oleh wanita berbeza dan pengambilan yang disyorkan ialah 200kkal (lihat jadual di bawah).
Sebanyak 150kkal tenaga tambahan diperlukan sepanjang trimester pertama.
Jumlah ini perlu ditingkatkan kepada 350kkal dalam trimester kedua dan ketiga. Tenaga tambahan ini diperlukan untuk proses metabolisme serta pertumbuhan dan perkembangan janin.
Makanan berkanji membekalkan tenaga dalam bentuk karbohidrat, protein dan sedikit vitamin B.
Karbohidrat dipecahkan secara perlahan-lahan di dalam badan untuk menjadi glukosa, yang seterusnya digunakan semasa ibu mengandung. Pengambilan makanan bijirin penuh memastikan anda mendapat serat yang mencukupi dalam makanan anda dan membantu mengelakkan sembelit.
Pilihlah 10 hingga 12 hidangan sehari makanan berikut:
Sekiranya anda tidak berselera makan, minumlah minuman glukosa untuk mendapatkan tenaga tambahan sepanjang hari.
Keseimbangan
Bagi ibu-ibu yang mengandung anak sulung, mungkin sukar untuk membuat keputusan mengenai makanan yang paling sihat dimakan. Cara paling baik untuk memperoleh segala khasiat daripada makanan anda ialah dengan mengambil pelbagai jenis makanan. Satu cara paling mudah untuk memastikan kepelbagaiannya ialah dengan memilih makanan daripada kumpulan makanan berikut:
1) Nasi, roti, bijirin, ketang - makanan berkanji.
2) Buah-buahan dan sayur-sayuran.
3) Daging, ikan, telur dan alternatif - makanan
berprotein.
4) Susu dan makanan tenusu - makanan berkalsium
tinggi.
5) Makanan berlemak dan manis termasuk glukosa.
Jangan lupa untuk menggunakan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan dan mintalah nasihat daripada pakar-pakar diet atau pemakanan yang bertauliah sekiranya anda memerlukan maklumat lanjut.
Jika anda mengalami mabuk hamil, badan anda akan ketandusan tenaga dan muntah yang terlalu kerap boleh melemahkan badan. Jadi, pastikan anda mendapat tenaga yang mencukupi.
* Rencana ini disumbangkan oleh Rekha Naidu, Pakar Perunding Diet.

🕋🇲🇾💜❤🖤❣🌍🌎💟💞💘❤💜💛💓💕💚💖💙💗🌏🕌

No comments: