07 January 2020

Doa lepas wudhu dapat membuka pintu syurga

Assalamualaikum




Wudhu’ adalah amalan sunat, namun hukumnya berubah menjadi wajib apabila dilakukan untuk bersolat. Di dalam wudhu’, terdapat tatacara tertentu yang perlu dipelihara supaya solat yang dilakukan menjadi sah.

Selain itu, terdapat juga amalan yang ringkas tetapi besar ganjarannya jika dilakukan selepas mengambil wudhu’. Tidak lain tidak bukan, ia adalah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua.

Daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wudhu’, kemudian berdoa:
“أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ”
kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu.” (Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’ie, Ibn Majah dan al-Tirmizi)

Ada ahli tafsir yang menjelaskan bahawa dibuka baginya pintu syurga ialah Allah akan memudahkannya jalan baginya menuju syurga. Bagaimana caranya? Allah akan menyediakan amalan-amalan untuk dilakukan yang akan menjadi asbab dia menuju pintu tersebut.

Dalam hadis ini, perkataan yang digunakan bagi ‘membuka’ ialah ‘futihat’, yang merujuk kepada perkara yang belum atau bakal terjadi.

Sungguh mudah bagi Allah jika ingin memberi mahupun mengambil sesuatu daripada hamba-hambaNya. Kita hanya perlu menurut segala perintahNya yang pasti akan mendatangkan kebaikan buat kita.


💞🔁💙🆗️🖤💜💙💛❤💚♥️🖤💙🆗️🤝

No comments: