BILA JIBRAIL MELIHAT SYURGA
Apabila Allah SWT siap mencipta syurga dan mengisinya dengan pelbagai kenikmatan sebagai ganjaran kepada umat yang melakukan amal soleh serta menyempurnakan syariat-Nya maka Allah SWT memerintahkan Malaikat Jibrail a.s melihat syurga ciptaan-Nya.
Allah SWT :
“Wahai Jibrail, Aku telah menciptakan Syurga sebagai tempat untuk umat yang menyempurnakan syariat-Ku, pergilah engkau saksikan Syurga ciptaan-Ku itu”.
Malaikat Jibrail patuh dengan perintah Allah SWT dan setelah menyaksikan ciptaan agung itu, ia kembali mengadap Allah SWT dan berkata :
“Demi kemuliaan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, barang siapa yang menyaksikan Syurga ciptaan-Mu itu nescaya mereka akan berusaha dengan apa jua sekalipun untuk menjadi ahlinya”.
Allah SWT :
“Kenapa engkau berkata demikian?”.
Jibrail a.s :
“Sesungguhnya Syurga itu penuh dengan aneka kesenangan, kelazatan, kegembiraan, kemewahan dan pelbagai nikmat. Jika umat-Mu mengetahui isi sebenarnya Syurga itu pasti mereka tidak menginginkan lagi dunia yang fana ini, mereka pasti sanggup lakukan apa sahaja untuk mencapai Syurga itu”.
Allah SWT :
“Baiklah”. Kemudian Allah selubungi Syurga itu dengan berbagai bentuk ujian. Allah letakkan bermacam-macam dugaan seperti sembahyang, puasa, jihad, haji, amal kebajikan dan berbagai lagi syarat untuk memasuki Syurga. “Wahai Jibrail, pergilah engkau sekali lagi saksikan Syurga itu”.
Jibrail patuh dan setelah melihat ujian-ujian yang Allah sediakan kepada setiap umat untuk memasuki Syurga itu ia kembali mengadap Allah SWT seraya berkata :
“Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui, kali ini aku khuatir tidak ada seorang pun umat-Mu dapat memasuki Syurga itu”.
Allah SWT :
“Kenapa demikian?”.
Jibrail a.s :
“Sebab ramai umat-Mu tidak mampu melepasi ujian yang disediakan itu”.
Kemudian Allah SWT menciptakan pula Neraka Jahanam. Sekali lagi Allah perintahkan Jibrail melihat rupa Neraka yang disediakan untuk umat yang ingkar suruhan serta lalai dari melakukan syariat Allah.
Allah SWT :
“Wahai Jibrail, Aku telah ciptakan Neraka Jahanam sebagai tempat untuk umat yang ingkar dan lalai daripada beribadat kepada-Ku. Pergilah engkau saksikan Neraka ciptaan itu”. Setelah Jibrail menyaksikan sendiri bertapa azab dan deritanya sebagai isi Neraka, lantas ia kembali mengadap Allah dengan wajah takut.
Jibrail a.s :
“Ya Allah, demi kekuasaan-Mu, barang siapa yang mendengar namanya yang amat dahsyat itu, aku yakin tidak ada seorang pun umat-Mu yang berani menghampirinya”. Maka Allah selubungi Neraka itu dengan berbagai bentuk ujian seperti hiburan, zina, maksiat dan mabuk, yang mempunyai kuasa bersikap kasar, zalim, angkuh serta menindas.
Allah SWT :
“Wahai Jibrail, aku telah siap mencipta Neraka Jahanam, pergilah engkau lihat sendiri rupa Neraka itu”. Jibrail patuh dan setelah melihatnya ia kembali mengadap Allah dengan wajah yang pucat.
Jibrail a.s :
“Ya Allah Yang Maha Perkasa, kali ini aku khuatir tidak ada seorang pun umat-Mu yang terselamat daripadanya”.
Allah SWT :
“Kenapa pula demikian?”.
Jibrail a.s :
“Ujian-Mu terlalu berat. Semua dugaan yang Engkau sediakan adalah kegemaran sebahagian besar umat di dunia”.
🆗️🔁💙💞🖤💜💛❤💚
No comments:
Post a Comment