06 January 2020

HALAU JIN

Assalamualaikum



HALAU JIN
Selain daripada manusia, jin juga makhluk yang Allah SWT ciptakan untuk mendiami muka bumi ini.  Seperti juga manusia, jin juga mempunyai tamadun, kerajaan dan menteri untuk mentadbir kerajaan mereka.  Di kalangan jin, ada jin yang menganut agama Islam, kristian, yahudi dan ada yang tidak beragama.  Menurut alim ulamak, nisbah makhluk Allah SWT ciptakan terbahagi seperti berikut, 90% terdiri daripada Malaikat, 9% terdiri daripada jin dan hanya 1% sahaja terdiri daripada manusia.  Apa yang pasti, mengikut nisbah para ulamak, jumlah makhluk jin yang mendiami bumi lebih besar jumlahnya daripada manusia sendiri.
Malah ada sesetengah riwayat mengatakan sekiranya Allah SWT tidak menghijabkan makhluk jin ini dari pandangan manusia, nescaya manusia akan berhimpit-himpit serta sesak nafas dengan jumlah mereka yang begitu ramai.  Sejumlah jin menjadikan lautan dan hutan sebagai tempat tinggal.  Mereka juga mendiami rumah-rumah manusia, bangunan-bangunan dan banyak lagi tempat yang tidak terfikir oleh manusia di seluruh mukabumi.  Jin juga sering mengganggu manusia, berbagai-bagai penyakit yang pelik-pelik sering timbul angkara mereka.  Kadangkala berlaku kejadian yang tidak masuk akal angkara para jin.
Ustaz Mohd Salleh Haji Kassim, 65, adalah salah seorang yang dianugerahkan Allah SWT kebolehan merawat pesakit yang terkena gangguan jin.  Dia juga boleh menghalau jin dan kerana kebolehan yang beliau miliki, dia telah pergi ke banyak tempat di luar negara seperti London, Manchester, New Zealand, Turki, Algeria, Indonesia dan beberapa buah lagi semata-mata untuk menyelesaikan masalah pesakit yang terkena gangguan akibat perbuatan jin.
Kebolehan yang beliau miliki adalah hasil daripada perguruannya dengan beberapa tokoh Islam yang terkenal baik dari Malaysiamahupun Indonesia dan antara guru beliau ialah Allahyarham Profesor Mokhtar Lintang dari Indonesia.  Kaedah merawat pesakit yang digunakan hanyalah dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran.  Sekiranya pesakit menghadapi masalah kritikal barulah beliau menggunakan kaedah lain seperti solat hajat, membaca Yasin dan ayat Kursi sebanyak 313 kali tanpa henti.
“Ketika merawat, saya tidak akan melayan sebarang bentuk kehendak jin dan syaitan yang mengganggu pesakit.  Ini kerana makhluk seperti mereka itu banyak tipu daya dan muslihatnya.  Jika kita lemah dan menurut, akhirnya kita akan terperangkap dengan tipu helah mereka”, tegasnya.
Jin juga sentiasa mencari kesalahan seperti menegur bacaan Al-Quran yang dibaca tabib atau pesakit itu sendiri.  Justeru itu, tabib atau sesiapa sahaja yang memberikan rawatan terhadap gangguan jin ini perlu yakin dan tahu bahawa bacaan ayat Al-Quran yang mereka gunakan itu betul daripada nahu dan tajwidnya.  Kebolehan beliau sering teruji apabila diminta menyelesaikan masalah berkaitan dengan jin di tempat-tempat tertentu.
Antara pengalaman beliau, apabila pernah menyelesaikan masalah histeria yang berlaku di sebuah sekolah di Bandar Tenggara, Johor pada tahun 2000 lalu.  Di bandar yang sama, beliau turut menyelesaikan masalah 1,000 pokok betik dan jambu yang mati kerana digigit nyamuk dan gagal diselesaikan oleh pakar-pakar tumbuhan dari Jepun dan Perancis.  Namun setelah diselidiki, didapati masalah itu berpunca daripada gangguan jin.  Selain daripada itu, beliau pernah dipanggil bagi membantu menyelesaikan masalah yang timbul sewaktu sebuah lapangan terbang antarabangsa mula beroperasi di mana pekerja di bahagian kargo seringkali diganggu oleh lembaga hitam yang tidak berkepala.  Manakala dibahagian kaunter pula hampir setiap hari berlaku kehilangan wang beratus ringgit tanpa diketahui puncanya.  Apabila jin di situ dihalau, tidak ada lagi gangguan tersebut.
Di sebuah gedung membeli-belah yang terletak di Jalan Bukit Bintang pula, beberapa orang pekerja meninggal dunia kerana terjun dari tingkat 6 bangunan tersebut tanpa diketahui sebabnya.  Mereka dikatakan tidak dapat mengawal perasaan hingga meracau-racau lalu terjun dari bangunan itu.
Gangguan di sebuah pusat latihan di Bangi, Selangor juga dapat dibereskan.  Sebelum itu, pelatih-pelatih di situ diganggu suara yang tidak dikenali.  Lampu bilik air terbuka dan tertutup dengan sendiri.  Apabila sembahyang hajat dan bacaan Yasin dilakukan pada malam pertama, pelatih terdengar bunyi sekumpulan lembaga berlari keluar beramai-ramai dari pintu berdekatan dan terbau wangi-wangian.
Demikian antara tempat-tempat  yang pernah dikunjungi oleh Ustaz Mohd Salleh untuk menghadapi jin yang cuba mengganggu manusia.  “Ini adalah sekadar pengalaman saya, bukan tujuan saya menceritakan perkara ini untuk mengatakan bahawa saya ini handal dan sebagainya tapi di sini niat saya hanyalah untuk memberitahu bahawa ilmu dari Allah SWT adalah amat hebat dan tiada tandingannya untuk sekalian makhluk, biarpun dia dari kalangan jin ataupun manusia”, tegasnya.

🤝🆗️💙🔁💞🖤💜💛

No comments: