LIPAN BARA DI BAWAH MAYAT
Kejadian yang berlaku ke atas mayat emak mertuanya tidaklah lama sangat, hanya sekitar 20 tahun lalu di Pahang. Tetapi Haji Sibin (bukan nama sebenar), 47 tahun enggan memberitahu kalau tidak diizinkan oleh isterinya Hajah Semidah (bukan nama sebenar). Dia bimbang perkara lipan bara berpuluh-puluh ekor menyusup di bawah mayat akan menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat.
“Tidak baik diceritakan semula perkara macam ni,” Haji Sibin tetap mengelak apabila didesak dengan kejadian lipan bara menyusup di bawah mayat emak mertuanya yang sudah terbujur sejak semalaman. Bagi Hajah Semidah pula, dia tidak dapat melupakan kejadian tersebut setelah melihat sendiri seekor lipan bara keluar dari bawah tutupan kain mayat, menyebabkan dia terkejut dan ketakutan.
Beberapa orang perempuan yang ikut sama berjaga sepanjang malam di sisi mayat membaca Al-Quran terjerit sebaik sahaja ternampak lipan bara itu berligar di atas tikar. Apabila beberapa orang lelaki mahu membunuh lipan itu, reptilia berkenaan cepat-cepat menyusup semula ke bawah kaki mayat. Mereka menyelak kain tutupan mayat tetapi lipan bara sepanjang hampir sejengkal itu semakin jauh menyusup ke bawah mayat.
Ketika mereka erengkan kedudukan mayat, beberapa orang ternampak beberapa ekor lagi lipan bara menyusup di situ. Ketika itu, memang mereka sudah bersiap-siap untuk mandikan jenazah. Beberapa orang perempuan yang diketuai oleh Bidan Mai sudah mara ke hadapan setelah diminta memandikan jenazah berkenaan.
Menurut Hajah Semidah, tidak ada sesiapapun yang berani alihkan mayat ke tempat lain untuk membunuh lipan yang banyak menyusup di bawahnya. Mereka bimbang lipan bara yang panjang hampir sejengkal itu boleh mengigit bagi sesiapa yang memegang mayat. Mereka juga menghalang Hajah Semidah daripada cuba menyelamatkan mayat emaknya ketika itu.
“Ini bukan lipan biasa agaknya, Dah”, salah seorang jiran mengingatkan dia supaya tidak terburu-buru. Memang dia tidak dapat menahan sabar melihat banyak lipan bara di bawah jenazah emaknya yang terbujur ketika itu tetapi setelah diberitahu kepada seorang guru agama yang berkunjung ke kampungnya, dia sahkan lipan yang banyak menyusup di bawah kain tutupan itu tidak mengigit jenazah yang terbujur.
Tidak kelihatan bekas gigitan pada jenazah tersebut setelah diperiksa oleh guru agama tersebut. Guru agama menyuruh Bidan Mai mandikan sahaj mayat dengan mengusung tilam ke tengah rumah. Dia membantu Bidan Mai menjirus mayat yang masih ditutup dengan kain batik lepas sekalipun dibaringkan di atas tilam sahaja.
Selepas mayat selesai dimandikan, mereka nampak seolah-olah serpihan arang mengalir bersama air yang dijiruskan pada mayat. Menurut Hajah Semidah lagi, tidak ada kejadian ganjil berlaku selain daripada melihat banyak lipan bara menyusup di bawah mayat. Sewaktu dimandikan memang mereka tidak nampak kesan gigitan lipan pada mayat itu selain kesan lebam pada betisnya.
“Memang arwah emak tak ada apa-apa amalan”, ujar Hajah Semidah mengakui emaknya tidak mengamalkan sebarang ilmu semasa hayatnya. Malah guru agama percaya arwah tidak mempunyai apa-apa amalan yang salah. Kalaulah Hajah Semidah tidak nampak seekor lipan menjalar di atas tikar sebelum mayat emaknya dimandikan, memang tidak siapa pun menyangka di bawah mayat tersebut terdapat berpuluh-puluh ekor lipan bara menyusup.
Memang geli geleman apabila melihat lipan-lipan tersebut berasak-asak di bawah mayat hingga nampak kakinya yang banyak merangkak-rangkak di atas tilam, kata Hajah Semidah. Semasa dimandikan keadaan tubuh mayat juga tidak berubah, malah mukanya bersih seolah-olah sedang tidur.
Mereka tidak menghebohkan kejadian itu setelah guru agama yang membantu memandikan jenazah tidak membenarkan perkara itu diberitahu. Biarlah mereka yang melihatnya sahaja mengetahui apa yang dilihat kerana bimbang menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat. Disebabkan Haji Sibin memegang kukuh pesan guru agama itulah, dia tidak mahu kejadian yang menimpa emak mertuanya 20 tahun lalu dijadikan bahan untuk diketahui umum.
“Tak ada apa-apa yang istimewanya kejadian itu,” ujar Hajah Semidah mendakwa lipan yang banyak menyusup di bawah mayat emaknya itu disebabkan reptilia itu banyak merata-rata. Apatah lagi keadaan rumah kampung berdinding papan yang sudah reput, tentu reptilia berkenaan bersarang di situ agaknya.
🤝♥️❤💚🔁💞🖤💜💛💚❤💙
No comments:
Post a Comment